Beliau bagaimanapun tidak mengumumkan siapakan calon dari MIC itu.
"Biar calon ditentukan oleh pengerusi BN (Najib) sebab saya nak kita menang," kata Najib yang juga pengerusi BN.
Sebelum ini, MIC telah mengemukakan timbalan presidennya, Datuk G Palanivel untuk bertanding sekali lagi di Hulu Selangor.
Umno bahagian juga mendesak supaya kerusi itu dikembalikan kepada Umno.
Bagaimanapun, semalam dilaporkan bahawa, Umno boleh menerima calon dari MIC tetapi bukan Palanivel.
'Makam kita tak sama'
Sementara itu, naib ketua Umno bahagian Hulu Selangor, Datuk Adnan Buyong, ketika diberitahu mengenai pengumuman najib itu berkata:
"Nak tanya apa? Pemimpin sudah umum. Dia pemimpin kita, apa dia cakap kita kena terimalah," katanya."Kita sebelum ini bagi pandangan sahaja. Dia mungkin ada kajian dia (yang tersendiri). Dia pemimpin, makam (kedudukan) kita tak sama.
"(Ketawa) Apa dia kata kita kena terimalah," kata Adnan.
Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas panjang kerana sedang sibuk berkonvenysen di Shah Alam.
Sementara itu, Najib berkata walaupun mungkin terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusannya memberikan laluan kepada MIC, ia hanya "merupakan adat biasa".
Batu loncatan pulihkan BN
"Kita ada beberapa perhitungan lain. Tetapi macam mana pun bila sampai kepada penentuan calon, mesti ada orang yang setuju dan ada yang tidak setuju.
"Itu merupakan adat biasa. Yang penting soal kepercayan dan kesetiaan. Setelah keputusan itu dibuat, mereka kena terima," katanya.
Perdana menteri juga yakin, berdasarkan kepada sentimen pengundi pada masa ini, sokongan memihak kepada BN.
"Bagaimanapun dalam pilihan raya kecil, ada faktor-faktor lain yang kita (perlu) ambil kira. Salah satu daripadanya, faktor calon. Sebab bila pilihan raya kecil, ia lebih fokus kepada calon.
"Kalau pilihan raya umum ia lebih kepada kepimpinan negara dan soal isu nasional," katanya.