Sunday, October 5, 2008

Tiga Calon Exco Pergerakan Pemuda Umno Pusat Dari Kelantan - BERNAMA

05 Oktober, 2008 20:54 PM

KOTA BAHARU, 5 Okt (Bernama) -- Pemuda Umno Kelantan menamakan tiga calon ketua Pemuda bahagian untuk merebut kerusi Exco di peringkat Pusat pada pemilihan Mac depan.

Ketuanya Dali Hussin berkata mereka ialah setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Kelantan Anuar Safian, Ketua Penerangan Pemuda Umno Negeri, Affendi Yusof yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pasir Mas dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin.

Calon-calon berkenaan diharap dapat diterima dan disokong oleh perwakilan termasuk dari negeri lain memandangkan pemilihan sebelum ini wakil Pemuda dari Kelantan tidak terpilih, katanya kepada Bernama.

"Kita nak pastikan wakil kita ada di peringkat pusat, dengan cara itu mereka dapat beri perhatian dan membawa suara kita ke peringkat pusat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

-- BERNAMA

Chong Wei terlepas gelaran Terbuka Macau. - UTUSAN

05/10/2008 6:56pm

MACAU 4 Okt. - Hajat pemain nombor satu dunia Lee Chong Wei untuk menggondol gelaran Terbuka Macau tidak kesampaian selepas tewas 21-19, 21-15 kepada per seorangan Indonesia Taufik Hidayat hari ini.

Perlawanan yang berlangsung selama 38 minit itu menyaksikan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing itu tidak terdaya menahan asakan dan pukulan smash kencang Taufik.

Namun kekecewaan Chong Wei sedikit terubat selepas gandingan beregu negara Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong menang dalam perlawanan akhir menewaskan pasangan Taiwan Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu 21-16, 21-18.

Hasrat pemain perseorangan wanita negara, Julia Wong untuk melakukan kejutan muncul juara juga tidak berhasil selepas dikalahkan oleh pemain Hong Kong, Zhou Mi 21-13, 21-19.

Keputusan Turunkan Lagi Harga Minyak Selepas Mesyuarat Kabinet Akhir Bulan - BERNAMA

05 Oktober, 2008 17:33 PM

JOHOR BAHARU, 5 Okt (Bernama) -- Keputusan bagi menurunkan lagi harga minyak hanya boleh dibuat selepas mesyuarat Kabinet akhir bulan ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.

Bercakap kepada pemberita semasa rumah terbuka Hari Raya yang dianjurkannya di Dewan Raya Kampung Melayu Majidee di sini hari ini, beliau berkata harga minyak runcit di pasaran dunia pada masa ini menunjukkan penurunan yang menggalakkan.

"Dalam tempoh tiga hari ini harga minyak runcit di pasaran berada di bawah US$100 setong dan jika ini berterusan sehingga akhir bulan ini kita boleh turunkan harga minyak," katanya.

Pada 24 September lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol dan diesel diturunkan sebanyak 10 sen.

Berikutan itu, harga minyak petrol jenis RON 97 turun kepada RM2.45 seliter, RON 92 kepada RM2.30 seliter, manakala diesel kepada RM2.40 seliter.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...