PKR menyenarai pendek lima nama sebelum memutuskan calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor 25 April ini.
Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata setakat ini, jawatankuasa pilihan raya Pusat parti itu telah menerima 12 nama yang dicalonkan oleh peringkat akar umbi.
Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini, Fuziah yang juga anggota Parlimen Kuantan, berkata PKR tidak menetapkan faktor kaum sebagai antara kriteria sebaliknya memastikan calon yang akan dipilih mampu diterima baik oleh rakyat dan boleh berkhidmat kepada masyarakat tempatan.
Katanya pengumuman mengenai calon PKR itu akan dibuat pada satu ceramah pengenalan calon minggu hadapan.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak pada 25 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 April untuk penamaan calon.