Saturday, January 15, 2011

Malaysia Airports kendali 34.3 juta Penumpang Di KLIA Pada 2010

SEPANG: Malaysia Airports mengendalikan 34.3 juta penumpang tahun lepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), peningkatan kira-kira 14.8 peratus daripada 29.1 juta penumpang yang dicatatkan pada 2009.
Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Operasinya Datuk Azmi Murad berkata, pertumbuhan itu hampir berganda daripada apa yang dijangkakan oleh pengendali lapangan terbang itu bagi tahun tersebut, yang mana merupakan kira-kira lapan peratus.
"Kami melihat peningkatan dari segi kekerapan daripada syarikat penerbangan yang beroperasi ke KLIA, terutamanya dari Timur Tengah," kata Azmi, Sabtu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima pesawat baharu Boeing 737-800 Garuda Indonesia bagi operasinya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Azmi berkata Emirates, Qatar Airways dan Etihad Airways telah meningkatkan kekerapan mereka ke Malaysia sepanjang tahun lepas. Pada masa yang sama, syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan Air Asia X juga menyumbang kepada pertumbuhan yang kukuh.
"AirAsia X menghubungkan penumpang dari Australia ke Terminal Penerbangan Tambang Murah sebelum memindahkan mereka ke Eropah," jelasnya.
Mengenai perkembangan lain, Azmi berkata iklim ekonomi global yang bertambah baik juga menyumbang kepada pertumbuhan penumpang di KLIA.
Pada 2006 KLIA disenaraikan sebagai lapangan terbang ke-13 paling sibuk di dunia dari segi trafik penumpang antarabangsa.
Bagi tahun ini, beliau berkata Malaysia Airports menyasar pertumbuhan tujuh peratus dalam pengendalian penumpang.
"Tahun ini, kami telahpun mempunyai satu syarikat penerbangan baharu, Firefly Jet. Hari ini, syarikat penerbangan itu memulakan operasi dari sini dengan dua penerbangan masing-masing ke Kuching dan Kota Kinabalu.
"Ini akan menjadi satu yang positif bagi kami. Kami menjangka menyaksikan bilangan penumpang yang bertambah menggunakan Firefly," katanya.
Mengulas mengenai Garuda Indonesia menggunakan pesawat generasi baharu Boeing 737-800 bagi operasinya ke Kuala Lumpur bermula hari ini, Azmi berkata:"Ia juga bakal menyumbang kepada peningkatan penumpang dari republik itu."
Menurut Malaysia Airports, ia menerima sejumlah 3,896,054 penumpang dari Indonesia tahun lepas, peningkatan 7.3 peratus dari 2009.
Sementara itu, Naib Presiden Pemasaran Garuda Indonesia, Don Jusuf Palito Bustan berkata, pesawat baharu itu yang akan meningkatkan kapasiti muatan sehingga 40 peratus, akan melipatgandakan bilangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan penerbangan di laluan permintaan tinggi ini.
"Potensi pasaran masih terbuka kepada kami. Kami melihat trafik yang menggalakkan. Itulah sebabnya mengapa kami menggunakan pesawat baharu ini," katanya.
Don Jusuf juga berkata syarikat penerbangan utama Indonesia itu bersiap sedia untuk memanfaatkan Polisi Langit Terbuka Asean yang berkuat kuasa pada 2015.
"Kami bukan hanya merancang meningkatkan kekerapan tetapi juga destinasi seperti dari Jakarta ke Pulau Pinang atau Medan ke Kuala Lumpur," katanya.
Menurutnya, orang Medan selalu terbang ke Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan perubatan menggunakan syarikat penerbangan lain untuk pergi ke negeri tersebut.
Selain menggunakan pesawat lebih besar, Garuda Indonesia juga meningkatkan kekerapannya dari Jakarta kepada dua kali sehari daripada tiga kali seminggu sebelumnya. -BERNAMA

Bakar patung bantah peguam minta perlahan azan

Kira-kira 100 orang berhimpun di perkarangan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi membantah tindakan seorang peguam bukan Islam yang meminta laungan azan diperlahankan.
NONE
Dengan memegang kain rentang serta laungan Allahuakbar, mereka juga turut membakar patung peguam berkenaan.

Bantahan itu diketuai oleh Pengerusi Majlis Ayahanda Wilayah Persekutuan, Zakaria Awang selepas solat Jumaat.

Dalam kenyataan yang dibacanya, Zakaria berkata Majlis Ayahanda, NGO dan persatuan penduduk dukacita dan terhiris dengan tindakan peguam itu.

Katanya, masjid itu wujud 30 tahun lalu dan sepanjang tempoh tersebut, tidak pernah kedengaran tohmahan seperti itu.

Semalam, pihak pengurusan Majid Al-Ikhlasiah dilaporkan mengambil pendekatan memperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan termasuk ketika solat Jumaat, ekoran aduan seorang peguam bukan Islam yang mendakwa bunyi solat di masjid itu "amat lantang".

NONEKetua imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu.
Zakaria yang juga pengerusi Pertubuhan Kebajikan & Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) Lembah Pantai menegaskan bahawa azan adalah sebahagian daripada ibadah umat Islam dan telah lama dipraktikkan. 

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan mengambil tindakan termasuk di bawah akta hasutan, atau menggunakan peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana mendakwa ia menggugat keharmonian kaum.

Zakaria juga menuntut peguam berkenaan memohon maaf, serta mendesak ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menyatakan pendiriannya berhubung isu ini.

NONETurut menyertai perhimpunan itu adalah Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sementara itu, ketika ditemui media, wakil Persatuan Penduduk Kariah Masjid Al-Ikhlasiah Fauzi Che Ahmad mempersoalkan tindakan peguam itu yang menurutnya, seolah-oleh "tidak faham sensitiviti" umat Islam di situ. 

"Islam adalah agama rasmi, sepatutnya beliau menghormati sensitviti orang Melayu dan Islam demi keharmonian satu Malaysia," katanya.

Orang ramai yang menyertai demontrasi tersebut turut membawa kain rentang bertulis "Laungan azan, laungan keramat" dan "Kami rela mati demi mempertahankan agama Islam".

Manakala beberapa keping poster turut dipamerkan antaranya bertulis "Jangan main api", "Jangan kurang ajar" dan "Ini negara aman, kenapa bikin panas".

NONEPerhimpunan selama setengah jam mulai 2 petang itu, berakhir tanpa sebarang insiden yang tidak diingini. Kira-kira 20 anggota polis mengawal di sekitar masjid tersebut.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Nurul Izzah berkata Islam menuntut umatnya mencari kebenaran secara beradab. 

"Kesederhanaan dan keharmonian harus dipelihara," kata naib presiden PKR itu, sambil mengajak pihak yang terbabit untuk bersama dengannya mencari kebenaran dalam isu azan di Masjid Al-Ikhlasiah.

Beliau yang menggesa agar umat Islam mendapatkan penjelasan bertulis daripada pihak berkuasa agama, sama ada wujudnya garispanduan berhubung laungan azan di masjid dan surau.

Puvaneswaran, Nicol atlet Olimpian 2010

R.Puvaneswaran menunjukkan pingat Olimpian Lelaki 2010 dan cek RM10,000 yang diterimanya pada majlis penyampaian khas anugerah tersebut di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Foto Rashid Mahfof



KUALA LUMPUR – Atlet karate negara, R. Puvaneswaran melakar kejutan apabila mengetepikan calon pilihan, yang juga jaguh berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang apabila dinobat Olimpian Lelaki Negara 2010, semalam.

Datuk Nicol David pula menepati ramalan apabila pemain skuasy No. 1 dunia itu dipilih sebagai Olimpik Wanita Negara, mengetepikan saingan jaguh wusyu negara yang memenang pingat emas Sukan Asia, Chai Fong Ying dan atlet terjun, Pandelela Rinong.

Ia merupakan kemenangan kedua buat Nicol, selepas menerima anugerah yang sama untuk 1998. Kemenangan tersebut membolehkan Puvaneswaran dan Nicol masing-masing membawa pulang RM10,000 sumbangan Coca-cola beserta trofi. Hadiah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Puvaneswaran, pemenang pingat emas acara Kumite lelaki bawah 55kg pada Sukan Asia 2010, berkata, dia terkejut dan tidak menyangka dipilih sebagai pemenang.

‘‘Saya tidak menduga boleh terpilih sebagai pemenang kerana calon untuk kategori lelaki cukup hebat seperti Azizulhasni, Alex Liew (boling) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton).

‘‘Ini adalah pengiktirafan tertinggi yang saya terima sepanjang karier saya dalam sukan ini.
‘‘Lebih penting, anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada sukan karate, kerana saya adalah penerima pertama dari sukan karate,’’ katanya.

Sementara Nicol tidak dapat hadir pada majlis semalam dan hadiah diterima oleh pengurus pasukan skuasy negara ke Sukan Asia, Peter Chee.

Menerusi rakaman video yang disiarkan pada majlis tersebut, Nicol mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak.

Katanya, anugerah itu pasti akan menyuntik semangat juangnya bagi menampilkan persembahan yang lebih mantap di masa depan.

Tahun lepas, pemain skuasy wanita No. 1 dunia itu meraih satu emas pada Sukan Komanwel dan dua emas pada Sukan Asia.

Beliau juga merupakan pemenang `National Sportswomen Award’ dari tahun 2006 hingga 2009.

Sathia dapat ilham 'skuad bayangan'

KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sudah menemui skuad bayangan yang akan membarisi kesebelasan utama Red Warriors untuk menghadapi perlawanan pembuka tirai menentang Selangor pada 29 Januari ini.

Menurutnya, senarai tersebut bagaimanapun masih lagi peringkat awal, memandangkan ada beberapa pemainnya mengalami kecederaan dan mungkin memerlukan rombakan.

"Skuad bayangan sudah ada, namun semua ini bergantung kepada tahap kecergasan pemain dan saya harap pemain yang cedera dapat pulih secepat mungkin. Mulai esok (hari ini) kita akan beraksi dalam empat siri perlawanan.
"Bermula dengan Kedah dan harap pemain dapat menunjukkan peningkatan. Saya tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat peningkatan mendadak yang ditunjukkan oleh para pemain kerana kita ada banyak yang perlu dihadapi," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Muhammed IV di sini, semalam.
Tambahnya, beliau mahu pemainnya menunjukkan peningkatan secara berperingkat dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Menurut Sathianathan, dia tidak akan mengambil mudah perlawanan persahabatan ini dan mahukan pemainnya memberikan tumpuan sepenuhnya.

"Perlawanan ini cukup penting buat kita dalam membentuk persefahaman yang mantap di kalangan pemain, selain memperbaiki kelemahan yang ada.

"Inilah peluang buat semua pemain untuk mendapatkan semula rentak permainan, kerana ia tidak boleh datang dalam satu atau dua perlawanan sahaja,'' katanya.

Jelasnya, pasukan-pasukan lain termasuk dari utara tanah air sudah beraksi sepuluh perlawanan, sedangkan pasukannya baru sahaja memasuki perlawanan kelima.

Sesi latihan semalam menyaksikan Red Warriors turun tanpa beberapa pemain utama seperti Khalid Jamlus dan K. Soley. Namun, ia merupakan penampilan sulung anak pengurusi Kelab Bola Sepak Cardiff City, Nicholas Can yang akan menyarung jersi pasukan itu.

"Saya beri Soley pelepasan kerana emaknya masuk hospital dan berada dalam keadaan kritikal, manakala Khalid di hantar ke Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapat rawatan bagi memulihkan kecederaan yang dihadapinya," katanya.

Sepanjang enam siri perlawanan persahabatan setakat ini, Kelantan tewas tiga, selebihnya mencatatkan keputusan seri.

Harga minyak kekal AS$105 setong

KUALA LUMPUR 14 Jan. - Momentum industri minyak dijangka tidak berubah dan harga-harga berada pada purata AS$105 (RM320) setong dalam tempoh 12 bulan, iaitu semakan secara menaik daripada anggaran awal MIDF Research pada AS$90 (RM275) hingga AS$95 (RM290) setong.
Ia berkata kecairan dan kemerosotan dalam dolar AS, diikuti dengan permintaan yang meningkat, terutamanya dari pasaran-pasaran baru muncul mendorong kenaikan komoditi itu.
Harga minyak mentah mengukuh kepada AS$91.55 (RM279) setong pada 3 Januari, paras paling tinggi sejak krisis kewangan 2008.
"Ia ada merosot sedikit lewat ini tetapi ia tidak mengubah keyakinan kami yang harga akan kembali kukuh tahun ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Menurut kaji selidik industri yang dikendalikan oleh Barclay Capital Global, perbelanjaan cari gali dan pengeluaran minyak seluruh dunia telah meningkat sebanyak 16 peratus daripada AS$422 bilion (RM1.287 trilion) tahun lepas kepada AS$490 bilion (RM1.495 trilion) tahun ini dengan kadar pertumbuhan terbesar berpusat di pasaran-pasaran baru muncul di Timur Tengah, Afrika Utara, Amerika Selatan dan Asia Tenggara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...