Monday, January 26, 2009

Pesawat Cessna dikhuatiri terhempas - Utusan Online

26/01/2009 2:50pm

JOHOR BAHRU 26 Jan. - Sebuah pesawat ringan jenis Cessna yang berlepas dari Senai, Johor ke Melaka dikhuatiri terhempas di sekitar Benut, Pontian setelah dilaporkan hilang kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mphd. Shariff berkata, pesawat itu dipandu seorang juruterbang dari Kelab Penerbangan Elite yang memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai pada pukul 9.40 pagi.

"Pesawat itu dipandu oleh seorang warga asing berbangsa India dipercayai berasal dari India atau Singapura. Juruterbang tersebut berusia awal 30-an,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan dan menyelamat pesawat kini dijalankan oleh Unit Udara Bukit Aman, polis Johor dan kelab tersebut.

- Utusan

Najib nafi ada lagi wakil rakyat BN akan sertai pembangkang - Utusan Online

26/01/2009 1:15pm

KUALA LUMPUR 26 Jan. — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa ada lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Pakatan Rakyat.

Beliau menyifatkan semua itu sebagai khabar angin sahaja.

“Semua itu khabar angin sahaja...saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah),” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara itu berikutan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bota daripada BN Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Terdahulu Najib dengan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor menyertai ribuan pengunjung menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Najib menyifatkan tindakan Nasaruddin sebagai satu perkara yang tidak diduga dan berharap Nasaruddin akan dapat berfikir semasak-masaknya berhubung tindakannya menyertai PKR.

Timbalan Presiden Umno itu berkata beliau difahamkan ada beberapa sebab mengapa Nasaruddin mengambil tindakan sedemikian, tetapi tidak menjelaskan sebab-sebab itu.

“(Tindakan Nasaruddin sertai PKR) satu perkara yang kita (BN) tak duga. Tapi saya berharap Adun Bota ini dapat berfikir semasak-masaknya langkah yang dia telah buat,” katanya.

Dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nasaruddin berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Nasaruddin menewaskan calon PKR Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Sementara itu, ketibaan Najib dan isteri di perkarangan Wisma MCA disambut oleh Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat dan pemimpin kanan parti, yang diserikan dengan persembahan tarian singa.

Majlis Rumah Terbuka yang diadakan di Dewan San Choon itu juga dimeriahkan dengan persembahan muzik dan pertunjukan akrobatik dari China.

Turut hadir pemimpin-pemimpin parti komponen BN, para diplomat asing serta pelancong asing.

Umno Perak akan jumpa Najib - MalaysiaKini

Jan 25, 09 11:34pm

Badan Perhubungan Umno Perak akan bertemu Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak petang esok bagi membincangkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bota Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.

Pengerusinya Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata Najib dijangka mengeluarkan kenyataan selepas pertemuan itu yang dijadualkan berlangsung di ibu negara, lapor bernama.

nasarudin hashim"Saya minta Nasaruddin (foto) turut membuat temujanji dengan Presiden Umno (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) kerana tidak ada apa-apa yang kita tidak boleh selesaikan. Kalau ada kelapangan dia boleh juga berjumpa dengan Najib esok," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Adun Barisan Nasional (BN) negeri Perak malam ini.

Beliau turut melahirkan harapan supaya Nasaruddin dapat melapangkan fikiran dan berfikir sedalam-dalamnya bagi menyertai semula BN.

Ditanya mengenai khabar angin bahawa masih terdapat beberapa Adun BN negeri itu yang akan menyertai Pakatan Rakyat, beliau menafikan dan menyifatkan ia hanya diuar-uarkan sahaja.

Mengenai sama ada Nasaruddin pernah meluahkan atau memaklumkan sebarang masalah kepada beliau, Tajol berkata Nasaruddin tidak pernah mengadu sebarang masalah kepadanya.

Bagaimanapun masalah mungkin timbul sejak pemilihan peringkat bahagian Oktober lepas di mana Nasaruddin bertanding untuk merebut jawatan ketua bahagian menentang penyandang Datuk Mohd Zaim Abu Hassan.

Tajol Rosli turut memaklumkan setakat ini Nasaruddin tidak menghubunginya dan panggilan telefon yang dibuatnya tidak dijawab oleh Nasaruddin.

"Ahli Umno lain ada berhubung dengan beliau. Saya telefon dia tetapi dia tidak jawab, jadi saya rasa dia masih ada rasa segan silu dengan saya dan saya harap dia pertimbangkan semula keputusan yang beliau buat hari ini," katanya.

Dua puluh daripada 28 Adun menghadiri mesyuarat tergempar yang tamat pada 11 malam ini. Lapan yang tidak hadir sedang berada di luar negara.

Adun Umno keluar parti, sertai PKR - MalaysiaKini

Jan 25, 09 3:33pm

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Nasarudin Hashim keluar dari Umno untuk menyertai PKR.

nasarudin hashimMenteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi Bernama berkata Nasaruddin (foto) membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Dengan ini, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Mohammad Nizar menyifatkan Nasaruddin, 58, yang juga bekas Pengerusi Felcra sebagai seorang yang beriman, berilmu dan berpengalaman.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau (Nasaruddin) berkata keputusan itu dibuat setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Desas-desus mengenai kemungkinan Nasaruddin meninggalkan Umno bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lepas. Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...