Sunday, February 6, 2011

Kerajaan belum cadang naikkan harga minyak

BERA 6 Feb. - Kerajaan belum bercadang untuk menaikkan lagi harga petrol dan diesel walaupun harga minyak mentah dunia kini mencecah paras tertinggi iaitu 
RM380 setong hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kabinet masih belum membincangkan kenaikan harga minyak walaupun ia membebankan kerajaan. - Utusan

Anwar jelaskan peletakan jawatan Pajudin

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kelihatan bersungguh-sungguh menjelaskan soal berhubung peletakan jawatan Pajudin Nordin sebagai pengerusi perhubungan Sabah semalam.

"(Datuk Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dijadual ke Sabah pagi ini. Ia tiada kena mengena dengan peletakan jawatan Pajudin kerana ia telah dirancang lama dahulu. 

anwar keadilan network launch 230111"Lawatannya bertujuan menemui ketua cabang Sabah dan untuk mengumumkan pembekuan sementara pelantikan tajudin sebagai pengerusi perhubungan Sabah. Belum sempat membuat pengumuman, dia (Pajudin) letak jawatan. 

"Beliau (Wan Azizah) sepatutnya mengambil alih pengerusi perhubungan Sabah daripada Pajudin untuk sementara, kemungkinan beberapa bulan sehingga semuanya disusun dengan baik," kata Anwar dalam sidang media yang padat dengan wartawan sehabisnya lawatan dua harinya di Sarawak hari ini.

"Mungkin dia (Pajudin) rasa pembekuan itu tamparan yang hebat, jadi dia tinggalkan (parti)."

Semalam, PKR Sabah yang dilihat sedang dibelenggu masalah menerima satu lagi tamparan apabila Pajudin Nordin mengumumkan keluar dari parti dan berhasrat menyertai Umno.

Pajudin, 42, yang belum sebulan memegang jawatan tersebut, membuat pengumuman itu dalam satu sidang akhbar bersama ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya, petang semalam.

Pajudin dilaporkan berkata keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan kepimpinan pusat iaitu Anwar dan Dr Wan Azizah yang didakwa tidak serius menangani masalah dan isu-isu berkaitan Sabah.

Bas hilang kawalan

TAMPARULI: Kegembiraan 12 pelancong warga Korea selepas berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu terencat apabila dua daripada mereka patah kaki selepas bas pesiaran dinaiki terbabas lalu merempuh lereng bukit di Kilometer 9.5 Ranau-Tamparuli, di sini, kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke hotel di Kota Kinabalu selepas turun dari gunung tertinggi di Asia Tenggara itu dengan menaiki sebuah bas bersama dua pemandu dan pemandu pelancong warga tempatan.

Kedua-dua pelancong terbabit yang masing-masing berusia 30 dan 40 tahun patah kaki akibat terhantuk pada kerusi bas, manakala yang lain cedera ringan selepas bas yang dalam perjalanan dari Taman Kinabalu di Kundasang dekat Ranau itu terbabas sebelum melanggar tebing bukit di kiri jalan.


Difahamkan, bas yang bertolak dari bandar raya jam 7 pagi itu terbabas selepas breknya tidak berfungsi ketika menuruni bukit di lokasi kejadian.

Pemandu pelancong, Jas Lezra, 27, berkata dia terkejut apabila menyedari bas dinaikinya seolah-olah terbang dan terhentak dengan kuat.


“Ketika itu saya duduk di depan bersama seorang rakan saya yang juga pemandu pelancong dari Korea. Kami hanya mampu menjerit dan memeluk kerusi, manakala yang lain menjerit meminta tolong.




“Beberapa saat kemudian, bas itu berhenti dan saya melihat rakan saya tersadai di tempat pemandu. Ketika itu saya tidak mampu bergerak kerana tangan kiri saya cedera,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Jas berkata, ketika kejadian, bas dinaikinya tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar tebing bukit, namun mereka bernasib baik kerana tidak bertembung dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.


“Kami bersyukur kerana kemalangan ini tidak menyebabkan kematian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Suhaimi Wiro berkata, siasatan awal polis mendapati, bas pesiaran yang membawa 15 penumpang termasuk dua pemandu itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tebing bukit.


“Akibatnya, dua penumpang cedera parah manakala yang lain cedera ringan. Dua yang cedera itu kini dirawat di Pusat Perubatan Sabah (SMC) manakala yang lain menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tuaran,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata, setakat ini polis belum mengambil keterangan daripada pemandu bas terbabit kerana masih dirawat di hospital.

Ketua PKR Sabah umum keluar parti, sertai Umno

PKR Sabah yang sedang dibelenggu masalah menerima satu lagi tamparan apabila ketua perhubungan negerinya, Pajudin Nordin mengumumkan keluar dari parti dan berhasrat menyertai Umno.
Pajudin, 42, yang belumpun sebulan memegang jawatan tersebut, membuat pengumuman itu dalam satu sidang akhbar bersama ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, di kediaman rasmi ketua menteri di Sri Gaya, petang tadi.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana kecewa dengan kepimpinan pusat iaitu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak serius dalam menangani masalah-masalah dan isu Sabah.

"Saya kesal kerana Datuk Seri Anwar selama ini mengatakan bahawa beliau menghormati hak-hak negeri Sabah, tetapi tingkah lakunya jelas menunjukkan bahawa beliau mengamalkan 'cakap tidak serupa bikin'.

"Maka saya menganggap PKR di Sabah ini sudah tidak relevan untuk kita jadikan sebagai satu parti masa hadapan atau parti yang dikatakan akan menuju ke Putrajaya... Maka saya mengisytiharkan diri keluar dari PKR dan melepaskan semua jawatan saya di dalam parti," katanya.

"Setelah melihat perkembangan politik, saya seterusnya memohon untuk menyertai Umno dan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa kerana hanya BN yang telah lama memperjuangkan hak rakyat dan banyak menyumbang kepada rakyat," jelas beliau. 

Katanya beliau telah mengemukakan surat perletakan jawatan lewat petang tadi melalui faks, SMS, dan e-mel ke PKR pusat dan percaya ramai lagi ahli PKR terutamanya ketua-ketua dan ahli jawatankuasa cabang akan turut serta meninggalkan parti kerana ada yang menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap cara kepimpinan pusat.

"Saya percaya keputusan untuk keluar dari PKR akan disusuli oleh ramai lagi rakan-rakan kepimpinan yang berada dalam PKR Sabah bila melihat senario politik PKR yang kita anggap sebagai satu parti yang sudah kucar-kacir, tidak ada hala tuju dan tidak ada pembelaan daripada pemimpin-pemimpin di peringkat pusat," tambahnya lagi.

Sebelum ini perlantikan Pajudin sebagai ketua PKR Sabah pada 10 Jan lalu, merupakan satu kejutan kerana ini pertama kalinya pemimpin bagi negeri Sabah dilantik dari bukan kalangan ketua-ketua cabang dalam parti itu. Pajudin merupakan naib ketua cabang PKR Tuaran.

Baru-baru ini, 18 daripada 24 ketua cabang PKR Sabah telah membuat bantahan terhadap perlantikan Pajudin yang lebih mesra dikenali sebagai 'ustaz'.

Pajudin yang menyertai PKR sejak 1999 berkata walaupun selepas dilantik sebagai ketua PKR Sabah, beliau tidak pernah mendapat kerjasama dan sokongan dari Anwar dan Dr Wan Azizah, dan ini menunjukkan mereka 'sengaja mempermain-mainkan' pemimpin PKR Sabah.

Ditanya sama ada beliau keluar dari parti disebabkan bantahan daripada 18 ketua cabang terhadap perlantikan beliau, Pajudin berkata: "Tidak. Bagi saya setelah dilantik oleh presiden melalui perlembagaan parti, maka saya anggap perkara itu sudah selesai."

Sementara itu Musa berkata trend satu demi satu pemimpin PKR keluar daripada parti, jelas menunjukkan bahawa PKR dan Pakatan Rakyat tidak relevan lagi di negara ini atau di negeri Sabah, kerana mereka sedar parti itu tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada rakyat.

"Saya mengalu-alukan permohonan beliau menjadi ahli Umno ... Kita akan terima permohonannya dan ini kita akan proses seperti biasa," tambah Musa.

Ditanya sama ada Umno Sabah lebih yakin menghadapi pilihan raya akan datang berikutan perkembangan ini, Musa menjelaskan Umno sentiasa bersedia dan mempunyai keyakinan kerana parti itu telah bekerja keras, sentiasa mendampingi dan membantu rakyat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...