Sunday, August 3, 2008

Exco Dan Bekas Exco Dipanggil Bantu Siasatan Kes Selenggara Perdana V6 - BERNAMA

03 Ogos, 2008 23:34 PM

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos (Bernama) -- Bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan Exco Terengganu merupakan antara yang dipanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu melengkapkan siasatan kes perbelanjaan penyelenggaraan Proton Perdana V6 Executive kerajaan Terengganu berjumlah RM1.07 juta.

Antara yang dipanggil pada Jumaat lepas ialah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri Datuk Mohd Jidin Shafee yang kini Anggota Parlimen Setiu, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri Toh Chin Yaw dan seorang pegawai kanan kerajaan negeri.

Mohd Jidin yang dihubungi mengesahkan beliau dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat BPR di Wisma Persekutuan di sini pada Jumaat lepas selama lebih dua jam sejak pukul 9 pagi.

"Tidak ada apa-apa... saya hanya dipanggil untuk membantu siasatan. Buat pengesahan tentang beberapa perkara tertentu termasuk tentang pemandu, tukar alat ganti yang mana... itu sahaja," katanya.

Mohd Jidin berkata beliau berharap maklumat yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat membantu siasatan yang dijalankan oleh badan tersebut berhubung kes berkenaan.

Kenderaan yang digunakan oleh Mohd Jidin dengan nombor pendaftaran TT 7 mencatatkan kos penyelenggaraan sebanyak RM95,178.15 iaitu yang ketiga tertinggi selepas Toh (RM175,229.79) dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh (RM131,449.83).

Bagaimanapun kenderaan itu telahpun dibeli Mohd Jidin.

Sementara itu, Pengarah BPR Terengganu Sharuddin Sapian yang dihubungi Bernama enggan mengulas lanjut tentang perkara itu.

Sejak siasatan kes itu dilakukan, BPR telah menahan seramai lima orang pengusaha bengkel dan telah memanggil lebih daripada 20 orang untuk membantu siasatan berhubung perkara itu.

Kerajaan negeri Terengganu membeli sebanyak 14 kereta Mercedes E200 Kompressor yang berharga RM3.43 juta untuk menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri atas alasan kos penyelengggaraan kenderaan nasional itu terlalu tinggi.

-- BERNAMA

Jejambat MRR2 Dekat Kepong Dibuka Semula - BERNAMA

03 Ogos, 2008 21:25 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dekat Kepong, yang ditutup pada 10.30 pagi tadi ekoran keretakan pada satu tiang penopang jejambat lebuh raya jejambat itu, kini dibuka semula kepada semua lalu lintas kecuali lorong paling kiri kedua-dua hala lebuh raya itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed berkata jejambat MRR2 di Kepong itu masih selamat digunakan orang ramai walaupun lorong paling kiri di kedua-dua hala ditutup berikutan keretakan pada tiang 28.

"Hasil siasatan awalan menunjukkan bahawa kesan lekang telah berlaku disebabkan tiga dari 18 carbon fibre reinforced plastic (CFRP) pra-tegasan pada tiang 28 telah putus.

"CFRP adalah antara langkah-langkah yang digunakan untuk memperkukuhkan tiang itu dahulu. Sebagai langkah keselamatan, satu lorong terkiri kedua-dua belah jejambat akan ditutup sehingga tiang penopang 28 itu diperbaiki segera sebelum enam lorong dibuka kepada semua kenderaan," katanya.

Mohd Zin berkata: "Semua pakar daripada JKR dan perunding telah sebulat suara mengatakan bahawa walaupun kita buka kesemua enam lorong, ia masih lagi selamat kerana masih ada 15 CFRP untuk menampung berat kenderaan yang lalu.

"Tetapi bagi saya, tiada tolak ansur berhubung keselamatan orang ramai. Sebab itu saya tutup satu lorong dari hala pergi dan balik," katanya kepada pemberita selepas memeriksa kesan keretakan pada tiang itu.

Mohd Zin berkata beliau dimaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan akan mengambil masa kira-kira tiga minggu.

Sambil menegaskan kerajaan tidak akan menanggung sebarang pembaikan memandangkan ia masih berada dalam jaminan kontraktor, beliau berkata JKR akan menyiasat dan mengendalikan forensik kejuruteraan bagi mencari punca keretakan Tiang 28 dan mengkaji tiang-tiang penopang yang lain bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.

"Sekiranya kami dapati bahawa terdapat kelalaian pada pihak kontraktor, pembekal atau sesiapa yang membuat mengemukakan pelan tersebut daripada semakan dan siasatan kami, tindakan tegas akan diambil," kata Mohd Zin.

Ditanya sama ada Badan Pencegah Rasuah akan turut terlibat dalam siasatan berkenaan, beliau berkata ia belum tiba ke peringkat itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Trafik Bandaraya DSP Ng Fook Loong berkata lalauan bawah jejambat terbabit yang turut ditutup telah dibuka semula mulai 4.30 petang.

"Bagaimanapun hanya satu lorong jalan itu dibuka kepada lalulintas bagi mengelak kemalangan disebabkan kerikil batu pada jejambat itu jatuh," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Penutupan laluan itu menyebabkan kesesakan teruk terutama di kedua-dua hala yang menghubungkan Sungai Buloh, Kepong, Selayang, Batu Caves, dan Ampang.

Jejambat MRR2 menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer dan dibina oleh Konsortium SUKMIN-Bumi Hiway-KKM (Wilayah) berdasarkan kepada reka bentuk firma perunding Maunsel, Sharma & Zakaria.

Pada 9 Ogos 2004, laluan itu ditutup kepada lalu lintas berikutan 31 daripada 33 tiang mengalami keretakan. Laluan terbabit iaitu jejantas utama antara Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan persimpangan bertingkat Taman Bukit Maluri ditutup kepada semua lalulintas dan mula dibuka pada 6 Dis 2004.

Pada 4 Feb 2006, sekali lagi jejambat itu ditutup ekoran masalah yang sama dan dibuka enam bulan kemudian.

-- BERNAMA

Hasil Terengganu dikaut,Idris Jusoh perhabiskan RM7 bilion - HARAKAH DAILY

Suhaimi Taib
Sun | Aug 03, 08 | 7:29:02 am MYT

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos (Hrkh) - Sebanyak RM7 bilion wang royalti dan gas Terengganu telah dibelanjakan di zaman bekas Menteri Besar, Dato' Seri Idris Jusoh mulai tahun 2004 hingga 2008.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato' Amir Sham Abdul Aziz ketika ditanya Ketua Pembangkang, Dato' Seri Wan Azizah Ismail di Persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dipercayai wang sebanyak itu dibawa masuk melalui Dana Khas yang tidak diaudit oleh Ketua Audit Negara dan tidak dimasukkan dalam perkiraan Kumpulan Wang Disatukan dan dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri setiap tahun.

Dato' Seri Idris hanya berjaya menjadi menteri besar sepenggal sahaja selepas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berkenan untuk Idris terus menjadi Menteri Besar Terengganu selepas keputusan pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.

Bagaimanapun ke manakah perginya wang begitu banyak itu?

Persoalan ini ditimbulkan oleh Pengarah Pilihan raya KeADILan, Saifuddin Natution ketika berucap di Kuala Ibai di sini baru-baru ini.

Saifuddin berkata, projek disalurkan ke Terengganu hanya dengan cara, taukeh-taukeh besar membawa surat dari Kuala Lumpur untuk diminta tanda tangan pemimpin kerajaan negeri itu (Dato' Seri Idris Jusoh). Surat itu dipercayai dari Pejabat Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Apa projek yang nak dibuat, bagaimana proses tender tidak dinyatakan dalam surat berkenaan,"jelas beliau mengulas kenyataan wawancara Menteri Besar Terengganu Dato' Ahmad Said dalam sebuah akhbar berorientasikan ekonomi baru-baru ini.

Projek yang dibawa tidak ada kena mengena dengan kebajikan rakyat negeri Terengganu, katanya.

Saifuddin menjelaskan bahawa yang menikmati hasil bumi Terengganu ialah orang luar dari negeri itu (Patrick Lim).

Ini katanya, adalah hasil dari hubungan rapat beliau dengan Abdullah.

Saifuddin turut memaparkan gambar-gambar melalui tayangan 'LCD' bagi menunjukkan bagaimana Abdullah meraikan taukeh-taukeh kaya termasuk Patrick Lim dalam satu majlis di kediaman rasmi Perdana Menteri itu di Kuala Lumpur tidak lama dulu. - mks._

Kini sudah 66 usul tolak Abdullah sebagai Presiden Umno - HARAKAH DAILY

Tarmizi Mohd Jam
Sat | Aug 02, 08 | 9:46:06 pm MYT

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Hrkh) - Jumlah cawangan Umno yang membawa usul ke bahagian masing-masing supaya tidak mencalonkan semula Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ke jawatan Presiden Umno, kini meningkat kepada 66.

Perkara ini didedahkan oleh bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Dato' Ruhanie Ahmad dalam satu tulisannya pada blog, kudakepang.blogspot.com.

Katanya, terdapat satu cawangan dalam Umno Bahagian Kota Belud, Sabah iaitu Cawangan Kulambai Dundau, telah mengusulkan supaya bahagiannya mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah bertanding jawatan Presiden Umno.

Sebuah lagi Cawangan Umno Kampung Masjid, Jeneri, dalam Bahagian Sik, Kedah, turut mengusulkan supaya Umno bahagian itu juga mencalonkan Tengku Razaleigh sebagai Presiden parti.

Sebelum ini, Umno dikejutkan dengan usul Cawangan Kg. Tua dalam Bahagian Langkawi, yang bersidang pada 26 Julai lalu, agar Datuk Seri Najib Tun Razak dicalonkan sebagai Presiden Umno dan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku calon Timbalan Presiden.

Dalam perkembangan berkaitan, Ruhanie mendedahkan lagi pada blognya tentang satu usul yang yang diluluskan pada Mesyuarat Pemuda Umno Cawangan Kg. Mengkuang dalam Bahagian Kuala Langat, Selangor, menuntut agar peralihan kuasa daripada Abdullah kepada Najib dipercepatkan dari Jun 2010 kepada 1 Disember 2008.- tmj/mks. _

Alat perkukuh topang MRR2 putus - utusan

03/08/2008 5:13pm

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Keretakan pada topang tiang 28 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran dengan Stesen Komuter Kepong disebabkan oleh tiga daripada 18 carbon fibre reinforced plastic (CFRP) pra-tegasan telah putus.

Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, CFRP itu adalah alat yang digunakan untuk memperkukuhkan topang tersebut yang pernah retak sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, topang tersebut masih selamat untuk menampung kenderaan di atasnya.

``Sebagai langkah keselamatan, satu lorong terkiri kedua-dua belah jejambat akan ditutup sehingga topang pada tiang nombor 28 diperbaiki segera untuk membenarkan kesemua enam lorong dibuka kepada semua kenderaan.

``Kerja-kerja ini dijangka siap dalam tempoh tiga minggu,'' katanya. - Utusan.

SENARAI GAMBAR PENUTUPAN LALUAN MRR II

BEBERAPA pekerja sedang melakukan pemeriksaan ke atas topang tiang 28 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Stesen Komuter Kepong di sini, yang didapati retak hari ini. Berikutan itu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan jalan tersebut ditutup kepada sebarang lalu lintas atas faktor keselamatan. Penutupan laluan itu menyebabkan kesesakan teruk terutama di kedua-dua hala yang menghubungkan Sungai Buloh, Kepong, Selayang, Batu Caves dan Ampang. Bagaimanapun laluan di bawah jejambat tersebut dibuka semula pada kira-kira 4.30 petang tadi. --fotoBERNAMA

ANGGOTA Trafik mengawal lalu lintas di bawah jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berikutan penutupan laluan yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur. Keretakan dapat dilihat pada bahagian penyokong tiang jejambat dan laluan bertingkat. - fotoBERNAMA

MEKANIK kereta, Kanthaia Rasalingan, 41, menunjukkan seketul batu yang ditemui di bawah jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), dipercayai tertanggal daripada tiang jejambat tersebut yang retak. Berikutan itu lalauan di antara Kepong dan Selayang ke Kuala lumpur sepanjang 1.7 kilometer dan jalan di bawahnya terpaksa ditutup yang mengakibatkan kesesakan teruk di sepanjang jalan dari Sungai Buloh dan Sri Hartamas. Pada Februari 2006 jejambat tersebut pernah ditutup kepada semua lalu lintas setelah 31 tiangnya mengalami lebih 7,000 keretakan dan dua tahun sebelum itu laluan tersebut juga telah ditutup akibat kejadian serupa. - fotoBERNAMA

ANGGOTA Trafik mengawal lalu lintas berhampiran jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berikutan penutupan laluan yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur. - fotoBERNAMA

KESAN keretakan jelas kelihatan pada tiang jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2). - fotoBERNAMA

PEMANDANGAN dari sudut berlainan jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang ditutup berikutan penutupan laluan yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur. -fotoBERNAMA

Noh Omar Kekal Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang - BERNAMA

03 Ogos, 2008 19:13 PM

TANJONG KARANG, 3 Ogos (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Noh Omar mengekalkan jawatan sebagai Ketua Umno Bahagian Tanjong Karang apabila menang tanpa bertanding buat penggal kedua.

Noh, yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang, menerima pencalonan untuk terus memimpin bahagian itu daripada semua 98 cawangan yang selesai mengadakan mesyuarat agungnya hari ini.

Bagi jawatan Timbalan Ketua Umno bahagian, penyandangnya Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burung Datuk Shamsudin Lias juga menang tanpa bertanding apabila semua cawangan sebulat suara mencalonkan beliau.

Noh, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, ketika mengulas pencalonannya itu berterima kasih kepada kesemua cawangan Umno di bahagian itu kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk terus memimpin.

"Saya akan memikul amanah dan akan memastikan perpaduan parti kukuh," katanya.

-- BERNAMA

Muhyiddin Pertahan Jawatan Naib Presiden Umno, Akur Pelan Peralihan Kepimpinan Parti

03 Ogos, 2008 16:46 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai Naib Presiden Umno, sekaligus menamatkan spekulasi yang menyatakan bahawa beliau akan bertanding satu daripada jawatan utama pada pemilihan parti Disember ini.

Muhyiddin berkata beliau akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) Umno yang bersetuju dan menghormati Pelan Peralihan Kepimpinan yang diatur bagi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun 2010.

"Dengan ini, saya berpendapat adalah amat wajar bagi saya mempertahankan jawatan Naib Presiden supaya dapat terus berperanan di dalam membantu peralihan kepimpinan ini.

"Keputusan ini saya buat atas kesedaran dan prinsip yang saya dokong dari dulu hingga sekarang iaitu sentiasa bersedia dan bersama menjamin keutuhan parti dan menampilkan barisan kepimpinan tertinggi yang berwibawa dan kuat agar mampu berusaha memperjuangkan teras perpaduan dan nasib kaum Melayu demi kepentingan bangsa, agama dan negara," katanya dalam satu kenyataan di sini Ahad.

Semalam dua lagi cawangan Umno di Johor, iaitu Stulang Laut dan Permas Jaya, sebulat suara meluluskan usul agar Muhyiddin dicalonkan bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Pada 19 Julai, Umno cawangan Kampung Desa Jaya mengemukakan usul serupa pada mesyuarat cawangannya dan diluluskan sebulat suara.

Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata beliau tidak bermaksud menolak prinsip demokrasi dan hak bersuara anggota Umno apabila membuat keputusan mempertahankan jawatannya.

"Umno tetap memegang kepada dasar demokrasi dan tidak sesekali menegah atau mengongkong ahli parti daripada menyatakan suara dan pendirian mereka dalam membuat keputusan yang mereka fikir baik untuk parti," katanya.

Menegaskan bahawa Umno adalah sebuah parti yang demokratik dan mengamalkan muafakat serta sentiasa mengikut peraturan dan perlembagaan, beliau berharap semua anggota parti dapat memberikan kepercayaan kepadanya mempertahankan jawatan.

Muhyiddin dipilih sebagai Naib Presiden Umno pada 1993 setelah gagal dalam percubaan pertama pada 1990. Beliau bagaimanapun gagal mempertahankan jawatan pada pemilihan parti 1996 dan empat tahun kemudian berjaya merebut kembali jawatan itu sehingga hari ini.

Muhyiddin berkata beliau sedar keputusannya itu akan mengecewakan sesetengah pihak dan anggota parti di beberapa peringkat, namun "ingin saya tekankan bahawa setiap perjuangan memerlukan pengorbanan dan suara serta sokongan mereka akan sentiasa saya hormati dan hargai."

Katanya keputusannya hari ini dibuat setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada pelbagai peringkat dan kepimpinan parti.

"Saya berikrar akan terus membantu di dalam usaha membaik pulih parti agar dapat kita bersama merapatkan barisan bagi membuat perancangan dan memperkemaskan gerak jentera parti di semua peringkat serta bersiap sedia dari sekarang untuk berhadapan dengan cabaran pilihan raya umum akan datang," katanya.

Muhyiddin berkata: "Jika suara saya kelihatan lantang dan tegas melalui teguran yang saya buat, percayalah bahawa saya tidak sesekali bermaksud untuk menentang kepimpinan tetapi ia dibuat atas niat tulus dan ikhlas kerana mahu melihat Umno terus kuat, perkasa dan berwibawa."

-- BERNAMA

MRR2 Ditutup, Alami Keretakan Buat Kali Ketiga - BERNAMA

03 Ogos, 2008 14:45 PM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Jejambat Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer serta jalan di bawahnya ditutup kepada semua lalu lintas sejak pukul 10.30 pagi tadi berikutan berlaku keretakan pada tiang jejambat itu.

Timbalan Ketua Trafik Bandaraya DSP Ng Fook Long berkata penutupan itu dibuat atas arahan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Pada pukul 10.30 pagi, pihak polis menerima arahan daripada Jabatan Kerja Raya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur supaya menutup laluan tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya sebelum itu, polis mendapat maklumat daripada orang ramai terdapat keretakan pada tiang jejambat itu pada pukul 9.15 pagi.

Beliau berkata akibat penutupan jalan itu, kesesakkan telah berlaku sepanjang jalan dari Sungai Buloh dan Sri Hartamas dan beliau menasihatkan orang ramai menggunakan jalan alternatif.

Pada 8 Feb 2006, lebih 7,000 keretakan dikesan pada sebahagian daripada 31 tiang jejambat itu. Pada Ogos 2004 laluan itu ditutup kepada lalu lintas berikutan keretakan itu dan kali kedua ianya ditutup pada 4 Feb 2006

Sementara itu, pemandu bus RapidKL Zainuddin Mohamad Taib, 37, ketika ditemui berkata beliau dimaklumkan mengenai keretakan itu pukul 7.30 pagi ini oleh rakannya.

Katanya rakannya itu yang melalui jalan itu pada pukul 3.30 pagi mendapati lebuh raya itu rekah dan batu-batu kecil berjatuhan dari jejambat.

Beliau berkata mereka kemudian memaklumkan kepada pihak polis mengenai perkara itu.

Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed dijangka melawat kawasan itu petang ini.

Jejambat MRR2 menghubungkan antara Kepong dan Selayang ke Kuala Lumpur sepanjang 1.7 kilometer itu dibina oleh Konsortium SUKMIN-Bumi Hiway-KKM (Wilayah) berdasarkan kepada reka bentuk firma perunding Maunsel, Sharma & Zakaria.

-- BERNAMA

15 Umno Cawangan Kelantan Usul Tengku Razaleigh Dicalonkan Tanding Presiden Parti - BERNAMA

03 Ogos, 2008 12:40 PM

TUMPAT, 3 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 15 Umno cawangan di Bahagian Tumpat meluluskan usul mencadangkan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dicalonkan bertanding jawatan presiden pada pemilihan Umno Disember ini.

Ketua Umno Cawangan Padang Pohon Tanjung Mohamad Ismail berkata cawangannya dan 14 cawangan lain sebulat suara bersetuju Bahagian Tumpat mencalonkan Tengku Razaleigh bertanding jawatan presiden parti.

"Cadangan usul mencalonkan Tengku Razaleigh kerana dirasakan beliau orang yang layak untuk memulihkan Umno yang sedang tenat sekarang," katanya kepada Bernama hari Ahad.

Setakat ini, kesemua 116 cawangan Umno di Bahagian Gua Musang juga bersetuju mengusulkan Tengku Razaleigh dicalonkan bertanding bagi jawatan presiden.

-- BERNAMA

Dua Lagi Cawangan Di Johor Calon Muhyiddin Bertanding Presiden Umno - BERNAMA

03 Ogos, 2008 11:30 AM

JOHOR BAHARU, 3 Ogos (Bernama) -- Dua lagi cawangan Umno di Johor, iaitu Stulang Laut dan Permas Jaya, mencadangkan Naib Presiden parti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dicalonkan bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Umno cawangan Stulang Laut dalam Umno Bahagian Johor Baharu, dan Umno cawangan Permas Jaya dalam Umno Bahagian Pasir Gudang, masing-masing sebulat suara meluluskan usul itu dalam persidangan tahunan kedua-dua cawangan itu malam tadi.

Bagaimanapun, kedua-dua cawangan tidak mengemukakan sebarang usul bagi jawatan Timbalan Presiden parti, kata Timbalan Ketua Umno Cawangan Stulang Laut, Azuki Ngah.

"Ia (usul mencalonkan Tan Sri Muhyiddin sebagai Presiden Umno) merupakan suara akar umbi Umno dan kami (anggota di cawangan) meminta usul tersebut mendapat perhatian berat oleh kepimpinan di peringkat bahagian," katanya kepada Bernama di sini, hari Ahad.

Ketua Umno cawangan Permas Jaya Mohd Azhari Ahmad pula berkata usul mencalonkan Muhyiddin merebut jawatan Presiden Umno mendapat sokongan sebulat suara daripada 226 anggota parti yang menghadiri mesyuarat cawangan itu.

"Kita mahukan usul itu menerima perhatian daripada bahagian," katanya.

Umno cawangan Stulang Laut dan Umno cawangan Permas Jaya merupakan cawangan yang ketiga selepas Umno cawangan Kampung Desa Jaya dalam Umno Bahagian Johor Baharu yang meluluskan usul mencadangkan Muhyiddin bertanding jawatan Presiden parti.

Umno cawangan Kampung Desa Jaya mengemukakan usul itu pada mesyuarat cawangannya pada 19 Julai lepas, dan diluluskan sebulat suara.

Umno Bahagian Johor Baharu diketuai oleh Datuk Shahrir Abdul Samad, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, manakala Umno Bahagian Pasir Gudang diketuai oleh Datuk Mohamed Khaled Nordin yang juga Menteri Pengajian Tinggi.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...