Showing posts with label Berita Harian. Show all posts
Showing posts with label Berita Harian. Show all posts

Saturday, September 3, 2011

Jurukamera BERNAMATV maut, wartawan TV3 cedera akibat peluru sesat

KUALA LUMPUR: Jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, maut akibat terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia, petang ini waktu tempatan. 

Manakala wartawan TV3, Aji Saregar Mazlan cedera ringan di bahu kanan terkena serpihan peluru, menurut wartawan ASTRO Awani, Tan Su Lin yang membuat liputan langsung di Astro malam ini.

Beliau berkata kejadian itu berlaku pada jam 5.40 petang waktu tempatan (Malaysia lima jam lebih awal dari Somalia) semasa mereka seramai enam orang sedang menaiki pacuan empat roda dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan diiringi tentera kerajaan Somalia.
"Tiba-tiba saya terdengar dua bunyi kuat dari sebelah kanan dan ada bau asap. Saya tidak  menyangka kenderaan kami terkena tembakan apabila menoleh kebelakang, Aji dalam kesakitan dan Faizul dalam keadaan pucat," katanya. 

Sementara itu, wartawan BERNAMATV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata tembakan peluru sesat utu mengenai bahu Noramfaizul dan menembusi parunya, dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada jam 6.10 petang waktu tempatan. 

Noramfaizul meninggalkan seorang isteri Norazrina Jaafar, 37, dan dua orang anak lelaki Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3. 

Sementara itu, Norazrina, yang sedang dalam perjalanan balik dari Johor ke rumah mertuanya di Serdang Raya dekat sini, melahirkan rasa terkejut dan sedih dengan pemergian Allahyarham. 


Norazrina berkata sebelum suaminya berlepas ke Somalia, Allahyarham sudah berpesan supaya menjaga diri dan anak mereka dengan baik. 

"Dia turut berpesan dia pergi kerana berkhidmat untuk negara, dan jangan bimbang dengan keselamatan dirinya," kata eksekutif perhubungan awam sebuah agensi kerajaan di sini. 

Dalam pada itu, Tan berkata mereka pulang ke tempat penginapan untuk berkemas kerana dijangka pulang ke Malaysia pada jam 5.30 pagi waktu tempatan esok. 

Beliau berkata ketua misi, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang juga Presiden Kelab Putera 1Malaysia, sedang berbincang dengan pihak pengurusan untuk membawa balik jenazah Allahyarham bersama rombongan misi esok. 

Misi tersebut berlepas pada 28 Ogos dari Kuala Lumpur dalam misi membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia. - BERNAMA

Sunday, June 26, 2011

Chong Wei juara Terbuka Indonesia

KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, meraih gelaran Terbuka Indonesia untuk kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan pemain Denmark, Peter Gade, 21-11 21-7 dalam perlawanan akhir di Istora Senayan, sebentar tadi. 

Ia adalah kejuaraan keenam untuk pemain nombor satu dunia itu tahun ini.

Wednesday, June 15, 2011

Pelarasan harga belum muktamad, KPKK masih bincang dengan Astro

KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sedang berbincang dengan pihak stesen televisyen berbayar Astro berhubung hasrat syarikat itu melakukan beberapa pelarasan harga kepada pakej yang ditawarkan berkuatkuasa 11 Julai depan. 

Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang, berkata penyelarasan harga yang diumumkan oleh pihak syarikat televisyen berbayar itu baru-baru ini, masih belum muktamad."Kementerian memang sentiasa memantau dan berunding dengan Astro. Untuk makluman Dewan yang mulia ini, penyelarasan harga yang telah diberitakan belum muktamad.

"Pada masa kini, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang berunding, meneliti dan menganalisa apakah hajat Astro untuk naikkan harga ini wajar atau tidak," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) di Dewan Rakyat di sini hari ini. 

Mohamad meminta supaya kementerian memantau langkah Astro untuk mengenakan bayaran yang agak tinggi terhadap pakej-pakej yang ditawarkan demi kepentingan rakyat. 

Sementara itu, Joseph berkata bagi mana-mana perkhidmatan televisyen berbayar termasuk Astro, penetapan kos langganan adalah berdasarkan kos yang ditanggung dalam menyediakan perkhidmatan termasuklah kos pemerolehan dan pembelian kandungan dan hak penyiaran dari pihak ketiga. 

Katanya, ini adalah selaras dengan prinsip mengenai penetapan kadar yang diperuntukkan di bawah Seksyen 198, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. 
 
"Oleh itu, setiap kenaikan harga dianalisa oleh pihak SKMM bagi memastikan ianya adalah tindakan yang wajar dan munasabah berasaskan kos dan tidak hanya bermotifkan keuntungan semata-mata," katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan pemantauan SKMM didapati Astro tidak menayangkan terlalu banyak iklan komersil, malah secara purata masa iklan yang digunakan oleh Astro hanyalah 19 hingga 20 peratus atau 46-50 minit daripada 240 minit masa yang dibenarkan untuk mereka menyiarkan iklan komersil dalam sehari. 

Katanya, kerajaan tidak menghalang penyiaran iklan di Astro mengikut syarat lesen yang membenarkannya menyiarkan iklan komersil tidak lebih daripada 10 minit bagi setiap jam di setiap saluran. 

"Kebanyakan iklan di saluran Astro adalah berbentuk promosi saluran-saluran atau rancangan-rancangan Astro lain. 

"Ini tidak dianggap sebagai iklan komersial kerana masa penyiaran tersebut tidak memberi pulangan kepada Astro," katanya. 

Selain itu, beliau berkata kerjaan turut menetapkan syarat lesen Astro untuk menyiarkan Pengumuman Khidmat Awam (Public Service Announcement-PSA) selama satu minit setiap jam siaran di 10 saluran. - BERNAMA 

Saturday, June 11, 2011

Nik Aziz isytihar esok cuti umum

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebentar tadi mengisytiharkan esok sebagai cuti umum di Kelantan. 

Beliau berkata, perisytiharan itu untuk keselesaan penyokong Kelantan pulang selepas menyaksikan final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

"Besok diisytiharkan cuti umum di Kelantan sebagai memberikan peluang kepada anak-anak Kelantan pulang dengan selesa. Semoga penyokong dapat menjaga tata tertib sepanjang menyaksikan perlawanan malam ini," katanya menerusi laman Facebooknya.

Tiada lagi monopoli penyiaran program TV: Rais

KOTA KINABALU: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan melaksanakan dasar baru yang memastikan program televisyen yang digemari rakyat, terutama sukan popular, tidak lagi dimonopoli oleh satu badan penyiar atau badan media sahaja. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata perkara itu sudah disampaikan kepada pihak berkenaan, termasuk Astro.

"Kita mahu Astro, misalnya, supaya mewujudkan jaringan kerjasama yang produktif dan adil dengan Media Prima dan apatah lagi dengan RTM.


"Mereka yang tidak mempunyai kemudahan Astro tidak dapat (mengikuti siaran TV sukan) sedangkan RTM adalah badan penyiar kerajaan, dan dalam hal ini saya memohon maaf bagi pihak kementerian," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran serentak Komuniti 1Malaysia peringkat negeri Sabah dan Pos Bergerak serta penghargaan kepada petugas pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi (Sandakan) di sini hari ini. 

Rais berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan rakyat, khususnya mereka yang tidak mempunyai kemudahan Astro, yang tidak dapat menonton siaran Sukan Malaysia ke-14 yang diadakan di Kuala Lumpur tahun ini. 

"Kita mahu laksanakan dasar baru ini dan di bawah lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), kita akan ubah kedudukan tersebut. 

"Dengan lain perkataan tiada lagi monopoli. Sesuatu projek atau program sukan, misalnya bola sepak, kita cuba agihkan saluran dengan cara muafakat demi kebaikan semua pihak," katanya. 
Beliau berkata mengikut undang-undang sedia ada, lesen penyiaran boleh ditambah baik atau ditokoh tambah sekiranya kerajaan memikirkan sedemikian. - BERNAMA 

Wednesday, May 4, 2011

Gempa bumi lemah dikesan di Lahad Datu

KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 3.3 pada skala Richter dikesan berlaku berdekatan Lahad Datu, Sabah pada jam 3.43 petang ini. 

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini, berkata pusat gegaran itu dikesan di 4.9 darjah Utara dan 117.6 darjah Timur iaitu 79 kilometer dari barat daya Lahad Datu.



Katanya, gegaran mungkin dapat dirasai di beberapa kawasan di bahagian Tawau dan Lahad Datu. - BERNAMA

Sunday, April 10, 2011

Pilihan raya Sarawak: Semua 213 calon kekal bertanding - SPR

KUCHING 10 April – Kesemua 213 calon, termasuk 41 calon Bebas, yang mencalonkan diri untuk bertanding di kesemua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Pilihan Raya Negeri yang ke-10 Sabtu ini, kekal bertanding.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak Datuk Takun Sunggah berkata sehingga tempoh menarik diri berakhir pada pukul 12 tengah malam tadi, tiada calon yang mengemukakan permohonan untuk menarik diri.

Dengan itu, SPR telah mengarahkan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) cawangan Kuching mencetak kertas undi untuk kesemua calon itu, katanya kepada pemberita menerima Buku Undi Pos daripada PNMB di sini hari ini.

Pengarah Urusan PNMB Izham Yusoff berkata pihaknya telah mencetak kertas undi bagi 18,363 pengundi pos pada pukul 12.01 malam tadi, sebaik sahaja menerima pengesahan SPR mengenai calon-calon yang bertanding.

"Kita telah terima nama calon tetapi terpaksa menunggu pengesahan SPR terlebih dahulu. Kami dapat siapkan kira-kira pukul 7 pagi ini menggunakan kira-kira 40 pekerja,” katanya.

Beliau berkata cetakan bagi kertas undi yang lain akan dijalankan secara berterusan dan dijadual siap dalam masa terdekat.

Izham berkata proses mencetak kertas undi ini dijalankan mengikut standard ditetapkan, dan juga perlu mempunyai kemampuan mencetak mengikut tempoh yang ditentukan.

Sementara itu, Pengarah SPR negeri berharap kesemua kertas undi dapat disiapkan oleh PNMB selewat-lewatnya pada 14 April memandangkan ia perlu dihantar ke kawasan pedalaman. - Bernama

Sunday, March 20, 2011

Akhirnya Taib lakar perubahan kepimpinan di S'wak

Buat pertama kalinya selepas sekian lama, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud akhirnya melakarkan jadual dan perancangan awal sebelum beliau menyerahkan pentadbiran kepada kepimpinan baru.

Tampaknya beliau mungkin akan berbuat demikian dalam tempoh dua setengah tahun dari sekarang selepas mengumumkan semalam yang beliau akan mengetuai BN Sarawak dalam pilihan raya negeri ke-10 dan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Balingian buat kali
terakhir.

Taib pertama kali melahirkan hasratnya untuk meletakkan jawatan pada 2006 tetapi ia tidak direalisasikan dan beliau terpaksa menangguhkannya.

Beliau tidak menjelaskan secara panjang lebar akan sebabnya ketika itu tetapi pemerhati politik mendapati Taib secara tidak langsung memberikan sedikit gambaran mengenai perkara itu dalam ucapannya pada program "Senada Sejiwa" di Serian semalam.

Taib berkata beliau akan terus menerajui negeri bagi memastikan "pemimpin baru" boleh dikenal pasti dan beliau akan berundur apabila beliau berpuas hati yang pemimpin baru boleh bekerjasama dengan baik.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan mana-mana penganti yang berpotensi.

"Saya fikr beliau mahu memastikan penggantinya dan orang di sekeliling pemimpin terpilih itu tidak bercakaran antara satu sama lain; bahawa mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan dan menjaga kedudukan BN di negeri ini," menurut seorang pemerhati politik.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian percaya Taib akan melepaskan jawatannya dalam satu atau dua tahun akan datang.

"Jika beliau berundur sekarang, ia mungkin mencetuskan perebutan kuasa dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tunggak gabungan parti pemerintah negeri.

"Beliau perlu membimbing seseorang untuk mengambil alih. Beliau mungkin telahpun membimbing orang berkenaan tetapi atas sebab yang hanya diketahui oleh beliau sendir, beliau telah menangguhkan (peralihan)," katanya.

Daripada perspektif strategi politik, Dr Sivamurugan berkata adalah tidak bijak untuk Taib berundur sebelum pilihan raya atau sejurus selepasnya kerana persoalan siapa bakal menjadi ketua menteri akan menjadi tumpuan berbanding usaha memenangi dan mengekalkan kuasa pada pilihan raya.

"Isu ini lebih rumit. Ia bukan mengenai siapa yang patut jadi ketua menteri. Di Sarawak, ia lebih kepada siapa yang akan menggantikan beliau sebagai
presiden PBB dan sebab itu kenapa ia tidak boleh dilakukan dalam waktu singkat," katanya.

Bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya proses peralihan itu akan mengambil masa lebih lama, kemungkinan sehingga pertengahan penggal akan datang bagi membolehkan pengganti berpotensi dipilih daripada kalangan pemimpin kanan parti.

Taib, 75, yang berkata beliau serius mencari pemimpin untuk menerajui parti, akan membubarkan Dewan Undangan Negeri pada Isnin, lima hari sebelum genap 30 tahun beliau menjadi ketua menteri.

Taib telah menjadi presiden PBB dan ketua menteri sejak 26 Mac, 1981.

Sebelum ini, Taib menamakan tiga pengganti berpotensi - Tan Sri Adenan Satem, Datuk Seri Abang Johari Tun Abang Haji Openg dan Datuk Seri Effendi Norwawi. 

Namun keadaan berubah mengikut peredaran masa.

Tumpuan sekarang ialah kepada barisan pemimpin kanan masa kini - Timbalan Presiden I Tan Sri Alfred Jabu, Timbalan Presiden II Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. 

Orang dalam parti menyatakan oleh kerana Taib sering menyatakan yang beliau dan Jabu sudah "tua", fokus kini terarah kepada Abang Johari dan Awang Tengah. 

Mereka berkata pada mesyuarat parti enam bulan lepas, Taib melahirkan harapannya untuk melihat Abang Johari dan Awang Tengah saling bekerjasama.

"Saya fikir Taib perlukan lebih banyak masa kerana beliau mahu kedua-dua pemimpin ini membuktikan yang mereka boleh bekerja sebagai satu pasukan sebelum seorang daripada mereka dipilih sebagai pengganti, memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar," menurut seorang lagi orang dalam parti.

Dalam sejarah PBB, tiada siapa pernah mencabar presiden parti.

Pada 1998, Adenan dan Abang Johari saling bersaing bagi merebut jawatan timbalan presiden, yang diperuntukkan untuk kaumMelayu/Melanau.

Abang Johari menang berikutan mendapat sokongan padu daripada anggota Dayak disebalik hakikat Adenan mendapat sokongan Taib pada waktu itu.

Adenan, yang tewas, kemudiannya dilantik oleh Taib sebagai naib presiden kanan parti.

Tujuh tahun kemudian, Adenan sekali lagi mencabar Abang Johari, tetapi persidangan perwakilan ditangguhkan apabila dilaporkan ada penyokong Adenan didakwa dikesan mempunyai dua cawangan di kira-kira 40 kawasan.

Orang dalam parti itu berkata Taib, sebagai ahli politik veteran, diketahui tidak suka kepada sesiapa yang cuba mendesak beliau meletakkan jawatan bagi membolehkan peralihan kepimpinan negeri.

Beliau akhirnya pasti akan berundur tetapi beliau mahu melakukannya mengikut rentaknya sendiri, katanya. "Anda tidak boleh paksa beliau kerana beliau tahu bagaimana untuk membalas balik, sepertimana yang beliau telah lakukan di masa lalu. Beberapa pemimpin politik yang bercita-cita tinggi cuba memaksanya berundur tetapi akhirnya mereka sendiri yang dipinggirkan dalam politik."


Suruhanjaya Pilihan Raya perlu mengadakan pilihan raya negeri itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran dewan.

Sejak pembentukan Malaysia pada 1963, Sarawak telah mengadakan sembilan pilihan raya negeri -- pada 1969-1970, 1974, 1979, 1983, 1987, 1991, 1996, 2001 dan 2006.

Pilihan raya pertama Sarawak ialah selepas pembentukan Malaysia, yang diadakan secara berperingkat dari 10 Mei 1969 hingga 7 Jun 1969 kerana sistem pengangkutan dan komunikasi pada masa itu belum sempurna.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan serentak dengan Parlimen dan semua Dewan Undangan Negeri yang lain kecuali Kelantan, pada 20 Mac 1969 dengan penamaan calon ditetapkan pada 5 April, 1969.

Bagaimanapun, akibat rusuhan kaum yang berlaku di Semenanjung Malaysia pada 13 Mei tahun itu yang diikuti dengan pengisytiharan darurat, pilihan raya itu ditangguhkan sehingga 1970.

Apabila penangguhan itu dikuatkuasakan, pilihan raya di sembilan daripada 48 kawasan di Sarawak telah bermula tetapi semuanya masih belum selesai.

Pilihan raya negeri dan Parlimen disambung semula pada 6 Jun, 1970 dan selesai pada 4 Julai, 1970.

Sepanjang pilihan raya itu, satu tragedi berlaku di Sarikei pada 29 Jun, 1970 apabila pengganas komunis membunuh tiga pegawai pengurus pilihan raya yang dalam perjalanan pulang selepas pengundian selesai di sebuah pusat pengundian.

Di luar sebuah lagi pusat pengundian di Bahagian yang sama, sebutir bom ranjau meletup tetapi tiada yang cedera.

Disebalik semua kejadian itu, 80 peratus daripada 332,373 pemilih berdaftar di Sarawak telah keluar mengundi, jumlah yang tinggi berbanding dengan peratusan pengundian di negeri-negeri lain.

Sejumlah 221 calon bertanding di 48 kerusi negeri di Sarawak, dengan Perikatan Sarawak yang dianggotai Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA) dan Persatuan Cina Sarawak (SCA) bertanding di 33 kerusi.

Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bertanding di 40 kerusi, Parti Pesaka Sarawak (Pesaka) 35, dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) 47, dengan 66 calon Bebas turut bersaing.

SUPP kemudiannya menyertai Perikatan Sarawak, membolehkan gabungan itu menguasai 27 daripada 48 kerusi dalam Majlis Negeri dan membentuk kerajaan.

Pilihan raya negeri yang kedua diadakan dari 24 April hingga 14 September 1974, serentak dengan pilihan raya Parlimen selepas Dewan Undangan Negeri dan semua Dewan Undangan Negeri yang lain dan Parlimen dibubarkan pada 31 Julai, 1974.

Bagaimanapun, pilihan raya negeri yang ketiga hanya diadakan pada 1979, setahun selepas pilihan raya umum 1978, buat pertama kalinya 
pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum diadakan berasingan.

Pilihan raya negeri yang keempat diadakan 18 bulan sebelum berakhirnya penggal Ketua Menteri yang baru Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang memegang jawatan itu pada 26 Mac 1981. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 18 November 1983, penamaan calon diadakan pada 8 Dis dan pengundian pada 28 dan 29 Disember.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubarkan pada 13 Mac 1987 bagi diadakan pilihan raya negeri yang kelima selepas sekumpulan wakil rakyat yang diketuai bapa saudara Taib dan ketua menteri terdahulu Tun Rahman Yaakub memberontak terhadap Ketua Menteri yang peristiwa itu dikenali sebagai "Ming Court Affair".

Mereka termasuk beberapa anggota PBB yang kemudiannya membentuk kumpulan "Maju Group" manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) 

mengumumkan keluar daripada BN negeri tetapi kekal sebagai komponen BN di peringkat pusat.

Dalam pilihan raya yang diadakan pada 15 dan 16 April, Taib mengetuai BN negeri dengan memenangi 28 daripada 48 kerusi Dewan Undangan Negeri. Kemudiannya lapan wakil rakyat PBDS menyertai BN, memberikannya majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri.

Pilihan raya negeri yang keenam pada 1991 juga berlangsung selama dua hari, pada 28 dan 29 September, manakala pilihan raya negeri yang ketujuh diadakan pada 7 dan 8 September 1996.

Bagaimanapun pilihan raya negeri yang kelapan berlangsung dalam satu hari sahaja pada 27 September 2001 berikutan pembangunan pesat infrastruktur dan komunikasi. Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 3 September manakala penamaan calon diadakan pada 18 September 2001.

Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006 selepas dewan dibubarkan pada 24 April dan penamaan calon pada 9 Mei.

Dewan Undangan Negeri Sarawak dianggap sebagai badan pengubal undang-undang tertua di Malaysia kerana ia diwujudkan selepas mesyuarat julung kali yang pertama di Bintulu pada 8 September 1867.

Majlis Am Sarawak yang pertama dengan 21 anggota diketuai Raja Charles Brooke yang dianggotai enam pegawainya dan 16 pemimpin 
masyarakat tempatan. Pada 1903, Majlis Aam dinamakan sebagai Majlis Negeri. 

Pada 1941, anak lelaki Brooke, Vyner, mewujudkan perlembagaan bertulis yang dikenali sebagai "Constitution Order in Council" sempena 
sambutan ulang tahun ke-100 pemerintahan Brooke di Sarawak.

Berikutan itu, keanggotaan Majlis Negri ditambah kepada 24. Bagaimanapun, Ketua Setiausaha telah dilantik untuk mempengerusikan Majlis Negri dan bukannya Vyner Brookes (dalam peranannya sebagai Raja), pada 1963, keanggotaan Majlis Negri ditingkatkan kepada 42. Sejak itu, keanggotaannya telah meningkat secara berperingkat kepada 48 pada 1968, 56 pada 1989, 62 pada 1996 dan 71 pada 2006. Pada 1976, Majlis Negri diberi nama baru iaitu Dewan Undangan Negeri.

Saturday, February 19, 2011

Rakyat Malaysia Di Algeria, Bahrain, Libya Dan Yemen Selamat

UALA LUMPUR: Rakyat Malaysia di Algeria, Bahrain, Libya dan Yemen, yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia, setakat ini dilaporkan selamat dan tidak terlibat dalam rusuhan yang berlaku di negara berkenaan.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan malam Jumaat menyebut, ia sentiasa memantau perkembangan terkini di negara terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan semua rakyat Malaysia selamat.
Jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Algeria ialah 60 orang, Bahrain (500), Libya (150) dan Yemen (646).
"Kementerian juga ingin menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di negara-negara tersebut untuk mengikuti perkembangan terkini dan berhubung dengan pihak kedutaan bagi mendapatkan sebarang bantuan, sekiranya perlu," kata kenyataan itu.
Selain itu, Kedutaan Besar Malaysia di Algiers, Manama, Tripoli dan Sana’a diarah menghubungi serta menasihati semua pelajar dan rakyat Malaysia di situ agar mengambil langkah keselamatan sewajarnya, selain mengelak berada di tempat berisiko tinggi berlaku rusuhan. - BERNAMA

Friday, February 18, 2011

Mahkamah isytihar kerusi DUN Pelabuhan Klang tidak kosong

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tiada kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang dan Badrul Hisham Abdullah kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri. - BERNAMA

Tuesday, February 15, 2011

Konsert Mohsen Namjoo tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim mengesahkan bahawa konsert Mohsen Namjoo yang dijadualkan pada Jumaat ini, tidak dibenarkan kerana ia tidak bersesuaian dari segi agama, budaya dan kemasyarakatan pelbagai kaum di negara ini.


Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata permohonan yang diterima daripada pihak penganjur pada Jumaat lalu, ditolak hari ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (JK Puspal).

Penyanyi kelahiran Iran yang digelar "Bob Dylan" oleh New York Times satu ketika dulu itu juga mendapat banyak tentangan daripada rakyat Malaysia kerana dikatakan menghina Islam dalam lagu-lagunya. -Bernama

Sunday, February 13, 2011

FLOM: Najib perlu jawab kekeliruan

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diseru untuk menerangkan kekeliruan kenyataannya mengenai Jabatan Wanita Pertama Negara (FLOM) di Pejabat Perdana Menteri yang ditubuhkan khas buat isteri kesayangan beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.
Merujuk kepada jawapan Najib di Parlimen pada November 2010, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong berkata Perdana Menteri telah menyatakan bahawa tiada staf tetap mahupun staf kontrak yang didedikasikan kepada isterinya, Rosmah.
Namun begitu, kenyataan Najib terbukti bercanggah apabila laman web direktori Pejabat Perdana Menteri sendiri menunjukkan bahawa terdapat lima pegawai yang berkhidmat di bawah FLOM, yang diketuai Siti Azizah Sheikh Abod seperti yang dilaporkan Harakahdaily di sini.
“Apabila maklumat itu dibongkar dan dijadikan pengetahuan umum oleh sebilangan media dan juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, maklumat tersebut telah hilang secara misterinya daripada laman web tersebut. Kebenaran mengenai peruntukan kepada jabatan tersebut masih belum dimaklumkan.
Bahkan, penemuan baru ‘Jabatan Wanita Pertama Malaysia’ langsung tidak disebutkan dalam empat jilid Senarai Perjawatan Persekutuan, yang merupakan sebahagian daripada kertas Bajet Persekutuan 2011.
Persoalannya sekarang ialah bagaimana dan berapa banyak peruntukan telah diberikan kepada jabatan ini dan apakah fungsi jabatan ini,” ujar Liew dalam kenyataannya.
Semakan Harakahdaily baru-baru ini juga mengesahkan bahawa laman web directori Pejabat Perdana Menteri yang menyenaraikan jabatan FLOM telah dibuang seperti yang didakwa Liew.
Selain FLOM, Liew berkata dalam laman directori yang dipadamkan tersebut terdapat banyak lagi jawatan-jawatan berupa penasihat untuk isu-isu tertentu yang tidak dinyatakan dalam kertas Bajet Persekutuan 2011.
Ini meliputi Datuk Seri Dr Abdullah bin Md Zin sebagai penasihat hal-ehwal agama Islam, Datuk Shahidan Kassim sebagai penasihat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Datuk Seri Jalaludin bin Bahaudin sebagai penasihat media, Datuk Mohammad Kamal Yan Yahaya sebagai penasihat perhubungana antarabangsa dan Prof Emeritus Datuk Dr Zakri Abd Hamid sebagai penasihat sains.
Menurut Liew, setiap penasihat diberikan sekurang-kurangnya satu staf untuk membantu tugas mereka.
Liew turut mengingatkan bahawa Jabatan Perdana Menteri merupakan pihak yang paling besar perbelanjaannya jika dibandingkan dengan kementerian yang lain, dan disasarkan akan menerima RM 15.8 billion tahun ini yang tidak termasuk peruntukan kepada Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Dengan rekod perbelanjaan tertinggi berbanding dengan tahun-tahun yang lepas dan lebih dua kali ganda daripada perbelanjaan pada tahun 2007… dengan ini, saya menyeru Perdana Menteri untuk menyajikan jawapan yang jujur tentang isu ini dan bertanggungjawab kepada rakyat.
“Rakyat Malaysia berhak mengetahui bagaimana duit rakyat digunakan,” ujar Liew.

Thursday, February 3, 2011

Bekas MB Johor meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ajib Ahmad, meninggal dunia di Hospital Pakar Damansara kira-kira 3.25 petang ini akibat sakit jantung. 

Abdul Ajib, 64, menjadi Menteri Besar Johor mulai 1982 hingga 1986.



Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Ropeah Hassan, 60, dan empat anak. - BERNAMA

6 maut dalam pertempuran di Dataran Tahrir

KAHERAH: Lelaki bersenjata menembak penunjuk perasaan anti-kerajaan dalam pertempuran di Kaherah di mana enam orang terbunuh manakala lebih 800 cedera, menyebabkan kuasa Barat sekali lagi menggesa Presiden Hosni Mubarak segera melepaskan kuasa. 

Ribuan penunjuk perasaan di Dataran Tahrir berkata, mereka yang melepaskan tembakan itu adalah anggota polis rahsia.



Marah dengan kenyataan Mubarak kelmarin untuk hanya melepaskan jawatan pada September depan, mereka bertekad akan meneruskan demonstrasi sehingga pemimpin berusia 82 tahun itu berundur.
Pemimpin pembangkang termasuk tokoh liberal, Mohamed ElBaradei, dan pergerakan Islam Mesir menolak gesaan rundingan dengan Perdana Mnteri, Ahmed Shafiq, yang baru dilantik Mubarak. 

Mereka menegaskan hanya pemergian presiden itu akan menamatkan demonstrasi dan membuka jalan untuk rundingan. - Reuters 

40 terselamat dalam kejadian bas ekspres terbabas

SEREMBAN 3 Feb. - Seramai 40 penumpang terselamat selepas sebuah bas ekspres yang mereka naiki dalam perjalanan ke Johor terbabas ke laluan bertentangan di Kilometer 245.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Tol Pedas-Linggi, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, pemandu bas Transnasional dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kluang itu dikatakan hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
Bagaimanapun, bas itu tidak dirempuh oleh kenderaan lain di laluan bertentangan itu.

Sejurus selepas kemalangan itu, pemandu bas berkenaan, Sabri Sharom, 48, telah membuat laporan di Ibupejabat Polis Daerah Seremban 2, di sini.
Ketika ditemui, Sabri berkata, beliau tidak dapat mengawal bas tersebut selepas tayar depan sebelah kanan bas itu tiba-tiba pecah. - Bernama

Wednesday, February 2, 2011

Penuntut Malaysia di Mesir dijangka dipindahkan ke Jeddah

KOTA KINABALU 2 Feb. – Semua penuntut Malaysia di Mesir, yang kini berdepan masalah berikutan protes ganas yang mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur, dijangka dipindahkan dari negara itu dalam tempoh empat hari setengah.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan serius dalam usaha untuk membawa keluar warganegaranya dari Mesir dan telah mengaturkan untuk menerbangkan mereka dari Kaherah ke Jeddah, Arab Saudi.

Selain tiga pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas ke Mesir hari ini, katanya, pesawat khas AirAsia Airbus A320 dengan kapasiti 249 penumpang juga dijadual berlepas ke Kaherah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-kira 2 petang hari ini.

"Pesawat itu juga akan membawa barangan makanan untuk pelajar Malaysia di Mesir,” katanya kepada pemberita di sini.
Anifah berkata, sebuah pesawat Malaysia Airlines, Boeing 747, yang boleh membawa 285 penumpang, akan berlepas ke Kaherah pada 9 pagi esok.

"Kami menjangkakan untuk menerbangkan sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah setiap hari dan berharap semua penuntut Malaysia di sana dapatdipindahkan dalam masa empat hari setengah,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedang menguruskan visa sementara dengan kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan penuntut berkenaan dipindahkan ke Jeddah. – Bernama

Tuesday, January 25, 2011

 Cabar Pakatan guna alasan budak sekolah

KUALA LUMPUR, 25 Jan: PAS menyifatkan cabaran Datuk Ahmad Maslan supaya negeri Pakatan Rakyat menurunkan harga barangan sebagai 'alasan' setelah gagal memberi penjelasan kenaikan harga barangan yang dituntut rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sepatutnya memberi jawapan yang baik dan bukan mengalihakan isu tersebut dengan membuat cabaran kepada Pakatan Rakyat.

"Masyarakat mengharapkan jawapan yang baik dari Timbalan Menteri, tapi malangnya jawapan Ahmad macam budak tak sekolah.

"Semua orang tahu, kuasa beri subsisdi untuk menurunkan harga barangan ini bidang kuasa kerajaan pusat bukan kerajaan negeri," katanya kepada Harakahdaily.

Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno dalam kempennya di Tenang hari ini dilaporkan mencabar negeri Pakatan Rakyat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan menurunkan harga barang termasuk harga petrol.

Menurutnya, empat negeri Pakatan Rakyat itu dicabar mencari sumber kewangan bagi memberi subsidi kepada pengusaha stesen minyak.

Beliau dipercayai membuat cabaran itu ekoran tidak senang duduk dengan isu kenaikan harga barang yang dicanang jentera kempen Pakatan Rakyat di Dun Tenang.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata cabaran Ahmad itu juga menunjukkan kelemahan kerajaan BN yang seolah-olah telah mengaku tidak dapat menurunkan harga barangan yang kini sedang ditanggung rakyat.

"Sebab itu Pakatan Rakyat tonjolkan Buku Jingga, kita mahu kaji semula pembayaran RM19 bilion subsidi gas kepada Syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP) untuk disalurkan kepada subsidi rakyat.

"Kalau nak suruh Pakatan Rakyat turunkan harga, berilah peluang pada Pakatan Rakyat Perintah Malaysia, kita tengok dalam masa 100 hari Pakatan boleh buat atau tidak," katanya.

Saturday, January 17, 2009

Pas rampas Parlimen Kuala Terengganu -Berita Harian Online

KUALA TERENGGANU: Pas merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu daripada Barisan Nasional (BN) apabila calonnya, Mohd Abdul Wahid Endut, menang dengan majoriti 2,631 undi.

Abdul Wahid yang juga Yang Dipertua Pas Kuala Terengganu memperoleh 32,883 undi menewaskan calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, mendapat 30,252 undi manakala calon Bebas, Azharudin Mamat @ Adam, hanya menerima 193 undi, sekali gus hilang deposit.

Undi rosak pula sebanyak 665 undi manakala peratusan keluar mengundi ialah 79.9 peratus atau 63,993 pengundi.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Terengganu, Wan Mustafa Wan Hassan, di Stadium Negeri jam 9.30 malam tadi.

Sebanyak 144 saluran di 36 pusat pembuangan undi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup jam 5 petang bagi membolehkan 80,229 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, akibat serangan jantung ketika bermain badminton di Institut Aminudin Baki (IAB), Genting Highlands, 28 November lalu.

Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, Allahyarham Razali menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu dan calon Bebas, Maimun Yusuf dengan majoriti 628 undi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...