KUALA LUMPUR, 24 Feb: Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Fauzi Ramlan didesak meletakkan jawatannya, ekoran kelemahan dan kegagalannya dalam menangani PRK kampus itu dengan baik, sehingga dilihat langsung tidak berkredibiliti.
Di mata mahasiswa UPM, Dr Fauzi bukanlah seorang yang berwibawa untuk memegang jawatan itu dan tempatnya perlu digantikan oleh individu lain yang lebih berkelayakan.
Jurucakap Majlis Politik Nasional (MPN) Gamis, Shukri Kamarudin berkata, desakan tersebut kini sedang disuarakan dengan keras oleh para pelajar UPM dan ia perlu didengar oleh Dr Fauzi demi kepentingan UPM itu sendiri.
Menurut beliau, bukti kegagalan Dr Fauzi dalam menjalankan tugasnya cukup banyak, tetapi antara yang amat ketara termasuklah kegagalannya dalam melaksanakan tanggungjawab bagi menghidupkan sistem demokrasi terhadap pilihanraya kampus.
Katanya, selain itu, beliau juga begitu angkuh sehingga langsung tidak mahu mendengar suara, pandangan, bantahan dan desakan para pelajar berhubung sesuatu isu, khususnya berhubung PRK kampus itu, walaupun ia amat baik untuk dilaksanakan.
"Lebih ketara lagi, beliau tetap enggan memohon maaf kepada para pelajar, khususnya aktivis Pro Mahasiswa (Pro-M) UPM, walaupun mereka telah dianiaya, didiskriminasi dan diperlakukan dengan tidak sepatutnya sebegitu teruk oleh beliau," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
PRK UPM menjadi amat kacau apabila 11 calon Pro-M yang menang 21 Februari lalu dibatalkan kemenangannya atas alasan amat tidak munasabah, iaitu menyertai pilihanraya secara berkumpulan.
Walaupun tindakan yang sama turut dilakukan oileh pihak lawan, tetapi calon-calon Pro Aspirasi tidak pula menerima nasib buruk itu, sehingga jelas memperlihatkan sikap diskriminasi pihak terbabit khususnya Jawatankuasa Pelaksana PRK kampus itu terhadap mereka.
Setelah didesak dan dibantah oleh calon-calon dan aktivis Pro-M yang mula berkumpul beramai-ramai di hadapan pejabat pentadbiran UPM sejak malam semalam, pembatalan kemenangan mereka itu telah ditarik balik dan surat rasmi mengenainya telah dikeluarkan oleh Dr Fauzi.
Tindakan pembatalan itu ternyata amat menyusahkan para pelajar. Selain harapan mereka untuk berunding tidak dilayan dengan baik, 11 calon Pro-M terbabit turut dikenakan bayaran RM100 setiap seorang untuk mengadakan bantahan, pada hal mereka adalah pelajar yang mempunyai kewangan amat terhad.
Menurut Shukri, tahun lalu, calon-calon Pro-M UPM turut menerima nasib sama apabila 7 calonnya dibatalkan kemenangannya, tetapi tahun ini menjadi lebih parah sehingga meningkat 11 orang atau kesemuanya.
Ekoran itu, delegasi aktivis Pro-M UPM tengah hari tadi turut menghantar satu memorandum kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di pejabatnya di Putrajaya yang isinya antara lain menuntut perjalanan demokrasi PRK UPM yang lebih baik, lebih telus dan demokratik pada masa akan datang.
"Selain itu, mereka juga menuntut agar perjalanan PRK di UPM pada masa akan datang bebas dari campur tangan politik luar, iaitu daripada para pemimpin parti tertentu, bagi menjamin perjalanan demokrasi yang telus.