Informasi didalam blog ini adalah daripada sumber-sumber berita media internet.Sebarang komen @ pendapat, sila email ke cardozas02@gmail.com
Saturday, August 9, 2008
Pemanah Malaysia Berjaya Ke Suku Akhir Olimpik - BERNAMA
Oleh Tham Choy Lin
BEIJING, 9 Ogos (Bernama) -- Trio pemanah Malaysia, Wan Khalmizam Abd Aziz, Cheng Chu Sian dan Muhd Marbawi Sulaiman berjaya mara ke peringkat suku akhir bagi merebut emas acara berpasukan pada Isnin selepas memecahkan rekod kebangsaan dan menduduki tempat ketiga acara menentukan kedudukan hari ini.
Pasukan negara, yang berada di tempat keempat kedudukan dunia, memperoleh sejumlah 1,993 mata, hanya empat mata kurang daripada Ukraine yang berada di tempat kedua manakala juara bertahan Korea Selatan menguasai dengan mata 2,015.
Malaysia dan Ukraine berada di senarai bawah undian kalah mati dan dijangka bertembung antara satu sama lain jika kedua-duanya melepasi lapan saingan terakhir.
Bagi membolehkan pemanah Malaysia yang pertama kali beraksi pada Sukan Olimpik menempah tiket ke separuh akhir, mereka mesti mengalahkan sama ada Itali atau Kanada, yang akan bertembung satu sama lain dalam pusingan pertama.
Itali menduduki tempat keenam dalam kedudukan hari ini dengan pungutan mata 1,986 sementara Kanada berada di tempat ke-11 dengan 1,954 mata.
"Kami telah mensasarkan tempat ketiga hingga keenam bagi mengelakkan berada dalam senarai kedudukan yang sama dengan Korea dan pemanah kita melakukannya dengan baik apabila memecahkan rekod kebangsaan," kata jurulatih negara Lee Jae Hyung, seorang rakyat Korea, yang jelas berpuashati dengan pencapaian anak didiknya.
Dalam pusingan menentukan kedudukan, Wan Khalmizam melakukan pencapaian yang terbaik apabila menduduki tempat kelima individu terbaik dengan pungutan mata 674, yang tanpa disedarinya telah turut memecahkan rekod individu kebangsaan 672 mata.
"Saya pun tak pernah buat macam ini, biasanya bawah 670," kata pemanah kelahiran Kelantan yang akan genap berusia 22 tahun pada 21 Ogos ini.
Chu Sian dan Muhd Marbawi menamatkan saingan dengan masing-masing memperoleh 660 dan 659 bagi kedudukan ke-26 dan ke-27.
Sementara dalam persaingan menentukan kedudukan ditentukan atas 72 panahan, pertandingan berpasukan yang kesemuanya diadakan pada Isnin akan menyaksikan setiap pasukan memanah dengan 24 anak panah.
Pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir akan bertembung merebut pingat gangsa.
-- BERNAMA
Zulkifli: Peguam Islam perlu terajui Majlis Peguam - MALAYSIAKINI
Sudah sampai masanya peguam yang beragama Islam mengambilalih teraju kepimpinan Majlis Peguam, kata ahli exco Persatuan Peguam Islam, Zulkifli Nordin.
Beliau berkata, ini bagi mengelakkan Majlis Peguam menganjurkan forum yang boleh menimbulkan kemarahan orang Islam.
Zulkifli yang juga ahli Parlimen PKR Kulim-Bandar Baharu memberitahu pemberita demikian selepas menyertai perhimpunan membantah penganjuran forum awam 'memeluk Islam' anjuran majlis tersebut di ibunegara hari ini.
Beliau mendakwa, Majlis Peguam menganjurkan forum tersebut kerana hendak membuat provokasi terhadap orang Islam.
"Tetapi saya mewakili Persatuan Peguam Islam memberi amaran supaya tidak mencabar umat Islam kerana kesabaran mereka ada hadnya," katanya.
Forum awam tersebut akhirnya dihentikan ekoran bantahan umat Islam yang berhimpun di luar bangunan ibupejabat majlis tersebut.
Seramai 500 orang berkumpul di depan bangunan Majlis Peguam sejak awal pagi, sambil melaungkan "Hancur Bar Council", "Hidup Islam" dan "Batalkan Forum".
Mereka turut membawa sepanduk yang berbunyi "Jangan cabar Islam', "Jangan cetuskan kemarahan umat Islam demi keharmonian umat Islam" dan "Menjunjung keadilan, menyanggah kezaliman".
Zulkifli berkata, forum anjuran Majlis Peguam hari ini sebenarnya bukan dialog tetapi sebaliknya, satu program untuk memprovokasi terhadap umat Islam.
Perkataan menghina
"Semasa saya berunding dengan presiden dan timbalan presiden Majlis Peguam, saya katakan kepada mereka bahawa forum ini tidak wajar diadakan.
"Saya katakan forum ini menguji kesabaran orang Islam," katanya yang gembira kerana umat Islam bersatu menyatakan suara mempertahankan hak mereka.
Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu, Jais Abdul Karim berkata, beliau mendapat tahu 110 peserta telah menghadiri forum tersebut.
Katanya, 95 peratus daripada mereka adalah terdiri daripada orang bukan Islam.
"Semasa kami naik ke tempat forum, saya mendapati ia sedang berjalan dan kami memaksa mereka memberhentikannya.
"Ketika itu ada peserta mengeluarkan perkataan yang menghina kami," katanya sambil menambah "inilah perjuangan yang terpaksa kami lalui untuk menegakkan Islam".
Jais berkata, beliau berharap program seperti ini tidak lagi diadakan pada masa depan.
Katanya, sebanyak 29 penyokong NGO Islam datang untuk menyatakan sokongan membantah forum tersebut.
Gambar demonstrasi bantahan forum "Memeluk Islam" - mStar Online
oleh Victor K. K. NG
Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi.
Kumpulan berdemonstrasi berucap di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi dengan pasukan FRU mengawal keselamatan.
Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi.
Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi.
Sebahagian pengikut 29 badan bukan kerajaan yang menganjurkan demonstrasi bantahan forum "Memeluk Islam".
Pihak polis menemui dua botol yang disyaki Molotov cocktails.
Sebahagian daripada kira-kira 110 peserta yang hadir dalam forum.
Shahril Aziz berang dengan Majlis Peguam.
Zulkifli Nordin turut serta dalam demonstrasi tersebut dan selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Peguam.
Kira-kira lebih 300 orang yang sertai demonstrasi tersebut
di luar Majlis Peguam.
Barisan panel forum.
Prof. Mehrun Siraj dan peguam Sulaiman Abdullah.
Suasana di tingkat satu ketika perundingan antara wakil kumpulan membantah dan Majlis Peguam sedang diadakan. - foto The Star oleh oleh VICTOR K. K. NG
Suasana di luar bangunan Majlis Peguam, Kuala Lumpur pagi tadi.
BN Tiada Calon istimewa Berdepan Anwar Di Permatang Pauh, Kata Dr Mahathir - BERNAMA
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai calon "istimewa" yang mampu menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan memenangi pilihan raya tersebut kerana ia merupakan kubu kuat beliau di samping BN juga sudah hilang kredibiliti setelah gagal menawan kawasan berkenaan pada beberapa pilihan raya umum lepas.
"Ketika ini, saya tidak nampak sesiapa (calon), tentunya dari BN. Anwar akan menang. (Tapi) apa yang menarik ialah margin.
Sama ada (undi) lebih besar dan lebih kecil dari apa yang beliau (Anwar) dapat pada masa lelpas," katanya ketika ditanya mengenai pandangan beliau berhubung calon yang mampu menentang Anwar pada pilihan raya tersebut.
Dr Mahathir bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan pada forum bertajuk "Cabaran Melayu Masa Kini: Memperkasakan Melayu" anjuran Barisan Bertindak Akar Umbi Melayu Terengganu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata jika Anwar memperolehi majoriti yang lebih besar, ia tidak bermakna bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu semakin popular dan mendapat sokongan rakyat.
Sebaliknya, bekas Perdana Menteri berkata ini menunjukkan bahawa BN khususnya Umno sudah semakin tidak diterima rakyat.
"Jika majoriti undi yang diperolehi Anwar kurang...Umno boleh terus ke depan (untuk kembali mendapat sokongan rakyat)," katanya.
Ditanya mengenai pandangan sesetengah pihak supaya beliau bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya kecil itu, Dr Mahathir berkata: "Tak mungkin.
Saya telah berundur pada 2003 dan saya telah kata saya tidak akan datang semula. Tetapi saya punya hak sebagai warga untuk membuat ulasan mengenai negara saya".
Beliau berkata jika terdapat calon Bebas bertanding pada pilihan raya kecil itu, ia akan hanya memecahkan undi calon BN dan PKR.
"Terpulang siapa (calon Bebas) yang bertanding. Kalau dia daripada serpihan PAS, kemungkinan ia akan mengurangkan undi kepada Anwar...kalau dia bekas Umno, maka dia akan menambah kelebihan undi kepada Anwar.
Tetapi tidak ada kemungkinan calon Bebas ini akan menang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan kekal sebagai Presiden Umno walaupun Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menawarkan diri untuk merebut jawatan berkenaan pada pemilihan parti itu Disember ini.
"Ku Li (Tengku Razaleigh) harus menilai sokongan ahli. Saya dapati cuma di peringkat rendah (akar umbi) yang menyokongnya. (Sebaliknya) Pak Lah mendapat sokongan daripada Ketua-Ketua Bahagian Umno sehingga mereka tidak boleh buka mulut sama sekali.
"Dulu mereka (Ketua Bahagian) yang pernah cabar Datuk Seri Abdullah, sekarang senyap...saya fikir susah (bagi Tengku Razaleigh untuk menang).
(Bagaimanapun) dalam parti Pak Lah akan menang tetapi dalam pilihan raya, dia akan kalah," katanya.
-- BERNAMA
Rumah Datuk Seri Shahrizat Dilontar Dua Bom Api - BERNAMA
KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Polis menemui dua bom api di kediaman Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di Jalan Setia Kasih, Bukit Damansara, di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Ahmad Bhari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan penemuan itu dan menerima laporan mengenainya pada pukul 7.10 pagi.
Katanya siasatan awal polis mendapati bom api itu dipercayai dilontar dari luar pagar rumah banglo Shahrizat oleh dua lelaki tidak dikenali dan jatuh di tempat letak kereta rumah itu pada kira-kira pukul 3 pagi ini.
"Pengawal keselamatan di rumah itu terdengar bunyi letupan kecil dan hasil pemeriksaan mendapati dua bom petrol itu dengan satu daripadanya pecah dan mengandungi sekeping nota. "Polis menemui kesan bakar yang kecil serta serpihan kaca," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini tanpa mengulas lanjut kandungan nota berkenaan.
Ketika kejadian Shahrizat dan anggota keluarganya sedang tidur. Tiada tangkapan yang dibuat setakat ini. Wan Ahmad Bhari berkata pengawal keselamatan rumah itu ternampak dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di depan rumah sebelum melontar sesuatu.
Ditanya sama ada kejadian itu adalah angkara dendam, Wan Ahmad berkata polis belum mengenalpasti motif sebenar dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi kesalahan perbuatan khianat menggunakan api atau benda letupan dengan niat menyebabkan kerosakan.
Adalah difahamkan rumah itu pernah didiami Pengerusi Majlis Peguam Malaysia Datuk S. Ambiga, sebelum dijual kepada Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno itu pada 2005.
Sementara itu, seorang anggota keluarga Shahrizat, yang tidak mahu namanya disiarkan ketika ditemui pemberita di sini, mendakwa beliau percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum "Memeluk Islam" hari ini.
"Suspek mungkin sangka Ambiga masih tinggal di rumah ini dan oleh itu mereka baling bom. Shahrizat sudah tiga tahun beli rumah ini," katanya.
Pulau Jawa Akan Kehabisan Air Pada Tahun 2030, Kata Pakar - BERNAMA
BANDUNG, 9 Ogos (Bernama) -- Pulau Jawa yang kini dihuni 163 juta orang akan kehabisan bekalan air bumi pada tahun 2030 akibat kerosakan alam sekitar di sepanjang daerah aliran sungai, kata Ketua Pusat Pengelolaan Alam Sekitar Pulau Jawa, Sudarsono.
Beliau berkata perubahan dalam penggunaan tanah yang agresif di kawasan berkenaan juga tidak membantu dalam menangani keadaan itu.
"Dengan jumlah penduduk 163 juta orang dan lemahnya sokongan terhadap perlindungan alam sekitar serta pemulihan kawasan yang rosak, maka sedikit demi sedikit, tetapi pasti, kekurangan air benar-benar akan terjadi," katanya sebagaimana yang dipetik oleh agensi berita Antara, Sabtu.
Menurutnya beberapa langkah sedang diatur untuk menghadapi krisis air itu termasuk dengan memperbaiki 13 daerah aliran sungai di sepanjang Pulau Jawa, antaranya di Brantas, Serayu, Cisanduri, Cidano dan Jatunselung.
Beliau berkata kerosakan paling serius berlaku di daerah Jawa Barat dan usaha pemulihan kawasan di terjejas juga tidak memberikan hasil yang memuaskan, termasuk akibat penanaman pohon jati, yang secara ekologi tidak dapat menyerap air.
-- BERNAMA
Azizulhasni ketuai perarakan kontinjen Malaysia - UTUSAN
|
|
BEIJING – Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang mengetuai perarakan masuk kontinjen Malaysia pada upacara pembukaan Sukan Olimpik 2008 yang berlangsung di Stadium Sarang Burung di sini, semalam.
Atlet kelahiran Terengganu berusia 20 tahun itu yang segak berpakaian baju Melayu berwarna kuning diberi penghormatan untuk membawa Jalur Gemilang pada temasya sukan terbesar di dunia itu.
Seramai 33 atlet dan pegawai Malaysia terlibat dalam perarakan itu termasuk ketua kontinjen, Datuk Ho Koh Chye.
Kontinjen negara masuk ke dalam stadium sebagai kontinjen yang ke-10 selepas kontinjen Madagascar.
Sebanyak 204 negara terbabit pada acara pembukaan yang penuh warna warni dan meriah itu.