Tuesday, July 8, 2008

Salary CEO TNB

sila klik pada gambar untuk imej yang lebih besar

31 SMS ugutan Beego

Petikan: Harian Metro

Oleh Murni Wan Omar

murni@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon drama bersiri Puteri, Beego, menghantar sekurang-kurangnya 31 SMS berbaur ugutan dan rayuan kepada isterinya, Intan Shahira, tanpa mengira masa.

Bapa mentua Beego, pensyarah di Jabatan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohd Shahru Bahari, berkata kiriman SMS itu menyebabkan plaintif, Intan Shahira, 27, menderita.

“Kiriman SMS itu tidak kira masa, ada masanya ketika plaintif berada dalam mesyuarat, sedang berjumpa pelanggan dan waktu tidur.

“Pada 4 Julai lalu juga, defendan masih menghantar SMS. Intan Shahira tidak tahan dengan keadaan itu lalu menghantar kepada saya semua SMS itu.

“Saya perhatikan defendan tidak matang, tidak bersedia mengharungi alam perkahwinan. Dia bukan orang yang sesuai jadi suami anak saya. Kami tidak faham dengan ugutan yang diberikan, tidak faham sama ada ia berniat tidak baik atau sebaliknya,” katanya di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Dr Mohd Shahru memberi keterangan dalam prosiding permohonan fasakh oleh Intan Shahira terhadap Beego atau nama sebenarnya Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 28.

Menjawab soalan balas peguam syarie plaintif, Marlina Amir Hamzah, beliau berkata, walaupun anaknya menderita dengan tindakan itu, Beego masih mengirim SMS seperti itu.

Menjelaskan isi kandungan SMS terbabit, Dr Mohd Shahru berkata, ia menggambarkan seolah-olah Beego mempunyai orang upahan untuk mengikuti pergerakan plaintif.

Sebelum itu, ketika diminta menjawab sama ada beliau dan isteri merancang supaya anak serta menantunya berpisah, Dr Mohd Shahru menafikan perkara berkenaan.

Dengan nada sebak, beliau berkata tindakannya semata-mata memenuhi tanggungjawab sebagai bapa yang diminta pertolongan anak perempuannya itu.

“Saya tidak mahu semua ini berlaku sampai ke peringkat mahkamah sehingga dibicarakan di media. Ayah mana akan membuat perkara sama seperti apa yang saya lakukan. Saya mohon maaf kepada plaintif kerana membiarkan dia menanggung beban.

“Saya minta maaf pada semua yang terbabit. Bukan tujuan saya untuk membuka aib. Apapun saya menyebelahi anak saya.

“Saya juga mohon maaf kepada nenek defendan kerana dia orang yang baik. Ini bukan perancangan saya, ini kehendak Yang Maha Kuasa,” katanya

MARLINA: Berhubung isu peguam defendan mencadangkan Dr memaksa plaintif untuk berkahwin dan Dr ada menjawab tidak mempunyai pilihan lain, apa maksudnya?

MOHD SHAHRU: Plaintif meminta saya tidak meneruskan perkahwinan, tetapi masa yang diberi terlalu suntuk untuk saya membuat keputusan yang singkat. Semua persiapan sudah dibuat. Saya terpaksa gunakan kuasa sebagai seorang ayah untuk teruskan pernikahan ini. Dalam hati kecil, saya berharap masih ada peluang mungkin apabila pernikahan diteruskan, hati plaintif akan berubah.

MARLINA: Dr kata pada ketika itu, plaintif menyatakan keengganannya, bagaimana yang Dr faham ketika itu?

MOHD SHAHRU: Dia (Intan Shahira) kata ‘I’m scared’ (saya takut), tetapi ketakutan itu tidak dijelaskan kepada saya. Saya tergamam, tidak tahu apa yang patut dilakukan. Dia juga kata ‘I cannot see myself living with him for the rest of my life’ (Saya tidak dapat melihat diri bersama dia seumur hidup saya). Sepanjang majlis pernikahan, plaintif menangis. Dia menoleh beberapa kali kepada ibu dan sepupunya yang berada di belakang. Ketika itu saya yakin dalam hati saya membuat kesilapan, sepatutnya saya tidak teruskan.

MARLINA: Pada sidang lalu, Dr tidak setuju dengan cadangan peguam mewakili defendan, bahawa Dr dan isteri yang merancang untuk memutuskan hubungan plaintif dan defendan?

MOHD SHAHRU: Kalau kami yang rancang, saya tidak akan mengeluarkan belanja begitu banyak, sediakan majlis perkahwinan untuk semua orang ingat. Terlalu banyak wang, tenaga dan tanggungjawab digunakan, jadi jika kata kami yang rancang, ia tidak benar.

MARLINA: Apa yang menyebabkan Dr meneruskan perkahwinan mereka?

MOHD SHAHRU: Saya pegang kepada janji defendan iaitu ketika mereka berhajat untuk bertunang, keluarga datang merisik sehingga tiga jam sebelum pernikahan. Saya pegang janji dia yang mahu berubah sikap, solat, tidur serta janji untuk mendidik isteri yang dinikahi ke jalan Allah, tetapi dia tidak lakukannya.

Beego yang hadir ditemani ibu serta beberapa orang saudaranya diwakili peguam syarie, Md Noor Md Din.

Perbicaraan bersambung esok.

PROTES: Punah-punah!! itu ucapan saya ketika masuk stadium

catatan dari http://demokorup.blogspot.com

"Saya sampai ke Stadium Kelana Jaya pada pukul 10 lebih, perasaan gemuruh dan berdebar terasa dihati seperti setiap kali menghadiri demo-demo yang lain. Namun setelah sampai ke stadium, perasaan itu hilang dan lapar pula yang terasa, maklumlah setelah melihat deretan kedai menjual pelbagai makanan, alah... macam program ceramah Pas tu lah.. .

Tuntasnya Program PROTES ahad lepas tidak ubah seperti program ceramah dan program penerangan yang lain. Ia tidak layak dipanggil demonstrasi atau tunjuk perasaan. Kerana perasaan gelodak dijiwa ingin ditunjuk kepada siapa, tiada siapa yang terkesan dengan perasaan yang ditunjuk. umno bn tersenyum sengeh melihat jumlah yang datang hanya beberapa kerat sahaja, cuma program kemuncak pada malamnya agak ramai berbanding siang.

Saya bersama seorang sahabat berada di stadium ini untuk memberi sokongan dari jam 10 pagi hingga 7.00 petang. Jadi banyak kepincangan yang saya dapat lihat dalam program ini, namun hanya sebahagian saja yang ingin dikongsi....

Pertama: Jumlah kehadiran yang ciput menyedihkan saya, hal ini adalah kerana para reformis dan 'pejuang jalanan' merasakan ini bukan tempatnya untuk berdemo.

Kedua: Ketika program ingin berhenti rehat untuk solat zohor dan makan tengah hari, pihak penganjur telah mengumumkan untuk mengadakan solat zohor secara berjamaah di tengan padang. Nak jadi cerita setelah masuk waktu, tidak ada orang yang azan dan ramai juga yang solat di surau stadium. Maka seorang ustaz dari Gombak kebetulannya kawan sekampung saya, telah ke pentas urusetia untuk melaungkan azan. Setelah diminta untuk dipasang speker, pihak penganjur berkata "tidak boleh" terus ustaz tersebut menjawab "habis tu nyanyi boleh pulak". Akhirnya ustaz tersebut hanya diberikan healer yang suaranya hanya mampu pergi sejauh sejengkal katak sahaja. Sedangkan ramai hadirin yang menyaksikan sahaja kami bersolat ditengah padang, seolah-Olah kami sedang membuat pertunjukan.

# Pihak Penganjur tidak menekankan soal ibadat solat, sedangkan "perhimpunan" ini lah yang paling patut disertai oleh semua umat Islam yang hadir, kerana solat dan doalah senjata yang paling berharga buat kita semua.

Ketiga: Pendedahan aurat dan Pergaulan yang agak bebas diantara lelaki dan perempuan. Mungkin diatas nama demonstrasi atau tunjuk perasaan semua ini dimaafkan. Sepanjang tempoh saya berada disana tidak kedengaran pihak penganjur memberi ingatan kepada hadirin supaya menjaga akhlak dan aurat. Sedih juga melihat muda mudi melayu kat sini. (atau mungkin selepas kita kuasai kerajaan pusat, kita boleh berdakwah kepada mereka ini, atau bila didakwah sekarang takut nanti mereka lari) begitu ke ??.

Keempat: Hiburan yang melampau. opp!! nanti saya jelaskan, saya bukan anti hiburan, malah saya menyambut baik persembahan oleh Dinsman, black, Mat sabu dan beberapa penyanyi lain yang banyak membawa lagu-lagu yang dapat membangkit semangat perjuangan dan mendedahkan penyelewengan pihak kerajaan. Namun, saya tidak setuju sama sekali dengan persembahan dan nyanyian underground yang keterlaluan, rock yang melampau dan muzik yang berat. Sehinggakan nak pecah anak telinga saya, sedangkan tidak dapat 'dipegang' dan difahami butir percakapannya. Walaupun liriknya bagus tapi muzik dan cara persembahannya tidak bagus, dengan melompat-lompat dan henjut kepala, dah la rambut panjang berjela... itu belum disentuh tentang hukum bermain alat-alat muzik lagi. Itu saya bagi kepada orang lain untuk diulas..

Tidak hairanlah sesampainya saya di stadium, seorang sahabat menegur, "ini bukan demo, ini menghanyutkan jiwa" Lantas saya menjawab "Punah!!, Punah....

Patullah yang lebai-lebai dan 'kuat agamanya' 'gulung tikar' balik kampung awal-awal lagi.

Sebenarnya nun jauh disudut hati saya untuk balik setelah program selesai iaitu pada pukul 12 malam tetapi setelah mendengar lagu pertama dari kumpulan carburator dung, hati saya menjadi marah, mana tidaknya melompat-lompat macam.... dan paling menyakitkan hati setelah tamat lagu pertama, penyanyinya berkata "budaya di Malaysia ini semuanya tidak boleh, itu tak boleh ini tak boleh". mungkin beliau merujuk kepada lagu dan persembahan mereka yang terkinja-kinja itu.



Mungkin bagi Hisamudin Rais persembahan begini biasa di barat, sebab disana ramai penyanyi lagu rock berat-berat ini menghentam ketidakadilan pihak pemerintah didalam lagu mereka, tapi ini Malaysia negara timur....budaya kita jauh berbeza. Saya terus keluar stadium untuk pulang dengan perasaan hampa. Mungkin ketika saya keluar stadium inilah berlakunya insiden baling-membaling yang cukup bersejarah itu. Biasanya bertempur dengan polis tapi hari ini bertempur sesama sendiri pula.

Akhirnya, saya memohon kepada semua pemimpin pakatan rakyat agar tidak mengulangi lagi perkara ini dilain kali. Rakyat tidak 'turun' pada program PROTES bukan kerana takut kepada polis dan tentera tapi disana ada 'kelemahan' yang perlu dibedah siasat segera. Juga diharapkan semua pimpinan memohon maap kepada rakyat di atas 'ketidaksengajaan' ini terutamanya DR Hatta dan Hisamudin Rais selaku pengerusi dan pengarah program. Permohonan maap anda ketika insiden tersebut dibimbangi tidak sampai kepada semua rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat.

MATLAMAT TIDAK SESEKALI MENGHALALKAN CARA...!!!!

'Suara Baru' muncul ditengah kehangatan politik tanah air

Oleh Malaysiakini
Selasa, 08 Julai 2008

SEBUAH majalah politik terbaru terbit dalam kehangatan politik negara khususnya tuduh-menuduh antara penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Politik Umno juga semakin hangat menjelang pemilihan jawatan tertinggi parti dalam perhimpunan agung Disember depan

Suara Baru diterbitkan oleh Suara Media Sdn Bhd merupakan majalah bulanan berteraskan politik dan isu semasa mula menemui pembaca sejak beberapa hari lalu.

suara baru magazineMajalah itu menggunakan moto 'kreatif, konstruktif dan kritis' - yang dipercayai mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno - mengandungi 84 muka surat dan dijual dengan harga RM6 senaskhah untuk Semenanjung dan RM7 di Sabah dan Sarawak.

Wartawan veteran Zainal Epi merupakan ketua editor Suara Baru.

Majalah itu mempunyai dua wartawan iaitu Azman Mohd Nawi dan Nurul Faidzah Ab Hadi.

Fokus utama kadungan berita untuk keluaran sulung ialah mengenai penulis blog yang dikatakan boleh menentukan masa depan negara.

Beberapa penulis blog terkenal termasuk Ahiruddin Atan, lebih dikenali sebagai Rocky, dan Nuraina A Samad diwawancara untuk terbitan sulung ini.

Rocky, bekas editor Malay Mail, yang juga penasihat kelab akhbar nasional mempunyai laman blog sendiri iaitu Rocky's Bru dan blog Nuraina pula 3540 Jalan Sudin.

Selain itu, Suara Baru juga memuatkan berita mengenai politik negara khususnya rencana mengenai Anwar, wawancara dengan ketua Angkatan Muda PKR (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin dan bekas setiausaha AMK Selangor Mohd Nazmi Rosli.

Zainal dihubungi hari ini berkata, Suara Baru diterbitkan untuk menjadi platform kepada rakyat biasa mengenai isu masyarakat dan politik yang terkini.

"Isu politik menjadi keutamaan kerana ia boleh membuka minda kepada isu-isu lain," katanya yang pernah bertugas sebagai wartawan The Star dan syarikat televisyen NTV7 sebelum menyertai Suara Baru beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, jumlah cetakan untuk keluaran pertama 20,000 untuk pasaran di seluruh negara.

Katanya, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan kerana pembaca ingin tahu perkembagan terbaru politik dan isu-isu lain dalam masyarakat.

Kes londeh seluar: Alak seperti sudah serik!

Petikan: mStar Online
08-07-2008 06:32:44 PM

Oleh ZIEMAN

PETALING JAYA: "Jangan risau...Saya tak apa-apa. Im fine really...," begitulah jawapan spontan yang diberikan Carb Alak, vokalis kumpulan underground, Carburetor Dung yang dibelasah dan dibaling dengan botol kerana mempamerkan aksi melondeh seluar dan menonggeng punggung depan audiens ketika membuat persembahan pada Perhimpunan anjuran Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) di Stadium Kelana Jaya petang semalam.

Alak berkali-kali memohon maaf kerana tidak dapat melayan apa-apa soalan kerana katanya dia belum bersedia lagi.

"Bengkak di kepala saya dah ok," kata Alak.

Dari nada suaranya, seolah-olah menggambarkan bahawa Alak seperti sudah serik dan terkejut dengan apa yang berlaku ke atas dirinya.

"Tanya saja Joe Kidd. Dia boleh jawab. Maaf, saya belum bersedia dan tidak dibenarkan memberi apa-apa kenyataan," kata Alak.

Bila ditanya siapa yang tidak membenarkan dia memberi kenyataan, Alak berkata, "Saya sendiri yang tidak bagi. Mungkin minggu depan, saya boleh bagi interview tapi hari ini tak boleh."

Dalam persembahan malam tadi, Alak telah menyanyikan lagu Mari Menyanyi Menjilat dengan membuat aksi ini (melondeh seluar dan menonggeng punggung). Lagu tersebut adalah lagu lama dan seringkali dinyanyikan oleh kumpulan ini di kelab-kelab tertutup di ibu negara.

Ketika ditanya apa yang membuat dia beraksi begitu, Alak hanya berkata,"I really dont know. It all happens."

Lagu Mari Menyanyi Menjilat adalah lagu satira yang menyentuh pasal korupsi yang berleluasa dan selalu mendapat tempat di hati peminat kumpulan underground ini.

Carburetor Dung terdiri daripada lima anak muda - Alak (vokalis), Fendi (pemain bass), Joe Kidd (gitaris), Bullet (drum) dan Tom (gitaris) dan ditubuhkan pada tahun 1991.

Ketika diasak dengan soalan benarkah melondeh seluar sudah sinonim dengan aksi Carburetor Dung, Alak secara sopan meminta maaf sekali lagi.

"Janganlah tanya saya lagi. Tunggulah minggu hadapan, saya akan jawab segalanya. Bukan sekarang. Saya minta maaf...," kata Alak.

Difahamkan Carburetor Dung adalah antara kumpulan muzik underground yang diminati ramai dan sering mempamerkan aksi-aksi yang daring apabila beraksi di pentas. Melondeh seluar adalah amalan biasa dan sudah menjadi sebahagian dari act kumpulan ini.

Gejala rasuah negara, Anwar sama-sama bertanggungjawab - Ezam

Petikan: mStar Online
08-07-2008 02:22:33 PM

Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Mohamad Ezam Mohd. Noor, antara individu yang pernah rapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih satu dekad berkata, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu turut bertanggungjwab terhadap pelbagai masalah dihadapai negara khususnya soal rasuah, yang kini menjadi harapan ramai agar dapat ditangani dengan berkesan dan segera.

Ezam berkata, dengan mengambil kedudukan Anwar dalam kerajaan sehingga dipecat pada 1998, tindakan-tindakan beliau telah membawa kepada masalah sosial amalan rasuah.

"Anwar juga bertanggungjawab kepada sebahagian daripada apa yang berlaku. (Sebagai contoh) masa beliau menjadi Menteri Kewangan, beliau yang memperkenalkan projek kontraktor berwibawa, atas arahan sebagai Menteri Kewangan.

"Sepuluh syarikat telah diberikan projek untuk disenaraikan (di Bursa) dengan diberikan projek bernilai RM1 bilion ringgit, dan ini dilakukan secara (projek) terus dan wujud banyak rasuah di sana.

"Ini dibentuk oleh Anwar, dan saya ingin mendengar apakah pendirian beliau sekarang?... sekarang beliau bercakap mengenai tender terbuka dan sebagainya," kata bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Anwar kini bertindak sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR.

Ezam, bekas Setiausaha Politik kepada Anwar dari 1996 sehingga bekas Menteri Kewangan itu dipecat daripada Umno pada September 1998 menyatakan demikian dalam temu bual khas dengan mStar Online dan The Star.

Bekas Pengerusi Gerakan Rakyat Anti Korupsi ini keluar daripada PKR, yang diasaskan bersama untuk membela Anwar dan mempertahankan keadilan, keluar PKR dua tahun lalu.

Ezam mula berkhidmat dengan Anwar selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa dengan menyertai Institut Kajian Dasar, badan pemikir mendukung perjalanan politik Anwar, pada 1991 sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik.

Ketika bersama PKR, Ezam pernah mengkritik amalan salah guna kuasa dan rasuah dalam kerajaan pimpinan BN.

Ezam yang mengemukakan borang permohonan untuk menyertai semula Umno pada penghujung Mei lalu diterima Majlis Tertinggi tiga minggu kemudian, kini berazam untuk membawa pembaharuan dalam parti dan kerajaan seiring dengan keterbukaan Perdana
Menteri untuk membawa pembaharuan dalam bidang kehakiman dan usaha mencegah rasuah.

Ketika diminta mengulas lanjut, Ezam berkata, Anwar yang bercakap mengenai soal kebebasan dan integriti sekarang tidak pernah membawa apa-ap pembaharuan yang dijanjikan ketika berada dalam kerajaan selama hampir dua dekad.

Anwar juga telah menyertai Umno awal 1980-an untuk membawa perubahan dan pembaharuan. Jawatan terakhir beliau dalam kerajaan ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta Timbalan Presiden Umno, dari 1993.

"Bercakap mengenai Anwar sebagai orang yang hendak membawa pembaharuan terhadap amalan rasuah, tetapi 15 dan 16 tahun lalu selepas dibentuk sebagai pemimpin penting dalam Umno, saya tidak melihat apa-apa yang dilakukan oleh Anwar sebagaimana dilakukan oleh Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawai) sekarang," katanya lagi.

Apabila ditanya sama ada Anwar juga bertanggungjawab menyumbang kepada amalan politik wang dalam Umno yang pernah hangat diperkatakan satu ketika dulu, Ezam berkata, ia sebenarnya merupakan persepsi orang ramai.

"Ya, itu yang orang ramai kata. Saya hanya bersama beliau sebagai Setiausaha Politik untuk tempoh yang singkat, sejak 1996 dan (sehingga) Anwar dipecat. Malangnya (saya) tidak terlibat dalam pemilihan Umno (1993 dan 1996) dan hanya sertai selepas pemilihan umno," katanya.

Ketika ditanya sama ada kerjaya politik Anwar sudah mula berakhir dengan isu dakwaan meliwat yang terbaru, Ezam berkata, sukar untuk membuat rumusan itu pada masa sekarang.

"Ini kerana politk adalah persepsi. Anwar mempunyai kekuatan untuk bermain, untuk membentuk persepsi sedemikian. Beliau mungkin akan berjaya.

"Saya tidak mengatakan bahawa beliau terlibat dalam dakwaan itu. Saya tidak tahu, saya memang tidak tahu. Itu antara beliau, (bekas pembantu khasnya) (Mohd) Saiful (Bukhari Azlan) dan Tuhan," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, mengambil kira cara Anwar mengendalikan isu tersebut sejak seminggu lalu beliau menggunakan strategi persepsi iaitu mengubahnya daripada masalah peribadi kepada masalah politik.

"Ini adalah masalah peribadi tetapi menjadi masalah politik dengan berlindung di Kedutaan Turki, campur tangan AS, mengatakan konspirasi Timbalan Perdana Menteri, yang pada saya sesuatu yang tidak adil tetapi orang mungkin percaya," katanya.

Kandungan emel Saiful Bukhari Azlan

Petikan: mStar Online
08-07-2008 08:33:57 PM

From: Saiful Bukhari [..........]
Sent: Tuesday, July 08, 2008 4:41 AM
To: news
Subject: Bermuhabalah


Assalammualaikum dan Salam Sejahtera Rakyat Malaysia,

Dengan ini, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan ingin mencabar Anwar Ibrahim supaya BERMUBAHALAH di hadapan para ulamak.

Kepada Rakyat Malaysia yang dikasihi, Ingin saya tegaskan disini bahawa isu ini adalah ISU PERIBADI antara saya dan Anwar. Saya harap agar seluruh rakyat Malaysia bertenang dan tidak termakan dengan taktik kotor si MUNAFIK yang sedang dalam kelemasan ini.

Saya terima segala tohmahan dengan hati terbuka dan tidak sesekali mempersalahkan rakyat dalam hal ini.

Sebagai mangsa, saya berhak untuk mendapat pembelaan.

"Yang HAK Pasti Berdiri, Yang BATIL Pasti Jatuh", Allahhuakbar.

Sekian,

Saiful Bukhari.

p/s: Kepada Anwar, tetapkan tarikh dan masa untuk BERMUBAHALAH . Insyaallah saya akan hadir. Saya tidak gentar.

Saiful hantar emel ke TV3 desak Anwar bermubahalah

Petikan: mStar Online
08-07-2008 08:47:10 PM

Oleh ZIEMAN

PETALING JAYA: Saiful Bukhari Azlan dalam kiriman emel ke stesen televisyen swasta TV3 pagi tadi mendesak bekas majikannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyahut cabaran bermubahalah atau sumpah laknat di hadapan ulamak.

Menerusi emel bertajuk "Bermubahalah" itu yang disiarkan dalam Buletin 1:30 di TV3 hari ini, Saiful memulakan dengan ungkapan, "Yang hak pasti berdiri.Yang bathil pasti jatuh!"

Bekas pembantu peribadi Anwar itu juga menyifatkan isu liwat sebagai isu peribadi beliau dengan Anwar.

Katanya lagi, beliau tidak menyalahkan rakyat dan berharap semua orang akan bertenang dan menerima dengan hati terbuka.

"Saya terima segala tohmahan dengan hati terbuka. Sebagai mangsa saya berhak mendapat pembelaan,"kata Saiful yang membuat dakwaan diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau mengakhiri emelnya dengan mencabar Anwar menetapkan masa dan tarikh dan masa untuk bermubahalah.

"Nyatakan masa dan tempat untuk bermubahalah. Saya tidak gentar mengotakan janji ini," kata bekas pelajar Uniten itu dalam kiriman emelnya itu.

Cabaran yang sama turut dimuatkan di dalam laman web popular Friendster di url http://profiles.friendster.com/saifulbukhari miliknya.

Kata-kata mencabar Anwar yang tertera di laman blognya berbunyi: "Wahai Anwar munafik! Aku cabar kau bermubahalah! Tetapkan tempat dan waktu! Aku akan datang! Yang hak pasti berdiri.Yang bathil pasti jatuh!Aku tak takut mati. Allahuakbar!"

Laman tersebut dipautkan menerusi blog tunangnya, Janna Mohd Zaki - 'A Step in My Pink Mary Janes'.

PAS, PKR dan DAP tidak mungkin bersatu

Petikan: Laman Marhaen


SEBAIK sahaja Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat - Protes Sampai Turun di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya melabuhkan tirainya semalam, bukan sahaja menerima kritikan daripada kerajaan Barisan Nasional malah daripada rakyat yang ingin bersama-sama menunjukkan rasa marah mereka terhadap kenaikan minyak dan kos sara hidup ketika ini.

Dewan Pemuda Pas Negeri Pahang (DPPNP) melahirkan rasa jelek mereka apabila penganjur dilihat membelakangkan akhlak Islam dan budaya luhur masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Kata mereka lagi, himpunan tersebut sepatutnya membawa suara rakyat dan keluhan rakyat menjadi himpunan ala 'Fun fair'.

Pandangan tersebut turut disuarakan oleh Pas Johor Bahru, menerusi laman web mereka begitu juga dengan seorang blogger yang menamakan dirinya sebagai lot250.

Malah semasa kejadian yang mencetuskan kemarahan orang ramai iaitu ketika vokalis kumpulan underground Carburetor Dung cuba melondehkan seluar dan menonggeng ke arah penonton sambil menjerit perkataan ‘jilat, jilat’ ketika menyanyikan lagu Mari Nyanyi Menjilat, dibelasah oleh rakyat.

Jadi apa kesannya ?

Maka tercetuslah satu persepsi di kalangan ahli parti masin-masing yang menunjukkan ketiga-tiga parti politik yang kini mendominasi lima negeri mungkin tidak boleh bersatu lagi.

Umum tahu PAS mempunyai ahli-ahli yang sangat hebat kerana perjuangan yang lahir dari hati yang begitu tulus iaitu untuk menegakkan agama Islam di bumi Malaysia.

DAP pula ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas untuk semua kaum di bawah prinsip Malaysian Malaysia.

PKR pula berjuang untuk memastikan keadilan untuk semua kaum di negara ini.

Ketiga-tiga parti mempunyai agenda masing-masing dan terlalu sukar untuk mereka mencapai satu persefaham di bawah satu bumbung iaitu Pakatan Rakyat.

Undi PAS hanya terdiri daripada orang Melayu sahaja oleh yang demikian sampai bila pun PAS tidak akan memenangi pilihan raya umum di negara ini dan akan kekal sebagai parti pembangkang selama-lamanya.

Atas apa kenyataan ini dibuat ?

Hanya satu sahaja, Malaysia adalah sebuah negara berbilang bangsa, 40 peratus daripada rakyat di negara ini terdiri daripada kaum Cina, India dan lain-lain.

Saya yakin PAS akan terus kekal dengan prinsip perjuangan dan tidak akan berganjak dengan prinsip tersebut kerana hampir ke semua ahli-ahli PAS mendukung perjuangan parti berlandaskan perjuangan Islam.

DAP pula dianggota oleh masyarakat Cina dan beberapa kerat wakil daripada kaum India. Disebabkan itu DAP juga sukar memenangi pilihan raya umum di negara ini.

Malah prinsip perjuangannya yang keras dan tidak bertoleransi dengan prinsip perjuangan PAS menyebabkan kedua-dua parti sukar bersatu.

Lalu apa pilihan mereka ?

Jika PAS mempunyai matlamat untuk menguasai Malaysia sudah tentu dengan hanya berpegang kepada teguh dengan prinsip perjuangan asal sudah tentu hasrat tersebut tidak akan berjaya.

Mungkin ada yang akan menganggap penulis tidak percaya janji tuhan jika kita berpegang teguh kepada ajarannya kita akan mencapai kejayaan yang gemilang.

Kalam yakin tetapi jika kaum lain tidak ada di bumi Malaysia, PAS sudah pasti akan dapat menjadikan negara ini sebuah negara Islam seperti yang diimpikan oleh Kalam sendiri.

DAP pula hanya mampu bermimpi di siang hari, kerana undi orang Melayu juga tidak akan berpaling kepada bangsa lain namun pilihan raya umum baru-baru ini telah menunjukkan kecenderungan orang Melayu mengundi parti tersebut.

Bagaimanapun jika mereka terus berpegang kepada prinsip yang sama maka usaha mereka akan jadi sia-sia sahaja.

PKR sebuah parti pelbagai kaum, mula mendapat tempat dihati kerana apa yang tidak ada pada PAS dan DAP ada pada parti tersebut.

PKR boleh berjaya malah mungkin boleh menumbangkan kerajaan yang ada sekarang, tetapi pada usia yang terlalu muda prestasi PKR masih belum boleh diukur.

Pakatan Rakyat kini bersandar kepada PKR tanpanya maka tidak ada Pakatan Rakyat.

Adakah kita akan menyaksikan DAP dan PAS akan bersatu, tepuk dada tanya selera tuan-tuan.

Ingatlah, jika lima tahun ini Pakatan Rakyat gagal menunjukkan prestasi maka, pada pilihanraya umum ke 13, BN kembali berkuasa dan akan terus memegang tampuk pemerintahan sehingga 50 tahun akan datang.

Atas dasar apa pandangan ini ?

Kepercayaan rakyat luntur terhadap Pakatan Rakyat, nasib pakatan ini sama seperti Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang dianggotai PAS dan Semangat 46 satu ketika dahulu.

Lagu-lagu kegagalan Pakatan Rakyat akan terus berkumandang hingga ke anak cucu.

Berbalik kepada peristiwa diatas, jelas menunjukkan Pakatan Rakyat tidak akan dapat bertahan lama.

Kalam rasa dengan apa yang sudah berlaku semua ahli parti tidak perlu lagi simpan angan-angan untuk mengambil alih negara ini dari BN.

Lupakanlah hasrat itu, kalian berjuanglah demi parti masing-masing dengan matlamat masing-masing yang mana ia lebih baik untuk semua pihak.

Lebih baik jaga keluarga sendiri daripada jaga keluarga orang.

Apa yang dilakukan oleh keluarga orang memang tidak betul dan salah sama sekali sebab berani melondehkan seluar dihadapan orang ramai.

Tetapi dia juga seorang Islam kenapa tidak nasihatkan dia, asuh ke jalan yang betul, mungkin dia boleh jadi seperti saudara Akhil Hayy.

Sebaliknya apa yang kita lakukan, membelasah dia dikhalayak orang ramai.

Adakah kita seorang Islam atau inikah akhlak kita ?

Jadi apa beza PAS, DAP dan PKR dengan BN khasnya UMNO, jawapannya sama sahaja, kita tidak didik orang sebaliknya kita suka menghukum orang.

PAS, DAP dan PKR tidak akan dapat bersatu lagi, pilihan raya umum ke 13 akan menyaksikan bahawa tulisan ini ada kebenarannya.

- Kalam Nurani

08.07.2008

Surat Kepada Perdana Menteri (Satu Satira)

Petikan: Laman Marhaen


Daripada
Ahmad Idzham bin Abu Noh,
Ketua Pemuda UMNO,
Cawangan Kampung Keris Silang Totok,
Johor.

Kepada
YAB Dato' Seri Abdullah bin Ahmad Badawi,
Perdana Menteri Malaysia,
Putrajaya.

YAB,

Saya telah beberapa tahun menjadi Ketua Pemuda di kampung saya ini semenjak bapa saya menjadi Ketua Cawangan di kampung ini. Sempena musim pemilihan UMNO tahun ini, saya rasa tergerak dan teransang untuk mengutuskan surat sokongan saya kepada YAB Presiden.

Saya tahu diwaktu ini YAB memikul tanggungjawab yang amat besar dalam mengetuai parti kita yang disayangi disamping mengetuai negara kita ini. Saya faham untuk memerintah negara ini amat sukar dan payah, kita kena mempunyai kekuatan yang kuat seperti YAB untuk memikul tanggungjawab ini. Sedangkan saya memimpin pemuda cawangan seramai 9 orang ini pun sangat sukar.

YAB, ramai orang kampung saya marah kerana YAB kerana menaikkan harga minyak tempohari, tetapi saya menyokong penuh tindakan YAB kerana ini langkah yang bijak. Saya tidak terasa terjejas sedikit pun dengan kenaikan harga minyak. Yalah saya memang duduk di kampung ini dan bekerja sebagai penoreh getah sepenuh masa hanya menunggang basikal setiap hari. Bagi saya biar padan dengan muka diorang, diorang ni memang pembangkang. Masa Pilihanraya tempohari, diorang nilah yang dok pasang poster dan bendera parti pembangkang. Diorang ni pun satu tak faham-faham ke harga minyak seluruh dunia naik.

Saya amat tidak setuju apabila ramai yang marah bila YAB hanya mementingkan keluarga YAB. Bagi saya biarlah YAB nak buat begitu, sebab YAB kan Perdana Menteri. Ikut suka YAB lah. YAB buat tak tahu aje dengan mereka-mereka ni, diorang tu bukan ape, diorang jeles dengan YAB. Lagipun siapa lagi yang nak bantu keluarga YAB, YAB lah. Betul tak YAB? Lagipun siapa lagi YAB nak percaya? Tentulah keluaraga sendiri. Lagipun mudahlah sikit urusan, nak buat keputusan sewaktu makan malam di rumah pun boleh. Lagi pun kurang sikit diorang melawan. Mudah untuk bahagi-bahagi kerja.

Seperkara memang saya tak setuju dengan orang ramai. mereka mengatakan YAB kuat tidur. Mereka ini sebenarnya tidak faham dan tidak tahu betapa penatnya YAB mentadbir negara. Saya faham, sedangkan saya yang bergelut dari 6.30 pagi hingga 10 pagi menoreh getah baru dapat RM 50 - 70 sehari ini kan pulak YAB yang dapat belasan ribu ringgit sebulan. Sudah tentu YAB amat penat bekerja. Kalau saya nak menoreh getah untuk dapat RM 3,000.00 sebulan pun saya tak mampu ini kan pulak belasan ribu. Sudah tentu YAB mempunyai tenaga yang amat gagah untuk dapat belasan ribu ringgit. Pasti YAB letih dan tertidur. Bukan sengaja pun. Saya sarankan YAB perlu banyak berehat dan cukup tidur, saya tahu tulang empat kerat YAB amat letih kerana bekerja.

YAB, saya ingin mengadu kepada YAB tentang kebodohan Timbalan YAB iaitu Dato' Seri Najib Tun Razak. Apalah Dato' Seri Najib ni sebok sangat tentang Anwar Ibrahim dan pembantu khas dia datang lewat ke pejabat. Anwar kan pembangkang, mana ada kena mengena dengan kita ni. Biarlah dia datang lewat, dia tak datang pubn tak jadi masalah dengan kita. Ini tidak, sebok tak tentu pasal Anwar lewat. Saya nak tanya YAB, Anwar tu lewat kepajabat ke? Kalau masa Dr Mahathir tu patutlah Dr M marah, sebab dia datang awal tapi Anwar datang lewat. Tulah sampai kena penjara. Dato' Najib kena faham, Anwar datang lewat pun banyak kerusi kita kalah, kalau dia datang awal mahu kalah kita. Jadi saya sarankan Dato' Najib janganlah menyebok.

Akhir sekali, saya ingin mendapatkan surat sokongan daripada YAB untuk saya terus menjadi Ketua Pemuda UMNO Cawangan. Terdapat beberapa orng yang ingin menjatuhkan saya, mereka memberi alasan umur saya sdah 41 tahun pada bulan Mei lalu. Jadi diorang tak benarkan saya bertanding Ketua Pemuda. Mana boleh macam tu, betul tak YAB? Jadi saya ingin memohon jasa baik YAB untuk memberi sokongan kepada saya.

Yang Setia


Ahmad Idzham bin Abu Noh

- Pajarao

Kerajaan Tidak Akan Naik Harga Petrol & Diesel Hingga Hujung Tahun Ini, Kata Nor Mohamed

08 Julai, 2008 18:54 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menegaskan kerajaan telah membuat keputusan tidak akan menaikkan harga petrol dan diesel sehingga hujung tahun ini walaupun terdapat kenaikan harga minyak dunia dalam tempoh itu.

Beliau berkata kerajaan akan mencari alternatif yang sesuai bagi menangani masalah kenaikan harga minyak yang berterusan.

"Pada masa ini, kerajaan telah berjanji bahawa sungguhpun harga minyak dunia naik dalam tempoh hingga hujung tahun ini, kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol dan diesel (dalam tempoh itu)," katanya pada sesi penggulungan perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengenai persoalan monopoli Petronas dalam penjualan gas asli untuk kenderaan (NGV), Nor Mohamed menegaskan Petronas tidak memonopoli dalam penjualan NGV di negara ini dan tidak ada halangan untuk syarikat-syarikat lain untuk terbabit dalam perniagaan itu.

Beliau berkata syarikat-syarikat petroleum yang beroperasi di negara ini enggan terbabit dalam perniagaan itu kerana masalah harga.

Katanya pada masa ini harga jualan NGV dikawal kerajaan iaitu pada 68 sen seliter berbanding harga pasaran iaitu RM3.11 seliter.

"Tidak ada monopoli dalam penjualan NGV oleh Petronas. Tidak ada halangan bagi syarikat-syarikat lain untuk menceburi perniagaan ini, tetapi mereka enggan kerana mereka akan mengalami kerugian berikutan harga kawalan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Nor Mohamed berkata bagi tempoh 1997 sehingga Mac 2008, Petronas telah membelanjakan RM430 juta sebagai subsidi untuk 30,000 pengguna.

Katanya selain menanggung subsidi, Petronas juga telah menanggung kos untuk menyediakan infrastuktur dan membina stesen-stesen NGV.

Pada masa ini sebanyak 73 stesen NGV telah dibina dan Petronas memberi jaminan jumlah itu akan meningkat kepada 200 stesen sebelum 2010.

Selain itu, Nor Mohamed berkata beliau akan berbincang dengan kabinet mengenai rungutan daripada pekebun-pekebun kecil yang meminta menarik balik levi 15 peratus bagi setiap tan minyak sawit mentah yang melebihi RM2,000.

-- BERNAMA

Gempa Bumi Kuat Landa Kepulauan Ryukyu Di Jepun

08 Julai, 2008 18:25 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Gempa bumi kuat berukuran 6 pada skala Richter, melanda Kepulauan Ryukyu, Jepun pada 3.42 petang.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini gempa itu berpusat pada koordinat 27.7 darjah utara dan 128.6 darjah timur, kira-kira 577km selatan Kobe dan 2,625km timur laut Kudat, Sabah.

Sungguhpun tidak membawa ancaman tsunami, jabatan itu bagaimanapun berkata keadaan itu akan dipantau dan pengumuman mengenai perkembangan terkini akan segera dibuat.

-- BERNAMA

Polis Tidak Tolak Kemungkinan Balasubramaniam Berada Di Luar Negara

08 Julai, 2008 15:15 PM

KUANTAN, 8 Julai (Bernama) -- Polis tidak menolak kemungkinan penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam, yang terbabit dalam kontroversi Akuan Bersumpah kes pembunuhan rakyat Mongolia Altantuya Shaaribu, kini berada di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mohd Bakri Zinin berkata pihaknya telah memaklumkan kepada Interpol selain membuat pemantuan di pintu-pintu masuk dan keluar negara ini bagi mengesan Balasubramaniam.

"Pihak polis masih mencari dan juga ingin mengambil percakapan beliau terutamanya dengan akuan bersumpah yang telah dibuat baru-baru ini.

"Setakat ini kita telah maklumkan kepada Interpol dan juga pihak-pihak berkuasa di pintu masuk dan keluar di Malaysia untuk mengesan orang yang berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang di sini, hari Selasa.

Jawatan Ketua Polis Pahang kini dipangku Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Robiah Abdul Ghani selepas Datuk Ayob Mohamed mula bercuti sebelum bersara wajib 8 September ini.

Mohd Bakri berkata pada masa ini pihaknya akan cuba mendapatkan keterangan daripada individu-individu yang terakhir berjumpa dengan penyiasat persendirian itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak berniat memberi tekanan kepada Balasubramaniam sebaliknya hanya ingin menjalankan siasatan dengan kadar segera.

Malah, katanya, pihak polis akan memberikan jaminan keselamatan ke atas beliau seperti yang dilakukan terhadap bekas pembantu peribadi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Saiful Bukhari Azlan.

"Kalau dia takut, dia boleh datang dengan peguam dan kalau sekiranya dia mohon (jaminan keselamatan), kita akan beri sepenuh kerjasama untuk memberi kawalan keselamatan," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan anak saudara penyiasat persendirian itu, R. Sega yang tidak menolak kemungkinan bapa saudaranya itu disembunyikan seseorang, Mohd Bakri enggan mengulas namun menegaskan pihaknya tidak akan menyiasat andaian.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan siasatan kes dakwaan liwat melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Bakri berkata pihaknya telah merakamkan percakapan 18 saksi termasuk para doktor yang membuat pemeriksaan terhadap Mohd Saiful dan menjangkakan lebih ramai individu akan dipanggil memberi keterangan.

Ditanya sama ada pihaknya akan memanggil Anwar, Mohd Bakri berkata "Kita perlu mengambil keterangan dulu daripada saksi-saksi...kita tengok, kita kaji dan kemudian kita akan ambil tindakan sama (terhadap Anwar)."

Beliau juga memohon agar individu yang terbabit untuk tampil memberi keterangan tanpa perlu memaksa pihaknya mengambil tindakan mengikut Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.

-- BERNAMA

Jalan Ke Sg Rasau Dinaiki Air Sebabkan Kesesakan Laluan Ke Klang

08 Julai, 2008 14:56 PM

SHAH ALAM, 8 Julai (Bernama) -- Hujan yang turun tanpa henti pada awal pagi tadi menyebabkan jalan-jalan yang merentasi Sg Rasau di Klang dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan mengakibatkan kesesakan di persimpangan Bukit Raja dekat sini.

Persimpangan Bukit Raja adalah simpang utama bagi laluan ke bandar Klang, Kapar, Shah Alam dan Kg Jawa.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi jalan masuk ke Kg Sg Rasau dari persimpangan berkenaan ke Kg Jawa dan Sg Rasau masih ditutup dan dikawal oleh anggota polis trafik.

Tinjauan mendapati ada di kalangan pemandu dan penunggang motosikal yang memberhentikan kenderaan mereka di tepi jalan kerana tidak boleh memasuki simpang ke Sg Rasau menuju ke Kg Jawa.

Pada 12.00 tengah hari, air naik kira-kira setengah meter dan hanya boleh dilalui oleh lori dan kenderaan berat lain.

Seorang penduduk dari Flat Taman Rimba Jaya di Sg Rasau, M.Raja 43, berkata ini adalah kejadian kedua berlaku dalam tahun ini di Sg Rasau selepas kejadian yang sama April lepas dan perkara ini masih tidak mendapat perhatian pihak berkuasa.

"Walaupun, hujan yang turun sejak 5.00 pagi berhenti kira-kira jam 9.00 pagi, air masih tinggi di kawasan Sg Rasau, kira-kira paras pinggang," katanya lagi.

Beliau berkata kawasan ini akan dinaiki air bila hujan turun tanpa henti buat beberapa jam dan ditambah pula dengan kenaikan paras air laut pada masa yang sama dan ini melambatkan proses air surut.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad ketika dihubungi BERNAMA berkata bahawa beberapa kawasan penempatan di Padang Jawa dan Kampung Rambutan di Air Kuning telah dinaiki air setakat 0.5 meter berikutan hujan yang turun tanpa henti mulai 5.00 pagi tadi.

Bagaimanapun, pihaknya masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga kerana walaupun air telah surut dikhuatiri hujun kembali turun petang ini.

"Hujan pagi tadi agak lebat dan berukuran setinggi 68 mm," katanya.

Penduduk yang kawasan rumah mereka dinaiki air telah diberi bantuan sarapan pagi oleh MBSA dan juga makan tengah hari ini.

Pihak MBSA juga menyediakan pusat pemindahan banjir di dewan-dewan MBSA di Seksyen 7 sebagai persediaan sekiranya paras air naik kembali," katanya.

-- BERNAMA

Lojing Dicadang Sebagai Jajahan Kecil

08 Julai, 2008 12:18 PM

KOTA BAHARU, 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan bercadang mewartakan tanah tinggi Lojing sebagai sebuah jajahan kecil bagi memudahkan proses pemantauan terhadap aktiviti pembangunan tanah di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa, berkata kertas cadangan akan dihantar kepada Unit Pemodenan dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bulan ini.

"Kita jangka ia akan diluluskan September ini sebelum tanah tinggi itu diwartakan sebagai jajahan kecil baru November ini," katanya bagi menjawab soalan Abdul Fatah Haron (PAS-Bukit Tuku) pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Lojing kini berada di bawah jajahan Gua Musang dan dikenali sebagai pusat kegiatan pertanian tanah tinggi. Kawasan itu pernah menjadi perhatian berikutan kegiatan pembalakan tidak terkawal.

Husam berkata, apabila diwartakan kelak, jajahan kecil Lojing akan meliputi kawasan seluas 181,700 hektar, iaitu 20 peratus dari keluasan keseluruhan jajahan Gua Musang.

"Kita mencadangkan sempadan antara jajahan kecil Lojing dan Gua Musang adalah di Kampung Chas tetapi kedudukan sebenar akan ditentukan Jabatan Ukur dan Pemetaan," katanya.

Husam berkata langkah mewartakan Lojing sebagai jajahan kecil akan membolehkan kawasan itu dibangunkan dengan lebih pesat serta memudahkan pemantauan terhadap isu tanah di situ.

Katanya kerajaan negeri juga akan mencadangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya supaya Lojing dijadikan satu daripada kawasan Dewan Undangan Negeri.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...