Friday, August 15, 2008

Watan muncul semula esok - MALAYSIAKINI

Aug 15, 08 7:25pm

Akhbar tabloid politik berpengaruh Watan akan muncul semula esok selepas 13 tahun hilang dari pasaran.

Kali ini, ia diterbit sebagai tabloid politik mingguan dan dijual dengan harga RM2 senaskhah.

Penerbit dan juga pengarangnya Baha Azuwan berkata, edisi pertamanya dicetak sebanyak 50,000 naskhah untuk edaran seluruh negara.

mingguan watan newspaper 150808Berita muka depan edisi tersebut berjudul 'Medan bogel Anwar' - mengulas perkembangan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan bermula esok antara calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah.

Watan pernah diharamkan penerbitannya sewaktu Operasi Lalang pada 1987 dan diterbit semula pada 1993.

Bagaimanapun, ia hanya bertahan selama dua tahun sebelum dihentikan penerbitannya pada 1995.

"Selepas 13 tahun, Watan muncul semula menemui orang ramai di seluruh negara," katanya kepada Malaysiakini.

Mengenai konsep baru tabloid mingguan itu, Baha berkata, ia akan memberi ruang kepada semua parti politik.

Sebagai contoh, tambahnya, edisi pertamanya memuatkan wawancara khas dengan Ketua Penerangan PKR, Tian Chua.

Ia juga menyiarkan wawancara khas dengan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Akhbar setebal 32 muka surat itu, katanya, akan menemui pembaca setiap Jumaat.

"Tumpuan utamanya pada masa ini ialah pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh dan mesyuarat Umno yang sedang berlangsung sekarang," katanya.

Baha juga mengucapkan terima kasih Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar kerana meluluskan permit untuk akhbar itu beroperasi.

MB Perak terharu sambutan Muktamar PAS - HARAKAHDAILY

Mohd Nor Yahya | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Fri | Aug 15, 08 | 5:13:10 pm MYT

IPOH, 15 Ogos (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohd Nizar Jalaludin melahirkan rasa terharu dengan kedatangan terlalu ramai perwakilan, pemerhati dan dari luar negara di majlis perasmian muktamar PAS.

"Saya berharap muktamar ini bukan yang terakhir di Perak dan ia akan diadakan pada lain kali," ujar beliau.

Dengan adanya muktamar PAS di Perak kali ini, ianya boleh merapatkan lagi hubungan jentera dan ahli-ahli PAS Perak dengan perwakilan dari negeri-negeri lain.

Image"Dengan adanya muktamar yang julng-julung kali di adakan di negeri Perak, orang ramai dapat mengenali PAS dengan lebih dekat dan ini boleh meniup semangat kepada jentera parti PAS Perak" kata beliau.

Menyentuh kepada hubungan PAS Perak dengan Pakatan Rakyat di Perak, beliau memberitahu bahawa hubungan mereka adalah rapat sekali dan tidak timbul sebarang masalah dalam urusan pentadbiran negeri.

"Saya berharap orang ramai di Perak tidak termakan dengan laporan dalam beberapa akhbar yang mengatakan hubungan barisan pimpinan negeri mempunyai masalah dalam urusan pentadbiran," kata beliau lagi. - mns_

Trio Berbasikal Negara Atasi Rekod Kebangsaan, Tempat Ke-7 Pecut Berpasukan - BERNAMA

15 Ogos, 2008 23:04 PM

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 15 Ogos (Bernama) -- Trio berbasikal negara Azizul Hasni Awang, Josiah Ng dan Rizal Tisin hari ini berjaya memengatasi rekod kebangsaan semasa bersaing dalam pusingan kelayakan pecut berpasukan di Velodrome Laoshan hari ini.

Pasukan itu berjaya membuat catatan masa 44.725s untuk memadamkan rekod kebangsaan sebelum ini 45.511s, dan menduduki tempat ketujuh paling pantas di antara lapan pasukan yang layak bagi pusingan pertama.

Bagaimanapun mereka ditumpaskan dalam pusingan pertama oleh Perancis, yang merupakan pasukan kedua terpantas dalam kelayakan. Pasukan negara membuat catatan masa 44.822, manakala Perancis, pemenang pingat perak, membuat catatan 43.656s.

Britain memperolehi pingat emas dengan catatan 43.128s.

Terdahulu sebelum perlumbaan Azizul berkata trek Laoshan kelihatan amat sesuai bagi mereka memecahkan rekod kebangsaan.

Beliau bersama Josiah akan kembali ke velodrome itu sekali lagi esok bagi acara keirin, di mana Josiah pernah menduduki tempat ke enam pada Sukan Olimpik Athen sebelum ini.

-- BERNAMA

Chong Wei Pastikan Pingat Olimpik Keempat Malaysia - BERNAMA

15 Ogos, 2008 21:56 PM

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 15 Ogos (Bernama) -- Lee Chong Wei memastikan pingat Olimpik keempat buat Malaysia apabila berjaya menangani tekanan, untuk layak ke perlawanan akhir perseorangan lelaki saingan badminton setelah menundukkan pemain Korea Selatan Lee Hyun-Il 21-18, 13-21, 21-13.

Pemain berusia 26 tahun itu kemudian memeluk jurulatihnya Misbun Sidek kerana terlalu gembira dapat menamatkan kemarau pingat buat negara selama 12 tahun.

Chong Wei, pilihan kedua, akan bertemu sama ada pilihan utama Lin Dan dari China atau seorang lagu pemain China, Chen Jin bagi merebut pingat emas malam Ahad ini.

Pada set pertama, Chong Wei kelihatan seperti yakin tidak menghadapi masalah untuk layak ke perlawanan akhir setelah menang 21-18 berikutan lawannya banyak melakukan kesilapan.

Bagaimanapun, pada set kedua beliau kehilangan 10 mata untuk membolehkan Hyun-Il mendahului 16-6 dan kemudian menang 21-3 bagi memaksa perlawanan berlanjutan ke set ketiga.

Pada set ketiga, Chong Wei tidak mengulangi kesilapan yang sama apabila mendahului 15-10 sebelum menang 21-13.

" Perlawanan akhir itu adalah perjuangan untuk Malaysia. Kemenangan ini untuk saya dan jurulatih saya yang bekerja keras melatih saya," kata Chong Wei selepas berakhirnya saingan sejam itu di gimnasium Beijing University of Technology.

Chong Wei, yang menjadi pemain perseorangan pertama Malaysia layak ke perlawanan akhir Sukan Olimpik, boleh mencapai imbuhan tertinggi dalam sejarah sukan negara jika merangkul emas, yang pertama buat Malaysia selepas hanya satu perak dan dua gangsa dari Sukan Olimpik, semuanya daripada sukan badminton.

Ini berikutan pengumuman kerajaan bahawa pemenang pingat emas akan diberikan ganjaran RM1 juta.

" Kemenangan malam ini mengurangkan tekanan saya kerana akhirnya saya dapat juga pingat.

Ini adalah kemenangan terhebat saya kerana ini adalah Olimpik dan untuk perlawanan akhir, saya akan kekal fokus, katanya.

Beliau mengakui mempunyai masa tidur kurang enam jam kerana bimbangkan pertemuan malam ini.

" Pada set kedua, saya gagal menandingi kepantasannya. (Pada set ketiga) saya yakin dan selepas masing-masing mengutip mata demi mata, kami mula beraksi di jaring dan beliau banyak buat silap," kata Chong Wei, yang melakukan dua smash untuk memperoleh mata kemenangan.

Hyun-Il dianggap antara pemain paling sukar untuk ditewaskan.

Beliau menundukkan pemain China Bao Chunlai, pilihan ketiga, pada suku akhir untuk bertemu Chong Wei.

Kali terakhir Malaysia membawa pulang pingat Olimpik adalah pada 1996, satu perak menerusi pasangan beregu lelaki Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock serta gangsa menerusi pemain perseorangan lelaki Rashid Sidek.

-- BERNAMA

Saiful Mengangkat Sumpah Di Masjid Wilayah Persekutuan - BERNAMA

15 Ogos, 2008 21:35 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Mohd Saiful Bukhari Azlan, hari ini mengangkat sumpah mengikut syariat Islam bahawa beliau bercakap benar atas dakwaannya diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini.

Beliau yang ditemani oleh bapanya mengangkat sumpah mubahalah itu yang disaksikan imam masjid tersebut serta 30 orang daripada wakil media dan anggota keluarga pada kira-kira 6.15 petang.

Upacara itu berlangsung selama 15 minit.

Saiful, bekas pembantu peribadi Anwar, sebelum ini berjanji melakukan sumpah mubahalah bagi menyokong dakwaannya terhadap bekas majikannya itu. Saiful, yang berbaju Melayu coklat sambil menghadap kiblat, melafazkan sumpahnya dengan memegang Al-Quran di tangan kanannya dan berpandukan teks sumpah di tangan kirinya.

"Saya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dengan nama Allah saya bersumpah saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam dubur saya.

"Jika saya berdusta atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah S.W.T dan sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat, wallahullam."

Pada 7 Ogos lepas, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap Mohd Saiful pada 26 Jun lepas di unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara di sini.

Anwar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

Shafee Hempas Dokumen Saman Ke Arah Raja Petra - BERNAMA

15 Ogos, 2008 16:31 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Suasana di Mahkamah Majistret menjadi tegang hari ini apabila peguam terkenal Datuk Muhammad Shafee Abdullah bertindak menghempas dokumen yang mengandungi perintah mahkamah dan writ saman ke lantai apabila penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin enggan menerimanya.

Muhammad Shafee yang sebelum itu menemui Raja Petra "secara baik" menghulurkan dokumen itu sebagai tanda penyerahan tetapi Raja Petra yang turut ditemani dua peguamnya J. Chandra dan Amarjeet Singh enggan mengambilnya serta bertindak seolah-olah Muhamad Shafee tidak berada di situ.

Sikap Raja Petra membuatkan Muhammad Shafee berang dan bertindak menghempas dokumen itu berhampiran kaki Raja Petra tetapi masih tiada sebarang reaksi daripada Raja Petra yang begitu asyik melihat telefon bimbitnya, malah peguamnya juga langsung tidak mengambilnya.

Dokumen itu adalah writ saman yang difailkan Muhammad Shafee terhadap Raja Petra, 58, kerana menyiarkan tiga artikel dalam laman blog Malaysia Today yang didakwa memfitnahnya.

Tiga artikel yang disiarkan pada 6, 7 dan 11 Ogos lalu bertajuk Shafee Abdullah: Sodomologist Extraordinaire; Money, Power and Sex: What Motivates Man dan The Real Dalang Behind The Anwar Sodomy Allegation.

Dalam saman itu, beliau memohon perintah injunksi bagi menghalang Raja Petra menyiarkan artikel berkenaan dan komen-komen yang dihantar oleh pelawat selain perintah menarik balik kesemuanya.

Selain itu, ia (dokumen yang dilempar) juga mengandungi perintah dari Mahkamah Tinggi di sini supaya Raja Petra menarik balik tiga artikel dalam laman blog Malaysia Today yang didakwa memfitnah Muhammad Shafee.

Hakim Datuk Tee Ah Sing mengeluarkan perintah tersebut selepas membenarkan permohonan perintah injunksi yang difailkan oleh Muhammad Shafee secara ex parte (sebelah pihak) dengan kos di kamar beliau, Selasa lepas.

"Drama" antara dua pihak itu berlaku kira-kira pukul 11 pagi sebelum prosiding terhadap Raja Petra yang didakwa memfitnah Datin Seri Rosmah Mansor dan dua pihak lagi bermula di hadapan Majistret Nazran Mohd Sham.

Sehingga prosiding tamat kira-kira setengah jam kemudian, dokumen yang berada di lantai itu didapati "hilang" tanpa disedari tetapi mengikut isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah yang duduk berhampiran dengan tempat insiden tegang itu berkata, ia mungkin telah diambil oleh salah seorang kakitangan Muhammad Shafee.

Sebelum itu, Muhammad Shafee telahpun bertindak mengambil gambar dokumen berkenaan dan reaksi keengganan Raja Petra sempat dirakam oleh kakitangannya.

Muhammad Shafee yang berada di mahkamah seawal pukul 9 pagi, sebelum itu memberitahu pemberita bahawa beliau ingin berhadapan dengan Raja Petra sendiri kerana penulis blog itu tidak menjawab panggilannya sejak beberapa hari lepas.

"Saya bersedia berhadapan dengannya di mahkamah mengikut undang-undang dan ingin menyerahkan dokumen ini padanya. Saya ingin buktikan dia seorang penipu. Bukan sahaja dia memfitnah saya dalam kes ini tetapi juga kes-kes lain," katanya.

Sementara itu, Raja Petra yang ditemui selepas prosiding berkata dia tidak tahu mengenai panggilan telefon Muhammad Shafee kerana beratus orang menghubunginya setiap hari dan berkenaan dokumen saman itu, beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk membuat sebarang tindak balas.

Peguam Amarjeet Singh menyatakan Muhammad Shafee sepatutnya menyerahkan dokumen itu di luar mahkamah dan bukannya di dalam mahkamah, malah tindakannya itu boleh dianggap menghina mahkamah.

Perbicaraan kes Raja Petra yang didakwa memfitnah Rosmah dan dua pihak lagi berjalan lancar hari ini tanpa sebarang gangguan dan Majistret Nazran telah membenarkan ia dipindahkan ke Mahkamah Sesyen atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Amir Nasruddin.

Amir berkata ia perlu dipindahkan berikutan kes itu melibatkan personaliti yang diketahui umum.

Selain Rosmah, Raja Petra turut didakwa memfitnah Pemangku Kolonel Abdul Aziz Buyong dan isterinya, Kolonel Norhayati Hassan.

Ketiga-tiga tuduhan itu didakwa dilakukan di Mahkamah Tinggi Sivil 5, Tingkat 4, Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini pada jam 10.25 pagi 18 Jun lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Ketika di Mahkamah Sesyen, Raja Petra masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Sekeri Mamat.

Raja Petra yang berada di kandang tertuduh sebelum itu berulang kali menyebut "Saya enggan menjawab rayuan itu berdasarkan kedua-duanya adalah tidak sempurna dan mala fide".

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Amir berkata tindakan Raja Petra itu boleh dianggap sebagai mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 173 (c) Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Mohamed Sekeri seolah-olah telah tahu 'perangai' Raja Petra dan dia meminta peguam yang mewakilinya supaya menasihati beliau bagi mengelak prosiding berlanjutan.

Sakeri menetapkan dua hari bermula 24 Nov ini untuk perbicaraan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...