Wednesday, February 2, 2011

Tepukan untuk Rosmah di ceramah PKR

Walaupun ianya adalah ceramah PKR, tetapi jelajah pertama pucuk pimpinan parti itu menyaksikan isteri erdana menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor mendapat tepukan paling banyak, atau mungkin ejekan bersopan, dari ribuan penyokong pembangkang malam tadi.

pkr forum 010211 01Nama Rosmah sering meniti di bibir lapan pemimpin Pakatan yang berucap dalam ceramah parti di Petaling Jaya, walaupun sebahagian besarnya menghentam beliau, ketika mereka mengambil giliran membidas cara perbelanjaannya, dengan disambut gelak ketawa para hadirin.

Kebanyakan mereka menyindir Rosmah yang mengakui sebagai 'wanita pertama' Malaysia walaupun ia tidak sedemikian di segi protokol dan konvensyennya.

Mereka mengatakan bahawa BN adalah kerajaan Bini Najib," kata ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam ucapannya yang mencetuskan gelak ketawa para hadirin.

Teriakan beruk, kedengaran di kalangan penyokong dalam reaksi mereka ketika Anwar menyentuh abjad program seperti ETP dan NKRA, menyamakannya dengan K-E-R-A.

Turut berucap ialah ahli parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; ahli parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo; ahli parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; timbalan speaker DUN Selangor, Haniza Talha; ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, ahli parlimen Batu, Tian Chua .

Gambar Rosmah turut ditayangkan pada skrin di pentas setiapkali mereka membuat komen mengenai dirinya.

Namun, Rosmah bukan satu-satunya personaliti yang disentuh penceramah malam tadi. Turut menjadi sasaran ialah pengerusi PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang juga ahli parlimen Pasir Mas.

Penuntut Malaysia di Mesir dijangka dipindahkan ke Jeddah

KOTA KINABALU 2 Feb. – Semua penuntut Malaysia di Mesir, yang kini berdepan masalah berikutan protes ganas yang mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur, dijangka dipindahkan dari negara itu dalam tempoh empat hari setengah.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan serius dalam usaha untuk membawa keluar warganegaranya dari Mesir dan telah mengaturkan untuk menerbangkan mereka dari Kaherah ke Jeddah, Arab Saudi.

Selain tiga pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas ke Mesir hari ini, katanya, pesawat khas AirAsia Airbus A320 dengan kapasiti 249 penumpang juga dijadual berlepas ke Kaherah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-kira 2 petang hari ini.

"Pesawat itu juga akan membawa barangan makanan untuk pelajar Malaysia di Mesir,” katanya kepada pemberita di sini.
Anifah berkata, sebuah pesawat Malaysia Airlines, Boeing 747, yang boleh membawa 285 penumpang, akan berlepas ke Kaherah pada 9 pagi esok.

"Kami menjangkakan untuk menerbangkan sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah setiap hari dan berharap semua penuntut Malaysia di sana dapatdipindahkan dalam masa empat hari setengah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedang menguruskan visa sementara dengan kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan penuntut berkenaan dipindahkan ke Jeddah. – Bernama

PCB baru kurangkan beban tunggakan pembayar cukai

KUALA LUMPUR 2 Feb. – Potongan Cukai Bulanan (PCB) baru akan mengurangkan beban tunggakan kepada pembayar cukai selain memastikan jumlah potongan cukai pada keseluruhannya menyamai cukai taksiran pada tahun yang dinilai.

"PCB baru juga akan memberi manfaat kepada pekerja kerana mereka akan diberi potongan atau rebat sebaik sahaja membuat transaksi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar.

Ini bermakna pembayar cukai akan mendapat pelepasan cukai atau rebat sebelum taksiran cukai dikira, katanya pada sidang media khas mengenai isu potongan cukai berjadual di sini hari ini.

LHDN telah memperkenal PCB baru pada 2009 bagi menggantikan potongan cukai berjadual yang diguna pakai sebelum ini dan perlaksanaan dibuat pada bulan Januari tahun lepas.

Beliau berkata, PCB baharu bertujuan memperkenalkan kaedah pengiraan saraan tambahan baharu yang lebih tepat di mana ia bakal sama seperti pengiraan cukai tambahan sebenar. – Bernama

Mubarak umum berundur selepas pilihan raya

KAHERAH: Presiden Hosni Mubarak malam tadi mengumumkan beliau akan berundur dalam masa beberapa bulan lagi sebaik penggantinya dipilih, tindakan yang disifatkan boleh meredakan ketegangan yang semakin memuncak memintanya meletakkan jawatan sekarang.


Pengumuman itu dibuat pemimpin yang sudah berkuasa lebih 30 tahun itu di tengah ketegangan yang menyaksikan lebih satu juta rakyatnya mengadakan tunjuk perasaan terbesar dalam sejarah itu, awal semalam.
Di ibu negara, Kaherah iaitu di Dataran Tahrir, penunjuk perasaan yang berkumpul dan menguasai dataran itu sejak seminggu lalu bersorak meraikan pengumuman Mubarak yang disiarkan stesen televisyen.

Namun sebaik ucapan pemimpin yang berusia 82 tahun itu selesai, ramai yang sangsi sama ada peralihan kuasa itu berlarutan berbulan-bulan lagi sedangkan pembangkang mahu Mubarak segera meninggalkan jawatannya bagi mengelak Mesir dilanda krisis penentangan lebih buruk.

"Keluar, keluar", demikian teriakan sebahagaian penunjuk perasaan yang mahu Mubarak yang kini memasuki pemerintahan penggal kelimanya supaya segera berundur.
Tampil dengan tenang dengan memakai kot dan bertali leher, Mubarak berkata: "Saya berkata dengan ikhlas dan prihatin dengan keadaan yang berlaku sekarang bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan presiden.

"Masanya sudah cukup untuk saya berkhidmat untuk negara dan rakyat.

"Saya kini berhasrat untuk menyelesaikan tugas saya untuk negara dengan memastikan proses peralihan ini berlangsung dalam keadaan aman dan lancar," katanya. - Reuters
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...