Friday, April 8, 2011

Bekas pegawai bank dipenjara dedah maklumat akaun

KUALA LUMPUR 8 April – Seorang bekas pegawai bank dipenjara dua hari dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mendedahkan maklumat akaun-akaun Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Wee Ka Siong kepada orang lain pada Februari tahun lepas.

Hakim S.M. Komathy Suppiah membuat keputusan itu terhadap K. Jeyamary, 34, yang kemudian mengarahkan tertuduh menjalani hukuman bermula hari ini.

Komathy turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu, bagaimanapun beliau membenarkan tertuduh menjelaskan denda itu secara ansuran sebanyak lima kali.

Jeyamary, yang sebelum ini bekerja di Malayan Banking Berhad (Maybank) di Setapak, didakwa telah mendedahkan maklumat akaun-akaun itu kepada kenalannya yang juga seorang penyiasat persendirian, M. Ramesh, sewaktu bekerja dengan bank itu.

Jeyamary, yang diwakili peguam Jag Ramachandran, melakukan kesalahan itu di Tingkat 2, Setapak Business Centre, Jalan Genting Klang dekat sini, pada 10 Februari tahun lalu mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya. – Bernama

SPRM jalan soalsiasat di aras bawah sahaja

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menggariskan beberapa langkah keselamatan termasuk arahan supaya soalsiasat hanya dijalankan di aras bawah bangunan SPRM, berkuatkuasa serta-merta.
Di bawah arahan terbaru itu, orang luar hanya dibenarkan masuk hingga ke ruang tamu sahaja.

Perkara itu diumumkan oleh timbalan ketua pesuruhjaya SPRM (pengurusan dan profesionalisme), Datuk Zakaria Jaafar dalam satu sidang akhbar di ibupejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini.
Menurutnya, bahagian keselamatan telah diarahkan mengambil langkah maksimum, dengan tertuduh hendaklah selesai ditemuduga di aras bawah sahaja.
Bagi SPRM di negeri yang tidak mempunyai aras bawah, iaitu pejabat yang disewa, pula diarahkan supaya mengambil langkah keselamatan yang maksimum

Baru Bian KM Sarawak jika BN ditumbangkan

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak jika Pakatan Rakyat menumbangkan BN pada pilihanr raya negeri ke-10, 16 April ini.

NONEPersetujuan itu diputuskan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dan diumumkan di Kuching ketika pelancaran manifesto mereka yang 'Ketuanan Rakyat'.

Hadir ketika pengumuman itu adalah Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan ahli jawatankuasa pusat PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin serta calon-calon Pakatan yang bertanding pada pilihan raya ini.

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata perlantikan Baru itu diputuskan pada mesyuarat majlis Pakatan Sarawak.

“Pendirian kita adalah jelas. Kita mahu Baru jadi KM (jika beliau menang),” kata Chong.

NONEDr Wan Azizah berkata nama Baru dicadangkan kerana beliau adalah pemimpin negeri.
Baru adalah pemimpin veteran dan pembabitannya dalam politik bermula dengan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Kongres Dayak Malaysia dan juga pernah bertanding di bawah tiket Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) pada 2006.

Beliau terkenal dengan kelantangannya memperjuangkan tanah hak adat pribumi (NCR) dan pada pilihan raya ini bertading di DUN Ba'Kelalan di bahagian timur Sarawak. Baru dijangka memenangi kerusinya itu.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata pelantikkan ketua menteri atau menteri besar boleh diselesaikan seperti kes Perak pada 2008.

NONEMeskipun PAS adalah parti minoriti dalam kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, namun Nizar dilantik sebagai menteri besar.

“Untuk masa ini, soalan itu tidak timbul. Hanya apabila kita diberi mandat, seorang daripada kami yang berkelayakan akan menerajui kerajaan negeri.

“Saya fikir soalan itu tidak penting sekarang. Maksud saya, saya juga tidak pernah terfikir akan menjadi menteri besar di Perak,” katanya.

Pada pilihan raya 16 April ini, Pakatan bertanding di semua 71 kerusi dengan PKR berentap di 49 kerusi, DAP 15 dan PAS 5.

Salleh dakwa KM S'wak dikelilingi bomoh

Calon Bebas Balingian Datuk Salleh Jafaruddin mendakwa Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dikelilingi oleh 'bomoh luar negara'.

NONE“Kita mahu selamatkan Sarawak daripada dipimpin seorang ketua yang tunduk dan menyerahkan akal fikiran, keupayaan fizikal dan kerohanian dipengaruhi bomoh sihir luar negara yang mengelilinginya.

“Saya secara peribadi saya berjumpa dan berdepan dengan tiga bomoh itu pada hari penamaan calon di Mukah.

“Saya beritahu mereka tidak ada hak memberi nasihat spiritual kepada ketua menteri, khususnya pada pilihan raya sehingga mempengaruhinya dalam keputusan memuktamadkan senarai calon Barisan Nasional,” kata Salleh (atas,kanan) pada sidang media hari ini.

Dakwanya, tiga bomoh berkenaan, seorang dipercayai rakyat Australia dan seorang lagi berbangsa Yahudi bekerjasama dengan naib presiden kanan PBB, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, adik perempuan Taib - Radziah Mahmud dan Taib sendiri semasa menyediakan senarai calon BN.

NONE“Tidak ramai yang mengetahui cerita ini, sehingga hari penamaan calon pada 6 April lalu di Mukah. Pengaruh mereka ke atas cengkaman politik Taib begitu besar dan sukar diatasi, malah ia mengatasi pengaruh politik perdana menteri kita,” dakwa Salleh yang juga adalah sepupu Taib.

Salleh, bekas timbalan menteri pelajaran juga menuduh Taib menipu pemimpin PBB, parti-parti komponen BN, seluruh pengundi Sarawak sejak 30 tahun lalu bahawa masih belum menemui pemimpin yang sesuai bagi menggantikan dirinya.

“Jika 30 tahun tidak memadai bagi memilih pengganti, adakah awak percaya dalam beberapa bulan ini selepas pilihan raya, dia boleh tiba-tiba memilih seseorang bagi gantikannya kecuali seseorang itu dicadangkan oleh bomohnya,” katanya.

Rakan sekerja Sarbani syak berlaku unsur khianat


Beberapa orang rakan Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed yang ditemui hari ini mengesyaki berlakunya unsur khianat dalam keskematian pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu.
NONESalah seorang rakannya sekerja Allahyarham, yang enggan dinamakan, berkata Ahmad Sarbani berdepan dengan tuduhan menerima rasuah.
Namun, beliau menjelaskan bahawa Allahyarham merupakan pegawai yang "paling bersih" dan paling disukai di kalangan kakitangan beliau di pejabat JKDM Selangor itu.
Katanya, kakitangan berkenaan mengetahui siapakah yang sebenarnya menerima rasuah dan Allahyarham setentunya tidak berbuat demikian.
NONESumber berkenaan turut mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memaksa Allahyarham supaya mengakui dakwaan berkenaan.
SPRM turut mengugut untuk memenjarakan pegawai kastam berkenaan sekiranya tidak mengakui dakwaan tersebut, dakwa sumber itu lagi.

Ibu pengsan bila lihat jenazah Ahmad Sarbani

Ketibaan jenazah Ahmad Sarbani Mohamed petang ini disambut dengan perasaan sayu dan hiba oleh kira-kira 400 orang yang memenuhi Surau Ar-Rahman, Kelana Jaya untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

NONEAda di kalangan mereka yang mengalirkan air mata, malah wanita yang dikenalpasti sebagai ibu kepada Allahyarham turut pengsan untuk beberapa ketika apabila melihat wajah Ahmad Sarbani.

Jenazah yang telah dikafankan itu dibawa daripada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan tiba dengan kenderaan jenazah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada kira-kira jam 5.10 petang ini.
Sebaik tiba, jenazah Allahyarham diletakkan di hadapan mimbar surau berkenaan dan wajahnya dibuka untuk ditatap buat kali terakhir.
Jenazah itu kemudiannya disembahyangkan oleh jemaah yang turut mengadakan majis tahlil dan bacaan surah Yassin serta solat hajat sebelum itu.
NONEJenazah berkenaan kini dibawa ke tanah perkuburan Islam di Kota Damansara dan semalam disemadikan pada kira-kira jam 6.30 petang.
Difahamkan, satu bedah siasat juga telah dijalankan ke atas jenazah Allahyarham di HUKM dan satu analisis juga dibuat ke atas keputusan bedah siasat berkenaan.
Jenazah Allahyarham telah dimandi, dikafan dan turut disembahyangkan di HUKM.
Ahmad Sarbani ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di ibu negara pagi semalam.

Ahmad Sarbani yang merupakan pembantu pengarah di pejabat JKDM Selangor berada di pejabat SPRM itu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.
NONETerdahulu, imam bagi solat hajat yang dijalankan sebelum itu mengumumkan bahawa solat sunat berkenaan bertujuan untuk mendapatkan petunjuk Allah bagi menyerlahkan kebenaran dan menyelesaikan kes berkenaan.
Malaysiakini turut menemui beberapa orang rakan Allahyarham ketika kunjungan di kediaman Allahyarham di Kelana Jaya.
Ada di antara mereka yang datang dari Kampung Lambor Kanan, Parit, Perak, untuk menziarahi keluarga Allahyarham.
Ada juga di kalangan mereka yang menyatakan rasa terkejut dan tidak percaya bahawa kawan sekampung mereka itu telah meninggal dunia.

NONESalah seorang daripada mereka berkata Ahmad Sarbani adalah seorang rakan yang baik dan tidak pernah meninggalkan solat.

"Kami boleh cakap mengenai peribadinya sahaja. Mengenai kes ini, kami tak tahu," sampuk seorang rakannya yang lain.

Sementara itu, seorang guru agama kepada anak bongsu Allahyarham turut menyatakan rasa sedihnya atas pemergian Ahmad Sarbani.
Said Mahmud berkata beliau juga seperti tidak percaya bahawa pegawai kastam itu telah meninggal dunia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...