Sunday, February 20, 2011

Malaysia dan Thailand Tuanrumah Piala AFF 2012

Februari 19, 2011 - Malaysia dan Thailand telah dinamakan sebagai dua tuanrumah pusingan awal AFF Piala Suzuki 2012.

Ini berikutan mesyuarat ke 18 Majlis AFF untuk sesi 2007/2011 pagi ini di Kuala Lumpur.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuanrumah adalah pada 2004 bersama Vietnam, manakala Thailand menjadi tuanrumah pada 2006 bersama Indonesia.

Malaysia, Indonesia, Vietnam, Indonesia, Filipina, Singapura dan Thailand adalah enam pasukan yang layak ke kejohanan utama. 

Ini berdasarkan ranking AFF iaitu Vietnam (20 mata) ditempat teratas, Indonesia (19.3 mata), Malaysia (18 mata), Singapura (16 mata), Thailand (16 mata) dan Filipina (12 mata).

Manakala Myanmar, Laos, Cambodia dan Timor Leste akan bermain di pusingan kelayakan.

Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun akan diadakan di Myanmar pada September 1-10, 2011
Kumpulan A: Thailand, Singapura, Filipina, Malaysia
Kumpulan B: Myanmar, Indonesia, Laos dan Vietnam

Kejohanan AFF Bawah 16 Tahun akan diadakan di Laos pada Julai 7-17, 2011
Kumpulan A: Laos, Thailand, Malaysia, Timor Leste, Indonesia
Kumpulan B: Myanmar, Vietnam, Singapura, Cambodia, Filipina

Kejohanan Futsal AFF akan diadakan di Indonesia pada April 11-17, 2011
Indonesia, Myanmar, Vietnam, Filipina, Malaysia dan Thailand

Kejohanan AFF Bawah 23 dijangka akan diadakan di Palembang pada Julai 18-24, 2011. Kejohanan ini adalah sebagai persiapan untuk Sukan SEA 2011 akan menyaksikan lima pasukan mengambil bahagian Indonesia, Singapura, Filipina, Myanmar dan Timor Leste.

Kejohanan Bolasepak AFF Wanita akan diadakan di Laos pada minggu kedua Oktober, 2011
Pasukan (8): Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Myanmar, Malaysia, Laos dan Vietnam

Sementara itu, calun untuk Majlis AFF telah diumumkan.

Calun Jawatan Presiden:

  • H. A. M. Nurdin Halid dari Indonesia
  • Sultan Haji Ahmad Shah dari Malaysia
  • Dato’ Worawi Makudi dari Thailand

Calun Naib Presiden (empat Posisi):
  • Pengiran Matusin Matasan dari Brunei
  • Brigadier General Khiev Sameth dari Cambodia
  • H. A. M. Nurdin Halid dari Indonesia
  • Viphet Sihachakr dari Laos
  • Juan Miguel Romualdez dari Philippines
  • Francisco Kalbuadi dari Timor Leste
  • Duong Vu Lam dari Vietnam

Pemilihan untuk Majlis AFF berikutnya akan diadakan pada Kongres AFF di Bangkok pada April 10, 2011

KWSP umum dividen 5.8 peratus

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pemberian dividen sebanyak 5.8 peratus untuk pencarumnya bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2010.

Peratusan tersebut meningkatkan 15 mata asas, berbanding 5.65 peratus pada 2009.
Peningkatan peratusan dividen bagi tahun lalu adalah ekoran prestasi menggalakkan dalam pasaran ekuiti.
Sementara itu, Bernama melaporkan, ia merupakan bayaran dividen tertinggi yang pernah dicapai dana persaraan itu iaitu sebanyak RM21.61 bilion, peningkatan 11.55 peratus berbanding bayaran dividen RM19.37 bilion pada 2009.

Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman dalam satu kenyataan hari ini berkata pencapaian itu menggambarkan tahun yang memberangsangkan di mana pendapatan pelaburan kasar dana persaraan itu mencecah rekod tertinggi dalam sejarah sebanyak RM24.06 bilion.

Ia merupakan peningkatan 39.76 peratus berbanding RM17.22 bilion pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan pada 2009, katanya.

"Pendapatan pelaburan memberangsangkan yang dicapai pada tahun 2010 dijana terutamanya daripada prestasi pelaburan ekuiti. Suasana kewangan dan ekonomi yang bertambah baik menyediakan pasaran dengan kecairan mencukupi lalu membenarkan aktiviti pengambilan untung sepanjang tahun," katanya.

"Bayaran dividen ini diperoleh setelah ditolak elaun rugi terjejas bersih ke atas aset kewangan, perbelanjaan pelaburan, perbelanjaan operasi dan caj berkanun serta bayaran dividen pengeluaran," katanya.

Samsudin berkata untuk bayaran dividen 2010, KWSP memerlukan RM3.73 bilion bagi membayar setiap satu peratus kadar dividen berikutan peningkatan dalam bilangan ahli.

Jumlah itu meningkat 8.67 peratus berbanding RM3.43 bilion yang dibayar untuk satu peratus kadar dividen pada tahun 2009, katanya.

Beliau berkata walaupun KWSP optimis bahawa momentum yang positif ini akan berterusan pada 2011, namun prospek untuk tahun ini akan terus bergantung kepada kekukuhan ekonomi domestik dan antarabangsa.

"Sebagai tabung persaraan, KWSP akan mengekalkan matlamat untuk melabur mengikut objektif strategiknya dan pada masa yang sama mengambil inisiatif pengurusan risiko yang ketat bagi menguruskan secara berkesan sebarang ketidak tentuan dan ancaman yang dihadapi," katanya.

Ahli boleh mendapatkan Penyata Kira-Kira KWSP untuk menyemak pengkreditan dividen 2010 melalui kiosk KWSP, kaunter atau i-Akaun mulai esok.

Seorang calon wanita pro-M UM dilapor hilang

Dua laporan polis dibuat ekoran kehilangan seorang calon pro-Mahasiwa (pro-M) Universiti Malaya (UM) yang bertanding kerusi umum dalam pilihan raya kampus yang akan berlangsung berlangsung esok.

masturah abu bakarKehilangan calon wanita tersebut - Masturah Abu Bakar - dilaporkan oleh seorang rakannya, Nurhanis Wahidah Mohd Mansor, di balai polis Pantai, jam 12.20 tengah malam tadi.

Dalam laporannya itu, Nurhanis berkata pada jam 4.15 petang semalam, dia bersama Masturah, 22, berkempen di blok pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam - yang menjadi tempat penginapan luar pelajar UM.

Katanya, ketika merada berada di antara blok D dan blok E pangsapuri tersebut, Masturah memberitahunya yang dia hendak pergi membeli tambahan kredit telefon dan memintanya menunggu di blok E.

Menurut laporan polis itu lagi, Nurhanis berkata, selepas lama menunggu, Masturah tidak muncul dan dia cuba menghubungi rakannya itu tetapi gagal.


universiti malaya pro m students pc on missing candidate 200211 1Selepas enam jam mencari bersama penduduk di situ, dan masih gagal menemui Masturah, Nurhanis membuat laporan polis pada jam 12.20 tengah malam tadi.
Dalam laporan polis itu juga, Nurhanis memberitahu bahawa seorang lagi rakannya telah menghubungi keluarga Masturah selepas insiden itu berlaku.

"Semasa kawan saya keluar, (dia) berpakaian baju kurung batik warna hijau merah jambu, bertudung warna merah jambu, kulit berwarna sawo matang bercermin mata, tinggi lebih kurang 173 (cm), berkot labuh warna hitam berkasut sandal berwarna putih," laporan polis itu dipetik.

Laporan polis itu juga menyebut bahawa sebelum itu, Masturah telah menerima kiriman SMS daripada seseorang yang tidak dikenali yang memberi amaran yang berbunyi "woi celaka jg sikit perangai kau, siapla kau lepas ni. Kau ingat kau bagus sangat".

Sehubungan itu, Nurhanis membuat laporan polis kerana "takut" tentang keselamatan Masturah di kemudian hari.

Sementara itu, wakil calon Masturah - Rohayu Rosli - pula membuat satu lagi laporan polis di balai yang sama pada jam 11.40 pagi tadi selepas menerima panggilan telefon yang mengugutnya supaya jangan membuat laporan polis berhubung kehilangan Masturah.

Salinan dua laporan polis tersebut diedarkan pada wartawan dalam sidang akhbar oleh sekumpulan pelajar pro-M yang diketuai oleh pengerusi pro-M UM, Farid Jalpah di depan Dewan Tuanku Canselor UM petang ini.

Dalam sidang media, Farid mendesak pentadbiran UM agar bertanggungjawab di atas kehilangan Masturah kerana penetapan tarikh kempen yang ditentukan pada hujung minggu bermula 18 Februari hingga 20 Februari.

Ini kerana katanya, penetapan tarikh itu menyukarkan proses berkempen disebabkan hampir semua pelajar universiti tidak berada di kampus, malah sebelum ini desakan pro-M meminta agar masa kempen ini diubah juga tidak dilayan.

Dakwanya, hampir seluruh kolej kediaman mengadakan sekatan kepada calon pro-M untuk berkempen dan pelajar yang mengakui diri mereka ahli jawatankuasa kolej turut didakwa menyekat kemasukan orang luar termasuk tempoh berkempen selama 10 minit.

"Oleh hal demikian, calon-calon pro-Mahasiswa mengambil inisiatif untuk menjalankan sesi ziarah ke luar kampus.

"Rentetan penetapan syarat-syarat yang dilakukan oleh ahli jawatankuasa induk inilah memaksa para calon menjalankan sesi ziarah diluar yang secara jelas tidak menjamin keselamatan para calon," katanya.

Farid juga menuntut agar pihak universiti menunda pilihan raya kampus sehingga Masturah yang juga pelajar Akademi Pengajian Islam UM ditemui semula.

Ketika ditemui pemberita selepas sidang media itu, Farid berkata pihak universiti juga turut dimaklumkan berhubung kehilangan Masturah.

Sehingga selesai sidang akhbar tersebut kira-kira jam 5.15 petang tadi, Farid memberitahu pemberita bahawa pihaknya masih belum menerima apa-apa perkembangan berhubung kehilangan Masturah.

UM adalah antara lima universiti utama yang akan mengadakan pilihan raya kampusnya esok.

RM4 bilion tidak tuntut pemilik dan pewaris - Awang Adek

BACHOK 20 Feb — Sejumlah RM4 bilion hasil keuntungan yang diperoleh daripada simpanan di institusi-institusi kewangan dan dana persaraan di negara ini masih tidak dituntut pemilik dan waris, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein.

Beliau percaya sebilangan besar daripada mereka tidak mengetahui adanya wang tersebut, yang antaranya diperoleh daripada keuntungan wang simpanan individu di bank-bank konvensional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, wang yang tidak dituntut itu kini disimpan Akauntan Bank Negara Malaysia (BNM) dan beliau berharap pihak terbabit membuat semakan di cawangan-cawangan BNM berdekatan untuk mendapatkan kembali wang itu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah kepada 83 penduduk di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) kelolaan Risda di Kampung Lati, di sini hari ini, beliau berkata pemilik atau pewaris perlu mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan untuk dipertimbangkan bagi membuat tuntutan wang tersebut.

"Jika didapati wang itu masih lagi tidak dituntut dalam tempoh tertentu kerajaan mungkin akan meminjamnya bagi tujuan pembangunan bagi faedah rakyat,” katanya. — Bernama

UMNO Kedah buat rombakan kecil

ALOR SETAR 20 Feb — Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah membuat rombakan kecil terhadap struktur pentadbirannya yang menyaksikan dua orang timbalan ketua bahagian dilantik masing-masing sebagai setiausaha dan bendahari.

Pada satu mesyuarat malam tadi yang berakhir awal pagi ini, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerlun, Datuk Othman Aziz, yang sebelum ini Setiausaha Kerja UMNO Negeri, dilantik sebagai setiausaha perhubungan yang baru menggantikan Datuk Nawawi Ahmad.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Ghazali Ibrahim pula dilantik sebagai bendahari, menggantikan Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri sejak awal tahun ini.

Jawatan Ketua Penerangan kekal dipegang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pelantikan dua timbalan ketua bahagian mengisi jawatan setiausaha dan bendahari berbanding tradisi melantik daripada kalangan ketua bahagian sebelum ini adalah kerana beliau mahu ketua bahagian menumpukan kepada bahagian masing-masing bagi menghadapi pilihan raya. — Bernama

BN yakin menang 31 daripada 36 kerusi di Kedah

BN Kedah berkemampuan untuk memperoleh kemenangan lebih dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekaligus merampas semula pentadbiran kerajaan negeri yang kini diterajui PAS.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata sasaran itu tidak mustahil pada PRU ke-13 kali ini memandangkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

azlan"Kita yakin boleh mencapai sasaran lebih 31 daripada 36 kerusi DUN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Motivasi dan Kecemerlangan Kepimpinan Wanita UMNO Kedah, di Alor Setar, semalam.

Lebih 500 ketua wanita peringkat cawangan di negeri itu menyertai kursus tersebut.

Ketika ini, PAS menguasai 16 kerusi DUN Kedah diikuti BN dengan 14, PKR 3 dan DAP (1) dan dua wakil rakyat Bebas, yang sebelum ini merupakan anggota DUN PKR.

Ahmad Bashah, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, berkata persiapan jentera pilihan raya negeri telah digerakkan sejak bulan lepas dan bilik gerakan bagi peti-peti undi akan dibuka bulan depan.

Beliau turut mensasarkan untuk menarik lebih 100,000 pengundi baru menyertai Umno dan sekarang ini lebih 30,000 pengundi baru telah mendaftar sebagai ahli parti.

Sementara itu, Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Maznah Abdul Hamid, berkata sayap itu telah melaksanakan strategi dari rumah ke rumah bagi menarik lebih ramai pengundi menyokong BN.

"Jadi kami lebih rapat dengan pengundi dan sasaran kami ialah setiap ketua cawangan perlu mendapatkan seorang pengundi baru setiap minggu," katanya.

Beliau berkata strategi mereka itu akan memberi kesan yang lebih untuk PRU-13 berbanding PRU yang lepas pada 2008.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...