Tuesday, July 1, 2008

Rupa-rupanya, ini Saiful Bukhari! *

Petikan: Kampus Negara

Posted on Tuesday, July 01, 2008 @ 20:40:47 MYT by zainulfaqar
Blog Panass
OLEH: Sdri. Ainis Azreen

BONGKAR!!! -Memang seekor MUSANG! Telahan awal yang dibuat oleh saya dan rakan-rakan lain tidak salah dan sama sekali BENAR. Kehadirannya di tengah-tengah bahang kempen pilihanraya umum ke-12 Mac lalu, memang memusykilkan saya dan teman-teman, yang mengenali siapa dia Saiful Bukhari.


Posting seorang teman blogger dan juga sekampus, Najwan mengenai musang ini memang menepati ramalan. Musang ini akan membawa kemusnahan. Tetapi dalam kes ini, musang ini tidak hanya menggali kubur mangsanya tetapi kuburnya sekali.
Dia mendakwa diliwat oleh seorang pemimpin kanan parti pembangkang. Yang saya pasti, profil pemimpin ini pasti diketahui umum. tetapi bagaimana dengan profil si pendakwa tersebut? Saya pernah berjanji kepada diri untuk tidak mengaitkan diri dengan sebarang perbalahan anak muda yang menjadi lumrah dunia politik. tetapi hari ini, saya akan dedahkan “era kegemilangan” yang pernah dicipta Saiful Bukhari suatu masa dahulu.

Saiful Bukhari mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi kepada pelajar-pelajar Uniten. Memulakan rentak seorang pemimpin sewaktu dipilih sebagai Ketua Pengarah Program Bakti Siswa Kemerdekaan 2006 ternyata memang menjulang nama beliau. Walaubagaimanapun tidak ramai yang tahu hakikat sebenar. Tentang ketelusan, kejujuran, dan sikap tanggungjawabnya sebelum, semasa dan selepas tamat program. Hampir dua tahun berlalu, tetapi saya masih jelas dengan semua cerita.

Tidak cukup dengan portfolio Ketua Pengarah Program yang hanya dianjurkan setahun sekali, Saiful kemudiannya merancang untuk tampak lebih berkaliber, lebih berkuasa. Dia kemudiannya bertanding di dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2006/2007. Dengan bilangan undi yang tidak boleh dibanggakan, beliau berjaya. Beliau dikatakan mempengaruhi beberapa ahli perwakilan lain untuk mengundi beliau sebagai Presiden (baca:PRESIDEN).

Namun demikian, rezekinya sudah ditentukan untuk hanya menjadi Timbalan Presiden. Dia akhirnya terbang ke Filipina untuk menghadiri sebuah seminar anjuran Kementerian Pengajian Tinggi. Pelik tetapi benar. Seharusnya yang terbang adalah Presiden bukan Timbalan Presiden. Mungkinkah Saiful menggunakan aksesnya sebagai Pemuda UMNO atau agen orang kenamaan untuk melayakkan diri untuk mewakili seluruh institusi pengajian swasta? Dan episod kegemilangannya bermula setelah dia kembali ke tanah air.

Seperti seekor musang yang tidak pernah bersyukur dengan rezekinya, begitulah juga Saiful Bukhari. Portfolio sebagai Timbalan Presiden nyata tidak memberi kepuasan kepadanya untuk menjadi orang yang paling berkuasa. Entah di mana silapnya, Saiful tidak mempedulikan sama sekali tugas dan tanggungjawabnya sebagai wakil suara mahasiswa UNITEN.

Jangankan tugas sebagai pemimpin, malah tugas sebagai mahasiswa juga diabaikan. Tetapi dalam pada masa yang sama, saya dimaklumkan oleh teman dari IPTA lain bahawa mereka kerap bertemu dengan Saiful, menghadiri beberapa perjumpaan pemimpin Institusi Pengajian Tinggi. Saya terkejut pada mulanya.

Bagaimana anda boleh menghadiri perjumpaan yang membincangkan tentang nasib dan masa depan mahasiswa seluruh Malaysia sedangkan anda mengabaikan tugas utama anda, iaitu menjaga kebajikan mahasiswa Universiti Tenaga Nasional?

Bertambah kekok apabila mendengar Saiful Bukhari ini memperkenalkan dirinya sebagai Presiden @ Yang diPertua (YDP) Universiti Tenaga Nasional. Bukankah ini tanda-tanda awal dia sememangnya gila kuasa?

Saiful Bukhari ini juga dilihat sebagai seorang yang gila publisiti. Dia hanya akan “bertanggungjawab” sekiranya program tersebut mendapat liputan media, akhbar dan orang kenamaan. Oleh sebab itu, beliau hanya memilih untuk menjadi Penasihat program. Untung kerana tidak perlu bekerja keras memikirkan flow program, penyediaan kertas kerja dan pelaksanaan program. Yang dia tahu cumalah - pasti dia akan ditemuramah dan namanya pasti terpampang di dada akhbar.

Dan hari ini saya kira, cita-citanya untuk menjadi seorang “star” sudah tercapai. Kemusykilan saya semakin berganda apabila ditengah-tengah kempen PRU 12 yang lalu, dia berjaya menempelkan diri di setiap roadshow ceramah DSAI. Bagaimana tidak musykil, sedangkan beberapa hari sebelum itu, dia menghulurkan pelawaan kepada saya di laman Friendster, untuk bersama-samanya mengundi Barisan Nasional! Mungkin dia tidak tahu bahawa prinsip dan pendirian saya tidak serapuh dia.

Alasannya hanyalah sekadar membantu seorang teman menguruskan hal-hal berkaitan di Pejabat DSAI langsung tidak masuk akal. Peralihan parti politik Saiful Bukhari ketika itu hanya mengundang bahana. Siapa tidak kenal Saiful Bukhari? Pendusta yang bermuka-muka.

Dia tampil menjawab dengan menyatakan bahawa dia bakal melanjutkan pelajaran di sebuah akademi penerbangan. Satu persoalan, atas pembiayaan siapa?

Mungkinkah kerana ingin menyelamatkan sang ketua, maruah sendiri sanggup dilapah. itulah harga kesetiaan yang perlu dibayar Saiful Bukhari. Menyelitkan diri di kawasan musuh dan akhirnya leher sendiri yang ditetak. Saya amat bersimpati jika inilah yang dicari-cari oleh manusia bernama Saiful Bukhari selama ini.

Kebimbangan kami nyata berasas. Saiful Bukhari telah mengeluarkan taringnya di saat-saat DSAI mula meletakkan kepercayaan ke atas dirinya. Saya mengakui kepintaran bermain yang dimiliki Saiful Bukhari, tetapi saya juga ingin ingatkan, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya pasti akan tersungkur ke tanah. Buat Saiful Bukhari (jika anda membaca kenyataan saya ini), well done. Takziah juga buat keluarganya, adik perempuannya, dan alfatihah buat allahyarhamah bondanya.

Pautan lain:Penafian DSAI | Laporan polis terhadap Anwar atas dakwaan liwat | PKR: Nyawa Anwar dalam bahaya

Nota: Saya bertanggungjawab di atas setiap kenyataan dan ulasan saya mengenai Saiful Bukhari. Daripada dituduh pengecut dan tidak mampu membenarkan kebenaran dizahirkan, saya mengambil risiko ini. Saya tidak mungkin dapat membuktikan bahawa DSAI tidak melakukan perbuatan tersebut, tetapi sekurang-kurangnya kenyataan saya dan ulasan-ulasan pelajar Uniten lain dapat memberi gambaran awal mengenai siapa Saiful Bukhari ini. Saya tidak terkejut dia mampu bertindak sampai ke tahap ini. Saya tidak terkejut dengan kisah dia menikam kawan sendiri dari belakang demi mencapai kemahuannya. Malah saya tidak terkejut jika Saiful tampil dengan kenyataan bahawa dia dipergunakan untuk menutup keaiban ketuanya satu hari nanti.

-----------------

* Tajuk asal artikel ini adalah Saiful Bukhari - AdminKN

Kes Batu Puteh: RM233,041 Dibayar Kepada Setiap Lima Pakar Perundangan

01 Julai, 2008 19:38 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Purata jumlah bayaran kepada lima orang pakar perundangan antarabangsa bagi membantu Malaysia mempertahankan kedaulatan Batu Puteh dalam kes di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk tempoh setahun berjumlah RM233,041, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata mereka dilantik untuk membantu persediaan Malaysia ke ICJ serta memberikan nasihat perundangan dan juga bimbingan bagi kerja penyelidikan berhubung kes itu.

"Mereka dibayar dengan bayaran yang setimpal dengan kepakaran mereka menurut amalan biasa mana-mana negara yang melantik pakar-pakar perundangan sebegini dan tiada bayaran tetap dikenakan setiap bulan.

"Dalam hal ini apa yang lebih penting ialah kecemerlangan yang telah ditunjukkan oleh panel penasihat antarabangsa ini dalam mempertahankan kes Malaysia di ICJ," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju). Rais berkata panel lima pakar perundangan antarabangsa itu terdiri Prof Sir Elihu Lauterpacht dan Prof Datuk James Crawford, masing-masing pensyarah Undang-undang Antarabangsa di Cambridge University; Prof Datuk Nicolaas Jan Schrijver, pensyarah Undang-undang Awam Antarabangsa di Leiden University; Prof Marcelo G. Kohen, pensyarah Undang-undang Antarabangsa di Graduate Institute of International Studies, Geneva; dan Penelope Nevill, pensyarah di Downing College, Cambridge University.

Delegasi Malaysia diketuai Penasihat Perdana Menteri Bagi Hal Ehwal Luar, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, yang menjadi ejen Malaysia dalam kes itu bersama dengan Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin.

Pasukan perundangan Malaysia diketuai Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam perbicaraan kes yang berlangsung dari 6 hingga 23 Nov tahun lepas.

Dalam keputusannya, ICJ mendapati Malaysia tiada hak terhadap Batu Puteh ekoran daripada sejarah lampau apabila pihak berkuasa Johor dan kemudian Malaysia dikatakan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Batu Puteh dari Jun 1850 sehingga hampir satu abad kemudian.

Bagaimanapun mahkamah itu mengekalkan hak milik dan kedaulatan Malaysia bagi Terumbu Karang Tengah.

-- BERNAMA

Treler rempuh 15 kenderaan

Petikan: Harian Metro

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Abdullah Wahab

am@hmetro.com.my

PUCHONG: Mengerikan apabila berbelas kenderaan diseret hampir 100 meter akibat dilanggar dari belakang oleh sebuah treler menyebabkan seorang pemandu kereta terbunuh di persimpangan lampu isyarat Batu 10, Jalan Puchong di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 tengah hari itu, treler membawa muatan bahan binaan terbabit hilang kawalan lalu merempuh 15 kenderaan, termasuk motosikal yang berhenti di persimpangan berkenaan sementara menunggu lampu isyarat hijau.

Disebabkan rempuhan kuat itu, semua kenderaan berkenaan ‘disapu bersih’ treler terbabit menyebabkan kawasan sekitarnya menjadi seperti zon bencana alam dengan kesan tumpahan minyak melimpahi sepanjang jalan terbabit.

Lebih memilukan apabila pemandu Nissan Sunny, warga Myanmar, U Kyaw Lin, 58, menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas kenderaan dipandunya terputus dua dan terperosok di bawah treler terbabit.

Difahamkan ketika kejadian, treler dipandu seorang lelaki berumur 64 tahun dari Kinrara membawa bahan binaan dan kejadian berlaku ketika kenderaan terbabit sedang meneruni kawasan agak tinggi sebelum merempuh semua kenderaan di hadapannya.

Kemalangan ngeri itu turut membabitkan 16 kenderaan iaitu tujuh kereta, tiga pacuan empat roda, sebuah lori kecil dan lima motosikal.

Empat daripada pemandu kenderaan terbabit parah termasuk seorang anggota polis berpangkat lans koperal dari Balai Polis Puchong.

Semua mereka dikejarkan ke Hospital Putrajaya dan Hospital Serdang untuk rawatan.

Pegawai Bomba II, Zainal Elias Abdul Aziz, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2 petang dan tiba di tempat kejadian 25 minit kemudian.

Menurutnya, tiga jentera, dua dari Seksyen 7 Petaling Jaya dan Jalan Penchala bersama 20 anggota bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan.

“Kami mengambil masa hampir setengah jam mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah treler terbabit.

“Pada peringkat awal, bomba mengalami sedikit kesukaran (untuk mengeluarkan mayat), namun dengan bantuan kereta penunda, kami dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, pihaknya juga terpaksa menyembur laluan terbabit berikutan tumpahan minyak dan tugas itu mengambil masa hampir sejam.

“Laluan ini juga ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan,” katanya.

Kesesakan teruk sejauh beberapa kilometer berlaku apabila laluan terbabit ditutup bagi membolehkan polis melakukan siasatan, manakala pengguna memberhentikan kenderaan untuk melihat kemalangan terbabit.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik, Asisten Superintendan Muhammed Rizal Kamaruddin, mengesahkan 16 kenderaan termasuk lima motosikal, terbabit dalam kemalangan itu.

“Pemandu treler terbabit yang turut tercedera, kini dirawat di Hospital Putrajaya dan polis mengambil sampel darahnya untuk ujian bagi membantu siasatan.

“Lima lagi mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Serdang,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, beberapa lagi mangsa yang cedera dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Serdang.

Antara kenderaan terbabit dalam kemalangan itu ialah Honda City, Proton Perdana, Proton Wira, Nissan Sunny dan Toyota Camry.

“Polis akan mendapatkan keterangan daripada pemandu treler terbabit bagi membantu siasatan.

“Polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian itu dan meminta mereka yang mempunyai maklumat tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-89481421 atau balai polis berhampiran.

'Saiful ada pertemuan sulit dengan Rosmah berulang kali' - Anwar

Petikan: Harakah Daily

Azamin Amin | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Wed | Jul 02, 08 | 1:49:57 am MYT

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa bekas pembantu beliau Saiful Bukhari Azlan yang membuat dakwaan liwat terhadapnya mempunyai hubungan rapat dengan Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor. Image

"Saiful ada pertemuan sulit dengan Rosmah berulang kali malah ada SD (Surat Akuan Bersumpah) tentang apa yang berlaku di pejabat Timbalan Perdana Menteri itu," katanya dalam satu sidang media di pejabat KeADILan jam 3.45 petang tadi.

Beliau mengadakan sidang media tersebut sebaik sahaja pulang dari ibu pejabat kontijen polis Selangor kerana memberi keterangan dan laporan terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menemani beliau ialah beberapa peguam dan pemimpin KeADILan seperti Naib Presiden Sivarasa Rasiah, Bendahari parti William Leong dan Ketua Angkatan Muda Shamsul Iskandar Md Akin.

Turut hadir, ahli parlimen Padang Serai Gobalakrisnan dan exco kerajaan Selangor dan juga ahli majlis pimpinan tertinggi parti itu, Dr Xavier Jayakumar termasuk hampir 50 orang penyokong Anwar berada di luar pintu masuk IPKS. Image

Dalam pada itu beberapa ahli-ahli parlimen PKR termasuk anaknya Nurul Izzah Anwar hadir di depan pintu dan dihalang masuk ke ibu pejabat polis tersebut sehingga menimbulkan sedikit kekecohan dengan anggota polis untuk beberapa minit ketika ketibaan Anwar.

Anwar dan para penyokongnya meninggalkan bangunan IPKS jam 3.20 petang dan menuju ke ibu pejabat parti di Tropicana, Petaling Jaya.

Dalam sidang media itu juga, beliau sekali lagi menafikan dakwaan yang dibuat oleh Saiful tersebut dan mempunyai bukti kukuh dan alibi yang boleh mengaitkan tentang insiden berkenaan namun Anwar berkata beliau akan mendedahkan dakwaannya itu dalam masa terdekat.

"Saya ingin memberi amaran dan ingatan agar jangan sesiapa mengulangi konspirasi jahat ini," tegas di hadapan puluhan wartawan dalam dan luar negara. Image

Beliau juga menafikan Mohd Saiful seorang pegawai peribadinya dan akan menjelaskan pada jangka masa terdekat tentang tarikh dan tempat kejadian itu yang dikaitkan dengan beliau.

"Perkara itu tidak berlaku. Saya mempunyai bukti kukuh dan alibi tentang kes ini," katanya

Sementara itu satu ceramah penjelasan isu menggemparkan ini akan diadakan di Stadium Melawati, Shah Alam pada 8.30 malam ini yang bakal dihadari oleh Anwar sendiri. _

Bekas Ketua Pemuda MIC diseru sertai Kelab Penyokong PAS

Anis Nazri
Tue | Jul 01, 08 | 11:25:11 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Bekas Ketua Pemuda MIC, S. A Vigneswaran diseru menyertai Kelab Penyokong PAS bagi sama-sama berganding bahu berjuang demi keadilan semua kaum.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, PAS mengalu-alukan kehadiran Vigneswaran dan para pengikutnya untuk bersama menyertai Kelab Penyokong PAS di semua peringkat.

Seruan itu dibuat memandangkan sebahagian pemimpin MIC dan ahli-ahlinya menyatakan bahawa nasib kaum itu tidak akan terbela jika masih di bawah kepimpinan Presidennya, Dato' Seri Samy Vellu.

Vigneswaran dikatakan bertindak keluar parti setelah diarahkan supaya melepaskan jawatan oleh Samy, dengan alasan sudah melebihi umur 40 tahun.

Beliau yang kecewa dengan tindakan Samy itu mempertikaikan bahawa arahan yang dikeluarkan Samy itu tidak menepati perlembagaan parti, tetapi lebih kepada kehendak Samy sendiri.

Berikutan pengunduran Vigneswaran itu, beberapa Pemuda MIC turut mengambil langkah sama seperti Vigneswaran, iaitu Ketua Pemuda MIC Kedah, R Nantha Kumar; Setiausahanya, T M Ganesan; Bendahari, M Selvan dan Ketua Penerangan, S Somasunther.

"Saya percaya bahawa ramai lagi pemimpin dan ahli MIC sudah mula berkira-kira untuk meninggalkan parti yang mewakili kaum India ini kerana mereka sudah bosan dengan pergolakan dalaman, di samping menolak kepimpinan Samy," kata beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau menambah, dengan perkembangan ini beliau yakin bahawa semakin ramai ahli MIC, khusus di kalangan pemudanya akan mengambil keputusan untuk menamatkan keahlian mereka di dalam parti terbabit.

Justeru, Khairul menggesa Vigneswaran serta para penyokongnya umtuk menyertai Kelab Penyokong PAS bagi sama-sama menegakkan keadilan semua kaum di negara ini. - mns _

Saiful Bukhari Azlan tinggal di kondominium mewah RM2.2 juta?

Petikan: Harakah Daily

Azamin Amin
Tue | Jul 01, 08 | 8:53:45 pm MYT

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Hrkh) - Mungkin ramai yang ingin mengenali siapa susuk watak Saiful Bukhari Azlan yang telah 'menggegarkan' negara dan antarabangsa tentang aduan dan dakwaan liwatnya oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun kes ini belum pun diputuskan kesahihannya malah masih dalam siasatan mengikut lunas undang-undang, namun segala tindakan individu selama ini masih menimbulkan tanda-tanya yang sehingga kini belum lagi muncul daripada 'tempat persembunyiannya' walaupun setelah membuat aduan dan laporan polis di pondok polis Hospital Kuala Lumpur pada 28 Jun lalu.

Satu laporan menyiarkan Saiful disifatkan sebagai seorang yang aktif berpersatuan sejak menuntut di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di Bangi dan pernah bertanding dalam MPP (Majlis Perwakilan Pelajar), sesi 2006/07 dan beliau didakwa satu-satunya calon MPP yang pro-Aspirasi yang dilihat berpihak kepada kerajaan.

Bekas pelajar jurusan kejuruteraan elektrik, yang tidak menamatkan pengajiannya tahun lalu, dalam pilihanraya umum Mac, mempamerkan sokongan kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan BN di laman sosialnya di Friendster.

"Walaupun dia mengiringi Anwar untuk kempennya, tetapi di laman maya, dia berkempen untuk BN," kata sumber yang dipetik daripada Malaysiakini dan beliau juga didakwa merupakan sukarelawan kempen KeADILan sewaktu pilihan raya umum yang lalu.

Dalam pada itu perkara yang agak menghairankan banyak pihak ialah kemampuan Saiful menyewa Unit 1151 of Kondominium Desa Damansara di Kuala Lumpur jika dilihat dari sudut latar belakang pekerjaannya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan sebuah unit kondo mewah itu berharga sekitar RM 2.2 juta manakala sewa bulanannya adalah diantara RM7,500 sehingga RM15,000 yang mana terdapat kemudahan seperti sauna, kolam renang, gelanggang squash dan tennis serta 'fitness centre'.

Sementara itu Timbalan Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak yang dipetik sebagai berkata mengakui gambar yang tersiar diambil ketika Saiful datang ke pejabatnya pada 12 Februari lalu bersama seorang rakan untuk berjumpa dengan pegawainya bagi mendapatkan sokongan untuk mendapatkan biasiswa dari kerajaan melanjutkan pelajaran.

"Dia (pembantu Anwar) seorang pemimpin di kalangan pelajar. Dia pun ambil gambar dengan pemimpin lain. Soalnya bukanlah peranan sesiapa tetapi sama ada perkara itu berlaku atau tidak. Saya bukan orang di sebalik perkara ini. Itu terserah pada polis untuk tentukan," katanya.

Najib berkata pembantu Anwar itu merupakan bekas pemimpin pelajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) manakala pegawainya di dalam gambar itu bertanggungjawab antara lain, bagi perkara berkaitan dengan pendidikan tinggi.

"Adalah menjadi lumrah tetamu, terutamanya para pelajar yang datang ke pejabat TPM (Timbalan Perdana Menteri), untuk mengambil gambar dengan pegawai-pegawai sebagai kenangan lawatan mereka," katanya. _

Empat lompatan sekaligus malam ini?

Oleh Agendadaily
Selasa, 01 Julai 2008

DATUK Seri Anwar Ibrahim akan hadir dalam satu perhimpunan umum di Stadium Melawati Shah Alam 9 malam ini.

Ini adalah perhimpunan pertama oleh PKR selepas Anwar keluar dari 'perlindungan' di kedutaaan Turki semalam.

Perkara ini disahkan oleh Ahli Majlis Tertinggi PKR N Gobalakrishnan.

Semalam Biro Penerangan PKR maklumkan Anwar akan hadir satu program di ibu pejabat parti itu di Tropicana tetapi Anwar tidak tampil.

Malah Timbalan Presiden PKR beritahu malam tadi Anwar tidak ada di rumah.

Sementara itu Naib Presiden PKR Azmin Ali dakwa empat MP BN akan umum lompat parti di perhimpunan bersama Anwar di Stadium Malawati,Shah Alam malam ini.

Beliau nyatakan demikian di lobi Parlimen pagi ini

Keluarga Saiful dapatkan khidmat peguam

01/07/2008 3:30pm

PETALING JAYA 1 Julai – Keluarga Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan mendapatkan khidmat peguam bagi mengendalikan dakwaan liwat yang dibuat oleh pemuda itu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dimaklumkan oleh bapa saudaranya yang hanya mahu dikenali sebagai 'Uncle Pat' kepada pemberita di hadapan rumahnya di Bandar Utama di sini hari ini.

Sidang akhbar yang beliau rancang petang ini, menurutnya, terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.

Mohd. Saiful, 23, membuat laporan polis pada 28 Jun lalu mendakwa Anwar meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Semalam, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Mohd. Saiful yang didakwanya membuat laporan palsu.

Mohd. Saiful bekerja sebagai pembantu Anwar sejak beberapa bulan lalu. - Utusan

Kerajaan tidak bercadang minta AirAsia beroperasi di Subang

01/07/2008 2:48pm

KUALA LUMPUR 1 Julai — Kerajaan tidak bercadang untuk meminta syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd untuk beroperasi di Subang, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin.

Katanya keputusan itu telah dibuat kerana kerajaan telah menaik taraf Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang untuk menampung keperluan syarikat penerbangan itu.

Sebanyak RM124 juta telah diperuntukkan untuk kerja menaik taraf LCCT untuk memberikan keselesaan kepada penumpang yang menggunakan terminal itu, katanya.

“Kerajaan atau pun kementerian saya tidak bercadang untuk meminta Airsia kembali ke Subang kerana ini adalah keputusan yang telah dibuat sebab kita telah pun menaik taraf LCCT yang ada di KLIA untuk menampung keperluan Airasia,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan pertanyaan soalan tambahan Razali Ibrahim (BN-Muar) yang meminta penjelasan mengenai kedudukan sebenar ura-ura untuk dikembalikan operasi LCCT ke Subang.

Lajim menjelaskan kerja menaik taraf LCCT telah bermula April tahun lalu dan dijangka siap hujung tahun ini.

Mengenai pertanyaan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) tentang kedudukan

“perang menarik langganan” antara Malaysian Airline System Bhd (MAS) dan AirAsia, beliau menjelaskan “perang menarik langganan” itu merupakan satu persaingan yang sihat kerana persaingan itu mendatangkan faedah kepada para penumpang.

Katanya para penumpang kini mempunyai lebih banyak pilihan dan peluang dalam memilih pelan perjalanan yang mampu mereka nikmati.

— BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...