MANCHESTER, England - Pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol David mengkritik cadangan Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) untuk menukar format sistem mata kepada permainan rali yang dijangka dipersetujui esok.
WSF bercadang menyelaraskan sistem mata dengan semua pemain perlu beraksi sehingga 11 mata secara rali dengan alasan ia akan memudahkan skuasy difahami, selain mengukuhkan kedudukan sukan itu bagi mendapat tempat di Sukan Olimpik.
Menerusi format baru ini, pemain boleh memperoleh mata sekalipun servis dipegang lawan dengan perlawanan akan berlanjutan ke mata ke-11.
Dalam format biasa, hanya pemain yang memegang servis boleh mengutip mata dan permainan akan berakhir pada mata ketujuh.
Nicol, 25, percaya WSF melakukan satu kesilapan besar sekiranya tradisi format mata yang telah digunakan sejak 80 tahun lalu, diubah.
Ketika ditanya apakah perubahan itu akan mengundang risiko perlawanan berlangsung dengan terlalu singkat, Nicol membalas: "Ya, sudah tentu.
"Skuasy adalah permainan tentang bagaimana anda hendak bangkit selepas ketinggalan dan inti pati mata asal adalah ia tidak akan berakhir sehingga ia tamat.''
Menurut Nicol lagi, dengan mempraktikkan sistem Amerika (permainan rali) semangat kebangkitan dan pertarungan juga akan semakin berkurangan, sekali gus menjadikan perlawanan tidak lagi menarik.
"Saya harap ia tidak perlu diubah seperti itu,'' tegas juara dunia dua kali itu.
Nicol yang menjadi pilihan utama untuk merangkul kejuaraan dunia di Manchester, minggu depan turut meragui kesan perubahan sistem mata rali kepada permainan profesional wanita.
Sistem berkenaan dijangka digunakan dalam Kejohanan Jelajah WISPA (Persatuan Pemain Skuasy Wanita Antarabangsa) pada Julai tahun depan, iaitu mengguna pakai sistem yang digunakan Persatuan Skuasy Profesional (lelaki) yang diperkenalkan kali pertama pada Kejohanan Dunia di sini.
"Ia adalah satu perubahan besar. Selepas kedudukan skuasy wanita sudah begitu kukuh dengan sistem mata asal, anda menukarnya kepada sistem Amerika. Ia akan memberi kesukaran kepada kebanyakan pemain wanita untuk menyesuaikan diri.
"Bagaimanapun pada akhirnya, anda terpaksa juga berdepan dengan perubahan yang dilakukan. Harap kualiti yang kami pamerkan dalam sistem sembilan mata akan dapat diteruskan dalam format mata Amerika,'' katanya.
Sementara itu, penyandang juara dunia, Rachael Grinham juga tidak pasti apakah kesan yang akan dibawa sistem baru ini kepada arena skuasy profesional wanita.
"Pada awalnya saya tidak suka dengan perubahan tetapi saya faham kalau ia tidak dapat dielakkan, jadi saya cuba menerimanya secara positif.
"Saya setuju ia menjadikan perlawanan lebih menarik untuk penonton kerana ia boleh menjadikan perlawanan lebih rapat tetapi secara keseluruhan saya tidak fikir ia akan menjadikan skuasy lebih menarik,'' kata pemain Australia itu.
Ketua Eksekutif Jelajah WISPA, Andrew Shelley mengkritik penyelarasan sistem rali dalam semua kejohanan skuasy, namun beliau mengakui ia baik untuk skuasy wanita.
"Kita menghabiskan masa 16 bulan untuk mengujinya dan kita tahu ia mungkin menjejaskan pemain tertentu. Kalau seseorang pemain itu sudah selesa dan lama menakluki saingan dengan sistem biasa, sudah tentu sukar untuk dia menyesuaikan diri dengan format baru.
"Ia menjadikan perlawanan sangat rapat dan menjadikan ia lebih mendebarkan, jadi secara keseluruhan saya rasa ia bagus. Cuma saya tidak setuju kalau sistem mata itu digunakan untuk semua jenis kejohanan,'' kata Shelley.
- AFP