Saturday, April 3, 2010

Dua Beranak Meninggal Dunia Akibat H1N1 Di Melaka, Kata Liow

KUALA KUBU BHARU, 3 April (Bernama) -- Seorang ibu dan anaknya yang sarat mengandung adalah dua mangsa terbaru yang meninggal dunia akibat jangkitan Influenza A (H1N1) di negara ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata kedua-dua wanita yang disahkan positif H1N1 itu meninggal dunia masing-masing pada Rabu dan semalam di Hospital Melaka.

Bagaimanapun, Liow memberitahu pemberita bahawa keadaan jangkitan H1N1 di negara ini pada keseluruhannya semakin baik.

"Saya nak yakinkan orang ramai keadaan semakin pulih. Kementerian Kesihatan lebih tahu situasi dan faham keadaan lebih baik. Sekiranya ada gelombang kedua pihak kementerian akan umum," katanya di sini.

Mengulas mengenai kedua-dua kes tersebut, Liow berkata dalam kes pertama wanita berusia 54 tahun itu meninggal dunia akibat komplikasi diabetes selepas dimasukkan ke hospital pada Selasa lepas dengan simptom Penyakit Serupa Influenza (ILI).

Wanita itu telah diberikan rawatan Tamiflu bagaimanapun masalah kencing manis yang tidak terkawal menyebabkan komplikasi 'severe metabolic acidosis' akibat kegagalan buah pinggang, jangkitan kuman lain dan kencing manis, katanya.

Liow berkata anak wanita itu pula yang berusia 29 tahun dan sedang mengandung 36 minggu dimasukkan ke hospital dengan tanda kelemasan bayi dalam kandungan.

"Pada masa yang sama, wanita itu turut menunjukkan gejala ILI dan disahkan positif H1N1. Rawatan Tamiflu dimulakan bagi menyelamatkan bayi dan pembedahan dilakukan pada hari yang sama.

"Selepas pembedahan, wanita itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) tetapi mengalami komplikasi dan meninggal dunia semalam akibat 'Adult Respiratory Distress Syndrome'," katanya.

Beliau berkata ujian terhadap bayi wanita itu bagaimanapun negatif untuk H1N1 dan kini berada dalam keadaan stabil.

Mengulas mengenai jangkitan itu pada keseluruhannya, Liow berkata sehingga pukul 6 petang semalam seramai 26 orang telah disahkan positif H1N1, dan sebanyak 375 kes ILI sedang dirawat di hospital di seluruh negara.

Liow berkata orang ramai yang berisiko seperti wanita hamil, penghidap penyakit kronik boleh mendapatkan suntikan vaksin H1N1 di 104 fasiliti kesihatan.

Orang ramai boleh layari laman web www.moh.gov.my atau http://h1n1.moh.gov.my untuk maklumat lanjut.

Sekolah baru: Kera di hutan disusukan...

Pengumuman projek politik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan empat sekolah baru bagi Hulu Selangor, RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di Kampung Sentosa di Batang Kali serta meluluskan permohonan RM100,000 bagi Masjid Al-Sajdin di kampung yang sama, semalam mendatangkan padah.

Beliau dibidas oleh pelbagai pihak termasuk rakyat yang beranggapan BN cuba menggula-gulakan masyarakat di Hulu Selangor.

PAS dalam satu kenyataan berkata sebagai timbalan perdana menteri dan bukannya menteri kewangan, Muhyiddin berkuasa dengan sewenang-wenangnya mencurahkan peruntukan itu tanpa merrujuk kepada kementerian bertanggungjawab.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad.

Menurut beliau, dalam kesibukan BN cuba menjadi juara memperjuangkan masalah rakyat di Hulu Selangor, Muhyiddin telah dimalukan dengan pendedahan laporan dari Bernama.

Laporan itu memaparkan kisah empat guru di sekolah rendah Long Latin, Ulu Baram, Sarawak, termasuk sepasang guru suami isteri yang terpaksa tidur dalam sebuah bilik sempit yang daif sejak tiga tahun lalu.

Laporan Be
rnama itu disiarkan oleh beberapa media arus perdana hari ini.

“Lebih menyedihkan lagi, bilik kediaman guru-guru yang cekal ini adalah di bawah bilik darjah tempat mereka mengajar. Tidak dapat dibayangkan penderitaan yang mereka alami lantaran layanan 'double standard' menteri pelajaran yang lebih ghairah mengumumkan projek-projek meganya di Hulu Selangor.

“Jika dibandingkan dengan rumah sebahagian guru-guru yang mengajar dan tinggal di Putrajaya, saiz 20 x 10 kaki itu, bersamaan dengan ruang tempat letak kereta di rumah mereka sahaja. Memang mewah guru di Putrajaya kerana kerajaan begitu menjaga imej sekolah di Putrajaya berbanding Ulu Baram,” katanya.

Menurut Idris, pendedahan itu amat memalukan kerana guru-guru berkenaan mengajar di kawasan parlimen BN, yang diwakili oleh Datuk Jacob Dungau Sagan (kiri) yang juga adalah timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

“Apakah Muhyiddin mahu tunggu sampai ahli parlimen Baram ini meninggal dunia baru hendak umumkan peruntukan bagi pembinaan rumah baru bagi guru-guru malang ini? Sewajar sebagai ahli parlimen bertaraf timbalan menteri, kawasan Jacob mendapat peruntukan yang lebih baik sekarang,” katanya.

Idris (kanan) berkata PAS melihat, pendedahan Bernama ini hanyalah sebahagian kecil daripada kudis-kudis yang ada dalam pengurusan menteri pelajaran dan kerajaan BN.

Justeru, beliau berharap rakyat, khususnya di Hulu Selangor tidak tertipu dengan taktik projek politik itu kerana BN akan menabur sebanyak mana janji dan peruntukan yang mampu semata-mata untuk merampas semula kerusi Hulu Selangor.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad dari PKR pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya, semalam mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April, manakala penamaan calon pula ialah pada 17 April.

Tiada kempen tapi empat sekolah baru dijanjikan

Meskipun Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lawatannya ke Hulu Selangor hari ini bukan untuk berkempen, namun kawasan parlimen itu dijanjikan empat buah sekolah baru.

Berucap kepada 500 guru dari Hulu selangor yang dihimpunkan di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, Muhyiddin mengumumkan sebuah sekolah menengah dan tiga sekolah rendah akan dibina.

Dalam ucapan 30 minitnya itu, Muhyiddin, yang juga menteri pelajaran berkata guru berperanan membawa tahap pendidikan negara ke tahap antarabangsa.

Beliau juga menggunakan sessi soal jawab selama 15 minit untuk mengulangi janji kerajaan mengkaji keperluan guru dan pelajar.

Bagaimanapun sebelum mengakhiri ucapannya, timbalan perdana menteri mengingatakan bahawa tarikh pilihan raya kecil Hulu Selangor telah diumumkan.

"Saya tidak akan berkempen hari ini tetapi saya akan datang kembali untuk berkempen pada masa yang lain.

"17 April adalah hari penamaan calon manakala 25 April pula adalah hari mengundi. Tandakan hari-hari dalam diari anda dan catatkan juga undilah Barisan Nasional," katanya sambil berseloroh.

Selesai majlis itu, Muhyiddin bergegas ke sebuah masjid di Kampung Sentosa di batang Kali.

Selepas menunaikan solat asar, beliau mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk mengatasi masalah banjir di kampung berkenaan.

Sehubungan itu, timbalan presiden Umno mengarahkan Jabatan Kerja Raya menyempurnakan projek berkenaan dengan kadar segera selaras dengan prinsip rakyat didahulukan.

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan permohonan Masjid Al-Sajdin di Kampung Sentosa untuk mendapatkan van jenazah dan tempat wuduk jemaah perempuan yang menelan belanja RM100,000.

Beliau bagaimanapun enggan berjumpa dengan wartawan.

Esok, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dijangka memulakan lawatannya pula untuk bermesra dan berjumpa dengan rakyat.

Palanivel dakwa dia calon tunggal MIC

Timbalan Presiden MIC Datuk G Palanivel mengesahkan hanya namanya dicalonkan parti itu bagi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor untuk pertimbangan perdana menteri.

"Presiden MIC hanya pilih saya sebagai calon. Ini kerana saya adalah ketua bahagian (MIC Hulu Selangor), Pengerusi MIC Selangor dan Timbalan Presiden. Kalau tidak hanya satu nama, calon lain mari akan timbul persaingan. Itu akan menggegarkan cawangan MIC di seluruh negara," katanya kepada Bernama di Batang Kali di Kuala Kibu Bahru, petang semalam.

Difahamkan MIC sebelum ini menyenarai beberapa nama kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak sebagai calon pilihan raya kecil itu yang ditetapkan pada 25 April ini.

Palanivel, bekas wakil rakyat kawasan itu selama empat penggal sejak 1990 sebelum tewas pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, disebut-sebut mewakili BN di kawasan itu walaupun ada desakan supaya diketengahkan calon daripada Umno.

Ditanya adakah beliau bersedia memberikan laluan kepada calon Umno, pemimpin nombor dua MIC itu mengakui ada usaha melobi calon lain, namun perkara itu terpulang kepada keputusan Perdana Menteri.

Pilihan raya kecil parlimen itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Penamaan calon ditetapkan 17 April ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...