Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan ROHANI IBRAHIM
|
GEMBIRA... Orang ramai menunjukkan wang rebat yang diterima selepas beratur panjang di Pejabat Pos Bandar Baru Bangi, Selangor, semalam. Pembayaran rebat itu yang bermula semalam di semua pejabat pos seluruh negara dibuat oleh kerajaan berikutan kenaikan harga bahan api baru-baru ini.– Gambar Hayat Sueet |
KUALA LUMPUR 14 Jun – Beribu-ribu pemilik kenderaan persendirian menyerbu 683 buah pejabat pos seluruh negara sejak awal pagi hari ini bagi menuntut bayaran rebat tunai subsidi petrol dan diesel.
Setakat pukul 5 petang ini iaitu hari pertama ia diagihkan, sejumlah RM116.7 juta tuntutan rebat tunai telah dibayar kepada 239,414 pemilik kenderaan di semua pejabat pos.
Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, urusan pembayaran rebat di seluruh negara berjalan lancar dan terkawal sebaik sahaja pejabat pos dibuka mulai pukul 8.30 pagi hingga ditutup pada 5 petang.
Beliau berkata, walaupun terdapat sedikit gangguan di beberapa pejabat pos, masalah berkenaan dapat diatasi dalam masa beberapa minit.
“Sehingga pukul 10.30 pagi sebanyak RM24.1 juta sudah dibayar kepada pemilik 47,774 kenderaan di kesemua pejabat pos di seluruh negara,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses tuntutan pembayaran rebat subsidi petrol dan diesel di Pejabat Pos Bandar Baru Bangi di sini hari ini.
Shaziman berkata, bagi pejabat pos yang kehabisan wang tunai, para pengguna akan diberikan kiriman wang.
Mengulas mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan oleh pengguna, beliau menjelaskan pembayaran rebat subsidi petrol merupakan satu perkara baru dan akan dikaji bagi memperbaiki sebarang kelemahan.
‘‘Unit Perancang Ekonomi akan membuat kajian bagi memperbaiki sistem ini pada masa akan datang,’’ katanya.
Beliau turut menasihati kira-kira 1.7 juta orang yang memperbaharui lesen antara 1 April 2008 hingga 31 Mei 2008 supaya tidak terburu-buru untuk menuntut rebat subsidi petrol yang dibayar mulai hari ini.
Menurutnya, pemilik kenderaan berkenaan boleh mendapatkan rebat subsidi petrol dan diesel masing-masing sehingga 31 Mac 2009.
“Usahlah terburu-buru. Lebih-lebih lagi kalau melihat barisan orang ramai beratur terlalu panjang di pejabat pos, mereka masih boleh datang hari lain,’’ katanya.
Katanya, fasa pertama tuntutan rebat subsidi petrol dan diesel melibatkan 1.7 juta kenderaan dengan pembayaran berjumlah RM800 juta.
Shaziman menambah, pengguna kenderaan yang menggunakan gas asli untuk kenderaan (NGV) tidak boleh membuat tuntutan rebat kerana harga NGV tidak naik seperti harga petrol dan diesel baru-baru ini.
Katanya, mereka yang memiliki kad pengenalan sementara pula perlulah membawa laporan polis bagi mendapatkan pembayaran tersebut.
Sementara itu, Pos Malaysia Berhad dalam kenyataannya berkata, setiap urusan hanya memakan masa tidak lebih tiga minit kecuali di beberapa pejabat pos yang dikesan mengalami gangguan sistem.
Gangguan tersebut berlaku dalam tempoh yang singkat dan berjaya dipulihkan pada pukul 9.05 minit.
‘‘Selepas ia dipulihkan, sistem kembali stabil hingga ke petang. Pos Malaysia meminta maaf terhadap kesulitan yang dialami oleh semua pelanggan kami yang terlibat ekoran berlakunya gangguan tersebut,’’ kata kenyataan itu di sini hari ini.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebelum ini memberitahu, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk pembayaran rebat selepas mengambil kira anggaran jarak perjalanan pengguna kenderaan itu sejauh 50 kilometer sehari.
Peruntukan tersebut akan digunakan untuk membayar rebat tunai kepada pemilik kenderaan persendirian sebanyak RM625 setahun bagi kenderaan berkapasiti enjin sehingga 2,000cc serta trak pikap dan jip berkapasiti enjin sehingga 2,500cc.
Pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc pula akan menerima bayaran tunai sebanyak RM150 setahun selepas memperbaharui cukai jalan masing-masing.
Dalam pada itu, Pos Malaysia turut mengumumkan beberapa pejabat pos terpilih termasuk semua Pejabat Pos Besar akan beroperasi esok (Ahad) bagi memudahkan pemilik kenderaan menuntut rebat tunai mereka.
Dalam perkembangan yang sama kenyataan itu menjelaskan, rakyat asing termasuk mereka yang bertaraf Penduduk Tetap (PR) tidak layak untuk menerima rebat tunai.
Pemilik kenderaan juga boleh memuat turun borang tuntutan rebat daripada laman web www.pos.com.my.
‘‘Borang ini kemudian hendaklah diisi dan diserahkan di kaunter pejabat pos berdekatan untuk tujuan tuntutan,’’ katanya.
Menurut kenyataan itu, Pos Malaysia turut diberitahu terdapat usaha individu yang tidak bertanggungjawab menjual borang tuntutan rebat.
‘‘Borang ini adalah percuma dan boleh didapati di pejabat pos atau di laman web kami. Kakitangan kaunter kami sedia membantu para pelanggan yang memerlukan bantuan dan tiada sebarang bayaran dikenakan,’’ katanya.
utusan online