Thursday, February 5, 2009

10 ribu warga Perak, kini berkumpul di kediaman MB - Harakah Daily

Intan Abdullah & Salmiyah Harun
Thu | Feb 05, 09 | 10:01:20 pm MYT

IPOH 5 Feb (Hrkh) - TERKINI: Susulan keengganan Menteri Besar dan seluruh Exco Kerajaan Perak meletakan jawatan. Jam 9.30 malam ini, lebih 10 ribu penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat dari pelbagai kaum memenuhi perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar Perak bagi menyatakan sokongan kepada Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin dan kerajaan Pakatan Rakyat Perak.

Ketika ini, ceramah perdana pimpinan utama Pakatan Rakyat sedang dilangsungkan di perkarangan kediaman tersebut. Semua 28 Adun Pakatan Rakyat Perak hadir disamping beberapa pemimpin lain seperti Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' dato' Ghazali, Ahli Parlimen Siputeh, Teresa Kok dan Adun-adun Pakatan Rakyat dari Selangor.

Bekalan elektrik di kediaman Menteri Besar itu dijangka akan diputuskan pada bila-bila masa sahaja bagi menghalang sebarang aktiviti diadakan oleh Pakatan Rakyat. Arahan memutuskan bekalan elektrik ini dipercayai arahan dari pihak BN, yang kinik ghairah untuk membentuk kerajaan esok.

Unit Simpanan Persekutuan (FRU) kini masih berada di luar pintu masuk utama kediaman rasmi tersebut dan turut sama mendengar ceramah yang diadakan. Mereka mengawasi keadaan di sini bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diinginan dari terjadi. - tmj_

FOTO PERKEMBANGAN POLITIK DI PERAK -mStar Online


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbual di luar bangunan Umno Perak di Ipoh --fotoTHESTAR oleh SAIFUL BAHRI

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (depan, kiri) ketika sidang media di Ipoh, hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin (tengah) semasa sidang media mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di pejabatnya, semalam. Turut sama Exco Kanan Kerajaan Negeri Perak Datuk Ngeh Koo Ham.

Para penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di pintu masuk kediaman Menteri Besar Perak, malam tadi.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Hoo Kam dan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar dan peguam Leong Cheok Keng serta para penyokong ketika berada di luar Mahkamah Tinggi Ipoh sebelum Sivakumar memfailkan permohonan kepada mahkamah mengisytiharkan supaya surat peletakan jawatan ADUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang sah dan kerusi DUN tersebut kosong.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kiri) diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin ketika tiba untuk merasmikan Model Ladang Padi Sime Darby Plantations di Ladang Tali Ayer di Bagan Serai, hari ini. Turut hadir Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam (belakang, kanan). Mohamad Nizar, yang mengetuai kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, hari ini telah dititahkan supaya meletakkan jawatannya itu oleh Sultan Perak.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menunjukkan gambar Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar dari parti DAP pada sidang berita di pejabatnya, hari ini. Lim yang juga Setiausaha Agung DAP meminta Hee, yang kini ADUN Bebas dan menyatakan sokongannya kepada Barisan Nasional, supaya memikirkan semula keputusannya keluar dari DAP. Hee ialah antara empat ADUN Perak yang keluar dari parti masing-masing semalam.

Sekumpulan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang berkawal di kawasan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri selepas Menteri Besar Perak dititahkan oleh Sultan Perak untuk meletak jawatan.

Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersalaman dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin selepas sidang media di kediaman MEnteri Besar di Ipoh. Turut bersama adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (empat kanan) mengumumkan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan dalam sidang media di kediamannya di Ipoh. Bersama beliau adalah Tian Chua (kanan), Lim Kit Siang (dua kanan), Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim (tiga kanan), Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim (lima kanan), Presiden PAS, Datuk Abdul Hadi Awang (enam kanan) dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kiri).

ADUN Pangkor MB Perak baru - mStar Online

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik menjadi Menteri Besar Perak yang baru.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Subang sebentar tadi.

Beliau berkata Sultan Perak Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan Zambry sebagai Menteri Besar.

Upacara mengangkat sumpah Menteri Besar baru itu akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada 3.30 petang, esok.

Upacara mengangkat sumpah Exco pula akan diadakan pada 10 Feb pukul 10 pagi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Dalam pada itu, Setiausaha Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari ketika dihubungi mengucapkan tahniah diatas perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

"Tahniah kepada ADUN Pangkor, kami (Umno Perak) menyambut baik keputusan yang dibuat Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri yang juga mendapat perkenan Sultan Perak berhubung lantikan itu," katanya.

Beliau berharap semua pihak sama-sama berganding bahu mentadbir Perak dengan baik demi kepentingan rakyat.

"Selepas ini semua pihak kena bekerja keras untuk memastikan pembangunan untuk rakyat dilaksanakan dengan segera.

"Tambahan pula keadaan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Perak ketika ini hampir sama sewaktu Pakatan Rakyat dahulu kerana kelebihan majoriti yang kecil.

"Jadi tumpuan kepada pembangunan serta kebajikan rakyat harus diutamakan bagi memastikan Perak terus kekal mentadbir Perak," katanya.

Bagaimanapun petang tadi, Zamry ketika duhubungi memaklumkan calon bagi Menteri Besar baru masih belum diputuskan.

"Setakat sekarang kita belum putuskan siapa calonnya dan saya fikir paling cepat kemungkinan esok pagi untuk Menteri Besar baru angkat sumpah," katanya.

Kedah waspada, Adun PKR diawasi rapi

Jimadie Shah Othman & Abdul Rahim Sabri | Feb 5, 09 8:52pm

Di saat kerajaan Perak di ambang kejatuhannya, Pakatan Rakyat di Kedah pula kini menjadi sasaran seterusnya BN susulan terdapat beberapa wakil rakyat gabungan tersebut didakwa "berisiko tinggi" untuk melompat parti.

Malaysiakini difahamkan bahawa wakil-wakil rakyat terbabit kini diletakkan dalam pengawasan ketat kepemimpinan Kedah dan Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan berwaspada, pergerakan mereka kini difahamkan dipantau rapi kerana wujud dakwaan mereka sedang dijadikan sasaran terbaru untuk ditarik melompat menyertai BN.

jamaluddin mat radzi and osman jailu perak pkrUsaha sejak tahun lepas dipergiatkan kembali minggu lalu, serentak dengan usaha memujuk beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan DAP di Perak.

Difahamkan, usaha ini turut melibatkan sebuah jabatan kerajaan.

Projek BN ini berkaitan usaha menumbangkan satu demi satu kerajaan negeri pimpinan gabungan pembangkang itu, bermula di Perak yang kini hanya menunggu saat rasmi kejatuhannya.

Pakatan Rakyat memerintah Kedah dengan kelebihan lapan kerusi - 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, manakala BN pula 14 kerusi.

Kerusi milik Pakatan itu terdiri daripada 16 kerusi PAS, lima kerusi PKR dan satu kerusi DAP.

Susulan usaha menarik wakil-wakil rakyat PKR di Kedah semakin rancak, exco kerajaan Kedah V Arumugam membuat laporan polis awal minggu ini dengan dakwaan beliau, keluarganya dan pegawainya diugut.

Adun PKR Bukit Selambau itu juga mendakwa ada pihak menawarkan sejumlah wang tetapi enggan mendedahkan jumlahnya dan pihak terbabit.

Menang atas tiket bebas pada pilihanraya umum lalu, Arumugam kemudiannya menyertai PKR sebelum dilantik pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Malam tadi, sebuah stesen televisyen mendedahkan kisah peribadi beliau - dipercayai satu strategi menekan beliau selepas membuat aduan polis tersebut.

Tiga Adun PKR yang didakwa menjadi sasaran BN: Tan Wei Xu (Bakar Arang), Mohd Rahzi Salleh (Lunas) dan Lim See Nee (Kulim).

Seorang lagi Adun Sidam, Tan Chow Kang dikatakan "tidak goncang" walaupun selepas usaha memujuknya melompat kepada BN.

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Lim menafikan beberapa Adun PKR dikuarantin di kediaman rasmi Menteri Besar, Datuk Azizan Razak untuk mengelak mereka berpindah parti.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan usaha melobi mereka agar menyertai BN.

Susulan perkembangan itu khususnya kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, sidang mesyuarat tergempar semua Adun dan ahli parlimen Kedah dijadualkan jam 4 petang ini.

mahfuz omar utusan malaysia lawsuit 231208 01Ahli parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar (foto kiri) berkata mesyuarat tadi bertujuan memberikan taklimat terkini perkembangan krisis rampasan kuasa BN di Perak kepada semua wakil rakyat Pakatan di Kedah.

Tambahnya, usaha BN memindahkan sokongan Adun-Adun Pakatan di Kedah kepada BN tidak berjaya.

Ahli parlimen PKR Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Adun PAS Bukit Lada, Ahmad Izzat Shauki turut menafikan wujud usaha mengkuarantin wakil-wakil rakyat PKR.

Dihubungi berasingan hari ini, kedua-duanya menjelaskan semua exco kerajaan PKR berada di majlis perasmian daerah baru Pokok Sena di pejabat daerah jam 10 pagi tadi.

parliament briefing 030408 johari abdulJohari (foto kanan) menambah, memang wujud usaha yang konsisten dan tidak pernah berhenti untuk memancing keluar wakil-wakil rakyat PKR di negeri itu seperti pendedahan Arumugam.

Usaha itu dalam tiga bentuk - ugutan, tawaran jawatan dan sogokan material, katanya lagi.

Memandangkan keadaan itu, kata Johari, semua Adun PKR sentiasa berhubung dengan pemimpin-pemimpin parti dan menafikan mereka ingin meninggalkan parti itu.

Ketua Angkatan Muda PKR Kedah, Saiful Izham Ramli mengesahkan PKR sentiasa memantau wakil-wakil rakyat mereka.

Selain di Kedah, Malaysiakini difahamkan beberapa lagi Adun PKR di Selangor sedang dipantau rapi susulan kebimbangan akan berlaku lompat parti.

Nizar perjelas sebab tidak letak jawatan MB

Feb 5, 09 6:38pm

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah mengutus surat kepada Sultan Azlan Shah menjelaskan sebab-sebab mengapa beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar Perak.

perak cm mb mohamad nizar jamaluddinSurat tersebut adalah reaksi kepada titah baginda yang tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak serta Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.

Manakala Setiausaha kerajaan negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan Mohamad Nizar dan semua anggota exconya mengosongkan pejabat mereka dengan segera.

Berikut adalah kandungan penuh surat Mohammad Nizar kepada baginda Sultan:

5 Februari 2009

Mengadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah Paduka Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Yang bersemayam di atas takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan beberapa amat kebesaran dan kemuliaannya.

Assalamualaikum

Ampuan Tuanku,

Dengan hormat dan takzimnya patik merafa'kan sembah dan berdoa kehadrat Allah Suhanahu Wata'ala, mudah-mudahan Duli Yang Maha mulia Tuanku sentiasa berada dalam keadaan selamat dan kesejahteraan.

Ampuan Tuanku,


MERAFA' SEMBAH MEMAKLUMKAN PERKEMBANGAN TERKINI DEWAN UNDANGAN NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN

Warkah yang tidak sepertinya ini sebagai pengganti diri patik untuk menyembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengenai isu kedudukan terkini Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Patik merafa' sembah menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Mah Mulia Tuanku pada pagi ini. Patik memohon izin untuk menyembahkan beberapa perkara:

1. Artikel XVl (6) Undang-undang Perlembagaan Negeri Perak menyatakan bahawa "If the Menteri Besar ceases to command the confidence of the majority of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council". Ini bermakna sokongan Menteri Besar itu perlu diputuskan oleh Persidangan Dewan Undangan Negeri.

2. Jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah sama iaitu 28 orang. Adalah kurang tepat andaian Barisan Nasional mempunyai majoriti. YB Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perak telah memutuskan bahaw Adun bagi kawasan Behrang, Changkat Jering dan Jelapang bukan lagi Adun. YB Yang Dipertua Dewan Undangan

Negeri Perak dan Kerajaan Negeri Perak juga telah memfailkan satu permohonan untuk satu perisytiharan bahawa ketiga-tiga Adun berkenaan bukannya Adun untuk kawasan-kawasan tersebut, di Mahkamah Tinggi pada pagi ini. Sewajarnya kita menunggu keputusan mahkamah dalam kes tersebut.

Ampuan Tuanku,


Atas alasan di atas dan berdasarkan prinsip demnokrasi dan Raja Berperlembagaaan, Patik dengan ini merafa' sembah memohon agar Dewan Undangan Negeri dibubarkan bagi membolehkan rakyat memilih semula kerajaan yang dikehendaki mereka.

Ampuan Tuanku,


Patik dengan ini merafa' sembah bahawa pimpinan Pakatan Rakyat sebulat suara meminta patik untuk tidak meletak jawatan sehingga krisis perlembagaan ini diputuskan oleh Mahkamah atau Dewan Undangan Negeri Perak.

Ampuan Tuanku,

Patik akhiri warkah yang tidak sepertinya ini dengan sekalung penghargaan ke atas keprihatinan dan pertimbangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, mudah-mudahan Allah Subhanahu Wata'ala melanjutkan usia Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan seluruh kerabab Tuanku dan semoga sentiasa berada di dalam kesejahteraan dan kebahagian yang berkekalan.

Amin Ya Rabbal 'Alamin

Ampun Tuanku,


Patik dengan segala hormat takzimnya; bagi pihak Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat

YAB Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan

Speaker ke mahkamah, mohon kerusi 3 Adun diisytihar kosong

Feb 5, 09 11:04am

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menfailkan satu permohonan di Mahkamah Tinggi Ipoh pagi ini, untuk mengisytiharkan tiga kerusi anggotanya - yang dianggap meletakkan jawatan - telah kosong.

perak deputy speaker sivakumar and osman and jamaluddinV Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan ketiga-tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan DAP itu.

Jamaluddin Mohd Radzi (wakil rakyat Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) didakwa menyerahkan surat peletakan jawatan mereka hujung minggu lalu.

Mereka berdua bagaimanapun menafikannya dan mendorong Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak surat peletakan jawatan tersebut.

Suruhanjaya itu juga berpendapat kerusi kedua-duanya tidak kosong dan pilihanraya kecil tidak boleh diadakan.

Adun Jelapang dan juga bekas timbalan speaker DUN Hee Yit Foong didakwa menyerahkan suratnya semalam, tidak lama selepas mengisytiharkan keluar DAP.

Dalam satu kenyataan bersamanya dengan exco kanan negeri Datuk Ngeh Koo Ham, Sivakumar berkata permohonannya untuk memaksa SPR mengiktiraf tiga kerusi itu telah kosong dan memanggil satu pilihanraya kecil.

"Kerajaan negeri juga telah mengiktiraf bahawa mereka (bertiga) bukan lagi wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing," kata Sivakumar dan Ngeh.

"BN tidak boleh mendakwa ia mempunyai majoriti di DUN kerana Pakatan Rakyat masih mempunyai 28 Adun seperti juga BN yang memiliki 28 Adun.

"Kedudukan tiga lagi wakil rakyat itu kini harus diputuskan di mahkamah."

Mereka berkata lagi, dalam keadaan politik tidak menentu saat ini, Speaker dan kerajaan Perak menyokong cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan DUN.

Sivakumar dan Ngeh berharap Sultan Perak memperkenan cadangan tersebut.

Perhimpunan besar sokong MB Perak - Malaysia Kini

Abdul Rahim Sabri | Feb 5, 09

Satu perhimpunan penyokong dan ahli Pakatan Rakyat akan diadakan di kediaman menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin malam ini untuk menyatakan sokongan penuh kepadanya dalam menghadapi situasi tidak menentu politik negeri itu.

anwar ibrahimKetua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perhimpunan itu juga bertujuan untuk memberi penjelasan secara terus kepada rakyat berhubung isu-isu yang sedang berlaku.

"Kamu (BN) bercakap tentang demokrasi, tetapi kamu tidak berani untuk berhadapan dengan rakyat.

"Kamu kalah di Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan kamu takut untuk kalah lagi," katanya dalam sidang akhbar, sejurus selepas mempengerusikan satu mesyuarat biro politik di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya malam tadi.

Hadir sama ialah Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, timbalannya Dr Syed Husin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa BN Perak cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baru selepas empat lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyokongnya secara terbuka.

Timbalan perdana menteri berkata, dua bekas Adun PKR yang kini sebagai wakil bebas - Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) - telah bersetuju menyokong pembentukan kerajaan BN itu.

'Situasi tidak menentu'

Kata Najib, begitu juga dengan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang keluar DAP hari ini dan turut menjadi wakil rakyat bebas.

Manakala Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - yang mengumumkan melompat kepada PKR selama 10 hari - kembali semula kepada Umno dan memberi sokongan kepada kerajaan BN negeri.

Mengulas lanjut mengenainya, Anwar berkata, PKR dan Pakatan berpandangan bahawa "kita harus tunduk kepada kehendak rakyat".

"Kita mesti bertegas dalam isu ini, kembalikan kuasa kepada rakyat, terutama dalam situasi yang tidak menentu di Perak.

"Cara mengugut, membeli dan melarikan Adun tidak boleh dipertahankan," tegasnya.

nasarudin hashimDitanya mengenai kemasukan Nasarudin ke dalam PKR, Anwar berkata: "Dia datang dengan rela, saya tak jemput dia, dia datang sendiri ke rumah saya dengan isterinya. Dia bersetuju untuk bersama PKR.

"Dia tengok BN telah rosak. Umno sudah hilang idealisme perjuangan dan rosak sebagai sebuah parti," katanya.

'Kembali kepada rakyat'


Menurut Anwar lagi, Nasarudin turut menyatakan bahawa beliau telah hilang keyakinan terhadap Najib.

Mengenai kenyataan Najib bahawa BN sudah mampu memerintah Perak, Anwar membidas timbalan perdana menteri itu sebagai tidak bertanggungjawab.

pkr permatang pc 230808 perak exco jamaluddin and osmanAnwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh menyifatkan alasan Jamaluddin dan Osman bahawa mereka bercuti sakit adalah sebagai satu pembohongan.

"Kenapa tidak memberitahu keluarga, pimpinan parti, menteri besar atau Speaker. Kamu adalah exco, orang di jalanan pun tahu itu tanggungjawab awak," katanya.

Sehubungan itu, Anwar menggesa BN supaya kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat baru daripada mereka.

"Serahkan kepada rakyat, biar rakyat tentukan, sekiranya BN berhak memerintah, maka biarkanlah.

"Tapi saya yakin, kita akan mendapat majoriti yang lebih besar," tegas Anwar.

Kenyataan penuh Sultan Perak - MalaysiaKini

Feb 5, 09 5:15pm

Berikut ialah kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan Perak Sultan Azlan Shah yang
ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol Datuk Abd Rahim Mohamad Nor.

KENYATAAN MEDIA PEJABAT DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK DARUL RIDZUAN

"Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin telah menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan pada 4 Februari (semalam) memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib, Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga memohon menghadap Baginda atas kapasitinya sebagai Pengerusi Barisan Nasional Negeri Perak dan telah diberi perkenan menghadap Baginda pada pagi 5 Februari 2009.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

DYMM Paduka Seri Sultan Perak juga telah menimbangkan dengan sedalam-dalamnya permohonan YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin pada 4 Februari 2009 memohon perkenan Baginda untuk membubarkan Dewan Negeri Perak.

Baginda menggunakan budi bicara Baginda di bawah XVIII (2)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan tidak berkenan membubarkan Dewan Negeri Perak.

YAB Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM
Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta.

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...