Sunday, June 26, 2011

8 lelaki pakai baju bertulis Bersih ditahan

KUALA LUMPUR 26 Jun — Polis menahan lapan lelaki di Taman Kosas, Ampang di sini pagi tadi kerana memakai baju berwarna kuning yang bertulis “Bersih 2.0” dalam tulisan jawi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, kesemua mereka ditahan atas kesalahan memakai baju berkenaan dan seolah-olah menyokong perhimpunan haram 9 Julai ini.

"Mereka juga didapati mengganggu-gugat ketenteraman orang ramai ketika menunggang motosikal di kawasan terbabit dan ekoran itu kita menahan mereka untuk langkah pencegahan awal,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Amiruddin berkata, kesemua mereka kini masih ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan polis akan membebaskan mereka selepas keterangan diambil daripada mereka.

Difahamkan kesemua mereka yang dipercayai penyokong parti pembangkang berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun ditahan di hadapan Majid Taman Kosas kira-kira 11 pagi. - Bernama

Pakatan sasar tawan 11 negeri dalam p'raya umum

Selain mengekalkan empat negeri yang dikuasainya sekarang dan memenangi semula Perak, Pakatan Rakyat mensasarkan untuk menubuhkan kerajaan di enam lagi negeri dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, Pakatan telah menetapkan tiga sasarannya dalam pilihan raya umum akan datang, iaitu:

1. Mengekalkan penguasaannya di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Kelantan;

2. Memenangi semula negeri Perak yang didakwanya dirampas dari tangan Pakatan secara haram; dan

3. Menubuhkan kerajaan di enam lagi negeri - Negri Sembilan, Johor, Malacca, Pahang, Terengganu dan Perlis.

NONELim yang juga ahli parlimen Ipoh Timur menegaskan demikian ketika berucap di majlis makan malam DAP Teluk Intan semalam.

Beliau menyifatkan pilihan raya umum ke-13 amat penting kerana ia bukan sahaja bakal menyaksikan perebutan hebat di semua 11 negeri di Semenanjung Malaysia, tetapi juga penguasaan Putrajaya.

Lim mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari perkara itu, menyebabkan beliau teragak-agak untuk menetapkan tarikh pilihan raya umum yang akan datang.

Sehubungan itu, Lim meramalkan pilihan raya umum mungkin diadakan sama ada hujung tahun ini atau tahun depan.

Beliau juga berkata, pilihan raya umum kali ini merupakan yang pertama dalam sejarah yang bakal menyaksikan persaingan 'hidup mati' BN dan Umno.

Selama ini, kata Lim, Umno dan kerajaan BN mengekal kuasanya dengan mudah sehinggalah tercetusnya tsunama politik pada pilihan raya umum 2008 di mana ia mengalami kekalahan teruk dan hilang penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Umno dan BN akan berdepan dengan persaingan 'hidup matinya' dalam pilihan raya umum ke-13 - bukan setakat sama ada ia boleh memperolehi semula majoriti dua pertiga, tetapi juga sama ada ia dapat mengekalkan kuasa atau bakal menjadi pembangkang," kata Lim.

Chong Wei juara Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, meraih gelaran Terbuka Indonesia untuk kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan pemain Denmark, Peter Gade, 21-11 21-7 dalam perlawanan akhir di Istora Senayan, sebentar tadi. 

Ia adalah kejuaraan keenam untuk pemain nombor satu dunia itu tahun ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...