Sunday, June 8, 2008

Rally 1 Juta, Turunkan Minyak, Jatuhkan UMNO/BN

Ole – ole ..
Menyokong penuh Perhimpunan 100,000 anjuran PROTES 12 Julai nanti, di KLCC. Tetapi kenapa angka 100,000, dah selalu dan acap kali sangat digunakan. Kenapa tidak dinaikkan sekali ganda atau 10 kali ganda, menjadi 1,000,000 - 1 juta?

Angka tersebut elok diubah supaya menjadi satu perhimpunan 1,000,000, bertempat di ibu Negara, dengan pergerakan dibuat dari segenap penjuru Negara, dari utara, timur, selatan, sabah dan Sarawak disamping kawasan tengah.

Kalau untuk 100,000 rasanya setakat orang Kg Baru dan sekitarnya saja, so adakah penyokong – penyokong dari lain – lain kawasan dekat2 tu akan dihalang dari hadhir dan turut serta ke?

Tak adil macam tu. Orang – orang dari kawasan lain kat Selangor juga pakai kereta juga, kena bayar harga RM2.704 juga untuk petrol dan RM 2.58 untuk diesel, begitu juga rakyat dari Melaka, Negeri Sembilan,malah seluruh negara.

Bagaimana halnya pulak dengan penyokong – penyokong dari Utara, Penang, Kedah, Perak termasuk juga Perlis walaupun sokong UMNO, tapi kali ini bersatu menyatakan sokongan supaya harga minyak diturunkan semula.

Jangan lupa orang – orang UMNO juga nak ikut serta, menyatakan bantahan, kerana rata – rata yang ditemui ramai juga ahli – ahli UMNO yang miskin, papa kedana dan dalam katogeri miskin tegar, tidak setuju dengan kenaikan harga minyak ni, orang UMNO juga ada yang tak ada kereta, tapi harga barangan keperluan lain dah mula naik mendadak.

Orang – orang UMNO yang kaya raya Cuma tiga empat kerat sahaja, termasuklah Presidennya, Timbalan Presidennya, Bendaharinya, Ahli majlis kerja Tertinggi, Pengerusi Perhubungan Negeri, Exco – exco negerinya, Ketua – Ketua Bahagian, Ketua Pemuda dan exco – exconya, Ketua Puterinya dan exco - exconya sahaja.

Kerana orang – orang inilah yang duduk dekat katung duit. Lain – lain tu miskin macam rakyat teramai lah.

Berjalan kaki
Sebagai protes kenaikan harga minyak, jadi perhimpunan dicadangkan dibuat dan dimulakan dengan berjalan kaki dari segenap penjuru negara, secara berpasukan, dalam banyak kumpulan, macam larian obor olimpik tu lah.

Jika tarikh 12 julai dipilih untuk berhimpun sercara aman, walaupun Polis kata perhimpunan haram yang akan mencetuskan huru hara, maka sebaiknya perjalanan boleh dimulakan pada 5 Julai, dari Utara, Timur, Selatan, Sabah dan Sarawak, di samping kawasan tengah.

  • Pihak penganjur boleh mulakan nya dengan perancangan yang rapi, dari utara dan Selatan, kita penuhkan Lebuh Raya Utara Selatan dari Bukit Kayu Hitam dan dari Johor Bharu menghala menuju ke Kuala Lumpur.
  • Begitu juga dari Pantai Timur, boleh dimulakan dari Kota Bharu melalui jalan Gua Musang, Bentung seterusnya ke Kuala Lumpur.
  • Dari Kuala Terengganu, boleh melalui Lebuh Raya Jerangau Jabor ke Lebuh Raya Pantai Timur 2 ke Kuala Lumpur. Manakala dari Kuantan melalui Lebuh Raya Pantai Timur, dan bergabung dengan rombongan dari Terengganu di Susur Masuk LPT2 di Tol Plaza Jabor.


Ayuh, tunjukkan kesepaduan, kesepakatan rakyat marhaen. Turunkan minyak, jatuhkan UMNO/BN.

Urusetia
Urusetia di peringkat negeri di setiap negeri perlu dibentuk segera . begitu juga di peringkat daerah, dan di peringkat Parlimen, dan di peringkat DUN, dan di peringkat Bahagian, seterusnya di peringkat kampung.

Mesyuarat
Perlu dilakukan bermula dari sekarang. Urusetia dan jawatankuasa penganjur yang pernah mengendalikan Perhimpunan BERSIH di Istana Negara, sebaik saja selepas Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas, perlu digerakkan sekarang. Masa sudah suntuk bagi menjatuhkan Pak Lah dan menurunkan harga minyak serta barangan.

Provokasi sb
Walau bagaimanapun, satu aspek yang sangat perlu dititikberatkan ialah sabotaj oleh polis cawangan khas. Pimpinan dan urusetia perlu memberikan sesi – sesi penerangan khusus dan khas, bagi menghadapi provokasi dan sabotaj dari SB – SB ini.

Menteri Dalam Negeri dah beri amaran jangan berdemostrasi, bermakna ada dua kemungkinan, PERTAMA polis akan membenarkan perhimpunan dengan mengeluarkan permit dan, KEDUA, pihak polis akan menguatkuasakan undang – undang UMO/BN, seperti biasalah.

Jadi perlu bersedia dari sekarang, seperti yang sudah – sudah, kumpulan yang dilatih khas dalam pasukan polis, bagi memulakan dan mencetus huru hara dan kekacauan, iaitu dari Cawangan Khas.

Jadi, langkah berhemah dan berhati – hati, antaranya perlu mengenali dan mengawasi orang – orang yang di sebelah kiri dan kanan serta di hadapan dan belakang kita, perhatikan mereka – mereka ini. Lakukan yang terbaik apabila mencurigakan.

Sponsor
Punggutan derma harus dan perlu digerakkan dari sekarang, bagi menampung sebahagian dan perbelanjaan menganjurkan perhimpunan 1,000,000 ini, disamping perbelanjaan sendiri oleh setiap seorang daripada kita. Ini adalah sekiranya perlu bagi menyediakan sedikit kemudahan, seperti air, minuman ringan, makanan ringan, T-shirt dan lain – lain.

Hanya catatan sahaja………….

I. Kesian kat Pak Lah

Dalam masa pemerintahan TDM sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri kerajaan BN, ada kejadian dimana musuh dia, iaitu rakyat atau pemimpin dari pembangkang dan sekarang Pakatan Rakyat, yang SYAHID iaitu terkorban.

Tidaklah diketahui adakah ianya juga akan terjadi di era pemerintahan Pak Lah, yang katanya memiliki degree Pengajian Islam Universiti Malaysia awal 60-an dulu? Sejarah di zaman pemerintahan TDM, telah terpahat, banyak korban dan darah syahid tumpah, seperti di memali dan lain – lain, dalam usaha menjatuhkan pemimpin zalim ini.

Begitu juga lah jatuhnya Derih Jusoh dari singahsananya kerana DUA BIJI PELURU, satu dihalakan ke dada Suwandi dan satu lagi penerimanya bertuahnya ialah Azman. Mungkin ini satu kebetulan? Tapi percaya lah qada dan qadar Ilahi.

Dalam senyum dan suka, hatinya menangis punya menteri dan pegawai yang dari jenis gunting dalam lipatan, harapkan pagar, pagar makan padi. Kesian dia

Nasihat dari kumpulan pakar di JPM dan KPDNHEP, telah menjerumuskannya ke dalam kancah kehancuran partinya, dirinya dan negaranya. Ini lah konspirasi dari dalam, tanpa disedari oleh beliau.

Tapi, yang lebih penting, harus kita yakin, segala – galanya adalah ketentuan qada dan qadar Ilahi, masanya telah tamat untuk UMNO/BN.

II. Kesian kat Shahrir

Menteri KPDNHEP, Shahrir menteri yang paling malang, nampak sungguh – sungguh cuba memberi penerangan dan penjelasan siang dan malam di media, bagi menjustifikasikan benarnya cadangan beliau dan anak buah di kementeriannya, bahawa kenaikan minyak itu adalah patut, rakyat mesti menanggung penderitaan, rakyat mesti menanggung beban, rakyat mesti membayar mengikut harga pasaran dunia bagi minyak yang digali, disedut, diproses dan ditapis di dalam negeri.

Apa maknanya ini? Di mana kecerdikan pemimpin UMNO/BN dalam mengurus ekonomi Negara? Inilah nasib malang rakyat, bilamana orang yang mengendalikan urusan – urusan ekonomi Negara tidak mempunyai latarbelakang ekonomi.

Begitu juga sangatlah malang, pemimpin – pemimpin yang tidak cerdik yang ada hari ini, masih lagi diberikan mandat oleh rakyat, bagi memimpin Negara. Inilah kesannya.

- Ulit Mayang (Ulit_mayang@yahoo.com)

07.06.2008

Gaji RM1000, RM700 Untuk isi Minyak

Hampir dua pertiga gaji rakyat Malaysia dibelanja untuk petrol

Mampukah rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol? Gaya hidup apakah lagi yang perlu diubah oleh rakyat setelah dinasihatkan kerajaan supaya rakyat berjimat cermat dengan kenaikan harga minyak dua tahun lalu dan kenaikan harga beras, tepung dan barang keperluan lain?
Rakyat sudah mengambil langkah berjimat dan subsidi hak rakyat sebagai warga di negara pengeluar petroleum dikorbankan kerana dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) menafikannya. Apakah pula pengorbanan pemimpin? Setelah rakyat disuruh ubah gaya hidup sebaliknya pemimpin senang lenang. Dimana contoh teladan?
Bersediakah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan anggota kabinet memotong elaun mereka sebagai timbal balas kerajaan menyuruh rakyat ubah cara hidup. Terdapat cadangan yang disuarakan rakyat dihantar dan disiarkan stesen televisyen swasta minta 70 peratus elaun menteri dipotong. Apakah perasaan Abdullah?
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahril Samad mengumumkan harga petrol mungkin mengikut pasaran global. Shahril melontar isu minyak dengan harga yang tinggi diapung mengikut pasaran semasa. Taktik yang sama dengan bekas menteri jaga tol, Datuk Seri S Samy Vellu.
Kenyataan Shahril juga membayangkan minyak akan naik pada Ogos ini. Tiba-tiba esoknya Abdullah umumkan kenaikan harga petrol RM2.70. Mungkin itu juga rakyat kata kerajaan penipu disiar RTM1 dalam program isu semasa.
Dalam rancangan Hujah yang disiar televisyen swasta baru-baru ini juga turut berperanan menyampaikan mesej kerajaan bahawa rakyat tidak boleh lagi diberi tongkat. Subsidi minyak kena hapus.
Siapa mereka yang beria-ria hendak menghapuskan subsidi bahan bakar? Mereka ini golongan berpendapatan RM10 ribu keatas sebulan. Berapakah harga minyak jika mengikut pasaran global?
Contoh terdekat negara yang mengikut harga pasaran tersebut iaitu Singapura. Petrolnya berharga RM5.20 seliter dan diesel RM4.33. Bersediakah rakyat Malaysia membayar petrol RM5.20 seliter dan diesel RM4.33 mengikut harga apung di Singapura tersebut untuk menghidupkan kenderaan mereka? Kebiasaannya seliter minyak belum lagi mampu menghidup enjin kereta.
Kalau selama ini rakyat Malaysia berbelanja petrol RM10 sehari untuk berulang alik ke tempat kerja sebaliknya harga pasaran global menyebabkan pengguna perlu menyediakan RM30.
Sebulan RM900 bermakna ia telah menghapuskan sebahagian besar perbelanjaan sara hidup pengguna sebulan. Timbul pertanyaan, kenapa rakyat Singapura masih boleh hidup dengan harga minyak setinggi itu?
Jawapannya ialah pendapatan per kapita rakyat Singapura RM106,000 (AS$30,810) setahun berbanding rakyat Malaysia hanya RM21,500 (AS$6,244). Lima kali ganda berbanding pendapatan per kapita rakyat Malaysia.
Purata rakyat Singapura berpendapatan lebih RM7,500 sebulan berbanding rakyat Malaysia RM1,500. Bermakna rakyat Singapura tidak bermasalah membelanjakan RM900 sebulan untuk petrol.
Sebaliknya cuba bayangkan rakyat Malaysia berbelanja RM900 sebulan untuk petrol dan bakinya hanya RM600 yang tinggal untuk perbelanjaan mengurus rumahtangga.
Bagaimana dengan bayaran ansuran kereta terpakai mereka dan rumah serta perbelanjaan persekolahan anak-anak. Matangkah kepimpinan kerajaan untuk membiarkan petrol dan diesel dibawah kawalan pasaran semasa yang hanya meletakkan bebanan kepada rakyat?
Bandingkan pula pendapatan per kapita rakyat Malaysia dengan Korea Selatan dan Taiwan. Penduduk Korea Selatan sekarang adalah 40juta, sementara Taiwan 21 juta. Pada era 1970-an rakyat kedua-dua negara ini lebih miskin berbanding rakyat Malaysia.
Tetapi pada hari ini pendapatan per kapita rakyat Korea Selatan adalah AS$19,200 (RM66,000), sementara Taiwan pula AS$15,700 (RM52,300). Iaitu dua atau tiga kali ganda berbanding rakyat Malaysia.
Kenapa kerajaan BN langsung tidak ada pertimbangan terhadap rakyat mereka? Rakyat ingin berteduh dan merasai nikmat kesenangan dibawah naungan pemimpin sebaliknya ditindas dan hidup dalam keadaan bebasan serta kesusahan.
Kerajaan tidak ada program meningkatkan taraf ekonomi rakyat. Pengangguran yang tidak dapat dibasmi. Tiba-tiba rakyat dibebankan lagi dengan harga minyak yang cukup tinggi. Seolah-olah rakyat Malaysia tinggal dalam negara bukan pengeluar minyak.
Kata para ulama: “Tidak sama orang kaya yang bercakap mengenai kemiskinan dihadapan orang miskin.” Pemimpin datang bercakap soal kemiskinan kemudian pulang dengan kemewahan, sedangkan hadirin yang datang dengan kemiskinan pulang dengan kemiskinan.
Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali pernah menimbulkan masalah jurang pendapatan golongan kaya dengan orang miskin semakin melebar dibawah kekuasaan BN.
Pada masa Malaysia menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen dua tahun lalu sebaliknya pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah mengarahkan harga petrol di negara itu dikurangkan sehingga lebih daripada 30 peratus daripada 90 halala (90 sen) kepada 60 halala (60 sen) seliter sebaliknya Malaysia naik harga petrol, diesel dan gas.
“Bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dan untuk kebaikan awam, kami mengarah harga seliter minyak petrol untuk pengguna diubah kepada 60 halala berbanding 90 halala,” kata Dikri Diraja.
Itulah nikmat rakyat Arab Saudi berada dalam negara pengeluar minyak tetapi apa yang rakyat Malaysia perolehi dan nikmati hasil petroleum negara.
Adilkah kerajaan kepada rakyat apabila tidak menjawab malah membisu berhubung pertanyaan kemana pergi RM500 bilion duit keuntungan Petronas yang hilang?
Perdana Menteri kena jelaskan sebab beliau bertanggungjawab kepada Petronas yang tidak perlu auditnya dibentangkan di Parlimen.
Audit Petronas tidak pernah dibentangkan secara rasmi. Ini menyebabkan Petronas menduduki tangga tercorot daripada 15 syarikat minyak dan gas dunia dalam satu kajian ‘World’s Most sustainable And Ethical Companies’.Kajian ini dijalankan oleh Management and Excellant, syarikat perunding gas dan minyak di Sepanyol. Dalam kajian itu, Petronas mendapat 20.15% berbanding Shell 89.01%.

http://nanbinjai.blogspot.com

Lebih 1,000 sertai kempen 'vigil' GMI di Kamunting

Anis Nazri
Sun | Jun 08, 08 | 10:43:32 am MYT

KAMUNTING, 8 Jun (Hrkh) - Siri Kempen Bebaskan Tahanan Enam Tahun ISA menemui kemuncak malam tadi dengan kempen 'vigil' yang diadakan dengan suasana aman, tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini.

Lebih seribu orang, dengan lilin di tangan masing-masing, mendengar beberapa ucapan yang disampaikan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengarah kempen, yang juga isteri tahanan, Norlaila Othman; dan isteri tahanan, Sharmila Sanjeev Kumar.

Sebelum itu, mereka berarak kira-kira satu kilometer dari Masjid Jamek Kamunting ke kem dalam keadaan hujan renyai-renyai, selepas waktu Maghrib.

Image









Namun, suasana itu tidak melunturkan semangat mereka yang menyertai perhimpunan tersebut biarpun bertukar lilin beberapa kali, sambil diawasi Unit Amal Malaysia.

Perhimpunan ini melakarkan sejarah tersendiri apabila pihak keselamatan turut memberikan kerjasama dengan sebaiknya, walaupun kelihatan agak 'tertekan' dengan perhimpunan tersebut.

Perbincangan pihak keselamatan dengan Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak, Dato' Ngeh Ko Ham, menjadikan perhimpunan itu satu perhimpunan aman yang tidak mengganggu keselamatan negara.

Kira-kira jam 9.30 malam, mereka diminta untuk bersurai, walaupun tergambar di wajah masing-masing riak 'tidak puas' dengan perhimpunan tersebut.

Bagaimanapun, sebagai rakyat yang patuh dan mencintai keamanan, seperti yang diucapkan Syed Ibrahim, mereka beransur dan berarak kembali ke masjid.

Namun, mereka masih meluahkan rasa hati mereka dengan menyanyi dan melaungkan slogan-slogan seperti 'Mansuhkan ISA, 'Tutup Kemta' dan sebagainya.

Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah Adun Teja, Chang Lih Kang; Drs. Khalil Idham Lim Abdullah (Titi Serong), Mohd Anuar Sidin (Changkat Jong), Yee Seu Kai (Pokok Assam), Abdul Yunus Jamhari (Kuala Kurau), juga ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S. Jeyakumar.

Selain Adun-adun Perak, turut hadir Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah, aktivis S. Arutchelvan, blogger 'Zorro', blogger Haris dan aktivis-aktivis hak asasi manusia lain.

harakah online

Persahabatan : Malaysia hanya mampu seri dengan Indonesia

KUALA LUMPUR - Ketumpulan penyudah jelas mencengkam skuad negara di sebalik menguasai permainan dan mencipta lebih banyak peluang pada perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa menentang Indonesia di Surabaya, kelmarin.

Empat penyerang negara yang turun ke Stadium Gelora 10 November, Tambaksari, Surabaya itu sepatutnya mampu menukar keputusan 1-1 untuk menyebelahi mereka tetapi gagal menggunakan deretan peluang keemasan terutama dalam situasi satu sama satu.

Gandingan Safee Sali-Zaquan Adha Radzak yang membarisi kesebelasan utama sebelum digantikan oleh Akmal Rizal Rakhli-Nizaruddin Yusof boleh dikatakan gagal dalam eksperimen jurulatih negara, B. Sathianathan itu sebagai persediaan ke Kejohanan AFF, Disember ini.

Hanya tandukan gol pemain tengah, Shukor Adan hasil sepakan sudut Hardi Jaafar pada minit ke-32 menjadi penawar dan penyelamat Malaysia yang ketinggalan dengan jaringan penalti tuan rumah yang meragukan daripada Bambang Pamungkas, tujuh minit sebelumnya.

Sathianathan berkata kepada Utusan Malaysia, “kami mendapat lebih banyak peluang terbuka untuk menjaringkan gol tetapi saya tetap berpuas hati kerana kami hampir menang jika masalah penyudah pemain terutama ketika satu sama satu, dapat diatasi.

“Saya juga menggunakan formasi berbeza yang menampilkan ramai pemain senior,” katanya yang kurang senang dengan pemberian penalti kepada tuan rumah kerana bek tengah negara, Aidil Zafuan Radzak mudah dipersalahkan walaupun tidak menyentuh Bambang.

Malaysia: Helmi Eliza Elias, Norhafiz Zamani Misbah, Aidil Zafuan Radzak, Irwan Fadly Idrus (S. Subramaniam), Daudsu Jamaludin, Shukor Adan (K. Soley), Hardi Jaafar (Azi Shahril Azmi), Indra Putra Mahayuddin, Amirulhadi Zainal (Khyril Muhymeen Zambri), Zaquan Adha Radzak (Nizaruddin Yusof), Safee Sali (Akmal Rizal Rakhli).

utusan online

Panel Syariah Jakim bincang peraduan Celcom

8/06/2008 2:33pm

KUALA LUMPUR 8 Jun - Panel Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan mesyuarat Selasa ini bagi membincangkan kedudukan peraduan 100 Hari 100 Kereta anjuran Celcom (M) Bhd.(Celcom) yang didakwa beberapa tokoh agama sebagai mempunyai unsur perjudian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika mesyuarat itu, ahli panel akan diberi taklimat oleh wakil Celcom mengenai cara-cara pertandingan itu dijalankan.

Beliau juga mengesahkan hari ini bahawa pihak Celcom tidak pernah merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sebelum mengadakan peraduan itu.

- Utusan

30 motor rentung

PETALING JAYA 7 Jun - Lebih 30 buah motosikal rentung dan puluhan yang lain rosak dalam satu kebakaran di ruang letak motosikal di pusat membeli belah Sunway Pyramid di sini malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran tersebut daripada pengurusan Sunway Pyramid kira-kira pukul 7.30 petang dan berjaya mengawal keadaan kira-kira pukul 8.15 malam.

"Sebuah jentera bersama seorang pegawai dan enam anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Ketika tiba api sedang marak. Anggota bomba terpaksa menggunakan alat pernafasan ekoran asap yang tebal," katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Jurucakap itu berkata, punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak bomba masih menunggu laporan daripada unit forensik.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran Dan Pengurusan Sunway Pyramid, Kevin Tan berkata, kebakaran berlaku di tingkat paling bawah bangunan tersebut iaitu di B3 dan disedari oleh pengawal keselamatan kompleks berkenaan.

Menurutnya, jumlah sebenar motosikal yang musnah akibat kebakaran itu masih belum diketahui dan ia merupakan kejadian pertama di pusat membeli belah tersebut.

"Bagaimanapun kami bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan," jelasnya.

Dalam pada itu, salah seorang pemilik motosikal terlibat, Nik Shahiran Che Ismail, 21, berkata, dia hanya mengetahui kebakaran itu ketika mahu pulang ke rumah kira-kira pukul 9.30 malam.

Seorang lagi pemilik motosikal, Mohd. Rizal Mohd. Ridzuan, 19, berkata, dia bernasib baik kerana kenderaannya tidak terbakar.

"Walaupun tidak rentung, tetapi motosikal saya rosak kerana abu yang melekat pada badan motosikal," jelasnya.

ANTARA puluhan motosikal yang musnah dalam kebakaran di tempat letak motosikal di pusat membeli belah Sunway Pyramid, Petaling Jaya, malam tadi.

utusan online

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...