Jun 18, 08 2:04pm
Ahli Parlimen Parti Progresif Sabah (SAPP) - salah sebuah parti komponen BN di negeri itu - akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Badawi apabila Dewan Rakyat bersidang Isnin ini.
Ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara, usul tidak percaya akan dikemukakan terhadap perdana menteri.
"Sewaku sidang Dewan Rakyat mulai Isnin ini, 23 Jun, ahli-ahli Parlimen kita akan menyokong undi tidak percaya kepada PM.
"Sama ada usul itu akan dikemukakan oleh ahli Parlimen kita atau ahli Parlimen lain, akan diputuskan bila tiba masanya," kata satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
SAPP mempunyai dua ahli Parlimen - Datuk Dr Chua Soon Bui (Tawai) dan Datuk Eric Enchin Majimbun (Sepanggar) - dan empat ahli dewan undangan negeri.
Majimbun (kiri) yang kini berada di luar negeri, telah menyatakan sokongannya terhadap keputusan parti itu dengan menandatangan kenyataan tersebut.
Chua (kanan), yang hadir di sidang akhbar tersebut di Kota Kinabalu memberi empat sebab mengapa beliau menyokong usul tidak percaya terhadap PM itu.
Walaupun seruan demi seruan dibuat oleh DAPP kepada perdana menteri berkaitan dengan isu pendatang tanpa izin, namun tidak ada tindakan konkrit yang telah diambil dan ia menyebabkan "kedaulatan kita terancam".
Kenaikan harga bahan api yang dibuat tanpa perancangan, telah membebabkan rakyat Malaysia, khasnya di Sabah (negeri termiskin di Malaysia) mengakibatkan 16 peratus kumpulan miskin, menjadi miskin tegar.
Merasa gagal dalam melaksanakan tanggungjawab selaku pemimpin yang dipilih oleh rakyat sekiranya ketidakpuasan hati rakyat Sabah terhadap sistem penyampaian yang tidak cekap, rasuah, pembaziran, tiada ketelusan dan akauntabiliti diketepikan. Perkara yang sama juga telah disuarakan oleh pemimpin Umno seperti Datuk Ghapur Salleh, Datuk Anifah Aman dan Datuk Bung Mokhtar.
Rakyat telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan kerajaan di bawah Datuk Abdullah Ahmad Badawi. SAPP juga berpendapat bahawa sekiranya pemimpin atasan tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, ia seharusnya berundur dan memberi laluan kepada pemimpin lain mengambil alih.
Manakala Majimbun pula dalam kenyataan berkata: "Memandangkan berlakunya percanggahan tarikh yang telah diputuskan dalam pembubaran Parlimen dan kenaikan harga minyak yang secara mengejut dan mendadak serta ketetapan terhadap isu-isu mengenai Sabah yang tidak diberi keputusan dengan jelas, maka dengan ini,s aya mengisytiharkan tidak mempunyai kepercayaan terhadap kepimpinan perdana menteri."
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata parti itu tidak akan keluar pada masa ini dari BN yang dipimpin oleh Abdullah, tetapi statusnya akan disemak pada hujung minggu ini.
Beliau mengkritik rekod BN di Sabah, dengan berkata negeri itu dikenakan undang-undang yang tidak adil dan cukai yang keterlaluan.
"Itulah sebabnya kita perlu membuat segera pengisytiharan tidak percaya kepada PM dan kerajaan, untuk memberitahu kerajaan BN bahawa kita tidak boleh lagi bertolak ansur dengan sikap mereka yang tidak sensitif terhadap isu-isu yang amat serius di Sabah," katanya dalam satu sidang akhbar di ibupejabat parti itu pada jam 2 petang tadi.
Keputusan Jumaat ini?
Pengumuman hari ini dilihat sebagai satu tindakan pertama oleh parti komponen BN itu untuk meninggalkan BN.
"Hari ini hanyalah langkah pertama. Mungkin tidak ada yang melompat sekarang," kata satu sumber.
Sementara itu, tinjauan pendapat dalam blog SAPP juga menunjukkan sikap di peringkat akar umbi mengenai perkara tersebut. Tinjauan itu bertanya kepada orang ramai sama ada parti itu perlu kekal dalam BN, meninggalkan BN tetapi menjadi parti bebas, atau menyertai Pakatan Rakyat.
Daripada 2,052 orang yang melayari blog itu sehingga tengahari tadi, seramai 85 peratus atau 1,749 orang, mahu SAPP menyertai Pakatan, 242 atau 11 peratus (tinggalkan BN dan jadi bebas) . Hanya 2 peratus (61) mahu SAPP kekal dalam BN.