Saturday, April 17, 2010

Penyanyi Achik Spin Maut Dalam Kemalangan

SEREMBAN, 17 April -- Penyanyi Achik Spin atau nama sebenarnya Abdillah Murad Md. Shari, 27, meninggal dunia dalam kemalangan ngeri di KM 14.7 Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) dekat sini, Sabtu petang.

Pegawai Turut Trafik negeri ASP Abd Halil Hamzah berkata kejadian berlaku pukul 6.15 petang apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki penyanyi itu bersama seorang rakan lelaki yang belum dikenali dikatakan terbabas dan melanggar papan tanda.

"Achik meninggal dunia di tempat kejadian selepas kenderaan yang dipandunya itu melanggar papan tanda selepas melepasi kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dekat susur keluar ke Pajam.

"Difahamkan kenderaan yang dipandunya itu dalam perjalanan balik ke Seremban bersama seorang rakan selepas menyertai sebuah rancangan di RTM, Kuala Lumpur," katanya di sini.

Katanya Achik meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian anggota badan.

Allahyarham dikatakan tercampak keluar dari kenderaan, yang kemudiannya terbakar dan meletup.

Mayat Achik dan rakannya yang cedera telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

Sementara itu Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat dari Mantin, Hamizin Khaidir berkata, penyanyi berkenaan tercampak keluar dari MPV dan orang ramai cuba menyelamatkannya sebelum dia meninggal dunia.

Achik merupakan penyanyi utama kumpulan Spin yang popular sekitar tahun 2002.

Penyanyi yang popular dengan lagu Janji Kita itu telah mendirikan rumahtangga dengan bekas Pegawai Khidmat Pelanggan Astro, H.M. Rose Zaitul Suriani Wati Maarof pada Nov 2005.

Mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Puteri Rania pada 2007 tetapi meninggal dunia ketika berusia dua bulan akibat demam panas dan masalah usus dalam perut.

-- BERNAMA

MPV terbabas, terbakar: Achik Spin maut nahas ngeri

SEREMBAN 17 April – Artis terkenal yang juga vokalis kumpulan Spin, Abdillah Murad Md. Shari atau lebih dikenali sebagai Achik Spin, 28, meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri di KM 14 Lebuh Raya Kajang Seremban Sdn. Bhd. (Lekas) dekat sini petang ini.

Allahyarham, yang berada di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabas dan terbakar, meninggal dunia di tempat kejadian.

Pada masa ini, polis dan anggota bomba masih lagi berada di lokasi nahas dan difahamkan mayat Allahyarham akan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar di sini malam ini.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Polis (ASP) Abd. Halil Abd. Hamzah mengesahkan kejadian tersebut. – Utusan

Mugilan dakwa ditawar wang, tanah kempen untuk PKR

Timbalan ketua Pemuda MIC pusat, V Mugilan mendakwa telah ditawarkan wang dan tanah untuk berkempen bagi PKR setelah namanya 'digugurkan' daripada dicalonkan untuk pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Beliau yang juga ketua Pemuda MIC Hulu Selangor mendakwa tawaran tersebut dibuat oleh seseorang yang "cukup besar".

Beliau bagaimanapun enggan menamakan individu berkenaan, yang menurutnya membuat tawaran tersebut melalui satu panggilan telefon.

Bercakap dalam satu sidang media di Batang Kali, Hulu Selangor hari ini, Mugilan berkata beliau bagaimanapun tidak membuat laporan polis berhubung tawaran kepadanya semalam.

"Sebab saya tidak beri komitmen kepada tawaran itu," kata beliau yang juga berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga telah menelefon beliau semalam untuk "memujuknya."

"Semalam dia telefon saya suruh saya bersabar," kata Mugilan yang juga mendakwa namanya telah "dipropaganda" pihak tertentu yang mengatakan beliau telah melobi untuk menjadi calon.

Katanya, beliau juga tidak bertindak "menghalang" Datuk G Palanivel, yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon BN.

Tambahnya, beliau juga tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tidak sepatutnya dikenakan sebarang tindakan.

"Ini bukan parti sendirian berhad," kata Mugilan dan menjelaskan bahawa pemimpin parti tidak seharusnya bertindak mengenakan tindakan sewenang-wenangnya.

"Saya tidak tahu siapa yang buat (dakwaan). Mungkin pembangkang atau mungkin dari dalam parti sendiri," katanya.

Tambahnya, beliau akan tetap beri sokongan kepada BN "kerana PM dan TPM adalah orang baik" dan akan membantu P Kamalanathan dengan memperkenalkan calon parti itu kepada pengundi.

"Ada yang kata saya bawa Tengku Adnan (Mansor) untuk lobi kepada PM. Saya tidak melakukan lobi kepada sesiapa. Sila tanya PM adakah saya lobi kepada beliau?," soalnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...