Wednesday, January 19, 2011

Speaker isytihar kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong

Speaker Selangor, Datuk Teng Chang Khim hari ini mengisytiharkan kerusi dewan undangan negeri Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang dewan undangan negeri Selangor selama lebih setengah tahun.
Pengumuman itu dibuat petang tadi di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Katanya, keputusan itu dibuat mengikut Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri. Tiada peruntukkan bagi merayu.
"Badrul mengakui tidak hadir dalam sepucuk surat yang tiba di pejabat saya bertarikh 10 Disember. Dia memohon cuti bagi mendapatan rawatan perubatan tradisional di Pahang,” kata Teng.

Apabila ditanya wartawan, Teng kemudiannya mengemukakan rekod menunjukkan Badrul Hisham tidak menandatangani borang kedatangan pada 8 November lalu.

"Dalam suratnya itu, Badrul juga mengakui beliau tidak hadir pada semua hari semasa dewan bersidang pada November,” katanya.
NONESebelum ini, khabar angin mengenai kekosongan itu bertiup kencang apabila Badrul Hisham Abdullah didakwa telah gagal menghadiri sidang DUN sejak Julai tahun lalu.
Mengikut Artikel 69 perlembagaan Selangor, mana-mana ADUN yang tidak hadir ke sidang DUN bagi tempoh enam bulan akan menyaksikan kerusinya diisytiharkan kosong oleh speaker.

ADUN kontroversial Pelabuhan Klang itu meninggalkan PKR pada tahun Oktober 2009 dan memilih menjadi ADUN Bebas yang mesra BN tetapi kemudiannya menyertai Umno pada Mei tahun lalu.

Sebelum itu, beliau juga 'menghilangkan diri' buat seketika dan muncul semula dengan berita yang beliau akan berpaling tadah.

azlanBadrul Hisham memenangi kerusi Pelabuhan Klang pada pilihan raya umum 2008 di bawah tiket PKR dengan majoriti 4,407 undi.

Beliau mendapat 12,397 undi berbanding calon BN yang diwakili oleh Roselinda Abd Jamil (Umno) yang mendapat 7,990 undi dan calon Bebas Nazir Mansor pula mendapat 580 undi.

Sejak pilihan raya umum pada Mac 2008, negara telah menyaksikan 14 pilihan raya kecil. Yang terakhir akan diadakan di Tenang, Labis, Johor berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha.

Sebelum ini, seorang pembantu khas ADUN Pelabuhan Klang, yang tidak mahu namanya dipetik memberitahu, wakil rakyat itu hanya gagal hadir pada satu persidangan bajet bertarikh 8 hingga 11 November atas masalah kesihatan.

Katanya, surat ketidakhadiran telah dimaklumkan kepada Teng.

Beliau juga menafikan wakil rakyat itu gagal hadir selama enam bulan kerana beliau sendiri mencatatkan kehadirannya.

Bekas ADO, Azahar Ibrahim calon BN di Tenang






Bekas bendahari Pemuda Umno Labis Mohd Azahar Ibrahim diumumkan mewakili BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang hujung bulan ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di kawasan lapang di belakang Pejabat Umno bahagian Labis, petang ini di hadapan 700 penyokong.

NONEAzahar (kiri) juga merupakan anak kepada bekas ADUN Tenang sebelum ini.

Dalam pilihan raya kecil pada 30 Januari ini, Azhar bakal ditentang oleh ketua Muslimat PAS Labis Normala Sudirman yang merupakan bekas guru berkelulusan dari Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 22 Januari sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundi pada 30 Januari depan.

Kerusi DUN Tenang kosong ekoran kematian Datuk Sulaiman Taha di Hospital Pakar Ampang Puteri di Ampang pada 17 Disember lalu kerana jangkitan kuman dalam darah serta suhu badan yang tidak stabil.

NONESeramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Seramai 5,635 pengundi Cina di Tenang dilihat menjadi kunci untuk mengurangkan majoriti BN sekiranya ia dapat mempertahankan kerusi tersebut dalam pilihan raya kecil 30 Januari depan.

Pengundi Melayu, yang majoritinya merupakan penduduk perkampungan Melayu dan peneroka tanah rancangan Felda, adalah penyokong tradisi Umno.

Proses penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi.

Bantu siasat Khir: S'gor dedah projek RM273 juta

Beberapa syarikat milik seorang tertuduh dalam kes melibatkan tuduhan rasuah ke atas bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo didakwa telah menerima projek berjumlah lebih RM273 juta dalam tempoh pentadbiran BN di Selangor.

Pendedahan mengejutkan itu juga melibatkan lima kontrak yang didakwa telah diberikan secara rundingan terus kepada syarikat-syarikat milik Shamsudin Hayroni.

Pendedahan itu dibuat hari ini oleh setiausaha politik menteri besar Selangor Faekah Husin melalui satu kenyataan.

Projek rundingan terus
Menurut Faekah lagi, projek berkenaan termasuk lima projek yang diberikan secara rundingan terus kepada syarikat Majulia Sdn Bhd.

Ia antara lainnya melibatkan satu pembinaan fasa pertama bagi kuarters kakitangan kerajaan dengan nilai lebih RM22.8 juta, serta pembinaan fasa keduanya dengan nilai RM61 juta.

Projek yang didedahkan itu turut melibatkan pembinaan bangunan sebuah perpustakaan, bernilai lebih RM71 juta, manakala satu projek lagi melibatkan pembinaan sebatang jalan di Sepang yang bernilai lebih RM73.7 juta.

Faekah juga berkata, satu lagi projek melibatkan sebuah stadium terbuka, pencawang elektrik, dua kebuk dan unit loji kumbahan di atas satu tapak kompleks sukan di Dengkil, bernilai hampir RM15 juta.
Bantu siasatan
Faekah berkata, pendedahan itu adalah ekoran tindakan majlis mesyuarat kerajaan negeri pada 16 Disember lalu yang memutuskan untuk mendedahkan butiran mengenai projek berkenaan.
Ia antara lainnya bertujuan untuk memastikan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat itu tidak dikaitkan dalam perbicaraan kes Dr Khir dan Shamsuddin Hayroni, kata Faekah lagi.
"Ini juga sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pentadbiran yang didukung oleh Pakatan Rakyat yang sama sekali menolak sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin dan ahli politik demi kepentingan peribadi.
"Kerajaan negeri berpendapat maklumat yang diberikan ini dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan," kenyataan itu dipetik.

Kes Sultan Kelantan: Dua peguam tarik diri

PUTRAJAYA 18 Jan. - Dua peguam, Raja Aziz Addruse dan Abdul Rashid Ismail menarik diri daripada mewakili Sultan Ismail Petra dalam permohonan baginda untuk mencabar kesahihan pemasyhuran anakanda sulungnya, Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan pada 13 September tahun lalu.

Permohonan untuk menarik diri itu dikemukakan di Mahkamah Persekutuan hari ini oleh Abdul Rashid dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli. Beliau turut hadir bagi pihak Raja Aziz.

Permohonan itu dikemukakan atas alasan Sultan Ismail Petra tidak akan berpeluang mendapat khidmat Raja Aziz yang kini menjalani rawatan perubatan hingga awal Mac ini sedangkan tarikh pendengaran permohonan ditetapkan pada 10 Februari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusoff dan Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif membenarkan permohonan tersebut.
Sehubungan itu, petisyen baginda yang memohon campur tangan mahkamah agar mengisytiharkan pemasyhuran Sultan Muhammad V sebagai tidak sah di sisi undang-undang, akan didengar pada 10 Februari ini.
Afidavit bagi menyokong permohonan penarikan diri selaku peguam bela dan peguam cara itu diikrarkan oleh Abdul Rashid pada Selasa lalu.

Abdul Rashid mengikrarkan, beliau dan Raja Aziz dilantik oleh Sultan Ismail Petra selaku pempetisyen pada 18 Jun tahun lalu untuk bertindak sebagai peguam bela dan peguam cara.
Abdul Rashid menyatakan, ketika mahkamah bersidang, Raja Aziz tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih dirawat di Singapura dan hanya akan berakhir pada awal Mac ini.
Sewaktu pengurusan kes diadakan pada 23 Disember tahun lalu, peguam cara memohon tarikh pendengaran petisyen ditetapkan pada pertengahan Mac.
Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar mengarahkan permohonan itu didengar lebih awal iaitu pada 10 Februari ini serta memerintahkan peguam cara mendapat arahan selanjutnya daripada pempetisyen berhubung perkara itu.
Abdul Rashid kemudian menyatakan, baginda menitahkan agar Raja Aziz mewakilinya menyebabkan peguam cara memohon pendengaran ditetapkan pada pertengahan Mac.

''Oleh sebab keengganan mahkamah menetapkan tarikh pendengaran pada Mac ini, baginda tidak akan berpeluang mendapat khidmat Raja Aziz. Tetuan Rashid Zulkifli dan Raja Aziz tidak dapat mewakili baginda,'' menurut afidavit tersebut.

Sultan Ismail Petra memfailkan petisyen ketiga itu pada 20 September tahun lalu memohon pandangan mahkamah sama ada anakanda baginda yang ketika itu merupakan Tengku Mahkota mempunyai hak eksklusif untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Petisyen pertama dan kedua Sultan Ismail Petra yang masing-masing difailkan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun lalu ditolak oleh satu panel lain Mahkamah Persekutuan pada 26 November tahun lalu.
Mahkamah dalam keputusannya berpuas hati, Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh apabila Sultan mengalami ketidakupayaan seperti yang peruntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Sultan Muhammad V dilantik sebagai Sultan Kelantan oleh Majlis Perajaan Negeri menggantikan ayahandanya yang mengalami ketidakupayaan sejak Mei 2009.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...