Thursday, September 18, 2008

PM tolak sidang tergempar Parlimen - MALAYSIAKINI

Sep 18, 08 6:35pm

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menolak desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Parlimen mengadakan sidang tergempar untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kerajaan.

"Saya tidak nampak keperluannya kerana Parlimen akan bersidang selepas Ramadan," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi di PWTC hari ini.

Parlimen dijadual bersidang semula pada 13 Oktober depan.

Awal hari ini, Anwar berkata, beliau telah menghantar surat kepada Abdullah supaya mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Katanya, beliau telah membuat permohonan rasmi meminta supaya diadakan sidang tergempar Parlimen untuk membahaskan usul tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah, selewat-lewatnya pada 23 September.

Untuk tujuan persidangan tergempar parlimen itu, Abdullah berkata surat yang dihantar oleh Anwar "perlu dalam bentuk surat, bukan kenyataan akhbar".

"Panjang perkara itu. Biarlah saya tengok dulu. Ini pun bukan surat, hanya kenyataan akhbar semata-mata. Cadangan-cadangan semacam ini hendaklah dihantar dalam bentuk surat bukan hanya dibuat kenyataan akhbar sahaja. Mestilah ikut peraturan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibukota petang ini.

Abdullah juga berkata beliau tidak mempunyai rancangan untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) "terhadap Anwar atau sesiapapun".

"Saya tiada apa-apa rancangan untuk mengenakan ISA kepada sesiapa pun. Saya tidak kata apa-apa pun. Kalau ada orang terasa dia nak kena ISA itu, mungkin dia rasa bersalah, saya tidak tahulah," katanya.

Abdullah kini berdepan dengan usaha Anwar untuk mengambil alih kuasa melalui penyertaan ahli-ahli parlimen BN yang akan melompat menyertai Pakatan Rakyat.

Diminta mengulas permintaan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) memintanya mempercepatkan proses peralihan kuasa, secara sinis beliau berkata:

"Tak apalah. Biarlah mereka hendak cakap apa pun. Mereka pun dah orang pencen semua itu"

Mubarak hari ini meminta Abdullah mempercepatkan peralihan kuasa kepada timbalannya Najib elewat-lewatnya sebelum perhimpunan agung Umno pada 16 Disember ini bagi mengelakkan pergolakan dalam parti.

Abdullah juga enggan mengulas lanjut bila ditanya mengenai kesediaannnya mempertahankan kerusi presidennya dalam pemilihan Agung Umno akan datang.

"Mesyuarat belum bermula lagi dan apa-apa yang perlu saya laksanakan, apa-apa yang akan saya buat sekali lagi, itu terserah kepada saya. Saya akan cakap dengan Najib, tidak perlulah kamu ulang-ulang tanya," katanya.

Mesyuarat MT hari ini, kata Abdullah, turut membincangkan laporan Jawatankuasa Pengurusan bahawa terdapat ahli-ahli Umno yang menyokong pembangkang dalam pilihanraya ke-12 lalu.

Menurutnya lagi, ahli-ahli itu telahpun dikenalpasti dan parti akan menghantar surat kepada mereka yang berkenaan - satu daripada Beluran, tiga daripada Beufort - kedua-duanya daripada Sabah.

Beliau berkata, pertukaran portfolio beliau sebagai menteri kewangan dengan timbalannya turut disebut semula untuk catatan rekod, katanya.

Bagaimanapun, isu 'panas' penyertaan semula Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Umno tidak dibawa dalam perbincangan mesyuarat kali ini, kata Abdullah menjawab soalan pemberita.

Pakatan Rakyat desak adakan sidang tergempar parlimen - HARAKAH DAILY

Irwan Muhammad Zain | Foto Nasir Sudin
Thu | Sep 18, 08 | 4:04:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 18 Sept (Hrkh) - Pakatan Rakyat hari ini mendesak Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mengadakan sidang tergempar parlimen untuk membahaskan usul undi tidak percaya terhadap pentadbiran beliau.

Sidang tergempar itu perlu diadakan selewat-lewatnya pada Selasa depan (23 September 2008).

Desakan tersebut dibuat bersesuaian dengan Peraturan 11(3) Parlimen yang membolehkan sidang tergempar itu diadakan berdasarkan keadaan politik semasa.

Surat tersebut ditandatangani oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Penasihat KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Perihal mengutuskan surat kepada Perdana Menteri itu disampaikan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media yang Imagediadakan dua hari selepas tarikh yang diuar-uarkan oleh beliau untuk mengambil alih kerajaan pusat.

Turut hadir dalam sidang media itu adalah Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamaruddin Jaafar, Bendahari PAS Dr Hatta Ramli, Naib Presiden KeADILan Azmin Ali, Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua dan beberapa pemimpin lain. - mns_

Kerajaan Akan Lihat Suasana Negara Sebelum Ambil Tindakan Ke Atas Anwar - BERNAMA

18 September, 2008 17:29 PM

PUTRAJAYA, 18 Sept (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri akan memantau keadaan dan suasana dalam negara termasuk tindak tanduk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mengambil sebarang tindakan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata keselamatan dan ketenteraman awam penting bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan mana-mana pihak yang cuba menjejaskannya boleh dikenakan tindakan.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai agar jangan membuat sebarang andaian atau spekulasi mengenai tindakan kementeriannya.

"Lebih baik kita tengok suasana...bila tiba masanya jika perlu ambil tindakan kita akan ambil tindakan, tapi jangan buat spekulasi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berkata Anwar kini sudah menjadi ancaman kepada ekonomi dan keselamatan negara.

"Kita akan melaksanakan tugas untuk memerintah dan mentadbir sebagai mandat yang diberikan kerajaan. Apa tindakan yang akan kita ambil, kita akan ambil bila tiba masanya tapi saya tidak mahu bincangkan perkara ini sebelum masanya tiba dan perkara itu berlaku," kata Syed Hamid.

Syed Hamid berkata tidak ada keperluan untuk membincangkan perihal Anwar setiap hari seolah-olah Malaysia ditadbir dan dikawal oleh Anwar.



"Kita tidak perlu tiap-tiap hari bincang mengenai ketua pembangkang itu banyak lagi benda-benda yang boleh kita buat," katanya.

Mengenai penahanan penulis blog "Kickdefella", Syed Azidi Syed Aziz di rumahnya di Demit, Kota Baharu mengikut Akta Hasutan semalam, Syed Hamid berkata ia adalah sebahagian daripada pelaksanaan undang-undang.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata pegawainya telah menerima laporan polis yang dibuat oleh Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketika ditemui pada majlis yang sama, Ismail berkata bagaimanapun, beliau belum melihat laporan tersebut.

Semalam, Teresa melalui peguamnya Sankara Nair membuat laporan polis dan menyaman akhbar Utusan Malaysia, Pengarangnya Zaini Hassan dan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo kerana memfitnahnya berkaitan isu larangan azan di sekitar Kota Damansara, Sri Serdang dan Puchong Jaya.

Dalam perkembangan lain, Syed Hamid berkata Sistem Maklumat Penumpang Terkini (APIS) perlu dibangunkan bagi memastikan pengurusan kawalan keselamatan di semua lapangan terbang di negara ini dapat ditingkatkan.

Menerusi sistem itu, ia membolehkan maklumat penumpang yang akan datang ke negara ini diperolehi lebih awal oleh pihak yang berkaitan dengan keselamatan seperti Imigresen, katanya kepada pemberita selepas melawat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang hari ini.

"Cadangan APIS telah dipersetujui sejak dua tahun lepas dan sekarang kementerian sedang mengkaji cara untuk melaksanakannya," katanya.

Syed Hamid juga berkata jumlah anggota pasukan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diwujudkan bagi memperkuatkan lagi kekuatan anggota keselamatan sedia ada di lapangan terbang ditambah lagi menjadikan keseluruhannya seramai 800 orang.

Pasukan itu turut ditempatkan di lapangan terbang Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Langkawi dan Kuching.

Sebelum ini terdapat 141 anggota yang sudah ditempatkan di KLIA untuk mengawal kawasan balai berlepas dan tapak udara sejak Mei lepas.

-- BERNAMA

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...