Saturday, April 24, 2010

Benda lucu setiap kali pilihan raya

Abd Jalil Ali

Setiap kali ada pilihan raya kecil, kita melihat beberapa kelucuan. Adat orang berkempen, terutama dalam pilihan raya kecil, kalau boleh hendak didedahkan apa sahaja keburukan calon atau parti lawan – termasuk hal-hal dalam kain, dalam kelambu, hatta dalam seluar dalam – yang bersifat amat peribadi.

Walaupun peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan serangan peribadi ke atas mana-mana calon, pentas ceramah sepanjang kempen akan dihangatkan dengan sindiran, cemuhan dan maki-hamun terhadap batang tubuh calon.

Malah, sebahagian besar yang datang mendengar ceramah memang mengharapkan ada benda-benda dalam kain yang akan disingkap dan didedahkan. Mereka akan bertepuk tangan, bersorak, dan menjerit berapi-api. Soal betul atau tidak apa yang didedahkan, itu belakang kira!

Kalau kita perhatikan serangan demi serangan dalam kempen, kita melihat satu drama yang amat lucu. Setiap pihak mahu menuduh lawannya tidak betul, padahal pihak yang menuduh tahu dia sendiri pun tidak betul. Mengata dulang paku serpih, mengata orang sendiri yang lebih. Pilihan raya memang penuh kelucuan.

Di Hulu Selangor sejak hari penamaan calon minggu lalu, Datuk Zaid Ibrahim diserang secara peribadi habis-habisan. Semua perangai-perangai tidak baik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjadi perencah yang digoreng dalam kebanyakan ceramah semasa kempen BN.

Calon PKR itu dikatakan berfikiran liberal, tidak berjiwa Melayu, kaki judi, kaki botol. Walaupun telah dinafikan dan dijelaskan oleh Zaid, benda-benda itu terus dibangkitkan dalam ceramah BN. Apabila Zaid kata dia telah bertaubat dan tidak minum lagi, ada pula yang menghujah apakah taubat Zaid diterima?

Arak dijadikan isu untuk menggambarkan calon PKR itu bukan orang baik. Memang, minum arak ditegah dalam Islam. Orang Melayu yang minum arak boleh dianggap tidak bermoral. Tetapi, ada sekian banyak orang dalam UMNO yang juga pernah – dan sesetengahnya masih – minum arak. Kalau tidak dibangkitkan oleh Lim Kit Siang dalam Parlimen pun orang boleh tahu siapa antara pemimpin UMNO yang kaki botol. Ertinya bukan Zaid seorang yang pernah minum arak.

Sama juga halnya dengan skandal. Ada risalah yang ditaburkan sepanjang tempoh kempen di Hulu Selangor, menunjukkan gambar Exco Selangor, Elizabeth Wong dalam pos yang agak mengghairahkan, di atas sofa dengan tubuh sedikit terbuka. Gambar itu pernah membangkitkan kontroversi kira-kira setahun lalu.

Risalah bergambar Elizabeth itu bertujuan memberitahu pengundi bahawa parti yang diwakili Zaid adalah tidak bersih sebab mengandungi orang yang berskandal seperti Elizabeth. Exco itu dulu telah mengakui beliau memang ada hubungan intim dengan seorang pemuda Melayu. Dalam pilihan raya kisah-kisah lama itu boleh dihidupkan semula untuk membangkitkan ‘ummph’ kempen.

Pada hal kalau hendak sebut skandal, apa bezanya Elizabeth dengan skandal orang lain dalam parti komponen BN? Apakah video seks Datuk Seri Dr Chua Soi Lek tidak lebih teruk daripada gambar Elizabeth di atas sofa itu?

Rakyat Malaysia yang melihat video itu boleh berpeluh dingin sambil menelan liur. Sama seperti Exco Selangor, bekas Menteri Kesihatan yang kini Presiden MCA itu juga pernah mengaku bahawa beliau ialah lelaki dalam video seks itu.

Apakah skandal hanya menjadi satu yang menjijikkan apabila dilakukan oleh Elizabeth, tetapi dianggap sebagai biasa sahaja jika yang melakukannya adalah seorang bekas menteri? Pilihan raya atau tidak, seks tetap seks! Orang PKR pun boleh mengedarkan risalah mengandungi gambar lucah pemimpin BN.

Satu lagi kelucuan yang biasa terjadi setiap kali pilihan raya ialah pada hari penamaan calon ada ramai yang datang untuk turut bertanding atas tiket bebas. Parti mendapati mereka tidak layak untuk dicalonkan tetapi mereka pula merasakan sudah cukup kuat untuk bertanding, kalau tidak menang pun boleh kacau undi.

Lucunya ialah apabila telah diisytiharkan sebagai calon, mereka mengumumkan pula untuk menarik diri. Biasalah, kalau tidak ditanya wartawan pun orang-orang ini akan berkata benda yang sama: “Saya menarik diri atas kerelaan, tanpa sebarang desakan daripada mana-mana pihak.” Dan diikuti satu lagi kenyataan stereotaip yang paling lucu: “Saya tidak dibeli, dan tidak menerima apa-apa habuan!” Kenapa perlu sebut itu?

Ada lagi kenyataan yang amat biasa setiap kali pilihan raya, termasuk di Hulu Selangor. Kata-kata dengan wajah sempoi di depan kamera TV itu lebih kurang begini bunyinya: “Saya telah bosan dengan pucuk pimpinan parti. Saya tidak sanggup lagi untuk digula-gulakan oleh pemimpin yang hanya mementingkan peribadi!”

Itu adalah kata-kata stereotaip lagi lucu daripada mereka yang meninggalkan setiap kali ada pilihan raya. Mereka sengaja memilih keluar parti musim pilihan raya, sebab pasti gambar boleh masuk TV dan surat khabar. Boleh popular sekelip mata, walaupun hanya sementara. Kerap juga mereka mengulangi kata-kata keramat yang stereotaip itu: “Saya tidak dibeli!”

Umno maki saya, Tok Guru nasihat bersabar - Zaid

HULU SELANGOR, 24 April: "Saya dicerca dan dimaki oleh Umno, Tok Guru (Nik Aziz) dua kali telefon saya dan menasihati saya, bersabar, bersabar, bersabar dan kita berdoa," kata calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa terharu atas sokongan moral yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

"Saya amat gembira sekali, saya berasakan begitu terharu dengan sokongan Tok Guru," ujarnya lagi sambil memandang muka Nik Aziz pada sidang media di Rumah Rehat Daerah Kuala Kubu Baru, malam tadi.

Bercakap pada sidang media itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta seluruh pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor mengundi calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, esok sebagai menolak politik perkauman Umno/BN.

Dengan menolak politik perkauman sebagaimana yang dituntut dalam Islam, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, manusia tidak akan menghadapi masalah walaupun mereka terdiri oleh pelbagai bangsa.

"Dalam Islam menyebut, semua manusia berasal daripada seorang bapa dan seorang ibu, bapa namanya Adam, ibu namanya Hawa, bila saya sebut tentang bangsa manusia, maka tidak timbul masalah bangsa," jelas beliau.

"Daripada Adam dan Hawa inilah lahirnya anak cucu, bertaburan di seluruh dunia, ada yang jadi Arab, ada yang jadi Melayu, ada yang jadi Cina, ada yang jadi Australia dan ada yang jadi Afrika, sebab itulah tak timbul masalah bangsa."

Bertitik tolak atas asas menolak politik perkauman tersebut, beliau menjelaskan tujuan beliau turun berkampung di Hulu Selangor sehingga selesai tempoh berkempen, hari ini.

"Saya datang sini untuk berkempen Pakatan Rakyat. Saya datang bukan dengan nama bangsa Melayu, saya datang dengan nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

"Insya Allah, saya harap demo (kamu) semua boleh mengundi Pakatan dan Datuk Zaid," jelas beliau lagi.

Ditanya tentang politik adu domba menyerang peribadi Zaid, Nik Aziz menganggap Umno/BN mengamalkan politik budak-budak yang bersifat bodoh.

"Ini kerja budak-budak, dia (Umno/BN) tak boleh lawan hujah (maka) dia serang peribadi (Zaid). Ini suatu perkara yang memalukan, memalukan politik Malaysia.

"Macam budak-budak kecillah, kalau boleh bertumbuk, dia akan bertumbuk. Kalau tak boleh tumbuk, dia lari mencebik (menjelir lidah). Itu semata-mata nak lepaskan," ujarnya.

Gambar Beng Hock 'menghantui' SPR

Kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor yang berlangsung ini agak rancak dengan karenah pelbagai pihak yang menggantung pelbagi poster yang mencuri tumpuan.

Antaranya, sehelai kain rentang gergasi yang memaparkan gambar bekas setiausaha politik seorang exco kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock yang didapati mati ketika berada dalam tahanan semasa siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM).

Kain rentang berukuran 22 X 12 khaki itu memaparkan gambar Teoh yang tersenyum dengan tertera perkataan “Keadilan untuk Beng Hock” dan diletakkan di jalan utama menuju Batang kali.

Selain itu, ia juga tertera perkataan Cina yang menggesa supaya mereka yang mengakibatkan kematiannya dihukum.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga mengadakan satu upacara perkabungan ringkas dengan lebih 50 orang terbabit memberikan penghormatan kepada Beng Hock mengikut tradisi kepercayaan Cina.

Kenderaan yang lalu lalang kemudiannya kelihatan membunyikan hon mereka sebagai menyokong usaha mencari keadilan untuk Beng Hock.

Bagaimanapun kehadiran kain rentang gergasi itu tidak disenangi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mengarahkannya diturunkan.

Sekumpulan petugas SPR yang diketuai oleh Saiful Rizza mengarahkan kain itu diturunkan.

Kumpulan berkenaan kemudiannya menuntut penjelasan mengenai arahan itu.

Saiful Rizza memberitahu beliau mendapat arahan rasmi daripada Pegawai Daerah, Nor Hisham Ahmad Dahlan untuk menurunkan gambar berkenaan.

Ketua penerangan pemuda PKR, Lee Khai Loon berkata beliau tidak faham mengapa kain rentang itu tidak dibenarkan sedangkan ia, kain rentang yang sama digunakan semasa pengkebumian Beng Hock.

Mereka kemudian meminta untuk bercakap dengan Nor Hisham untuk mendapatkan pengesahan sendiri tetapi Saiful gagal memberikan nombor telefon pegawai daerah berkenaan.

Penduduk bagaimanapun akur dan menurunkan kain itu.

Suasana tiba-tiba menjadi kecoh apabila rakan-rakan Saiful bertindak mahu merampas kain rentang gergasi yang sedang dilipat oleh beberapa penduduk tempatan terbabit.

Melihat kejadian itu, Khai Loon sekali lagi tampil mempersoal kewajaran mereka mahu merampas gambar Beng Hock.

“Mengapa takut dengan gambar Beng Hock? Kawan saya ini sudah mati dibunuh.”

“Kenapa perlu takut dengannya? ” beliau bertanya sambil diperhatikan oleh sekumpulan anggota polis yang turut berada di lokasi berkenaan.

Saiful menjelaskan kain rentang itu ada unsur-unsur provokasi serta ia tiada kaitan dengan calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, iaitu Datuk Zaid Ibrahim dari Pakatan Rakyat dan P Kamalanathan yang mewakili BN.

Khai Loon yang tidak berpuas hati berkata mereka bukan berkempen tetapi hanya tidak mahu Beng Hock dilupakan, lagipun gambar mendiang Beng Hock hanya satu saja yang dinaikkan.

Hujahnya lagi, gambar Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh didapati di sepanjang jalan di Hulu Selangor, walaupun kedua-dua pemimpin BN itu tidak bertanding di kerusi parlimen berkenaan.

Saiful bersama empat pegawai yang lain kemudiannya membatalkan niat mereka untuk merampas kain rentang gergasi tersebut dan meninggalkan tempat kejadian.

Menurut seorang penduduk, Yap Ah Peng, 56 yang turut cuba menghalang kain rentang itu diturunkan tidak ada sebab pihak berkuasa perlu gusar dengan kehadiran sehelai kain.

“Ini orang Cina punya agama, kalau satu orang sudah mati, dia punya semangat tidak boleh dikenang.”

“Maka, orang awam tidak boleh ganggu dia sebab itu kita sudah memberi amaran kepada dia supaya jangan turun gambar yang kita naikkan,” katanya.

Bagi seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ah San,g tulisan Cina pada gambar gergasi Beng Hock itu langsung tidak berunsur provokasi.

“Tulisan itu adalah 'Berilah keadilan kepada Teoh Beng Hock' dan 'Siapa dia pembunuh sebenar mendiang Teoh',” katanya ujarnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...