Tuesday, June 24, 2008

EZAM: TROJAN HORSE ATAU HULUBALANG BARU UMNO?

EZAM sudah sinonim dengan arus reformasi di akhir 90an. Bekas Ketua Angkatan Muda PKR ini kemudiannya memilih untuk berada di luar PKR atas sebab hilang kepercayaan dengan prinsip perjuangan PKR yang didakwa sudah menyimpang dari matlamat asal. Beliau memilih untuk `mengabdikan diri' dengan platform GERAK yang beliau terajui walaupun ada ura-ura beliau akan menjadi calon pada PRU12 yang lalu. Akhirnya 28 haribulan Mei 2008 yang `panas' dipilih untuk meledakkan lagi suhu politik negara dengan mengesahkan cakap-cakap beliau akan kembali ke dalam UMNO. Beliau sah memohon menjadi ahli UMNO dengan `mas kahwinnya' sebanyak RM100 seumur hidup.

Apabila saya memilih untuk menulis berkaitan Ezam, sahabat saya mempersoalkan apa pentingnya beliau kepada politik kebangsaan kita? Benar dia bukanlah negarawan yang tersohor. Malah jika diukur tahap sumbangan kepada negara dibandingkan dengan Tun Dr Mahathir, dia jauh ketinggalan. Namun pada saat ini mereka telah memilih untuk berada di laluan yang berbeza sama sekali. Seorang `menentang' Pak Lah, seorang lagi `menyokong' Pak Lah.

Ezam pada saya bukanlah penting sangat. Yang menjadikannya penting adalah persepsi dan spekulasi yang dicetuskan oleh `movement' Ezam mutakhir ini. Tanpa persepsi dan spekulasi, nasib politik Ezam di dalam UMNO (jika diterima masuk) mungkin senasib dengan beberapa bekas pemimpin PKR yang menyertai semula UMNO sebelum ini.

Bagi yang pernah mendengar kelantangan Ezam di pentas ceramah terutamanya dalam memperjuangkan keadilan dan bekas mentornya Datuk Seri Anwar Ibrahim, tentu mengingati bagaimana tajam dan bisanya perkataan dan ayat yang digunakan terutamanya bila menyentuh isu yang berkait rapat dengan UMNO – parti yang beliau junjung ketika ini. Ini juga yang sangat mendalam kesannya kepada beberapa pemimpin UMNO. Kecurigaan dan was-was dengan nawaitu Ezam tidak disembunyikan lagi.

"Saya tak nampak apa istimewanya kemasukan Ezam. Pada saya kemasukan biasalah. Tetapi dia (Ezam) yang tidak biasa, ada rekod. Kita kena teliti secara halus dan semasak-masaknya," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden UMNO.

Datuk Seri Dr Rais Yatim pula berpendapat kemasukan semula bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menimbulkan rasa curiga kerana ia berlaku secara tiba-tiba tanpa dirundingkan terlebih dahulu dengan Jawatankuasa Pengurusan parti. ''Saya dapat tahu Jawatankuasa Pengurusan parti yang diketuai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak serta dibantu oleh Naib Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibawa berunding terlebih dahulu, malah tidak dirujuk pun kepada Majlis Tertinggi (MT). Secara tiba-tiba sahaja satu pihak lagi begitu kuat mahu bawa masuk Ezam."

Siapa pula pihak yang dimaksudkan oleh DS Rais Yatim? Orang politik biasanya amat mudah `menangkap' insan yang beliau maksudkan. Samada ia adalah orang yang dimaksudkan oleh DS Rais Yatim, hanya beliau (DS Rais) yang tahu.
Lagi kata beliau ia sungguh berbeza dengan ahli-ahli Semangat 46 (S46) dulu kerana proses kemasukan ahli (ke UMNO) sahaja memakan masa sembilan bulan dan macam-macam aspek diteliti tetapi sekarang orang yang tempelak UMNO boleh diterima 'pada minggu depan'.

Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pemuda UMNO (KJ) melalui website beliau menjelaskan bahawa beliau tiada kaitan dengan hal permohonan kemasukan Ezam ke dalam UMNO. Kesian KJ!!! Mentang-mentanglah Senator Datuk Wan Farid Wan Salleh, Timbalan Menteri Dalam Negeri yang mengaturkan pertemuan Ezam dengan Pak Lah di bangunan Parlimen. Kata Khairy lagi, kalau benar Ezam itu hadiah kuda Trojan, beliaulah orang pertama yang akan membakar kuda tersebut. Kalau setakat hadiah sabun serbuk pencuci Trojan, biarkanlah KJ!.

Tan Sri Muhamad Muhd Taib, Ketua Penerangan UMNO pula menjelaskan bahawa kemasukan Ezam ke dalam UMNO akan melalui proses yang sepatutnya. Permohonan Ezam hanya akan diketahui dalam beberapa minggu lagi iaitu selepas MT UMNO bersidang.

Dalam pada komen-komen pemimpin UMNO itu, tiba-tiba muncul pula Senator Datuk Musa Sheikh Fadzil, Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam dengan cadangan yang `hangat'. Hadapkan TS Muhyiddin dan DS Rais ke meja lembaga disiplin UMNO kerana kelancangan membicarakan isu Ezam yang dikira beliau `isu dalam kelambu UMNO' dan tidak sepatutnya dibincang secara terbuka.

Sebelum ini, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO sudah bersuara supaya Datuk Zaid Ibrahim (Menteri dilantik menjaga undang-undang), Datuk Mukhriz Mahathir (AP Jerlun) dan Datuk Tajuddin Abd Rahman (AP Pasir Salak) dihadapkan ke muka pengadilan UMNO.

Datuk Seri Nazri Aziz pula berkata `UMNO mengamalkan demokrasi'. Bererti apalah sangat nak mendakwa mereka sedangkan banyak lagi perkara yang lebih penting untuk diuruskan.

Panas memang panas. Itulah UMNO selepas PRU12. Hinggakan ahli akademik juga turut melontarkan pendapat. Mereka ini boleh juga dihadapkan ke muka pengadilan UMNO, itu pun kalau mereka ahli UMNO. Kalau tidak, mereka kira berlesenlah dalam memperkatakan tentang isu-isu semasa dalam UMNO. Sudahnya orang mula berpersepsi, ahli UMNO tidak boleh bersuara tentang isu UMNO tapi kalau bukan ahli UMNO tidak ada masalah. Entahlah kalau institusi dimana mereka bernaung juga bertindak mengeluarkan `show cause' dan menjalankan `domestic inquiry'.

Pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, penyertaan semula Ezam secara tidak langsung bakal mencetuskan konflik dalaman dalam Umno. Lebih menimbulkan keraguan ialah saluran yang digunakan Ezam untuk masuk semula menjadi ahli Umno. Tambahnya lagi, Ezam boleh dianggap sebagai aset kepada pihak tertentu untuk membantu mereka meraih undian kerana ramai lagi kawan-kawan dia dalam Umno. Masalahnya dia (Ezam) pernah menjadi orang kuat PKR yang cukup lantang mengkritik Umno... jika ahli biasa PKR yang nak masuk Umno, saya tak fikir akan wujudnya masalah," jelasnya.

Sementara itu pula, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mohd. Agus Yusoff berpendapat kesan kemasukan semula Ezam ke dalam Umno akan dapat dilihat jika beliau boleh membantu untuk memulihkan Umno dari dalam. Cabaran untuk Ezam ialah jika dia tidak berjaya membantu bawa perubahan dalam Umno, dia akan jadi bahan ketawa semua orang sama ada PKR mahupun ahli Umno sendiri," jelasnya.

Reaksi berbeza pula diberikan oleh Pengarah Institut Kajian Etnik UKM, Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin yang berpendapat isu Ezam kembali menyertai Umno adalah perkara biasa. Beliau menyifatkan kepulangan Ezam seolah-olah menggambarkan keadaan politik Malaysia yang boleh diibaratkan seperti "monyet yang suka lompat-lompat." Hari ini dia suka... dia masuk, esok dia dah tak suka dia ambil keputusan keluar parti sesuka hati. Tiada siapa boleh halang.

Retreat MT UMNO di Shah Alam selama 2 hari pada minggu ini (minggu pertama Jun 2008) mungkin juga akan membincangkan isu yang dikaitkan dengan `hadiah kuda trojan'. Adakah MT UMNO bersetuju menerima Ezam dan rakan-rakan dengan mudah atau melalui satu proses yang lebih panjang sepertimana kemasukan ahli Semangat 46 seperti dakwa DS Rais Yatim?

Seperti kata Ezam, saya tidak rugi apa-apa (jika tidak diterima masuk ke dalam UMNO), terpulanglah kepada MT UMNO. Mesej yang beliau berikan membawa erti yang cukup mendalam jika kita memanjangkan lagi persepsi dan melahirkan spekulasi yang baru.

Saya berpendapat bahawa tindakan mengheboh-hebohkan kemasukan Ezam & Friends ke dalam UMNO kemudian `diiring' oleh Timbalan Menteri dari Stesen Sentral KL hingga disambut bagai VIP a.k.a hulubalang yang baru kembali dari medan perang dan diberi ruang pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri di bangunan Parlimen (nasib baik tiada paluan kompang dan bungga manggar) merupakan satu tindakan yang terlalu advanced. Hinggakan beberapa pemimpin atasan UMNO berasa `kecil hati dan terpinggir' kerana ia tidak pun dibincangkan dengan mereka. Ia diibaratkan satu pertemuan a.k.a permohonan kemasukan UMNO yang sudah ada `aturcara' dan hanya `mereka' yang tertentu sahaja mempunyai akses terhadap `movement' pada hari tersebut. Datuk Seri Hishamuddin, Ketua Pemuda UMNO khabarnya hanya kebetulan berada dilokasi dan tidak melibatkan diri dalam `mengiring' Ezam bertemu PM.

Apakah ada pihak yang merasakan dengan berjayanya mengajak masuk bekas nama besar dari parti lawan UMNO menunjukkan mereka lebih gah dari pemimpin atasan yang ada? Adakah tindakan menghebohkan permohonan kemasukan Ezam ke dalam UMNO sebagai jawapan balas kepada spekulasi akan berlakunya `lompatan' ahli Parlimen BN ke dalam Pakatan Rakyat seperti dakwa DS Anwar?

Yang pasti secara tidak langsung, Ezam telah membuatkan UMNO `heboh dan kecoh' dengan permohonan beliau. Kesannya bukan UMNO yang dilihat hebat (kerana berjaya memancing Ezam ke dalam UMNO) tapi Ezam yang lebih hebat (kerana membuatkan UMNO `serba salah' samada mahu menerima `tawaran' Ezam menjadi ahli UMNO atau sebaliknya.)
Insan bernama Mohamad Ezam Mohd Nor telah berjaya memanjangkan lagi persepsi dan melahirkan spekulasi baru politik di dalam UMNO.

Adakah beliau (Ezam) benar-benar `hadiah kuda trojan' atau akan menjadi hulubalang UMNO? Seperti kata Prof. Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin `rasanya tak perlu kita meneka kesan atau perubahan yang mungkin terjadi bila Ezam masuk Umno. Lebih baik tunggu dan lihat sahaja kerana apa saja kemungkinan boleh berlaku dalam politik'.

laman marhaen

MB Selangor mengaku ada duit derma masuk akaun PKR

23-06-2008 07:33:04 PM

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengakui adanya sumbangan derma daripada syarikat-syarikat swasta bagi Sambutan 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di Selangor yang didepositkan ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Saya diberitahu ada usaha untuk mengutip derma yang saya rasa tidak perlu,” katanya ketika diminta mengulas dakwaan bekas Ketua Pemuda PKR Mohamad Ezam Mohd Nor bahawa kutipan wang derma bagi penganjuran majlis sambutan itu telah didepositkan ke dalam akaun PKR.

Abdul Khalid berkata wang kutipan itu yang menurut kiraan beliau tidak seberapa jumlahnya akan dibekukan dan ahliahli Pakatan Rakyat sebagai satu pasukan akan berbincang bagaimana wang itu akan digunakan dan jumlah kutipan itu akan diberitahu kepada pihak kerajaan negeri.

“Adalah malang kutipan dan pemindahan ke dalam dana Parti Keadilan. Ia harus dipindahkan ke dalam akaun negeri dan kemudian kita bincangkan kegunaannya,” katanya kepada pemberita selepas Melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.s) di sini hari ini.

Abdul Khalid juga berkata beliau sendiri akan menulis surat bagi mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat berkenaan dan bertanya sama ada mereka menerima tekanan untuk menyumbang kepada sambutan itu.

Namun, beliau menganggap pemberian syarikat itu sebagai ikhlas dan tidak mengharap balasan seperti pemberian tanah atau pasir. BERNAMA

http://www.mstar.com.my

Gurindam Minyak HadHari!

Tak pernah ujud di lipatan sejarah

Umat Malaysia dikerah dan diperah

Berjimat bercatu kerana minyak mentah

Hadiah ‘special’ rejim Abdullah

Umat Malaysia dikerah dan diperah

Dengan keringat daging dan darah

Bermandi peluh di tengah sawah

Namun hidup tetap mengah

Dengan keringat daging dan darah

Umat Malaysia makan sekali sehari

Meski pun tekak loya nak muntah

Nak isi perut kena fikir dua kali

Umat Malaysia makan sekali sehari

Tangki minyak nak isi berkali-kali

Barang dah naik tak turun-turun lagi

Tengah bulan poket dah tak berisi

Tangki minyak nak isi berkali-kali

Perut isi hanya sekali sehari

Beras mahal tak mampu nak beli

Padah mengundi membuta tuli

Perut isi hanya sekali sehari

Ikat perut setengah mati

Nak jimat duit untuk anak bini

Ogos mungkin minyak naik lagi

Ikat perut setengah mati

Selagi BN bertakhta di hati

Umat Malaysia teguh jati diri

Berkat karamah pemimpin Hadhari

Selagi BN bertakhta di hati

Umat Malaysia terus terkorban diri

Sampai bila nak terus begini

Pakatan Rakyat cepat-cepatlah ganti!

whereha.wordpress.com

Harga beras ST15 naik?

24/06/2008 7:32pm

KUALA LUMPUR 24 Jun – Kerajaan tidak menolak kemungkinan terpaksa membenarkan kenaikan harga beras Super Tempatan 15 peratus hancur (ST15) sebagaimana diminta pemborong dalam masa terdekat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, ia bertujuan mengatasi jurang harga beras tersebut dengan beras jenis Super Spesial Tempatan 10 peratus hancur (SST10) yang terlalu tinggi.

Beliau bagaimanapun menegaskan, perkara itu masih dalam rundingan dengan pihak pemborong beras.

``Ia antara cadangan yang dikemukakan pemborong dalam rundingan kedua-dua pihak sebelum ini kerana mereka kurang berminat menjual beras ST15,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Usahawan Industri Asas Tani di sini hari ini.

Katanya, jurang harga yang terlalu tinggi menyebabkan bekalan beras ST15 mengalami kekurangan sehingga mencetuskan kerisauan rakyat.

``Terdapat pemborong merungut mereka jual beras 10 peratus hancur tidak untung dan sebab itu kita tengah berunding untuk melihat cara terbaik bagi mengatasi masalah itu,” katanya.

Harga semasa bagi sekilogram beras jenis ST15 yang merupakan barang kawalan ialah RM1.80 manakala beras 10 peratus hancur pula RM2.70 sekilogram.

Katanya, bekalan beras ST15 yang banyak dibeli golongan berpendapatan rendah kini berkurangan memandangkan permintaannya meningkat daripada 25 peratus kepada 50 peratus sejak akhir-akhir ini.

Mengenai bekalan ayam pula, Mustapa berkata, kerajaan mungkin mengimport ayam proses sekiranya harga ayam terus melambung.

Katanya, buat masa ini, kerajaan hanya mengimport bahagian daging ayam untuk memenuhi permintaan.

Kerajaan, menurutnya, mengimport kira-kira 20,000 metrik tan bahagian daging ayam setahun untuk tujuan itu.

``Kita perlu menstabilkan harga tempatan tetapi sekarang kita sedang membuat pemantauan mengenai harga ayam dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna,” katanya.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya pengimportan ayam proses terpaksa dilakukan, ia akan tetap mengambil kira kepentingan pengusaha ayam tempatan. - Utusan

Atlet negara menang emas Olimpik dapat RM1 juta

24/06/2008 7:12pm

KUALA LUMPUR 24 Jun – Atlet negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik di Beijing Ogos ini dan temasya serupa pada masa akan datang akan menerima insentif RM1 juta berbanding hanya RM160,000 sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun hadiah itu dianggap besar, ianya wajar memandangkan standard Sukan Olimpik semakin meningkat.

“Untuk memenangi pingat emas ini juga bukanlah satu perkara yang mudah kerana pertandingan pada Olimpik semakin sukar. Daripada satu Olimpik kepada Olimpik yang satu lagi kita lihat standard semakin meningkat.

“Oleh itu kita haruslah meletakkan sasaran yang lebih besar, lebih menarik lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di sini.

Najib berkata, negara-negara jiran seperti Singapura juga menawarkan insentif S$1 juta untuk atlet mereka yang meraih emas di temasya Olimpik. – Bernama

Eric Chia meninggal dunia

24/06/2008 5:19pm

SUNGAI PETANI 24 Jun – Ahli perniagaan yang pernah menggemparkan negara berhubung kes penyelewengan Perwaja Steel, Tan Sri Eric Chia Eng Hock, meninggal dunia di hotel miliknya di sini pagi ini.

Eric, 74, yang merupakan bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn. Bhd., meninggal dunia akibat sesak nafas di bilik penginapannya di Hotel Park Avenue, Taman Sejati Indah, di sini antara pukul 9 hingga 11 pagi.

Polis telah dimaklumkan mengenai kematian ahli perniagaan itu kira-kira pukul 3 petang ini.

Bagaimanapun, sehingga kini, ahli keluarga mendiang belum memberikan sebarang kenyataan rasmi. – Utusan.

Pengguna Sabah serbu stesen minyak ekoran khabar angin mogok

4/06/2008 4:48pm

KOTA KINABALU 24 Jun – Stesen minyak di bandar-bandar utama di negeri ini sesak dengan kenderaan ekoran khabar angin yang tersebar luas bahawa pengusahanya akan melancarkan mogok dengan menutup operasi, mulai esok.

Utusan Malaysia difahamkan pengguna terpaksa beratur panjang sejak pukul 2 petang untuk mengisi minyak sehingga menyebabkan kesesakan teruk lalu lintas di beberapa laluan utama.

Keadaan itu menyebabkan pengusaha stesen minyak di Sandakan mengehadkan jualan RM50 seorang bagi mengelakkan minyak kehabisan.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria ketika dihubungi berkata, pihaknya terpaksa mengerahkan anggota trafik di kawasan bandar raya bagi mengurangkan masalah kesesakan tersebut.

Khabar angin mengenai mogok tersebut dikatakan berpunca daripada tuntutan pengusaha minyak untuk menaikkan komisen jualan tidak dipenuhi. – Utusan.

Tiada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah dua Ahli Parlimen daripada Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Dr. Chua Soon Bui dan Datuk Eric Enchin Majimbun yang digembar-gemburkan akan membawa usul tersebut tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menerima apa-apa notis berhubung usul undi tidak percaya daripada mana-mana ahli Parlimen.

''Isu ini digembar-gemburkan kononnya usul berkenaan akan dikemukakan tetapi saya tengok tidak ada apa-apa pun," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Nazri turut meminta Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee supaya tidak mengugut kerajaan Barisan Nasional (BN) dan jangan sekali-kali mengheret rakyat Sabah dalam isu itu.

Minggu lalu, Teck Lee mengisytiharkan parti itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah dan dua wakil rakyat SAPP bersedia menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sidang Dewan Rakyat perlu menyelesaikan semua urusan berkaitan kerajaan terlebih dahulu sebelum boleh menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri daripada mana-mana ahli Parlimen.

Menurutnya, sebarang usul undi tidak percaya seperti yang mahu dibentangkan oleh ahli Parlimen daripada SAPP, hanya akan berlaku jika ia mendapat sokongan hampir semua ahli Parlimen lain.

"Tidak ada peraturan khusus disediakan dalam Parlimen berkaitan usul tidak percaya ini. Ia dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) tetapi itupun perlu dibuat selepas selesai semua urusan kerajaan dalam Parlimen. Masih banyak akta yang perlu dibentangkan dan kerja yang lepas pun masih tertunggak.

"Jadi usul seperti ini tidak boleh dibuat oleh dua tiga orang saja... kalau semua (ahli Parlimen) kata setuju untuk undi tidak percaya baru ia boleh berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3), notis mengenai usul undi tidak percaya perlu dikemukakan 14 hari sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

"Tetapi sehingga sekarang, tiada ahli Parlimen yang menyerahkan notis berhubung perkara itu. Mereka belum bagi apa-apa notis lagi dan bagi saya kita hanya membuat spekulasi mengenai perkara ini. Jadi saya juga hanya memberi komen berdasarkan kepada spekulasi anda semua," katanya.

utusan malaysia

Pembangkang gagal - Usul subsidi minyak dibawa kerajaan lulus dengan undi majoriti

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 23 Jun – Cubaan pakatan pembangkang untuk menolak usul penstrukturan semula subsidi minyak dan isu kenaikan harga barang yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat hari ini tidak berjaya apabila keputusan undian belah bahagi memihak kepada kerajaan.

Usul tersebut disokong oleh 129 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) manakala 78 undi menolak usul yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi dengan BN mempunyai 140 Ahli Parlimen dan pembangkang dianggotai 82 wakil.

Ini merupakan kali kedua pembangkang memilih kaedah undian belah bahagi selepas berbuat demikian ketika undian meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 pada 28 Mei lalu, yang juga memihak kepada kerajaan sebanyak 92 berbanding 60 undi menentang.

Usul itu antara lain menjelaskan secara terperinci penstrukturan semula subsidi minyak iaitu strategi yang boleh mengelakkan negara daripada terjejas ekoran kenaikan harga minyak di pasaran dunia dan tidak meletakkan Malaysia dalam kemelesetan ekonomi.

Ia juga menghuraikan penjimatan hasil penstrukturan semula subsidi minyak yang disalurkan kepada golongan miskin serta kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketika membentangkannya, Shahrir turut menggariskan peranan Petronas dalam pembangunan negara dengan pendapatannya digunakan untuk aktiviti-aktiviti ekonomi.

Kesemua 129 Ahli Parlimen BN yang menghadiri mesyuarat kedua penggal pertama Parlimen ke-12 itu menyokong usul tersebut termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usul itu dibahaskan selama tujuh jam dari pukul 12.30 tengah hari oleh seramai 18 wakil rakyat iaitu sembilan daripada BN dan sembilan wakil pembangkang, antaranya Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sebanyak 11 Ahli Parlimen BN tidak hadir semasa pengundian termasuk dua Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau) dan Datuk Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar) yang disebut-sebut minggu lalu akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.

Ahli Parlimen BN lain yang tidak hadir semasa pengundian usul kerana urusan rasmi ialah Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim (BN-Jelebu), Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique (BN-Setiawangsa) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh).

Turut tidak hadir ialah Tan Sri Rafidah Aziz (BN-Kuala Kangsar), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Datuk Tiong Thai King (BN-Lanang), Datuk Dr. James Dawos Mamit (BN-Mambong) dan Raimi Unggi (BN-Tenom).

Empat Ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir pula ialah Gobind Singh Deo (DAP- Puchong), Chow Kon Yeow (DAP-Tanjung) dan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Usul itu pada mulanya dipersetujui diputuskan melalui undi persetujuan suara semasa sidang dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua, Ronald Kiandee.

Bagaimanapun, ia terpaksa dimuktamadkan dengan pengundian belah bahagi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas Ahli Parlimen pembangkang membuat bantahan.

Bantahan itu menyebabkan dewan menjadi gamat seketika apabila wakil daripada kedua-dua belah pihak saling mempertahankan keputusan masing-masing.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berhujah bahawa keputusan Ronald itu telah dibuat dan ia adalah muktamad.

Ahli Parlimen pembangkang, bagaimanapun, bertegas mahukan pengundian dijalankan melalui belah bahagi berdasarkan kepada Peraturan Mesyuarat Perkara 44 (3).

Ketua Whip PKR, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang bangun membantah keputusan Ronald menegaskan, Ahli Parlimen DAP-Ipoh Barat, M. Kulasegaran telah bangun lebih awal untuk meminta pengundian dijalankan secara belah bahagi.

Kulasegaran mendakwa ada Ahli Parlimen BN yang akan menolak usul itu dan mencadangkan agar sistem pengundian di Dewan Rakyat diubah bagi melindungi mereka yang bercadang menolak mana-mana usul kerajaan.

Dewan kecoh seketika dengan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang itu, mendorong Pandikar Amin memutuskan supaya pengundian dijalankan secara belah bahagi.

Terdahulu, Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) ketika membahaskan usul tersebut menyarankan kerajaan mengkaji perolehan syarikat minyak negara, Petronas, agar ia dapat digunakan bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat.

Katanya, kenaikan harga minyak dan barangan lain amat membebankan rakyat dan beliau percaya peningkatan itu lebih tinggi daripada gambaran inflasi 2.9 peratus yang dinyatakan kerajaan.

Halimah Sadique (BN-Tenggara) pula mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu akaun khas bagi menyatakan penjimatan yang diperoleh daripada penstrukturan semula subsidi harga minyak.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...