Tuesday, April 14, 2009

Ahmad Said tak tahu puncanya... - MalaysiaKini

Apr 14, 09 3:02pm

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata beliau tidak tahu punca 10 ADUN BN negeri itu tidak menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Katanya, beliau juga tidak mengetahui bahawa tiga daripada ADUN berkenaan telah menerima SMS ugutan yang mengancam nyawa mereka, malam tadi.

"Saya baru balik dari Kemaman kira-kira jam 2.30 pagi tadi. Saya tidak tahu perkara sebenar berhubung SMS dan tindakan 10 ADUN yang tidak menghadiri sidang Dewan hari ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sidang DUN berhenti rehat tengah hari tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan 10 ADUN BN yang enggan menghadiri hari kedua sidang DUN hari ini kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam, lapor Bernama.

Tindakan kesemua Adun BN itu dipercayai mempunyai kaitan dengan SMS ugutan yang diterima oleh tiga wakil rakyat BN iaitu Permaisuri, Paka dan Ajil malam tadi berhubung kemelut politik di negeri ini.

Sepuluh wakil rakyat yang tidak menghadiri sidang Dewan itu ialah Adun Tepuh, Muhammad Ramli Nuh, Mohd Zawawi Ismail (Kuala Berang), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri), Datuk Din Adam (Bukit Besi), Datuk Rosol Wahid (Ajil), Alias Abdullah (Alor Limbat), Zakaria Abdullah (Paka), Ramlan Ali (Jabi), Datuk Seri Idris Jusoh (Jertih) dan Mohd Pehimi Yusof (Kota Putera).

Ahmad berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan wakil rakyat BN itu dan tidak akan menghubungi mereka bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

"Tidak hadir Dewan perkara biasalah bagi orang politik...saya tidak akan memujuk mereka supaya datang (esok)," katanya yang banyak mengelak soalan daripada wartawan.

Ditanya mengenai pegawai kanan kerajaan negeri yang dikaitkan dengan penghantaran SMS itu, Ahmad menyerahkan perkara itu kepada polis untuk mengambil

tindakan selanjutnya kerana tiga Adun berkenaan telah membuat laporan mengenai perkara itu.

Sidang DUN Terengganu yang berlangsung selama tiga hari, akan berakhir esok.

Kerajaan akan jelas isu Kementerian Pembangunan Usahawan -mStar Online

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MECD) yang tidak lagi wujud ekoran pembentukan Kabinet baru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tunggulah," katanya kepada pemberita selepas beliau menyerahkan tugas sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada penggantinya Datuk Mustapa Mohamed semalam.

Semasa mengumumkan barisan Kabinet barunya pada Khamis lepas, Najib tidak menyebut mengenai MECD dalam senarai kementerian di bawah pentadbirannya, dan kemudian mengeluarkan kenyataan bagi menjelaskan bahawa semua agensi di bawah MECD disusun semula dan diserapkan ke beberapa kementerian lain.

Berikutan itu, terdapat laporan kebimbangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan seperti Badan Bertindak Perpaduan Melayu dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia mengenai nasib usahawan Bumiputera memandangkan tidak ada lagi sebuah kementerian yang khusus bagi menjaga kepentingan mereka.

Terdapat 11 agensi sebelum ini diletakkan di bawah MECD, yang termasuk Mara, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun), Bank Pembangunan, Bank Rakyat, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA).

Mengenai Umno, Muhyiddin berkata sama ada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri dilantik daripada kalangan Menteri Besar akan diputuskan oleh Najib selaku Presiden parti.

"Kalau ikut sejarahnya kadangkadang begitu (menteri besar jadi pengerusi), kadang-kadang tidak begitu. Jadi kita akan lihat situasi di setiap negeri," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said bahawa Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri lebih layak diberikan kepada Menteri Besar.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata pucuk pimpinan kadang-kadang perlu mendapatkan pandangan pemimpin Umno di peringkat bahagian dan negeri.

Lapan Adun boikot, paksa MB letak jawatan - Harakah Daily

Harakahdaily
Tue | Apr 14, 09 | 11:39:40 am MYT

KUALA TERENGGANU, 14 April (Hrkh) - Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) memulaukan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini yang bersidang buat hari kedua bagi memaksa Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said meletakkan jawatan.

Menurut sebuah akhbar online kesemua lapan wakil rakyat berkenaan kini berhimpun di sebuah hotel utama di sini dan dijangka mengadakan sidang media kemudian.

Tindakan mengejutkan mereka itu berlaku ketika ada kenyataan sebelum ini bahawa tidak akan ada undi tidak percaya meminta Ahmad, yang dilantik sebagai Menteri Besar Mac 2008, agar meletakkan jawatan.

Tengah malam tadi pula tiga Adun BN Terengganu membuat laporan polis setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan, dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.

Adun Paka, Zakaria Abdullah dan Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 12.40 tengah malam manakala Adun Ajil, Dato' Rosol Wahid pula membuat laporan sama di IPD Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira 12.30 tengah malam.

Sabtu lalu, Ahmad berkata mana-mana Adun BN yang mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau bakal berdepan tindakan disiplin termasuk dipecat.

Persidangan Dewan Undangan Negeri selama tiga hari bermula semalam dengan dirasmikan oleh Yang Dipertua Majlis Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman.

Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri serta Adun Kijal berkata, mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap seorang menteri besar dalam persidangan dewan adalah satu perkara serius.

"Jika usul itu datang dari pihak pembangkang, kami di dalam kerajaan akan menolaknya. Jika ia dikemukakan oleh wakil BN, dia akan dipecat, itu biasalah.

"Kalau mendapat sokongan, bubar dewan itu sahaja. Kita terpaksa menerimanya kalau dia nak buat..apa nak kata," katanya. - azm _

10 ADUN BN Terengganu tak hadir sidang Dewan - Utusan

14/04/2009 12:00pm

KUALA TERENGGANU 14 April – Sebanyak 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) enggan menghadiri hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini kerana mendakwa keselamatan diri mereka terancam.

Tindakan tersebut dibuat selepas tiga daripada mereka menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan berhubung desas-desus undi tidak percaya terhadap Menteri Besar. - Utusan

Tiga ADUN buat laporan polis terima SMS ugutan - Utusan

14/04/2009 10:33am

KUALA TERENGGANU 14 April — Tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Terengganu membuat laporan polis malam tadi setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) berbentuk ugutan, dipercayai berhubung kemelut politik di negeri ini.

Adun Paka, Zakaria Abdullah dan Adun Permaisuri, Abdul Halim Jusoh membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu kira-kira 12.40 tengah malam manakala Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid pula membuat laporan sama di IPD Hulu Terengganu di Kuala Berang kira-kira 12.30 tengah malam.

Ketika ditemui pemberita di IPD Kuala Terengganu, Abdul Halim berkata mereka menerima SMS tersebut kira-kira 11.20 malam daripada individu yang mereka kenali selepas membuat semakan nombor telefon pada diari rasmi kerajaan negeri.

Dalam SMS itu, katanya individu berkenaan memberi amaran supaya mereka tidak meneruskan niat masing-masing, yang dipercayai merujuk kepada isu pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Ahmad Said pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang memasuki hari kedua, hari ini.

“Sebagai seorang pegawai kanan kerajaan negeri, dia tidak boleh ugut sesiapa pun, apatah lagi saya sebagai wakil rakyat. Nyawa orang tidak boleh nak ugut, saya tidak pasti kenapa saya menjadi sasaran,” katanya.

Abdul Halim berkata pegawai kanan kerajaan negeri itu telah menghantar SMS berbunyi “baik jangan teruskan niat YB, YB tak sayang nyawa?.

“Saya tidak pasti berapa orang menerima SMS seumpama ini. Yang saya tahu, setakat ini tiga orang (Adun) yang menerima SMS berbentuk ugutan ini.

“Dengan keadaan ini, saya tidak akan hadir sidang DUN kalau tiada jaminan keselamatan esok (hari ini). Saya merasa amat terancam, saya sebagai Adun selalu jalan ke mana-mana tidak kira siang atau pun malam. Jadi apabila menerima SMS seperti ini, saya berasa takut,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Menteri Besar, Abdul Halim berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana sudah pun membuat laporan polis.

Sebelum ini, dalam laporan sebuah akhbar, Menteri Besar memberi amaran keras untuk mengambil tindakan disiplin termasuk memecat Adun BN sekiranya usul undi tidak percaya terhadap beliau dikemukakan pada sidang DUN.

Tragedi bas ekspres - Utusan


REMUK... Bahagian depan bas AB Ekspress remuk setelah merempuh pembahagi lebuh raya di Kilometer 443 Rawang menghala ke Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN / Izham Jaafar


RAWANG 13 April – Walaupun pelbagai langkah dan tindakan telah diambil, namun kemalangan maut membabitkan kenderaan awam terus berlaku.

Awal pagi ini enam terbunuh dalam kemalangan yang melibatkan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 443, Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Rawang.

Kejadian itu menimbulkan persoalan mengenai tahap penguatkuasaan peraturan jalan raya di negara ini sekali gus mengabaikan keselamatan penumpang kenderaan awam.

Dalam kes terbaru, kedua-dua pemandu yang bertanggungjawab menjaga nyawa 33 penumpang sepanjang perjalanan dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur itu mempunyai kesalahan lalu lintas yang serius.

Siasatan awal polis trafik mendapati pemandu kedua yang memandu ketika kemalangan memiliki lapan saman - kesemuanya atas kesalahan memandu laju sejak 2002.

Manakala pemandu pertama, antara mangsa yang terbunuh, mempunyai enam saman dan lima waran tangkap atas kesalahan yang sama.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof.

Kemalangan ngeri pukul 5 pagi ketika sebahagian besar mangsa sedang lena itu meragut nyawa lima penumpang bas berkenaan selain pemandu pertamanya turut terkorban.

Sementara pemandu kedua, Fauzi Mohamad, 30-an yang memandu bas dua tingkat berkenaan semasa kejadian dan seorang penumpang wanita cedera.

Kesemua penumpang yang terbunuh berada di tingkat bawah bas iaitu Muhamad Ismail, 27, dari Kampung Lubuk Batu, Jitra, Kedah; Mohamad Fauzi Awang, 44, dari Kampung Siam, Alor Setar dan Md. Zaher Mohamad, 33, dari Kodiang, Kedah.

Dua lagi penumpang ialah Mohd Yusril Zakaria, 27, dari Kuala Muda, Kedah; C. Magenthiran, 26, dari Klang, Selangor dan pemandu pertama bas tersebut, Zulkhibri Md. Saad, 35, dari Kubang Ulu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang ketika kejadian sedang tidur di belakang tempat duduk pemandu.

Kejadian berlaku ketika bas ekspres milik AB Express itu dalam perjalanan dari Changlun, Kedah, menghala ke ibu negara.

Abdul Aziz berkata, semasa tiba di lokasi tersebut, bas itu dipercayai hilang kawalan lalu merempuh pembahagi lebuh raya di sebelah kanan mengakibatkan sebahagian daripada besi penghadang sepanjang 60 meter itu terperosok memasuki tingkat bawah bas itu.

Tambahnya, bas berkenaan kemudian hilang kawalan sebelum terbalik ke kiri lebuh raya sejauh 20 meter dari lokasi rempuhan tersebut.

“Salah seorang daripada penumpang yang maut turut tercampak ke laluan bertentangan akibat rempuhan kuat. Kita percaya bas itu dipandu laju sehingga gagal dikawal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.

Difahamkan, sebahagian mangsa terbunuh dalam kemalangan itu disebabkan tertusuk sebahagian besi penghadang yang memasuki ‘perut’ bas berkenaan.

Abdul Aziz berkata, kesemua mangsa yang terbunuh dan cedera telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi bedah siasat dan rawatan lanjut.

Sementara itu, operasi menyelamatkan mangsa melibatkan kira-kira 80 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk pasukan polis, bomba dan penyelamat serta peronda PLUS Expressway Berhad.

Tambah Abdul Aziz, pihaknya kini menahan pemandu kedua bas ekspres terbabit yang masih dirawat di hospital untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Penolong Penguasa Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Zahinor Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.10 pagi dan tiba di tempat kejadian 20 minit kemudian.

Beliau memberitahu, seramai 22 anggota dan empat pegawai beserta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rawang, Kuala Kubu Bahru dan Batu Arang bergegas ke tempat kejadian.

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh lima kilometer dari tempat kejadian berikutan hanya satu lorong boleh digunakan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...