Monday, August 4, 2008

Gantikan Tugu Negara, kata mufti - MALAYSIA KINI

Jimadie Shah Othman | Aug 4, 08 7:09pm Malaysia tidak memerlukan Tugu Peringatan Negara kerana ia "mempunyai unsur-unsur keberhalaan" dan "bukan warisan kita", kata mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

"Ia (tugu itu) patut digantikan dengan perkara lain," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas sama ada monumen bersejarah itu wajar dirobohkan kerana didakwa mempunyai unsur-unsur keberhalaan yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Jumaat lalu, mufti itu menyarankan perdana menteri atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam menyempurnakan istiadat meletak kalungan bunga di tugu berkenaan sempena Hari Pahlawan 2008 agar bertaubat kepada Allah.

dr asri mufti perlis blog comment on pak lah on hari pahlawan flower at national monument 040808Menulis di blognya bersama foto Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan kalungan bunga (foto kiri), Dr Mohd Asri berkata:

"Perbuatan mana-mana individu muslim sama ada pemimpin atau rakyat yang meletakkan kalungan bunga, tabik hormat dan bertafakur yang dilakukan untuk Tugu Negara adalah bercanggah dengan prinsip-prinsip akidah Islam yang anti kepada sebarang unsur keberhalaan.

"Perbuatan seperti itu seakan menjadikan tugu berkenaan berhala yang dihormati. Sekiranya pun pelakunya tidak mempunyai sebarang iktikad bahawa itu semua memberi manfaat dan mudarat, maka perbuatan itu adalah sia-sia dan bodoh. Ia tetap haram kerana meniru perbuatan musyrikin.

"Jika pelaku beriktikad itu memberikan kemanfaatan kepada keamanan, kedamaian ruh mereka yang telah meninggal dunia, maka itu adalah perbuatan syirik yang jelas. Akidah Islam menentang sebarang unsur keberhalaan.

"Pemimpin atau sesiapa sahaja yang terlibat dalam perbuatan ini hendaklah bertaubat kepada Allah dan kembali kepada akidah Islam yang sebenar."

Khamis lepas, selepas perdana menteri, acara peletakan kalungan bunga disusuli panglima angkatan tentera Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal dan ketua polis negara Tan Sri Musa Hassan.

mohd asri zainul abidin interview 231106 assuredDr Mohd Asri turut menyifatkan acara memperingati pahlawan di Tugu Negara sebagai tindakan untuk "mengalihkan pandangan" awam terhadap isu kebajikan keluarga-keluarga bekas tentera.

"Ia mengalihkan pandangan terhadap isu sebenar. Adakah dengan memberi penghormatan di Tugu Negara dapat membantu kaum keluarga pejuang kita? Adakah elaun, gaji, pertolongan terhadap ahli keluarga bekas pejuang terbela?" katanya hari ini.

Beliau menjelaskan, perbuatan memberi hormat kepada Tugu Negara adalah haram mengikut fatwa kebangsaan dan fatwa Perlis.

"Sebab itu sewaktu Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis menjadi Yang di-Pertuan Agong dulu, baginda tidak pernah berbuat demikian," katanya.

Diminta mengulas tentang jenis-jenis patung yang dibenarkan dalam Islam, beliau berkata, pada asalnya semua patung tidak dibenarkan tetapi terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama Islam.

Namun, katanya, unsur membesar-besarkan patung tetap tidak dibenarkan.

Patung jika digunakan untuk tujuan perubatan, penyelidikan dan pendidikan adalah dibenarkan, katanya.

Ditanya tentang penggunaan patung untuk tujuan kesenian, beliau berkata, Islam tidak menghalang kesenian, tetapi mestilah ada batasnya.

Patung tidak boleh membesarkan objek asalnya atau imej yang dipatungkan, tambah Mohd Asri.

Anak Halal dominasi pencalonan FFM21 - mStar Online

04-08-2008 06:50:37 PM
oleh WAHIDA ASRANI

KUALA LUMPUR: Filem arahan Osman Ali, Anak Halal menerima 12 pencalonan daripada 24 kategori yang dipertandingkan menerusi dua anugerah utama iaitu Anugerah Perdana dan Anugerah Cipta sempena Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang bakal berlangsung di Putrajaya pada 9 Ogos ini.

Filem yang membariskan pelakon-pelakon seperti Maya Karin, Fasha Sandha, Farid Kamil, Raja Farah dan Fauzi Nawawi ini meraih pencalonan rata-ratanya untuk kategori utama seperti Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik dan Lakon Layar Terbaik.

Turut memberi saingan sengit kepada Anak Halal ialah filem noir arahan Mamat Khalid, Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) dan Wayang, arahan Hatta Azad Khan yang masing-masing menerima 11 pencalonan.

Hatta dan Mamat juga tercalon di dalam kategori Pengarah Filem Terbaik bersama Osman serta Ahmad Idham (Congkak) dan Shuhaimi Baba (1957 Hati Malaya).

Bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, bintang muda Farid Kamil menerusi filem Anak Halal bakal bersaing dengan empat aktor hebat untuk gelaran tersebut iaitu Adlin Aman Ramlie (Susuk), Afdlin Shauki (Sepi), Rosyam Nor (KMBM) dan Eman Manan (Wayang).

Manakala untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik, empat aktres yang tercalon adalah Maya Karin (Anak Halal), Erra Fazira (Anak), Fazura (Kayangan), Nasha Aziz (Otai) dan Vanidah Imran (Akhirat).

Berikut adalah senarai pencalonan 'Top 5' bagi FFM21:

ANUGERAH PERDANA

Pengarah Filem Terbaik:

1. Hatta Azad Khan - Wayang
2. Shuhaimi Baba - 1957 Hati Malaya
3. Ahmad Idham - Congkak
4. Mamat Khalid - KMBM
5. Osman Ali - Anak Halal

Pelakon Lelaki Terbaik:

1. Afdlin Shauki - Sepi
2. Adlin Aman Ramlie - Susuk
3. Rosyam Nor - KMBM
4. Eman Manan - Wayang
5. Farid Kamil - Anak Halal

Pelakon Wanita Terbaik:

1. Maya Karin - Anak Halal
2. Erra Fazira - Anak
3. Fazura - Kayangan
4. Nasha Aziz - Otai
5. Vanidah Imran - Akhirat

Lakon Layar Terbaik:

1. Wayang - Hatta Azad Khan
2. KMBM - Mamat Khalid
3. Sepi - Ara & Mira Mustaffa
4. Anak Halal - Osman Ali
5. Cuci - Hans Isaac

Cerita Asal Terbaik:

1. Wayang - Hatta Azad Khan
2. KMBM - Mamat Khalid
3. Sepi - Ara & Mira Mustaffa
4. Anak Halal - Osman Ali
5. Pensil - M.Subash

Sinematografi Terbaik:

1. Evolusi KL Drift - Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamarudin
2. Sepi - Mohd Nor Kassim
3. Susuk - Daven Raghaven
4. Kayangan - Raja Mukhriz
5. Anak Halal - Khalid Zakaria

Penyunting Terbaik:

1. 1957 Hati Malaya - Nik Haslinda Nik Hussain / Kamarudin Abu
2. Wayang - Hafiz Kamaruzaman
3. Congkak - Ahmad Mustadha
4. KMBM - Raja Affandi Raja Jamaludin
5. Sepi - Johan Bahar

Skor Muzik Asal Terbaik:

1. Wayang - Hafiz Askiak
2. KMBM - Ahmad Badaruddin
3. Susuk - Hardesh Singh
4. Anak Halal - Nurzaidi Abdul Rahman
5. 1957 Hati Malaya - Sharon Paul

Filem Animasi Terbaik:

1. Family Portrait - The One Academy
2. Upin & Ipin - Les! Copaque Prod.Sdn Bhd
3. World War - University of Hertfordshire
4. Nene Breshke - Wan Muhammad Tamlikha
5. Apocalypse - The One Academy

Filem Dokumentari Terbaik:

1. Making The Cut - Reel Network Sdn Bhd
2. The Woodsmiths - Reel Network Sdn Bhd
3. The Perak Man - Eurofine / FINAS
4. Kami Yang Disyaki - UiTM
5. Restoring Merdeka - Leong Hon Yuen

Filem Pendek Terbaik:

1. Hasrat - Martias Entertainment
2. Tiffin - Chor Ai Lene
3. Eyefinger - Marge Bong
4. Burp - ASWARA
5. Kopitiam Kurang Manis - UiTM

Filem Digital Terbaik:

1. Yantra
2. Malaysia's Sweet Heart
3. Wirasiswi
4. Ganavin / Vanthaanda Herd
5. Jarum Halus

Filem Terbaik

(Akan dimaklumkan pada malam anugerah)

ANUGERAH CIPTA

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik:

1. Zul Huzaimy - Wayang
2. Farid Kamil - KMBM
3. Adlin Aman Ramlie - 1957 Hati Malaya
4. Eizlan Yusof - Impak Maksima
5. Fauzi Nawawi - Anak Halal

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik:

1. Nabila Huda - Akhirat
2. Nanu Baharuddin - 1957 Hati Malaya
3. Azizah Mahzan - Anak
4. Ruminah Sidek - Pensil
5. Dynaz - Kayangan

Penataan Seni Terbaik:

1. 1957 Hati Malaya - Aida Fitri Buyong / Kamarul Nizam Abd Rahman
2. KMBM - Nazrul Ashraff
3. Susuk - Kek Ting Lam
4. Johnny Bikin Filem - Dr. Anuar Nor Arai
5. Anak Halal - Irwanmazwan Ibrahim

Penataan Bunyi Terbaik:

1. Congkak - Brian Ng
2. KMBM - Azman Abu Hassan
3. Susuk - Add Audio
4. Evolusi KL Drift - Daud Sulaiman
5. Anak Halal - Azman Abu Hassan

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik:

1. Erynne Erynna - Congkak
2. Amrul Hisham - Anak
3. Mohd Asrah Akis - Wayang
4. Mohd Asrah Afif - Wayang
5. Erin Malek - Congkak

Pengarah Harapan Terbaik:

1. Hans Isaac - Cuci
2. M.Subash - Pensil
3. Mohd Latif Zami - Dunia Baru The Movie
4. Syamsul Yusof - Evolusi KL Drift
5. Barney Lee - Anak

Pelakon Harapan Lelaki:

1. M.Subash - Pensil
2. Moh. Kamarulzaman Taib - 1957 Hati Malaya
3. Wan Kenari Ibrahim - Wayang
4. Zaefaul Nadzarine Nordin - 1957 Hati Malaya
5. Syamsul Yusof - Evolusi KL Drift

Pelakon Harapan Wanita:

1. Julia Ziegler - Kayangan
2. Lisa Surihani - I'm Not Single
3. Mas Muharni - Wayang
4. Avaa Vanja - KMBM
5. Diana Rafar - Susuk

Pereka Kostum / Busana:

1. 1957 Hati Malaya - Dee Hasnan / Ezrah Rahim
2. Johnny Bikin Filem - Ayu Haswida
3. Susuk - Mohd Zaini Abdul Rahman
4. Anak Halal - Mohamad Zaini Abdul Rahman
5. KMBM - Nasirah Ramlan

Poster Terbaik:

1. Cuci
2. Susuk
3. Anak Halal
4. Evolusi KL Drift
5. Pensil

Lagu Tema Asal Terbaik:

(Akan dimaklumkan pada malam anugerah)

ANUGERAH KHAS JURI

(5 Anugerah dari tersebut atau yang sesuai mengikut tema festival)

Gaduh, dipukul dan rasuah politik cemari mesyuarat Umno - mStar Online

04-08-2008 09:52:17 PM PETALING JAYA: Umno yang mengadakan mesyuarat tahunan peringkat sejak dua minggu lalu dicemari dengan pergaduhan dan gejala politik wang.

Di Kota Tinggi, polis menerima lima laporan mengenai kejadian pergaduhan dalam mesyuarat agung beberapa cawangan Umno dalam Bahagian Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Osman Mohd Sebot yang mengesahkan tentang kejadian pergaduhan itu hari ini berkata, polis menyiasat satu daripada laporan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang juga Ketua Umno Bahagian itu dilaporkan oleh akhbar hari ini sebagai berkata, penjalanan mesyuarat cawangan kali ini adalah yang terburuk dan dibayangi dengan unsur-unsur "kemaruk kuasa."

Syed Hamid, yang telah mendapat 10 pencalonan, dijangka menghadapi saingan sengit dalam pemilihan kali ini daripada bekas naib ketua bahagian itu Daing A.Malik Daing A.Rahman yang telah mendapat 13 pencalonan setakat ini.

Dalam pada itu, di Ipoh, seorang anggota jawatankuasa (AJK) UMNO Cawangan Pernas Charter Management (PCM) Bahagian Gopeng cedera di kedua-dua kaki akibat dipukul dengan kayu golf selepas seorang rakannya tidak berpuas hati berhubung pencalonan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian itu semalam.

Mangsa, Abdullah Abdul Hamid, 44, yang menyertai UMNO sejak 1985, menerima rawatan sebagai pesakit luar Hospital Permaisuri Bainun.

Abdullah berkata, selepas selesai mesyuarat, pukul 4.30 petang, beliau yang singgah di
Batu Gajah didatangi seorang lelaki yang tidak berpuas hati apabila abangnya yang juga setiausaha UMNO Bahagian Gopeng tidak dicalonkan cawangan PCM untuk bertanding timbalan ketua UMNO bahagian itu.

Lelaki itu yang juga AJK UMNO cawangan Kampung Pisang itu naik berang lalu mengeluarkan sebatang kayu golf dari keretanya lalu memukul Abdullah, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Umno Cawangan PCM Hishamuddin Abdul Rahman.

Abdullah yang bekerja sebagai Eksekutif Tekun Nasional di sini kemudian berlari untuk menyelamatkan diri dan dibantu oleh orang ramai untuk mendapatkan rawatan di hospital Bainun sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah.

Jurucakap Balai Polis Batu Gajah ketika dihubungi mengesahkan laporan yang dibuat oleh Abdullah.

Empat calon dijangka bertanding bagi merebut jawatan Ketua UMNO bahagian itu selepas bekas ketuanya Datuk Seri Abdul Shamsuddin mengumumkan untuk melepaskan jawatan itu barubaru ini.

Sementara itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mengesahkan ada menerima beberapa laporan berhubung kes rasuah dalam pemilihan cawangan dan bahagian Umno.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata BPR sedang melakukan siasatan terhadap laporan itu.

"Kita ada terima laporan ...tapi tak banyaklah, sejumlah kecil saja. Kita sedang mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan calon Ketua Umno Bahagian Seremban Mohd Nor Awang oleh BPR kerana disyaki memberi sogokan wang kepada seorang anggota Umno untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan.

Ahmad Said menjelaskan definisi rasuah tidak berdasarkan kepada jumlahnya, asalkan ia dapat mempengaruhi keputusan pemilihan.
Beliau juga berkata, setiap aduan kepada BPR perlu disertakan dengan bukti dan fakta.

"Berikan kepada kami fakta yang benar dan kami akan ambil tindakan," katanya.
Ahmad Said berkata BPR mendapat kerjasama yang baik daripada orang ramai dalam usaha membanteras rasuah.

"Anda dapat lihat sekarang ini kita menerima maklumat yang betul dan bernas daripada orang ramai dan ini menunjukkan satu perubahan baru...kita harap sokongan ini berterusan untuk samasama menentukan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

Bekas GRO terpaksa kencing dalam trak kerana dilarang ke tandas oleh anggota Rela - mStar Online

04-08-2008 08:33:06 PM

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pelayan pelanggan (GRO) memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dia dilarang ke tandas dan terpaksa membuang air kecil dalam trak polis lima tahun lepas semasa ditahan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam satu operasi.

Maslinda Ishak, 31, berkata tiga rakannya membantu menutup beliau dengan memegang tudung setelah dia tidak dibenarkan pergi ke tandas oleh seorang pegawai Rela.

Katanya kejadian itu berlaku dalam trak polis ketika ditahan bersama-sama 13 wanita dan dua lelaki oleh pegawai JAWI dalam operasi di pusat-pusat hiburan bagi kesalahan minum arak dan berpakaian tidak sopan.

Menurut Maslinda, setelah berada dalam trak selama 50 minit, beliau meminta kebenaran berkalikali daripada seorang pegawai Rela bernama Mohamad Tahir Osman untuk ke tandas untuk membuang air kecil tetapi tidak dihiraukan oleh Mohamad Tahir yang akhirnya menjerit "you kencing dalam traklah".

"Oleh kerana terdesak, saya telah meminta kawan-kawan perempuan saya memegang scarf untuk menuntup saya dan saya telahpun mencangkung dan membuang air kecil di dalam trak tersebut. Kalau tak silap, tiga orang kawan saya telahpun memegang scarf tersebut untuk menutup saya," katanya ketika disoal peguamnya Sangeet Kaur.

Maslinda, yang kini bekerja sebagai seorang jururawat dental, berkata tiba-tiba, seorang pegawai telah membuka pintu belakang trak dan memasuki kenderaan itu dan menarik turun scarf tersebut.

Katanya Mohamad Tahir kemudian berkali-kali mengambil gambarnya sedang membuang air kecil sambil ketawa manakala kawan-kawannya (Maslinda) menyuruh Mohamad Tahir agar menutup mukanya.

"Saya amat takut, sedih dan amat malu," kata Maslinda dalam perbicaraan kes samannya terhadap Mohamad Tahir selain Ketua Pengarah Rela, Pengarah JAWI dan

Kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM5 juta kerana mendakwa tindakan Mohamad Tahir itu telah mengaib dan menyebabkannya mengalami trauma.

Dalam peryataan tuntutannya, Maslinda mendakwa beliau bersama beberapa rakannya dibawa menaiki sebuah trak selepas ditahan oleh sepasukan pegawai penguatkuasa JAWI dan Rela di Kelab De Vegas, Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada kirakira pukul 11.30 malam 21 Mac 2003.

Pada 16 April 2003, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah menjatuhi hukuman penjara empat bulan terhadap Mohamad Tahir yang mengaku bersalah terhadap tuduhan mengganggu kesantunan Maslinda dengan maksud hendak mengaibkannya.

Dalam prosiding perbicaraan hari ini, Maslinda juga memberi keterangan bahawa beliau dan rakanrakannya telah dibawa ke Pejabat JAWI di mana mereka disuruh pergi ke bilik air sebelum dimasukkan ke dalam lokap.

Selepas itu, katanya, diasingkan mengikut kesalahan meminum dan memakai pakaian seksi. Beliau menafikan minum arak pada malam itu.

"Saya menunggu di dalam lokap sehingga dipanggil untuk ditemujanji oleh pegawai JAWI. Pada masa itu, suami saya sudahpun berada di situ dan diapun telah masuk dengan saya ke dalam suatu bilik di mana seorang pegawai lelaki telah bertanya saya beberapa soalan. Temujanji tersebut hanya untuk beberapa minit sahaja. Selepas itu, kami dilepaskan," katanya.

Maslinda berkata pada Jun tahun itu, beliau telah disaman supaya hadir di Mahkamah Syariah dan beliau telah hadir sebanyak lapan kali tetapi tiada sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Pada kali kelapan, mahkamah telah memulangkan wang jaminan sebanyak RM1,500 kepadanya tanpa mengambil sebarang tindakan.

Pegawai Hal Ehwal Islam JAWI, Syed Ibrahim Syed Ali, 50, memberitahu mahkamah bahawa pada hari itu beliau mengetuai operasi itu yang disertai 15 kakitangan JAWI dan lima anggota Rela termasuk Mohamad Tahir yang ditugaskan untuk mengawal trak.

Syed Ibrahim menafikan bahawa beliau atau JAWI membekalkan kamera kepada Mohamad Tahir kerana pihaknya tidak perlu membawa kamera semasa operasi memandangkan gambar tahanan hanya akan diambil di pejabat JAWI.

Ketika ditanya oleh Peguam Persekutuan Wan Roslan Wan Ismail, saksi itu berkata tugas anggota Rela ialah untuk menjaga keselamatan pasukan serbuan dan mengawal tahanan dan mereka tidak diberi kuasa untuk menangkap orang.

"Mohamad Tahir tidak boleh menangkap orang dan tidak boleh mengganggu orang yang ditangkap," katanya.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat juga telah mendengar keterangan daripada seorang saksi plaintif iaitu GRO sambilan Mazina Mat Yaman yang ditahan bersama Maslinda dan dua saksi defendan iaitu Pengarah Rela Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Aminuddin Mohd Yusoff dan pegawai penyiasat kes itu Shaharuddin Tahir.

Mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk mendengar hujah daripada kedua-dua pihak yang masing-masing telah menuntup kes mereka hari ini.

Prosiding perbicaraan hari ini dijalankan tanpa kehadiran Mohamad Tahir kerana usaha untuk mengesannya gagal.

Lebih Ramai Anggota Polis Mungkin Ditugaskan Pada Pilihanraya Kecil Permatang Pauh - BERNAMA

04 Ogos, 2008 22:12 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Polis mungkin akan menempatkan lebih ramai anggotanya pada pilihan raya kecil Permatang Pauh, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamid Albar.

Beliau berkata ini kerana pilihan raya kecil itu dijangka panas dan menarik memandangkan ia melibatkan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita jangkakan ia menarik dan panaslah. Tapi kami harap tiada kejadian tidak diigini berlaku.

"Polis akan memastikan pilihan raya kecil ini berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas membentangkan kertas kerja bertajuk "Kepimpinan Perkhidmatan Awam: Paradoks Kuasa dan Sifat" di Intan di sini, Isnin.

Suruhanjaya Pilihanraya dijangka mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu pada Rabu. Pilihan raya kecil itu diadakan apabila presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh minggu lepas bagi memberi laluan untuk suaminya bertanding.

Terdahulu, Syed Hamid berkata perkhidmatan awam perlu memulakan program pembinaan keupayaan pada setiap masa sebagai persiapan melahirkan pemimpin yang cemerlang.

"Kerajaan mesti boleh melahirkan pemimpin yang mampu memberikan khidmat kepada masyarakat, berkongsi pengalaman mereka dengan orang ramai dan terus belajar antara satu sama lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa membentuk seseorang pemimpin tidak bermakna memberikan kuasa kepada individu kerana kuasa sahaja tidak menjadikan seseorang itu pemimpin.

"Apa yang orang ramai mahu ada pada pemimpin hari ini ialah sifat rendah diri, berani (moral dan peribadi), prihatin, integriti dan ketabahan. Nilai-nilai ini akan membuatkan orang ramai percaya kepada pemimpin mereka," katanya.

-- BERNAMA

Pemain Bola Sepak Perlis Saman Kosmo RM1 Juta - BERNAMA

04 Ogos, 2008 18:30 PM

KANGAR, 4 Ogos (Bernama) -- Seorang pemain bola sepak Perlis hari ini memfailkan saman dan menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta terhadap wartawan dan akhbar harian Kosmo berhubung penyiaran berita mengenai siasatan kes rasuah membabitkan para pemain bola sepak Perlis oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada Mei lalu.

Yusri Che Lah menamakan dua wartawan Kosmo, Zainal Azhar Mohamed dan Hafizudin Mohd Safar sebagai defendan pertama dan kedua manakala Pengarang Kosmo sebagai defendan ketiga dan akhbar Kosmo sebagai defendan keempat.

Writ saman itu difailkan oleh peguam Jamil Mohamed Shafie yang mewakili Yusri pukul 3.15 petang di Mahkamah Tinggi di sini. Pemain bola sepak itu selaku plaintif turut hadir.

Dalam pernyataan tuntutan saman itu, Yusri berkata pada 15 Mei lalu, Kosmo menyiarkan laporan berita beserta gambarnya yang menggambarkan beliau seolah-olah terbabit dalam kegiatan rasuah.

Penyiaran berita serta gambar itu menjatuhkan maruahnya serta keluarga apatah lagi dengan kedudukannya sebagai pemain bola sepak profesional di Perlis dan terkenal.

Plaintif mendakwa bahawa kegiatan hariannya bersama keluarga terpaksa dihadkan kerana dicemuh oleh jiran dan masyarakat.

Beliau menuntut ganti rugi berjumlah RM1 juta termasuk ganti rugi teruk dan teladan dan faedah sebanyak lapan peratus setahun dari tarikh penyiaran berita itu sehingga penyelesaian sepenuhnya kes itu di mahkamah.

-- BERNAMA

Shahrizat Akur Nasihat PM Supaya Tidak Bertanding Lawan Rafidah - BERNAMA

04 Ogos, 2008 18:09 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Naib Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akur dengan nasihat presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk tidak bertanding melawan ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz pada pemilihan Umno hujung tahun ini.

Beliau juga menerima tawaran peralihan kuasa oleh Rafidah yang akan melepaskan jawatan ketua pergerakan itu kepadanya selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

"Tadi presiden parti (Abdullah) dah kata pada saya, elok terimalah keputusan yang dibuat Rafidah. Presiden juga menasihati saya untuk memastikan semuanya selamat.

"Pada saya bila Rafidah umumkan tawaran beliau dan dipersetujui presiden (Abdullah), saya akur dengan nasihat dan permintaan presiden," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Wanita Bersama Pemimpin anjuran Pergerakan Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Terdahulu pada majlis yang dirasmikan Abdullah itu, Rafidah mengumumkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno pada pemilihan parti Disember ini dan melepaskan jawatan kepada Shahrizat selewat-lewatnya Jun tahun depan.

Shahrizat yang terharu dengan tawaran Rafidah itu juga berharap semua anggota Wanita Umno turut menerima keputusan itu demi kesinambungan dan perpaduan pergerakan itu.

"Saya harap pihak Exco dan akar umbi akan menerima nasihat presiden (Abdullah) parti. Tradisi dalam Umno kita dengar cakap bos kita iaitu presiden dan ketua Wanita.

"Saya tidak akan ingkar arahan ataupun nasihat daripada presiden dan saya percaya Wanita Umno akan akur akan nasihat itu," katanya.

Beliau berkata perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan pada mesyuarat Exco Wanita yang akan datang untuk memastikan persetujuan dicapai hingga ke akar umbi.

"Saya akan berbincang dengan ketua-ketua Wanita bahagian yang mungkin ada pendapat mereka...saya harap Rafidah akan kemukakan perkara ini secara rasmi, kerana kita perlukan persetujuan semua orang," katanya.

Ketua Wanita Umno Pahang Senator Datuk Maznah Mazlan berkata tindakan tidak mengadakan pertandingan dalam merebut jawatan tertinggi pergerakan Wanita Umno merupakan tindakan yang bijak.

Katanya ini kerana kesemua anggota parti perlu lebih memfokuskan kepada pertandingan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti Disember ini.

"Saya menyambut baik sebab kita pernah dulu ada pertandingan merebut jawatan tertinggi Wanita Umno dan nak pulihkan itu memang bertahun-tahun sebab masing-masing dengan penyokong masing-masing," katanya.

Maznah yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata anggota Wanita juga perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan parti di peringkat akar umbi.

-- BERNAMA

Rafidah Akan Pertahan Jawatan Dan Hanya Letak Jawatan Tahun Depan - BERNAMA

04 Ogos, 2008 15:30 PM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Tan Sri Rafidah Aziz hari ini mengumumkan akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti itu Disember depan sebelum melepaskan jawatan itu kepada timbalannya Datuk Seri Shahrizat Jalil selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

"Saya akan mencapai usia 65 tahun tidak lama lagi (4 November), walaupun masih kuat dan aktif dalam semua erti kata, saya lebih cenderung parti diketuai wanita yang lebih muda," katanya semasa berucap pada program sehari Wanita UMNO Bersama Pemimpin di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Rafidah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO sejak 1984 setelah mengalahkan penyandang jawatan itu Tan Sri Zaleha Ismail pada pemilihan parti dan gagal mempertahankan jawatan itu pada 1996 setelah dikalahkan timbalannya pada masa itu Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman sebelum kembali semula pada tahun 2000 setelah mengalahkan Dr Siti Zaharah.

Sebelum membuat keputusan mempertahankan jawatannya, Rafidah berkata beliau mempunyai dua pilihan dan jika memilih yang pertama untuk tidak bertanding dalam pemilihan itu, ia akan mewujudkan persaingan sengit bagi jawatan ketua dan timbalan sehingga timbul fitnah memfitnah seperti yang berlaku pada pemilihan lepas.

"Pilihan kedua adalah semua anggota Wanita UMNO bersepakat tidak mengadakan pertandingan jawatan ketua dan naib ketua parti dan meminta semua wanita bahagaian menyokong peralihan kuasa yang ada sekarang," katanya.

Rafidah berkata walaupun beliau masih menyayangi pergerakan itu, tetapi pada pendapatnya sudah tiba masanya bagi Wanita UMNO mempunyai kepimpinan yang baru.

"Jangan pula ada orang bertanya pula betul ke Rafidah ini nak lepas jawatan pertengahan 2009? Boleh percaya ke? Saya adalah orang yang kata dikotakan. Saya tak pandai bermuka-muka," katanya.

Beliau juga meminta semua anggota pergerakan itu menyokong penuh kepimpinan Shahrizat yang akan mengambil alih jawatan beliau nanti.

"Saya tidak hendak Wanita (UMNO) nanti berpecah belah. Saya tiada benda nak diserahkan. Jawatan saya ketua sahaja. Saya hendak serah cepat (jawatan) supaya proses pemulihan cepat berlaku," kata Rafidah.

Beliau juga berkata jika pergerakan Puteri dan Pemuda UMNO diibaratkan sebagai sayap kiri dan dan kanan UMNO, Wanita UMNO pula adalah tulang belakang yang memberi kekuatan kepada parti.

"Kalau tulang belakang (Wanita UMNO) ini retak...patah, buruk padahnya," katanya.

Rafidah yang ditemui pemberita kemudiannya berkata, "Saya selalu ingatkan Wanita (UMNO), kita ni tulang belakang, janganlah buat perkara-perkara yang boleh merosakkan tulang belakang. Kalau banyak sangat ragam dan banyak sangat guna tindak-tanduk yang boleh meretakkan tulang belakang, parti akan hancur", katanya.

Beliau berkata keputusan untuk melepaskan jawatannya kepada Shahrizat nanti yang dibuat kira-kira dua minggu lepas merupakan keputusan muktamad dirinya sendiri dan bukan atas desakan mana-mana pihak.

"Tidak ada (desakan), saya duduk rehat di rumah banyak la boleh fikir. Bila beliau (Shahrizat) ambilalih, InsyaAllah Wanita (UMNO) itu satu, tidak berpecah belah dan tidak berpihak-pihak.

"Saya dulu menerima Wanita yang pecah-belah, bertahun-tahun nak merapatkan balik dan Shahrizat dapat Wanita (UMNO) yang bulat dan satu haluan maka ia akan beri kekuatan kepada parti," katanya.

-- BERNAMA

Pilihan raya kecil Permatang Pauh singkat, kempen kurang 13 hari? - mStar Online

PETALING JAYA: Bahagian Parlimen Permatang Pauh menjadi tumpuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Setiausaha Politiknya, Mohamad Ezam Mohd. Noor hari ini.

Ezam menemui penduduk kawasan Permatang Pauh pada sebelah pagi menerusi program Perhimpunan Penyatuan Orang Melayu dan Anwar menemui penyokongnya menerusi program Pengisytiharan Pilihan Raya Kecil (Permatang Pauh) di Seberang Jaya.

Pagi ini Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga berada di Pulau Pinang.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh bukan sahaja menjadi perhatian di kalangan pemerhati politik dan parti-parti politik, malah dilihat sebagai sesuatu yang serius oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang perlu mengambil kira pelbagai aspek untuk memastikan pengendaliannya berjaya.

Sambil mengakui soal mengendalikan pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang bakal didakan sesuatu yang mencabar, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, ia mencabar kerana pertama kali negara menyaksikan pilihan raya kecil seleps pilihan raya umum ke-12.

Malah, kata beliau, ia bakal melibatkan persaingan tokoh politik - penasihat PKR, yang bukan sahaja menarik perhatian tempatan tetapi juga negara-negara luar.

"Ini adalah satu pilihan raya yang perlu diberi perhatian serius, tapi ada memperlihatkan sedikit kelainan berbanding yang sebelum ini kerana ia pilihan raya kecil pertama (selepas 8 Mac lalu) tetapi fokusnya adalah besar," kata beliau kepada mStar Online sambil tidak menolak kemungkinan mengadakan pilihan raya dengan cepat untuk mengisi kekosongan yang wujud.

Ketika ditanya sama ada SPR akan memperuntukkan tempoh kempen 13 hari sebagaimana disaksikan semasa pilihan raya umum ke-12, Wan Ahmad berkata, lazimnya tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil adalah lebih pendek berbanding jumlah hari berkempen pilihan raya umum.

"Saya tidak mahu mengulas aspek ini... ia akan dibincangkan dengan mendalam oleh SPR dalam mesyuarat Rabu ini.

"Tetapi pada pandangan peribadi saya, dalam pilihan raya kecil tempoh berkempen kemungkinan lebih pendek... tidak memerlukan tempoh yang lama, dan bukan tempat yang besar (berbanding pilihan raya umum).

"Yang pastinya undang-undang memperuntukkan minimum tujuh hari untuk berkempen," katanya lagi.

Lazimnya tempoh kempen ditentukan bagi pilihan raya kecil adalah antara lapan hingga 10 hari.

Bagaimanapun buat kali pertama sejak 1982, SPR telah membenarkan berkempen selama 13 hari ketika pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

"Lagipun pilihan raya umum baru diadakan. Pilihan raya kecil tidak memerlukan tempoh yang lama untuk berkempen," katanya.

Kata beliau, Pengarah Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang akan turut hadir dalam mesyuarat Rabu ini untuk memberikan taklimat mengenai pelbagai aspek.

"Pengarah negeri akan memberi taklimat mengenai beberapa aspek bagi membolehkan panel SPR membuat keputusan," katanya.

Khamis lalu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding.

Permatang Pauh dilihat sebagai kubu kuat Anwar, yang pernah menyandangnya dari 1982 hingga 1999.

Beliau tidak bertanding pada 1999 selepas menghadapi kes mahkamah, sebaliknya diisi oleh Dr. Wan Azizah.

Seberapa segera pilihan raya kecil ini akan diadakan? Sebelum akhir Ogos ataupun awal September?

Difahamkan SPR sudah ada beberapa pertimbangan mengenai hari pengundian - minggu terakhir Ogos ini ataupun minggu pertama September.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor ketika ditemui mStar Online memberitahu segala-galanya akan diputuskan Rabu ini.

"Tunggu hingga 6 Ogos," katanya.

Bagaimanapun jelas beliau, sama ada tempoh kuat kuasanya 60 hari perlu diadakan pilihan raya kecil juga ditentukan Rabu ini.

Tiga pertimbangan diambil kira: Pertama tempoh 60 hari berkuat kuasa mulai hari penyandang jawatan melepaskan kedudukannya, hari Speaker Dewan Rakyat memaklumkan SPR ataupun hari panel suruhanjaya mengadakan mesyuarat.

"Jadi ada tiga tarikh ini bagi menentukan tempoh 60 hari (menentukan tarikh pilihan raya)... ia berlainan dengan pilihan raya umum kerana dikosongkan serentak (semua kerusi)," katanya.

Mesyuarat Rabu ini akan turut menetapkan tarikh untuk mengeluarkan writ pilihan raya, tarikh mengeluarkan notis pilihan raya dan daftar pemilih mana yang akan diguna pakai pada pilihan raya kecil itu nanti.

Mengambil kira tiga minggu bagi keseluruhan proses pilihan raya, hari pengundian kemungkinan jatuh antara 24 dan 28 Ogos ini.

Memandangkan pilihan raya pernah diadakan pada bulan puasa ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Lunas, empat tahun lalu yang turut dimenangi calon PKR, jika SPR memberikan ruang yang lebih luas, pengundian kemungkinan diadakan minggu pertama bulan September ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...