Informasi didalam blog ini adalah daripada sumber-sumber berita media internet.Sebarang komen @ pendapat, sila email ke cardozas02@gmail.com
Saturday, January 31, 2009
Dua exco Perak jumpa Najib di Pekan? - MalaysiaKini
Sejak beberapa hari lalu, dua exco kerajaan Perak daripada PKR mencetuskan pelbagai spekulasi akan menyertai BN susulan tindakan wakil rakyat Bota, Datuk Nasharuddin Hashim meninggalkan Umno hujung minggu lepas.
Petang ini, desas-desus mula bertiup kencang bahawa kedua-duanya Jamaluddin Mat Radzi (foto, kiri) dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di kediamannya.
Malaysiakini difahamkan PKR sedang memantau dengan dekat perkembangan dua exconya ini, termasuk kemungkinan berada di Pekan setelah kedua-duanya gagal dihubungi oleh pemimpin negeri, parti dan keluarga mereka sendiri sejak empat hari lalu.
Difahamkan parti itu sudah mendapat maklumat bahawa kedua-duanya "berkemungkinan besar" bersetuju meninggalkan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.
Sumber-sumber parti itu memberitahu, BN paling cepat melalui Mohd Najib sendiri akan mengumumkan perkembangan mendebarkan ini esok - setelah ura-ura berbuat demikian petang tadi tidak berhasil.
Bagaimanapun sumber-sumber itu tidak dapat memastikan sama ada mereka berdua betul-betul berada di Pekan atau masih di Ipoh.
Seorang wakil rakyat PKR di Kedah juga dalam usaha didekati untuk melompat kepada BN.
Sementara itu PKR Perak mendakwa Mohd Najib sedang berunding dengan mereka agar menyertai BN, termasuk untuk menggugurkan kes rasuah terhadap mereka yang ditahan Ogos tahun lalu.
"Kami percaya kehilangan mereka ada hubungan rapat dengan
pertuduhan kes rasuah yang sedang mereka hadapi dan perbicaraan kes tersebut akan bermula pada 10 Februari," kata pengerusi perhubungannya Osman Abdul Rahman dalam satu kenyataan lewat petang ini.
"Kami percaya ada usaha-usaha oleh BN untuk memujuk kedua-dua exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib, termasuk menggugurkan kes rasuah mereka."
Osman menambah, beliau yakin pertuduhan terhadap kedua-dua exco Perak itu "palsu yang direka cipta oleh Umno dan BN sebagai satu ugutan politik."
Jika Jamaluddin dan Osman sah meninggalkan PKR, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan mentadbir dengan kelebihan satu kerusi - setelah mengambil kira penyertaan Nasharuddin.
BN buat masa sekarang menguasai 27 kerusi, sementara Pakatan Rakyat 32, termasuk lapan PKR dan 18 DAP (lihat jadual).
Anak saudara Presiden PAS maut dilanggar kereta milik KPN - HarakahDaily
Sat | Jan 31, 09 | 1:09:46 am MYT
KUALA LUMPUR, 31 Jan (Hrkh) - Anak saudara Presiden PAS, Abdul Qahar Mansor maut dalam satu kemalangan jalan raya di Kuala Terengganu kira-kira jam 10 pagi semalam.
Beliau dilanggar oleh sebuah kereta Honda CRV nombor plat WNN 6517 yang didaftarkan atas nama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Qahar yang berusia 23 tahun maut selepas dilanggar Honda CRV dipandu seorang anggota polis yang dikenali sebagai Lans Koperal Mohd Farez di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu.
Menurut peguam keluarga mangsa, Fariz Mustafa, kemalangan tersebut terjadi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Rusila menuju ke Kuala Terengganu.
Ketika sampai di sekitar Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai, motorsikal yang ditunggangi beliau dilanggar kereta yang dipandu Mohd Farez yang baru sahaja selesai membeli keropok di sebuah kedai berhampiran yang ingin membuat pusingan U di jalan tersebut.
"Kereta tersebut berada di sebelah kiri jalan terus membuat pusingan U tanpa memberikan signal malah secara tiba-tiba menukar line, menyebabkan motorsikal yang ditunggangi arwah gagal mengawal keadaan sehingga menyebabkan beliau maut di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Harakah.
Tambahnya, saksi di tempat kejadian memaklumkan Mohd Farez meninggalkan kereta tersebut di lokasi kemalangan tanpa kunci kenderaan tersebut yang menyebabkan pihak polis trafik sukar mengalihkannya.
"Malah, menurut anggota polis di beliau(Mohd Farez) kini telah pulang ke Kuala Lumpur manakala kereta tersebut ditinggalkan.
"Akibat kemalangan tersebut, kereta tersebut mengalami kesan kemek di pintu sebelah kanan," ujarnya.
Walau bagaimanapun, Fariz memberitahu Harakah bahwa pihaknya akan membuat dakwaan terhadap kes tersebut di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan iaitu kesalahan kecuaian memandu sehingga menyebabkan kematian.
Jelasnya, pemandu terbabit sepatutnya direman untuk siasatan kerana kemalangan tersebut melibatkan kematian.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Mohd Hisham Awang berkata pihaknya kesal dengan sikap yang ditunjukkan oleh Lans Koperal Mohd Farez yang begitu ego ketika diminta memberi kerjasama kepada penduduk setempat sebaik sahaja kejadian tersebut berlaku.
"Kita kesal dengan sikap ego polis tersebut, yang seolah-olah berbangga dengan mengaku merupakan pegawai polis daripada Balai Polis Bukit Aman," katanya.
Setakat ini ujarnya, pihak polis masih belum memberikan apa-apa respon mengenai kejadian tersebut.
Abdul Qahar katanya maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas jenazahnya dituntut oleh keluarga mangsa dari Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Rusila pada hari yang sama. -azm_
Tajol dipertanggungjawabkan, bagaimana dengan Najib? - Harakah Daily
Fri | Jan 30, 09 | 5:33:35 pm MYT
KUALA LUMPUR, 30 Jan (Hrkh)
Tindakan Umno/BN mempertanggungjawabkan Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali berikutan kemasukan Adun Bota, Dato' Nasharudin Hashim ke dalam Parti Keadilan Rakyat menunjukkan Umno berat sebelah.
Demikian kata Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar kepada Harakah semasa dihubungi bagi mengulas isu berkaitan Tajol Rosli di Perak."Mengapa Tajol sahaja yang perlu dipertanggungjawabkan berikutan isu kemasukan Adun Bota ke dalam KeADILan?
"Mengapa tidak Pengarah Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu BN, Dato' Seri najib Tun Razak tidak dipertanggungjawabkan di atas kekalahan memalukan Umno di sana?," katanya.
Sedangkan kata Kamarudin dalam kes Najib, ia lebih memalukan kerana Parlimen Kuala Terengganu adalah kerusi yang dimenangi Umno/BN pada pilihan raya umum Mac 2008.
"Terang-terang kekalahan di Parlimen Kuala Terengganu amat memalukan Umno dan mengapa Najib tidak diambil tindakan seperti Tajol?," katanya lagi.
Majlis Tertinggi (MT) Umno 29 Januari menerima peletakan jawatan Tajol Rosli Ghazali sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perak berkuat kuasa serta merta.
Presidennya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tempat Tajol Rosli digantikan Najib.
Bercakap kepada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu, beliau bagaimanapun memberitahu bahawa Najib hanya akan menyandang jawatan tersebut sehingga berakhirnya Perhimpunan Agung Umno Mac ini.
Menurut Perdana Menteri, langkah ini diputuskan berdasarkan kehendak Tajol Rosli sendiri yang merasakan perlu ada pemimpin lain yang mengetuai UMNO Perak.
"Hanya setakat sampai Mac iaitu sampai selesainya Perhimpunan Agung Umno. Selepas itu akan dilantik ketua baru bagi Umno Perak.
"Sementara yang akan jadi Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Zahid pun begitu juga sampai selepas perhimpunan agung. Selepas itu keputusan baru akan dibuat," katanya./wann_