Informasi didalam blog ini adalah daripada sumber-sumber berita media internet.Sebarang komen @ pendapat, sila email ke cardozas02@gmail.com
Wednesday, July 8, 2009
Ng Sedia Jadi Ejen Jual Rumah Agam Dr Khir - BERNAMA
SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- "Saya minta kunci (rumah) dengan dia" kata Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim merujuk kepada perbualannya dengan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo di luar dewan sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri bermula Rabu.
"Tadi saya minta kunci dengan dia, dia minta saya bagi deposit 10 peratus dahulu.
Saya kata pembeli belum tengok macam mana nak bagi deposit," katanya kepada pemberita semasa ditanya mengenai apa yang dibualkannya dengan Dr Mohamad Khir.
Ng berkata beliau meminta kunci rumah agam Dr Mohamad Khir sebagai menyahut cabaran Adun Sungai Panjang itu menjadi ejen hartanah bagi menjual rumah agam dan dua lot tanah milik bekas Menteri Besar itu di Seksyen 7 di sini yang didakwa Ng bernilai RM24 juta.
Bagaimanapun, Dr Mohamad Khir menafikan rumah dan tanah itu dibeli dengan harga RM24 juta tetapi dibeli dengan harga RM3.5 juta tiga tahun lepas dengan pinjaman selama 30 tahun daripada HSBC Bank.
Bekas Menteri Besar itu kemudian mencabar Ng supaya menjadi ejen hartanah dan menjualkan rumah dan tanah itu pada harga RM24 juta dan jika berjaya beliau akan diberikan komisen 50 peratus atau RM12 juta.
"Dia suruh saya jumpa di mahkamah, saya tidak ada masalah...tapi kunci bagilah kalau tidak macam mana saya nak jadi estate agent," katanya.
-- BERNAMA
Suasana pilu dan hiba selubungi upacara 'Memorial Jackson'
Susunan oleh KEITH JONATHAN
MICHAEL Jackson merupakan seorang penghibur luar biasa dan berjaya walaupun menghadapi pelbagai masalah peribadi. Persembahanya amat mempersonakan dan semua peminat-peminat terpaku apabila mendengar muzik yang dinyanyikanya. Kehilangan seorang legenda hebat seperti beliau amat dirasai oleh semua.
"Semenjak saya dilahirkan, ayahlah yang telah menjaga saya dengan baik. Saya sangat menyayangi ayah," kata anak Michael Jackson yang baru berusia 11 tahun, Paris-Michael.
Paris kelihatan begitu sedih dan tidak dapat menahan kesedihan dan ditenangkan oleh makciknya, Janet Jackson.
Upacara memperingati Michael merupakan saat-saat sedih sukar dilupakan oleh jutaan peminat Michael.
Siapa lagi yang boleh menanyi dan menari sepertinya dan berada pada tahap yang tertinggi dalam industri hiburan yang tidak pernah dikecapi oleh orang lain?
Berkawan pula dengan beruk 'Bubbles', memakai topeng untuk menyembunyikan pembedahan muka, berkongsi tempat tidur dengan kanak-kanak lelaki tetapi menafikan ada mencabul kehormatan mereka. Semua perkara ini akan tetap berlegar di dalam ingatan peminatnya di seluruh dunia.
Pengasas syarikat Motown, Berry Gordy menceritakan tentang Michael Jackson yang baru berusia 10 tahun ketika itu bukan sahaja 'Raja Pop' tetapi juga adalah "penghibur terbaik sepanjang zaman".
Bintang Bola Keranjang Los Angeles Lakers, Magic Johnson menceritakan yang beliau selalu pergi dan makan KFC di rumah Michael.
"Kami banyak persamaan, mungkin ini disebabkan kami mahu perhatian daripada orang ramai ketika masih muda," kata Johnson.
"Kami selalu bermain bersama ketika zaman kanak-kanak lagi... gelak ketawa dan senyuman Michael adalah perkara yang saya tidak dapat lupakan," kata pelakon Brooke Shields sambil menitiskan air mata kerana tidak dapat menahan kesedihan.
Keluarga Michael dan pihak yang menguruskan upacara memperingati Michael berkata upacara itu sedikit sebanyak dapat memulihkan imej Michael yang digambarkan begitu negatif sejak berdekad lamanya.
Beliau sebelum ini sering digambarkan dengan imej buruk seperti tuduhan mencabul kehormatan kanak-kanak, kerap melakukan pembedahan muka, masalah saman dan berkelakuan pelik.
Hanya peminat Michael yang akan memperingati bagaimana Michael mempersonakan dunia dengan lagu "Thriller" kemudian mengegarkan lagi industri hiburan dengan lagu seperti "Rock With You" dan "Remember the Time,".
Upacara memperingati Michael pasti akan mengingatkan dunia tentang jasa dan sumbangan Michael Jackson.
Bekas presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela mengucapkan takziah kepada keluara Michael dalam satu kenyataan yang dibaca oleh Lagenda Motown, Smokey Robinson.
Penyair terkenal, Maya Angelou juga turut sama menyampaikan ucapan takziah melalui kenyataan yang dibaca oleh penyanyi Queen Latifah.
"Ini merupakan saat yang tidak sanggup saya hadapi," kata kawan lama Michael, Stevie Wonder yang turut menyanyikan lagu "Never Dreamed You'd Leave in Summer," sebagai penghargaan kepada Michael.
Lionel Richie turut menyanyikan lagu kerohanian "Jesus is Love" dalam upacara itu.
Mansuh PPSMI 'kejayaan rakyat' - MalaysiaKini
"Rakyat seluruhnya tentu lega dan gembira, kerana pengajarannya di sekolah kebangsaan Cina dan India juga turut dikembalikan kepada bahasa ibunda masing-masing," katanya kepada Malaysiakini.
GMP merupakan gabungan badan-badan bahasa, NGO dan parti-parti politik yang ditubuhkan untuk mendesak kerajaan supaya memansuhkan dasar yang diperkenalkan sejak 2003.
Melalui GMP, isu PPSMI juga turut dibangkit dalam kempen beberapa pilihanraya kecil yang diadakan sejak awal tahun ini.
Hassan mengucapkan syabas kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin, yang menteri pelajaran, kerana "berani membuat keputusan yang benar" demi kebaikan masa depan rakyat.
Katanya, PPSMI merupakan satu dasar yang salah dan menyusahkan rakyat serta membazirkan wang untuk kembali kepada dasar asalnya.
"Walaupun pelaksanaan sepenuhnya hingga 2012, tetapi bagi saya ia melibatkan operasi, bukan soal dasar PPSMI," katanya ketika diminta mengulas pengumuman Muhyiddin hari ini.
Hassan berkata, GMP memberi sokongan penuh kepada beliau sehingga proses seterusnya sehingga 2012.
Berikutan itu, katanya, GMP akan bermesyuarat dalam masa terdekat sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pemansuhan PPSMI.
Daulat bahasa Melayu
Ditanya sama ada pemansuhan itu lebih baik dilaksanakan secara serta-merta, Hassan berkata:
"Tak usahlah, tak payah begitu. Kita dah enam, tujuh tahun (dalam dasar itu), sekarang sudah kembali sepenuhnya seperti dahulu.
"Apa yang kerajaan perlu buat, ialah tumpu perhatian dengan meningkatkan kaedah pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, bukan bahasa pertama.
"Supaya anak-anak semua kaum mahir bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua," tambahnya.
'Hanya sebahagian selesai'
Sementara itu, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena) Datuk Dr Zainal Abidin Borhan menyifatkan 'sebahagian daripada isu PPSMI masih belum selesai'.
Katanya, ini kerana pemansuhan dasar tersebut hanya membabitkan sekolah rendah dan sekolah menengah tetapi tidak mengambil kira pelajar tingkatan enam dan matrikulasi.
"Secara peribadi, saya menyatakan sebahagian daripada perjuangan (Gapena) itu belum selesai.
"Kalau kita lihat dari sudut sosialnya, ada pembahagian pelajar yang mengambil aliran sains dan aliran sastera, kita dapati pelajar kelas sains akan terus belajar sains dan matematik dan seluruh mata pelajaran sains dalam bahasa Inggeris.
"Sedangkan aliran sastera di tingkatan enam, akan terus mengalami diajar dalam bahasa Melayu. Jadi kita lihat berlaku dualisme dalam pembahagian masyarakat.
"Dan ini akan membentuk psikologi pemikiran bahawa barangkali yang berbahasa Inggeris lebih baik daripada yang berbahasa Melayu.
"Ini akan menyebabkan pemilihan universiti akan berubah kerana pelajar mencari institut pengajian tinggi yang lebih mudah dan lebih selesa (diajar) dalam bahasa Melayu, tidak dalam bahasa Inggeris. Dan ini sudah berlaku sekarang," katanya dalam satu sidang akhbar.
Gapena akan bantu
Sementara itu, Ketua 1 Gapena, Tan Sri Ismail Hussein pula berkata menyifatkan pemansuhan PPSMI itu sebagai satu tindakan yang "sangat realistik" kepada rakyat Malaysia.
"Kami berikrar memberi segala pertolongan yang boleh (kepada kerajaan) untuk membantu dan menyumbang tenaga untuk memantapkan kedudukan bahasa di Malaysia," kata dalam sidang media yang sama.
"Kami menyokong bahasa Melayu sebagai kebangsaan dan bahasa Inggeris juga menjadi bahasa antarabangsa, kami harap sangat sifat-sifat dan perangai lama tidak dilanjutkan iaitu mementingkan bahasa Inggeris dan mempermainkankan Bahasa Melayu.
"Bahasa Melayu harus terus di beri perhatian dan dimantapkan sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa perhubungan," katanya.
Manakala Ketua Gapena 2, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar pula berkata, ia menunjukkan kerajaan "mendengar pandangan rakyat" dan membuat "keputusan yang bijak".
"Kombinasi semua kajian termasuk kajian Pembina dijadikan sebagai panduan utama iaitu dasar PPSMI itu merugikan orang Melayu terutama di luar bandar.
Namun, katanya, bahasa inggeris dan bahasa lain harus dipelajari sebagai satu usaha untuk menambah ilmu pengetahuan di kalangan rakyat Malaysia.
Beliau juga berharap agar kerajaan konsisten untuk menjadikan bahasa Melayu juga dijadikan sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di Malaysia.
Daulat bahasa Melayu
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut menyambut baik keputusan kerajaan itu.
"Keputusan itu merupakan satu tafsiran komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
"Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat," kata badan itu dalam satu kenyataan.
NGO itu juga berpendapat bahawa keputusan tersebut bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan.
K'jaan akui PPSMI banyak kelemahan
Menteri pelajaran juga berkata laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007 turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam Sains merosot ke tangga 21 daripada tangga ke-20 pada 2003.
"Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007," kata Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Menurut Bernama, beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.
"Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris," katanya dalam sidang media khas mengumumkan pembatalan dasar tersebut mulai 2012.
Tambahnya, berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing di SJK Cina dan SJK Tamil.
Kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa ia tidak dapat diteruskan seperti dihasratkan, lapor agensi berita itu lagi.
"Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia," Muhyiddin dipetik berkata.
Menurutnya lagi, pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.
"Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik," katanya.
Selain itu, tambah Muhyiddin, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap kepetahan.
Katanya, peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.
"Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus," katanya seperti dilaporkan.