Monday, October 13, 2008

Mencari pengasas 'teori Rahman' - MALAYSIAKINI

Jimadie Shah Othman | Oct 13, 08 9:40pm

Rancangan penyerahan kuasa Umno kepada Datuk Seri Najib Razak akan melengkapkan "teori Rahman" yang dianggap satu kaedah menjelaskan usaha mencari bakal perdana menteri Malaysia.

Sekurang-kurangnya sejak 20 tahun lalu, tokoh atasan Umno termasuk mereka yang berusaha mencapainya berharap keberkatan teori ini membawa tuah kepadanya atau pemimpin pilihan mereka.

Suatu waktu dahulu penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap A pada "teori" yang diambil pada nama perdana menteri pertama itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj melengkapkan sebahagian misteri peralihan pucuk pimpinan negara.

Bagaimanapun, sehingga kini, masih tidak jelas sejak bila teori ini mula-mula dikemukakan dan siapakah yang memperkenalkannya sehingga berjaya menangkap khayalan peminat besar politik negara ini.

rahman theory malaysia prime ministerMalaysiakini menghubungi tiga penulis politik Melayu berpengalaman dan tersohor untuk mencungkil asal-usul mitos moden ini – mungkin boleh dianggap satu-satunya "teori" yang paling tepat untuk menjadi nujum politik Melayu, setidak-tidaknya untuk melihat siapa pemimpin nombor satu Umno.

Pengamat-pengamat politik itu bagaimanapun semuanya tidak dapat mengesan tarikh tepat ia mula diperkenalkan tetapi umumnya bersetuju ia muncul pada zaman 1980-an, awal pentadbiran perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun mereka sepakat hanya satu nama dalam urutan teori itu, yang asalnya diramal jatuh kepada Anwar, tidak menjadi kenyataan.

Ketua pengarang mingguan Siasah, Mohd Sayuti Omar percaya teori Rahman mula-mula dikemukakan oleh penulis politik Ikhwan Nasir dalam tabloid Mingguan Tanah Air pada pertengahan dekad itu.

"Boleh jadi juga beliau (Ikhwan) yang memulakannya. Beliau memang suka menggunakan akronim seperti 'jubir' bagi jurubicara rakyat dan 'kadun' bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya, yang pernah menulis untuk tabloid itu.

Ikhwan, juga bekas ahli parlimen Pontian dan juga bekas setiausaha politik Tun Musa Hitam, pemilik akhbar politik yang diterbitkan oleh syarikatnya SIR Sdn Bhd.

Teori itu, menurut Mohd Sayuti yang mengenali secara peribadi Ikhwan, sangat berpengaruh pada waktu itu sehingga ada tokoh politik terkenal mempercayainya.

"(Bekas menteri besar Kedah) Tan Sri Sanusi Junid pernah memberitahu saya, nama beliau sebenarnya bermula dengan Mohamad," katanya merujuk kepada huruf M pada nama Rahman.

Terdapat juga buku politik karya Abd Bashid Harun mengupas teori itu pada pertengahan 1990-an, jelas Mohd Sayuti.

Melalui blognya, Abd Bashid mendakwa beliau pertama kali menulis tentang "teori Rahman" di Mingguan Tanah Air sewaktu Umno sedang bergolak antara kumpulan pro-Tengku Razaleigh Hamzah bersama Musa melawan Mahathir.

"Dalam kesibukan berkempen dan melobi dalam perhimpunan agung Umno itu timbullah suara-suara di kalangan perwakilan bahawa baik Tengku Razaleigh ataupun Musa, mereka tidak akan menjadi perdana menteri.

"(Tanggapan) ini semacam satu takdir yang ditetapkan untuk mereka berdua. Sebahagiannya pula menganggap pertandingan melawan Dr Mahathir itu sia-sia sahaja.

"Alasan mereka ialah nama Razaleigh dan Musa tidak termasuk dalam susunan nama Rahman itu. Maka bermula dari situlah bermulanya teori Rahman," tulisnya pada 10 Oktober lalu, dua hari selepas presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk bersara pada Mac tahun depan.

Menurut Abd Bashid - seorang guru di Simpang, Taiping - tulisannya menghuraikan secara terperinci maksud "teori Rahman", termasuk "mengupas agak mendalam tentang kedudukan Abdullah dan Anwar sebagai bakal perdana menteri."

Artikelnya itu, kata Abd Bashid, kemudian diulas oleh lidah pengarang akhbar tersebut yang memetiknya sebagai "penulis dari Semanggol (Perak)" memaklumkan bahawa "hanya ada seorang sahaja dari Pulau Pinang yang akan berjaya menjadi perdana menteri. Orang itu ialah Pak Lah."

Penulis kolum veteran Subky Latiff pula berkata, teori itu mula-mula dikemukakan oleh ahli parlimen Kepala Batas sebelum Abdullah, Saupi Ibrahim.

"Seingat saya, Saupi yang mula-mula tulis. Lebih kurang 20 tahun dulu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tulisan yang dihasilkan oleh bekas duta itu dalam umur persaraannya, kata pemimpin PAS dan penulis kolum Harakah itu, diterbitkan di sebuah akhbar harian dengan gaya popular.

Ditanya kenapa idea itu mendapat perhatian rakyat Malaysia, beliau berkata: "Ia menarik. Sedap (dijadikan) hujah."

Sementara penulis buku-buku politik terkenal Syed Hussein Alattas mendakwa teori ini muncul pada awal 1990-an.

Beliau bagaimanapun tidak pasti siapakah yang memulakannya.

Menurutnya, teori itu rancak diperkatakan pada 1990-an apabila Anwar, yang timbalan perdana menteri, dijangkakan menjadi menggantikan Dr Mahathir.

"Tetapi akhirnya A itu untuk Abdullah," katanya.

Ketiga-tiga mereka percaya "teori Rahman" terjadi secara kebetulan sahaja.

Namun ia berjaya mempengaruhi orang Melayu termasuk pemimpin politik yang "kuat percaya kepada mitos," kata Mohd Sayuti.

"Ia memberikan kesan psikologi, mempengaruhi 20-30 peratus perkembangan politik negara. Kalau selalu diulang-ulang, jadi (kenyataan).

"Tetapi kita tidak boleh percaya seratus peratus."

Syed Hussein, juga popular dipanggil Pak Habib, berkata "teori ini tidak logik."

Seperti pertikaian banyak pihak, Subky pula mempertikaikan asas penyusunan huruf pertama pada nama-nama pemimpin yang dikatakan memenuhi urutan nama Rahman.

Katanya, untuk perdana menteri pertama "teori" ini membuang nama awal Abdul untuk meninggalkan sebagai Rahman sahaja, sedangkan tokoh seterusnya menggunakan nama Abdul.

"Sedangkan secara popular, perdana menteri pertama disebut penuh sebagai Tunku Abdul Rahman, sedangkan perdana menteri kedua lebih dikenali Tun Razak (tanpa Abdul)," katanya, seorang wartawan berpengalaman sebelum menyertai PAS.

Bakal perdana menteri yang menduduki huruf keenam dalam "teori Rahman" bermula dengan nama "Mohd Najib" tetapi nama awalnya tidak diambil kira dalam teori popular itu.

Seniman kecam Shah Rukh Khan dikurnia Datuk - MSTAR

Isnin Oktober 13, 2008

Presiden Seniman Datuk Mustapha Maarof (duduk kanan), Ahmad Idham (dua dari kanan)ketika sidang media bantahan Seniman terhadap penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada aktor Bollywood popular, Shah Rukh Khan sempena ulangtahun ke-70 Hari Jadi Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob pada Sabtu lalu. -foto THE STAR oleh NORAFIFI EHSAN

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof menggesa pihak kerajaan negeri membuat penilaian yang sebaik mungkin apabila mengurniakan sesuatu anugerah kepada mana-mana artis.

Kenyataan ini dikeluarkan ekoran bantahan Seniman mewakili artis tanahair terhadap penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada aktor Bollywood popular, Shah Rukh Khan sempena ulangtahun ke-70 Hari Jadi Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob pada Sabtu lalu.

"Ini hak mereka, kami tak larang mereka untuk beri anugerah itu, tapi kami harap ia diberi penilaian sebaik mungkin agar anugerah itu dihormati.

"Sabtu lalu, dia juga tidak menghadiri upacara tersebut dan kami rasa seperti satu penghinaan kepada rakyat Malaysia," katanya ketika sidang media bantahan Seniman di pejabat Finas, Hulu Kelang,kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Menurut Mustapha, mereka patut bertanya kepada pihak yang bersesuaian seperti Finas mengenai kelayakan untuk memberikan anugerah kepada seseorang selebriti.

"Kami bukanlah terdesak dengan kementerian dan kerajaan negeri, tapi kami harapkan keadilan," katanya.

Beliau turut menyuarakan nama artis lain yang lebih layak menerima anugerah seperti Azean Irdawaty, M. Nasir, Kuswadinata dan Ruminah Sidek atas sumbangan mereka kepada industri filem dan seni tanahair.

"Ikutkan, anak seni dan karyawan belakang kamera juga mempromosi bukan sahaja Melaka malah negara kita tetapi kenapa mereka tidak diberi perhatian.

"Kita harap mereka yang berjaya juga mendapat anugerah itu," ulasnya dalam sidang media yang turut dihadiri oleh kira-kira 20 orang artis itu.

Antaranya adalah Harun Salim Bachik, Ahmad Idham, Datuk Aziz Sattar, Jalil Hamid, Arash Mohamad, Rahim Jailani, Mas Omar, Zulkifli Zain, Normala Omar, Datuk Jalaluddin Hassan dan Rusdi Ramli.

Menurutnya, Seniman akan menyerahkan surat bantahan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) pada pukul 4 petang esok.

Dalam pada itu, pengarah filem pecah panggung Jangan Pandang Belakang Ahmad Idham Ahmad Nadzri menambah, berita tersebut memberikan tamparan hebat kepadanya.

"Apabila saya melihat akhbar pagi Sabtu yang lalu, saya rasa macam kena tampar, apa ini?

"Saya macam badut atau kita macam main-main dalam industri hiburan ini? Kita selalu meuar-uarkan tema 'Filem Kita Wajah Kita'. Kalau nak kata bawa filem ke luar negara, filem saya pun bersepah dibawa ke luar negara.

"Apa yang saya tahu, belum pernah lagi artis yang berhak menentukan lokasi pengambaran filem atau drama," tegasnya.

Sementara itu, pelakon Arash Mohamad pula berpendapat alasan kerajaan negeri Melaka mengurniakan gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan kerana mempromosikan A' Famosa Resort, Alor Gajah melalui filem One Two Ka Four adalah tidak munasabah.

"Memanglah orang yang menonton filem tersebut mengenali Melaka, tetapi persoalannya adakah mereka datang ke negeri tersebut?

"Alasan itu membuatkan kami kecil hati. Kami bukan cemburu sebab tak dapat anugerah itu tetapi apa revelannya memberi kepada dia?," luah Arash yang dikenali menerusi drama tempatan seperti siri Masih Ada Cinta dan Badai Metropolis.

Shah Rukh Khan yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka tahun ini. Tarikh penyampaian anugerah kepadanya belum ditetapkan lagi.

Sabtu lalu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata penganugerahan DMSM kepada Shah Rukh Khan adalah pelaburan yang mendatangkan banyak keuntungan balik kepada Melaka dari segi promosi secara percuma tanpa melibatkan wang.

Rasuk Jejambat Jatuh, Laluan Lebuhraya Sprint Ditutup Awal Pagi Ini - BERNAMA

13 Oktober, 2008 14:52 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Laluan Kilometer 1.5 hingga 2.3 Lebuhraya Sprint berhadapan Dijaya Land Sdn Bhd ditutup dari pukul 3.3O pagi hingga 8 pagi ini kerana rasuk jejambat yang sedang dibina tergelincir dan jatuh ke lebuhraya itu.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu telah menyebabkan gangguan trafik dari kedua-dua arah di lebuh raya berkenaan hingga 8 pagi apabila kerja-kerja pembersihan selesai dan laluan itu dibuka semula kepada lalu lintas.

Pengurus Komunikasi Sprint Sdn Bhd, Bhavani Krishna Iyer berkata laluan trafik menghala ke pusat bandar telah dibuka pada jam 7 pagi, manakala laluan menghala ke Kayu Ara/Lebuh Raya Baru Lembah Kelang (NKVE) dibuka pada jam 8 pagi.

"Sprint telah membuat pengumuman trafik mengenai kesesakan tersebut pada pukul 6.30 pagi di semua stesen radio dan kenyataan juga telah di paparkan di papan elektronik di pelbagai laluan supaya pengguna Lebuhraya Sprint dapat menggunakan laluan alternatif," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata syarikat tersebut telah diarahkan menghentikan kerja-kerja pembinaan buat sementara waktu, walau bagaimanapun memberi jaminan bahawa lebuh raya itu selamat digunakan.

Bhavani berkata tiada kemalangan yang berlaku semasa kejadian kerana laluan tersebut telah ditutup sejak tengah malam Ahad bagi menjalankan kerja-kerja pembinaan jejambat, jalan susur dan kerja-kerja yang berkaitan oleh syarikat Dijaya Land Sdn Bhd.

"Kita telah memberi kebenaran kepada syarikat tersebut untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan jejambat dari pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi setiap hari sejak tengah malam semalam sehingga 26 Okt depan," katanya.

Beliau berkata berikutan penutupan laluan, para pengguna lebuh raya itu boleh menggunakan laluan alternatif iaitu bagi pengguna dari pusat bandar ke NKVE/ Kayu Ara/ Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP)/ SS2/ Puchong, mereka dinasihatkan menggunakan jejambat bertingkat ke Taman Tun Dr Ismail (TTDI) selepas plaza tol Damansara.

"Daripada persimpangan bertingkat TTDI, ikut arahan papan tanda ke NKVE/ Puchong. Manakala bagi laluan dari LDP/ Sungai Buloh/ Kepong ke Pusat Bandar/ Kuala Lumpur, tiada sebarang perubahan berlaku," katanya.

Bagi laluan dari NKVE/ Kayu Ara ke Pusat Bandar/ Kuala Lumpur, pengguna lebuh raya boleh menggunakan persimpangan Damansara Utama ke arah LDP menuju ke persimpangan bertingkat TTDI sebelum masuk ke Lebuhraya Sprint arah Kuala Lumpur.

"Dari LDP/ SS2/ Puchong untuk ke pusat bandar/ Kuala Lumpur pula, pengguna dinasihatkan menggunakan terowong di persimpangan Damansara Utama ke persimpangan bertingkat TTDI sebelum masuk ke Lebuhraya Sprint arah Kuala Lumpur.

"Bagi pengguna dari Seksyen 17 ke NKVE/ Kayu Ara/ SS2/ Puchong/ Sungai Buloh dan Kepong, gunakan Jalan 17/21 menuju ke Jalan 17/22 dan ikut arahan papan tanda lencongan ke persimpangan bertingkat TTDI sebelum menuju ke destinasi yang ingin dituju," katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh tersebut panduan trafik sementara untuk pengguna lebuh raya akan disediakan dan pengguna adalah dinasihatkan agar mematuhi papan-papan tanda yang disediakan.

-- BERNAMA

Najib, Muhyiddin Terus Jadi Pilihan Utama Bahagian Umno - BERNAMA

12 Oktober, 2008 21:00 PM

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Gandingan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden Umno terus menjadi pilihan bahagian-bahagian Umno yang mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing sehingga hari Ahad.

Sehingga pukul 7.30 malam, Najib kekal sebagai calon tunggal untuk jawatan presiden dengan 22 pencalonan manakala Muhyiddin mendapat 19 pencalonan bagi jawatan timbalan presiden.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam memperoleh tiga pencalonan manakala Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib menerima satu pencalonan.

Sementara itu persaingan bagi tiga jawatan Naib Presiden Umno meningkat kepada 10 calon dengan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendahului dengan 18 pencalonan diikuti Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan 11 pencalonan.

Yang lain ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (9), Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (8), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar (4), Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim (4), bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim (2), Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Mohamad Hasan (2), bekas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (2), Pengerusi badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa (1) dan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis (1).

Persaingan bagi jawatan Ketua Pemuda Umno juga semakin menarik dengan anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir mendapat 37 pencalonan diikuti dengan naib ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin yang mendapat 19 pencalonan, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, yang mendapat lapan pencalonan serta timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin yang mendapat satu pencalonan.

Bagi jawatan Ketua Wanita Umno pula, penyandangnya Tan Sri Rafidah Aziz terus mendapat pencalonan bagi mempertahankan jawatan itu dengan 49 pencalonan setakat ini.

Naib Ketua pergerakan itu Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mendapat 11 pencalonan bagi jawatan tersebut, walaupun Rafidah telah mengumumkan pelan peralihan kuasa kepada Shahrizat.

Persaingan bagi jawatan Ketua Puteri Umno tidak kurang hebatnya dengan persaingan dekat antara Ketua Penerangan pergerakan itu Datuk Shahaniza Shamsuddin yang mendapat 32 pencalonan, diikuti dengan naib ketua pergerakan tersebut Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang mendapat 28 pencalonan, anggota Exconya Datin Ismalina Ismail (11), setiausaha pergerakan itu Bibi Sharliza Mohd Khalid (6) dan ketua Puteri Umno Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq (4).

Sejumlah 26 bahagian Umno mengadakan mesyuarat masing-masing hari Ahad.

Sejak Jumaat lepas hingga hari ini, 29 daripada 191 bahagian Umno telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

Minggu depan, sejumlah 41 lagi bahagian Umno dijadual mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing, dengan kebanyakan mesyuarat bertumpu pada hujung minggu mulai Jumaat.

Bahagian-bahagian itu diberikan tempoh sebulan sehingga 9 Nov untuk mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...