Wednesday, March 31, 2010

Din Beramboi kini stabil

KUALA LUMPUR 31 Mac - Pelawak dan penyampai radio popular, Din Beramboi atau nama sebenarnya Mior Ahmad Fuad Mior Badri kini berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Selayang semalam.

Sambil menyangkal laporan media yang menyatakan bapanya koma, anak sulung pelawak itu Nil Aina Hadibah, 18, berkata kesihatan bapanya semakin baik berbanding semalam.

"Hari ini keadaan papa dah stabil. Memang semalam dia kritikal, tetapi dia tidak koma seperti yang dilaporkan akhbar. Dia cuma ”ditidurkan” oleh doktor sahaja bagi memudahkan proses rawatan,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Nil Aina berkata pihak hospital masih belum dapat mengenalpasti penyakit yang dihidapi bapanya namun dimasukkan ke ICU kerana disyaki menghidap demam denggi berdarah.

Katanya pihak hospital juga masih menjalankan rawatan susulan termasuk bagi mengesan sama ada pelawak itu yang dijangka dipindahkan ke wad biasa esok, mempunyai simptom dijangkiti virus kencing tikus.

Mengulas lanjut, Nil Aina berkata bapanya menunjukkan kurang tanda sihat pada hujung minggu lepas sebelum dibawa ke sebuah klinik swasta yang kemudian merujuknya ke Hospital Selayang pada Isnin lepas.

"Saya dan mummy turut demam sejak minggu lepas dan kemungkinan papa berjangkit dengan kami tetapi demam saya dengan mummy tidak seteruk mana.

"Memandangkan demam papa tak kebah, papa buat pemeriksaan ke klinik swasta di Rawang sebelum beliau dirujuk ke sini (Hospital Selayang),” katanya.

Selain menjadi pelawak dan penyampai radio, Din Beramboi, 44, juga adalah seorang kartunis dan pernah bergiat dalam bidang nyanyian.

Turut kelihatan melawat Din Beramboi di hospital hari ini ialah penyampai radio swasta terkenal, Linda Onn dan Halim Othman. - Bernama

Permohonan Pemangku Raja Kelantan - 5 April

Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, memfailkan saman bagi memohon perintah mahkamah bahawa pelantikan Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah, 25 Mac lalu sebagai Pemangku Raja Kelantan adalah tidak tidak sah dan terbatal.

Tengku Muhammad Faris memfailkan saman pemula itu pada 11 pagi semalam di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas di Kuala Lumpur, melalui peguam yang mewakili baginda, Zainur Zakaria.

Dalam saman itu baginda menamakan diri baginda sebagai plaintif pertama, Kerajaan Negeri Kelantan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, sebagai plaintif kedua dan ketiga manakala adinda baginda Tengku Muhammad Fakhry, Datuk Wan Hashim Wan Daud, yang mendakwa dirinya sebagai setiausaha sulit Sultan Kelantan, dan Tengku Abdul Aziz sebagai defendan.

Turut disertakan dengan saman itu ialah afidavit sokongan yang diikrarkan Tengku Muhammad Faris pada 27 Mac lalu dan juga perakuan segera oleh Zainur.

Rakyat gelisah dan keliru

Zainur dalam perakuan itu memohon mahkamah supaya menyegerakan perbicaraan kes itu atas alasan pergolakan yang berlaku di Kelantan akibat tindak tanduk oleh Wan Hashim yang menamatkan Tengku Muhammad Faris sebagai Pemangku Raja telah menimbulkan kekeliruan, ketidaktentuan dan kegelisahan kepada negeri dan rakyat Kelantan.

Katanya, sekiranya kes itu tidak disegerakan pendengarannya, pihak plaintif khuatir bahawa kemudaratan yang lebih serius akan dilakukan oleh Wan Hashim.

Mahkamah menetapkan 5 April ini untuk sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas, Datuk Aziah Ali.

Tengku Muhammad Faris dalam saman itu antara lain memohon deklarasi bahawa pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Pemangku Raja oleh Wan Hashim adalah tidak sah dan terbatal, dan deklarasi bahawa pengumuman oleh Wan Hashim dan Tengku Abdul Aziz mengenai penamatan baginda sebagai Pemangku Raja pada 24 Mac lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Baginda juga memohon deklarasi bahawa Wan Hashim tidak mempunyai sebarang kuasa dengan apa cara bentuk untuk mewakili atau bertindak bagi pihak Sultan Kelantan dalam urusan dan pelaksanaan tugas Sultan Kelantan dalam hal ehwal negeri itu.

Putera Raja Kelantan itu juga memohon perintah injunksi bagi menghalang Tengku Abdul Aziz daripada menrepresentasi atau mendakwa dirinya sebagai "Pemangku Raja" dan daripada mengganggu atau mencampuri tugas dan kuasa Pemangku Raja (Tengku Muhammad Faris) berkaitan urusan dan hal ehwal kerajaan negeri sehingga perintah mahkamah selanjutnya.

Baginda juga memohon perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan melalui wakil-wakil atau ejen-ejen mereka dalam bentuk apa cara sekali pun dari menrepresentasikan diri mereka mempunyai kuasa bagi mewakili atau bertindak bagi pihak Sultan Kelantan dalam hal ehwal kerajaan negeri sehingga perintah mahkamah selanjutnya.

Tengku Muhammad Faris memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan-defendan daripada mencampuri atau mengganggu pelaksanaan fungsi dan tugas kerajaan negeri Kelantan dan setiausaha kerajaan negeri dalam pentadbiran negeri, sehingga keputusan mahkamah.

Baginda juga memohon kos dan lain-lain relif oleh mahkamah.

Sultan masih gering

Antara alasan yang dikemukakan oleh Tengku Muhammad Faris dalam saman itu ialah baginda adalah Pemangku Raja Negeri Kelantan setelah dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan melalui pemasyhuran bertarikh 24 Mei 2009 kerana Sultan Kelantan gering dan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri.

Baginda berkata selaku Pemangku Raja, menurut undang-undang baginda mempunyai kuasa untuk menjalankan segala urusan berkenaan dan berkaitan hal ehwal negeri itu sehingga Sultan Kelantan disahkan oleh Majlis Perajaan telah sembuh dan boleh menyambung semula tugas sebagai Sultan.

Baginda berkata Sultan Kelantan masih gering dan tiada sebarang perisytiharan oleh Majlis Perajaan bahawa Sultan telah sembuh dan boleh menyambung semula tugasnya.

Pemangku Raja itu berkata tindakan defendan dengan mempresentasikan diri mereka mempunyai kuasa untuk mewakili Sultan Kelantan dalam urusan hal ehwal negeri telah melanggar dan mencabul kuasa baginda sebagai Pemangku Raja, selain menggugat dan menjejaskan pelaksanaan tugas baginda sebagai Pemangku Raja.

Tengku Muhammad Faris berkata, Tengku Abdul Aziz secara salah dan tidak sah mengisyhtiharkan, mengatakan atau mendakwa dirinya sebagai Pemangku Raja.
Baginda berkata tindak-tanduk Wan Hashim bukannya sahaja salah di sisi undang-undang malah ianya telah menimbulkan kegelisahan dan kekeliruan di kalangan orang ramai.

Tengku Muhammad Faris berkata sekiranya defendan-defendan tidak dihalang daripaa terus melakukan tindak tanduk yang bertentangan dengan undang-undang, ianya akan mempunyai impak yang serius kepada pentadbiran dan rakyat Kelantan.

Pakatan Rakyat serah Hulu S'gor kepada PKR

Pakatan Rakyat akan meletakkan calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan berunding terlebih dahulu dengan kepimpinan tertinggi Pas dan DAP sebelum menamakan calon itu dalam masa terdekat.

"Ia (pemilihan calon) masih terbuka...itu proses biasa dalam parti, kita kena dengar dari cabang negeri, masyarakat tempatan, kemudian kita bincang dengan rakan-rakan pimpinan PKR serta rujuk kepada pimpinan Pas, DAP dan kita bertanding itu atas nama Pakatan Rakyat," katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Parlimen di Kuala Lumpur hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Jumaat ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya Datuk Zainal Abidin Ahmad daripada PKR Khamis lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, Zainal Abidin menewaskan penyandang kerusi itu ketika itu, Datuk G Palanivel daripada Barisan Nasional dengan majoriti 198 undi.

Din Beramboi Koma

Din Beramboi Koma

PETALING JAYA: Pelawak dan penyampai radio ERA FM, Din Beramboi dimasukkan ke Hospital Selayang semalam dan keadaannya dilaporkan kritikal.

Bagaimanapun, pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki ketika dihubungi mStar Online memberitahu bahawa doktor masih lagi menunggu sehingga 24 jam bagi melihat perkembangan Din sama ada stabil atau tidak.

"Doktor mengesahkan Din telah terkena virus kencing tikus, namun masih lagi mencari punca air kencing tersebut dari mana, sama ada dari pemakanan, jangkitan ataupun secara langsung.

"Saya difahamkan ketika itu, Din sedang melakukan penggambaran untuk programnya bersama binatang di Zoo baru-baru ini.

"Saya juga difahamkan berlaku pendarahan dalaman dan buat masa ini dia masih lagi dalam keadaan koma dan kritikal," jelasnya.

Sementara itu, menurut jurucakap Airtime Management Programme (AMP), pihaknya masih belum dapat mengesahkan punca sebenar penyampai itu dikejarkan ke hospital.

"Kita akan memberitahu pihak media jika ada apa-apa perkembangan mengenai Din.

"Sama-sama kita doakan supaya beliau kembali sihat," katanya.

Begitu juga beberapa rakan DJ turut mengesahkan yang mereka juga menerima berita mengenai keadaan Din Beramboi.

Mereka menyatakan rasa terkejut dan sedih.

DJ Suria FM, Lin melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) menyatakan bahawa mereka semua berhasrat untuk menziarahi Din Beramboi di hospital hari ini.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...