Friday, July 11, 2008

PERALIHAN KUASA - Dr Mahathir

Petikan: Blog Che Det

Berkali-kali saya ditanya "saya orang biasa, saya hanya ahli biasa UMNO, saya hanya pemimpin kerdil UMNO dan sebagainya. Apa yang boleh saya buat?"

Selain daripada membuat komen dalam blog, kita boleh beritahu kepada ahli-ahli UMNO dan pemimpin cawangan dan bahagian UMNO, "Kami tak akan undi UMNO atau Barisan Nasional selagi ada Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam UMNO. BN akan kalah kerana undi kami undi penentu. Kekalahan UMNO akan lebih teruk kerana UMNO dan BN tidak lagi mewakili pandangan rakyat."

"Seperti yang berlaku kepada Menteri Besar Kedah, Perak dan Selangor, dan lain-lain pemimpin UMNO di Negeri-negeri ini, jawatan yang diharap Dato Seri Abdullah akan beri kepada kamu, tidak dapat diberi kerana UMNO dan BN kalah dan menjadi parti pembangkang."

"Demikian juga di peringkat pusat kerana tanpa undi kami yang kerdil, kamu akan kalah."

"Jika kamu boleh berfikir, fikirlah"

Ingatlah, untuk kalah atau menang undi penentu yang menentukan. Jumlah mereka tak perlu banyak. Hanya separuh daripada jumlah lebihan undi yang diperolehi 2008 untuk menang dalam sesuatu kawasan sudah memadai untuk menentukan kalah atau menang sesuatu calon.

Jangan anggap kerana yang berkata "ya" itu ramai maka kemenangan terjamin. Yang kata "ya" mungkin tidak akan undi calon parti. Yang tidak berkata "ya" pun sama. Jika semua mereka rosakkan undi atau undi parti lawan, jumlah undi parti lawan akan melebihi yang berkata "ya" dan undi parti BN.

UMNO dan BN yang tidak peduli pandangan ramai akan tersungkur.

Hanya UMNO dan BN yang mendokong kehendak dan kepentingan rakyat sahaja yang akan selamat.

Kehendak majoriti rakyat ialah untuk Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan. Renunglah. Fikirlah.

Yang mampu selamatkan UMNO dan BN bukan Dato Seri Abdullah.

Yang mampu dan boleh ialah undi penentu.

Dakwaan terhadap Anwar, Pemuda Keluar Umno sertai KeADILan

Petikan: Suara Keadilan Online

SEREMBAN, 11 Julai (SK)- Kira-kira 10,000 orang malam tadi menyaksikan pengistiharan S.Muliadi Sabtu, Naib Ketua Pemuda salah satu Cawangan Taman Widuri di Rembau keluar dari parti berkenaan dan menyertai KeADILan di Dataran Muhibbah, Kampung Ismail, Ampangan disini.

Dalam simbolik keluar Umno, beliau yang turut disaksikan oleh Ketua Umum Anwar Ibrahim, berkata tindakan untuk memfitnah Anwar kali kedua adalah konspirasi yang tidak dapat diterima rakyat.

Muliadi turut membuka baju Umno yang dipakai beliau, seterusnya mencapakan kad keahlian Umno dan baju beliau.

Seterusnya, beliau disarongkan baju Angkatan Muda KeADILan (AMK) oleh Anwar Ibrahim sebagai simbolik penyertaan beliau ke KeADILan.

Pemeriksaan Gigi Bagi Bayi Diwajibkan Di Semua Hospital, Klinik Kerajaan

11 Julai, 2008 21:00 PM

KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menjadikan pemeriksaan kesihatan gigi dan mulut terhadap bayi sejak mereka berusia setahun, sebagai sesuatu yang wajib di semua hospital dan klinik kerajaan, berkuatkuasa serta merta.

Menteri berkenaan Datuk Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan itu akan dilakukan apabila seseorang bayi dibawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan.

"Ia akan menjadi sebahagian daripada proses pemeriksaan. Kami mahu, apabila ibu bapa membawa anak mereka mendapatkan pemeriksaan perubatan setiap bulan, kanak-kanak itu juga akan menjalani pemeriksaan berkaitan kebersihan mulut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Persatuan Pergigian Paediatrik Asia keenam di sini hari ini.

Beliau berkata langkah itu juga sejajar dengan matlamat kementerian berkenaan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya penjagaan gigi dan mulut, yang kini meliputi kanak-kanak berusia bawah empat tahun.

"Kami percaya, penjagaan gigi perlu bermula seawal yang mungkin. Janganlah sampai gigi dah rosak baru nak selamatkan gigi tu," katanya.

Beliau berkata sejajar dengan keputusan itu, lebih banyak jururawat akan dilatih bagi menjalankan tugas berkenaan dan memberi penerangan yang diperlukan kepada ibu bapa.

Kementerian Kesihatan dengan kerjasama sektor swasta, katanya akan mengadakan kempen pergigian paediatrik di seluruh negara, terutama di pusat penjagaan kanak-kanak, taman didikan kanak-kanak dan pusat beli-belah bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa dan penjaga kanak-kanak tentang kesihatan gigi dan mulut.

Liow berkata kementerian juga akan melatih lebih banyak doktor gigi bagi meningkatkan nisbah doktor gigi:penduduk daripada 1:8000 pada masa ini kepada 1:4000 pada 2020. -- BERNAMA

Keputusan PM elak Umno berpecah

Petikan: Malaysia Kini

Muda Mohd Noor | Jul 11, 08 4:31pm

Beberapa pemimpin Umno bahagian menganggap peralihan kuasa dari Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak boleh menyelamatkan Umno daripada dilanda perpecahan.

Ketua Umno bahagian Jasin, Datuk Mohd Said Yusof berkata, dalam keadaan Umno bermasalah, sebarang pertandingan akan menyebabkan parti berpecah.

"Kalau presiden sendiri telah memilih penggantinya, kita sebagai ahli kena taat kepada keputusan tersebut. Ini budaya orang Melayu, kita tidak lawan ketua.

"Pengumuman awal itu juga boleh mengelak berakunya perpecahan di kalangan ahli," katanya ketika diminta mengulas keputusan Abdullah menyerahkan jawatan perdana menteri dan presiden Umno kepada Mohd Najib pada Jun 2010.

Abdullah mengumumkan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno dan memberi taklimat khas kepada ketua bahagian dari seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Sementara itu, ketua Umno bahagian padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin pula berkata, pelan peralihan kuasa tersebut memang baik.

Bagaimanapun, katanya, terserah kepada cawangan dan bahagian untuk menentukan kepimpinan parti.

Hak ahli memilih

Katanya, ahli Umno telah memberi kepercayaan kepada perdana menteri dan timbalannya semasa pilihanraya umum lalu, tetapi keputusannya tidak seperti yang diharapkan.

"Cara yang paling baik ialah membenarkan demokrasi berjalan dalam umno kerana ia akan menguatkan parti," katanya.

Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee juga bersetuju hanya ahli yang boleh menentukan kedudukan seseorang di dalam parti.

"Bagaimana kalau pilihan perdana menteri itu tidak digemari oleh ahli? Akan berjayakan pelan peralihan ini?," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus berkata, keputusan yang dibuat oleh kedua-dua pemimpin tertinggi itu sangat baik untuk parti dan negara.

Katanya, tindakan peralihan itu adalah untuk menjaga perpaduan parti terutama dalam keadaan di mana musim pemilihan parti hampir tiba.

"Saya berharap ahli-ahli Umno dapat menerima peralihan tersebut dan tidak lagi membuat desakan supaya Abdullah berundur," katanya.

'Puteri' kena talak dua


SAAT-SAAT bahagia pasangan suami isteri, Nora Danish dan Rizal Ashram
pada hari perkahwinan mereka pada 20 Jun 2006.


KUALA LUMPUR - "I ceraikan you talak dua yang membawa maksud talak kali kedua.''

Itulah kata-kata penamat hubungan suami isteri antara Rizal Ashram Ramli dengan pelakon jelita, Nora Danish di hadapan Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail semalam.

Talak yang dijatuhkan itu juga menamatkan spekulasi masalah rumah tangga pelakon tersebut yang sedang hamil tiga bulan.

Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 26, berkata demikian semasa perbicaraan permohonan pengesahan lafaz cerai luar mahkamah oleh Rizal, 38, pada tarikh tersebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Rizal yang memfailkan permohonan itu tiga minggu lalu dan Nora selaku defendan hadir memberi keterangan tanpa diwakili peguam.

Terdahulu, plaintif (Rizal) memberitahu dia melafazkan cerai tersebut tiga hari sebelum ulang tahun kedua perkahwinan mereka menerusi satu panggilan telefon yang dibuat kepada Nora atas alasan mereka tidak bersefahaman lagi.

Rizal yang kelihatan tenang mendakwa, lafaz itu dibuat pada pukul 3.30 petang ketika dia berada di pejabatnya di Sri Hartamas manakala Nora pula berada di rumah mereka di Jalan Rithcie, Ampang namun menafikan berlaku sebarang pergaduhan antara mereka sebelum itu.

"Lafaz cerai tersebut berbunyi, 'I ceraikan you' dan Nora tanya berapa talak, saya cakap sekali lagi, "I ceraikan you talak dua", yang membawa maksud talak kali kedua," kata ahli perniagaan itu ketika disoal di mahkamah.

Ditanya mengapa talak kali kedua, jelas Rizal, dia pernah melafazkan cerai terhadap Nora dengan lafaz: "I ceraikan you" pada Februari tahun ini setelah mereka bergaduh namun ia tidak didaftarkan kerana mereka rujuk kembali selang beberapa minggu kemudian atas nasihat seorang ustaz.

Berbalik kepada lafaz kali kedua, Rizal berkata, dia menelefon Nora pada waktu itu dengan niat untuk menceraikannya dan hasrat tersebut turut disuarakan kepada pelakon drama Puteri itu sehari sebelumnya dengan alasan dia telah tawar hati namun Nora hanya mendiamkan diri.

Setelah melafazkan cerai tersebut, dia mendakwa tidak pernah berjumpa dengan Nora sehinggalah di mahkamah semalam dan mereka hanya berhubung melalui telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS).

Sementara itu, Nora dalam keterangan balasnya pula menjelaskan, lafaz cerai kali pertama berlaku ketika dia di rumahnya manakala suaminya pula berada di rumah ibu bapanya di Ampang juga menerusi panggilan telefon.

Altantuya: Najib bersumpah depan pimpinan UMNO seluruh negara

Petikan: Agenda Daily


Wallahi Wabilahi Watallahi’ ... Begitulah lafaz sumpah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menafikan beliau pernah bertemu dan mengenali wanita Mongolia Altantuya Shariibu.

Beliau melafazkannya di depan Ketua UMNO Bahagian, Exco Pemuda, Wanita dan Puteri dari 191 bahagian UMNO di seluruh negara yang menghadiri taklimat khas Presiden UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra,Kuala Lumpur petang Khamis.

Beberapa orang yang menghadiri taklimat itu memberitahu Agendadaily bahawa Najib melafazkannya secara spontan semasa giliran beliau berucap.Sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyampaikan amanatnya.

Ia terus sambut dengan tepukan gemuruh pada hadirin.Dalam taklimat berkenaan Abdullah telah memberi penerangan tentang proses peralihan kuasa antara beliau dan Najib.

Mereka yang ditemui selepas taklimat berkenaan berkata lafaz sumpah Najib itu menghilangkan langsung keraguan terhadap berbagai fitnah dan dakwaan yang cuba mengaitkan Timbalan Perdana Menteri dengan Altantuya.

Ini termasuk akuan bersumpah penyiasat persendirian, P Balasubramanian semasa sidang akhbar bersama Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu yang kemudiannya ditarik balik pada pagi Jumaat.

“Apa lagi yang perlu kita ragu…kalau tidak …tak mungkin Datuk Seri Najib berani bersumpah begitu,”kata salah seorang dari mereka.

Selasa lalu semasa ditemui Agendadaily di bangunan Parlimen Najib berkata beliau telah melafazkan "demi Allah" tidak pernah jumpa Altantuya dan menyifatkan itu adalah pengakuan terbuka bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya.

Beliau kata demikian ketika ditanya desakan beberapa pihak agar beliau bersumpah bagi menjawab segala fitnah ke atas dirinya.

Semasa berucap pada satu majlis di Pekan Sabtu lalu Timbalan Perdana Menteri berkata beliau tidak gentar atau takut untuk menghadapi fitnah terhadap dirinya kerana yakin kebenaran akan terbukti kelak.

Katanya hanya Allah yang akan menentukan kebenarannya kelak terhadap segala fitnah yang dilemparkan kepadanya. - 10/7/2008

Sms Izzah jam 4 pagi

Petikan: Blog Che Gu Bard

Semalam tidak kurang dari 9,000 orang memenuhi Dataran Muhibbah, Kg. Ismail, Ampangan, Seremban untuk mendengar amanat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ramai yang datang hampa dan ramai yang pulang awal kerana tidak boleh masuk ke dalam. Kawasan padang dan jalan masuk sudah padat.


Sepatutnya program malam semalam diadakan di padang Taman Jasmine, Senawang yang lebih luas dan selesa. Namun oleh kerana permit tidak di keluarkan program terpaksa dialihkan ke Dataran Muhibbah, Ampangan. Rupanya di Taman Jasmine, Senawang tempat yang sepatutnya program diadakan telah dianjurkan program 'terkejut' oleh Umno Rembau yang menggunakan nama 'Belia'.Program Forum Perdana ceramah Datuk Sheikh Muzaffar secara mengejut telah diadakan di situ. Berbeza dengan program kita, program 'Umno' di Taman Jasmine persiapanya 'grand' sekali. Khemah - khemah yang cantik memenuhi padang, kerusi yang banyak dan pentas serta P.A system yang canggih. Namun menurut laporan yang diperolehi kehadiran amat mengecewakan. Itupun sudah dipunggah pelajar tabika dan turut dibawa dengan bas ialah pelajar ILP, Rembau.

Ini bukan kali pertama ketika YB Nurul Izzah turun ke Taman Jasmine, Umno secara tergesa - gesa juga telah menurunkan menantu Pm untuk 'merasmikan' Surau Taman Jasmine yang tidak siap, dan kali ini kononya untuk menggagalkan program Bersama Anwar Ibrahim, Umno Rembau membawa turun orang dari angkasa lepas.

che'GuBard ingin mengucapkan penghargaan kepada semua petugas yang bertungkus lumus dari mula hingga selesai majlis. Bayangkan petugas dan menghantar dan menampar beribu handbill dan poster hebahan tetapi terpaksa membuatnya semula kerana lokasi bertukar. Jalan masuk yang sempit di Dataran Muhibbah semalam juga begitu menguji tenaga muda PAKATAN. Tanpa tentera merah (unit amal) yang cekap mengawal keadaan sudah tentu keadaan kelam kabut. Jentera keADILan Rembau juga antara tulang belakang semalam.

Selain ucapan pemimpin semalam yang menarik perhatian ialah pengumuman saudara S.Muliadi keluar Umno menyertai keADILan.(sila rujuk posting yang lepas sila klik). S.Muliadi pada 2 Julai lepas beliau bersama beberapa teman kepimpinan 'bawahan' Umno telah bertemu teman - teman keADILan di Rembau. Isunya : inginkan kepastikan duduk perkara 'kes liwat'. Selepas diterangkan beliau dan beberapa teman - teman Umno ini menyatakan kekecewaan. Mereka berkongsi pengalaman betapa susahnya mereka mempertahankan Umno semasa kemuncak reformasi 1998/1999. Pada ketika itupun bukan semua orang Umno percaya tetapi atas nama pertahankan Umno dan Melayu mereka berdepan dengan caci maki rakyat, sehinggalah Umno kukuh semula selepas PRU 11. Namun ketika rakyat berdepan dengan perbagai masalah sekali lagi nampaknya pemimpin Umno tidak mempelajari sejarah. Konspirasi ke dua berlaku.

Katanya " Jika benar Anwar ditakuti bukan dengan cara fitnah perlu dibuat, Umno sebagai parti pemerintah perlu melawan Anwar dengan menumpukan mengurangkan derita rakyat, tetapi seolah fitnah ini bukan sahaja menghalang Anwar tetapi mengalihkan perhatian rakyat yang menderita"

Beliau memberikan amaran "Kami takut Umno akan terus hilang sokongan bawahan dan kami juga sudah mula bosan untuk mempertahankan Umno...pemimpin buat 'taik' kami mena cuci...tetapi bila tang sonang dio sapu.."

Dalam perjumpaan itu saya mencadangkan jika demi perpaduan Melayu dan pembelaan rakyat apakata kita buat sidang media bersama, ramai yang kelihatan agak ketakutan tetapi Naib Ketua Pemuda Cawangan Widuri, S.Muliadi yang merupakan seorang peniaga Restoran menyatakan kesediaan.

Maka 3 Julai satu sidang media bersama dibuat. Rakaman gambar dari sidang media tersebut yang merakamkan gambar beliau bersama Norazizi Aziz, Penyelaras keADILan (Penaja) Rembau cukup menyentak ramai. Lengkap beruniform Umno dan keADILan. Walaupun mereka pimpinan kecil tetapi ada harapan pembelaan isu rakyat melangkaui parti politik.

Dalam sidang media tersebut S.Muliadi turut menyatakan kesetiaanya pada Umno dan apa yang dilakukan adalah demi melihat Umno terus gah bermaruah.

Namun 2-3 hari selepas itu saya dihubungi oleh teman - teman memaklumkan bahawa S.Muliadi teruk di caci maki oleh Pemimpin Umno atasan. Malah perniagaanya turut terganggu. Pemimpin Umno menuduh di dibayar oleh Anwar.

Pada 5 Julai saya menemuinya bertanyakan khabar. Dia mungkin malu dengan sikap pemimpin Umno atasannya lantas menyembunyikan apa yang berlaku. Dia mengatakan semua ok.

Namun pada 7 Julai dia sendiri menghubungi saya bertanyakan benarkah Anwar akan ke NS untuk berceramah. Saya bertanya kenapa..? Dia menyatakan "Nampaknya tiada tempat bagi orang yang ingin menyatakan kebenaran dalam Umno" Beliau di tekan dan di asak selepas membuat kenyataan.

Beliau mengatakan hasrat untuk bersama keADILan dan turut di ikuti beberapa teman Umno, tetapi takutkan tekanan Umno yang teruk yang lain hanya menghantar borang sahaja.

10 Julai, petang sebelum ceramah berlansung saya bertemu beliau di tapak ceramah. Ternyata beliau masuk dengan semangat kerana menurut teman keADILan Rembau, S.Muliadi dan teman - teman baru dari Umno itu sejak tengahari begitu bersemangat membantu kerja persiapan tapak.

Jam 7.00 malam saya membawa beliau untuk bertemu sendiri Anwar Ibrahim yang singgah bersolat Mahgrib di rumah seorang teman di Seremban Selatan. Saya perkenalkan kepada Anwar Ibrahim. Anwar mengucapkan tahniah kepadanya. Sebelum membawa dia semula ke tapak ceramah Anwar berpesan sedia 'berjuang' ...perniagaan dan banyak akan terganggu tetapi percayalah rezeki di tangan Allah...anak muda harus berani nyatakan sikap sekali melangkah pantang undur.... tetapi jangan khuatir saudara masuk masa yang betul.. kita sudah hampir dengan Putrajaya.

Malam itu S.Muliadi naik pentas di depan Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap dengan uniform Pemuda Umno Rembau. Hadirin terpaku melihat seseorang berunifrom logo besar pemuda Umno dijemput berucap. Namun selepas dia membuka sendiri baju Umnonya dan secara simbolik disarungkan baju kemeja berlogo keADILan, hadirin ramainya berdiri menjerit reformasi dan hancur Umno.

Ayat S.Muliadi malam itu mungkin tidak beraba jelas kedengaran kerana penuh jeritan hadirin tetapi apa yang paling menarik ialah.... "jika dalam Umno tidak ada tempat untuk orang menyatakan kebenaran.... jika menyatakan pendapat dan kebenaran merupakan dosa dalam Umno... saya dengan ini istihar keluar Umno dan mengajak kawan - kawan lain turut menyatakan sikap secara terang mahupun sembunyi... sertai perjuangan rakyat..."

Selepas semuanya selesai. Saya cuma sampai ke rumah sekitar jam 4.00 pagi. Baru sahaja nak merebahkan badan telefon bimbit berbunyi, sms masuk. Terkejut sms dari YB Nurul Izzah Anwar.

Petikan sms " Salam sejahtera Teman2 seperjuangan, 10 tahun lalu ayah telah difitnah. Rakyat ditekan dan dipijak. Keluarga juga saya juga telah dizalimi & diaibkan dengan tuduhan jijik dan palsu hanya untuk memenuhi nafsu pemimpin yang tamak & gila kuasa. Hari ini pemerintah cuba menggunakan tektik yang sama. Ayang yang bangun mempertahankan negara dan membela nasib rakyat, cuba disekat dengan fitnah yang sama. Cuma watak yang berbeza. PERANG TELAH BERMULA DAN LEMBAH PANTAI MENJADI MEDAN TEMPUR PERTAMA. Jam 8.30 malam ini saya akan hadir sendiri di Padang Bola PPR Kerinchi, Pantai Dalam, untuk menyampaikan suara hati bersama pemimpin2 lain bagi mendedahkan kospirasi yang berlaku. Saya seru semua pendokong yang dikasihi untuk bangun dan turut hadir. Negara perlu diselamatkan. Rakyat perlu dibela. Salam Kasih dari saya-Nurul Izzah Anwar" (4.31 am 11/07/08)

Kali ini pendekatan tidak perlu bertahan. Pendekatan perlu "ofensive" - TERANG DAN SERANG, dalam seminggu ini juga sudah banyak pertemuan dibuat ...ramai teman aktivis reformasi jalanan yang sudah senyap mula bangkit kembali.... malah teman - teman webmaster yang satu ketika dulu (sebelum kehadiran blogger's) pernah menanggung risiko membina kebangkitan rakyat menerusi media internet turut sedang diperingkat terakhir untuk mempertimbangkan memulakan langkah.

Yang pasti dahulu Izzah yang cekal tetapi keanakan tidak keseorangan dan kini juga Izzah yang sudah bergelar YB pasti melangkah matang dan garang juga tidak keseorangan...

Anwar umum kaedah turunkan harga minyak dalam debat Selasa ini

11-07-2008 02:37:04 PM

SEREMBAN: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaedah beliau bagi mengurangkan harga minyak akan diumumkan pada Selasa ini semasa debat beliau dengan Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek.

"Bukan nak turun sama harga (minyak) dengan Venezuela tapi turun sekurang-kurangnya agar rakyat boleh hidup. Kita bukan janji kosong, takbur atau bohong untuk mengatasi masalah ini," katanya pada satu ceramah di sini, malam tadi.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional telah menyalah urus ekonomi sehingga rakyat dibebankan dengan harga minyak dan barang.

"Negara ini hendaklah diselamatkan untuk faedah semua rakyat. Ini soal kita, bukan soal masa depan Anwar," katanya.

Mengenai debat itu, Anwar berkata setakat ini beliau tidak tahu sama ada ia akan diteruskan atau tidak.

"Ada kemungkinan tidak jadi tapi saya harap debat ini diteruskan," katanya.

Debat itu dianjurkan oleh portal berita AgendaDaily diberi tajuk "Hari Ini Membentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" dijadual berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Anwar sebelum ini dilaporkan pernah berjanji akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja jika partinya membentuk kerajaan. BERNAMA

Pak Lah umum bersara 2010, laluan Najib tidak semudah dijangka

Petikan: mStar Online

11-07-2008 03:28:27 PM

Oleh G. MANIMARAN, SA'ODAH ELIAS, ARIFFUDDIN ISHAK, SITI AZIRA ABD. AZIZ dan NURUL AIN HUSSAIN

INI PENGGANTI SAYA... Mungkin ini yang cuba disampaikan oleh Abdullah Ahmad Badawi dengan menepuk bahu Mohd. Najib Tun Razak (kiri) pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur petang tadi. - foto The Star Art Chen

PETALING JAYA: Selepas 12 jam Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pelan peralihan kuasa dengan menamakan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai penggantinya Jun 2010, langkah beliau diterima secara bercampur aduk dengan pelbagai teori diketengahkan tentang kemungkinan yang bakal dilalui sepanjang 23 bulan akan datang.

Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh yang telah pun menawarkan diri untuk mencabar Abdullah bagi jawatan Presiden Umno Disember menyifatkan pengumuman semalam sebagai langkah silap.

Penganalis-penganalisis politik pula melahirkan pandangan yang berbeza terhadap pelan peralihan kuasa yang diumumkan petang semalam.

Pensyarah Pusat pengajian Undang-undang dan Pentadbiran Awam Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussein berkata pelan tersebut harus dilihat dari dua aspek yang berbeza.

Beliau berkata, aspek pertama dapat dilihat dari sebab mengapa Perdana Menteri menetapakan tempoh masa dua tahun untuk peralihan kuasa.

Katanya, tempoh tersebut ditetapkan kerana Abdullah berpendapat beliau perlu mengukuhkan parti terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada Najib.

“Namun keadaan politik semasa yang berlaku akan mempengaruhi landskap politik yang cuba dicapai oleh Umno dan Barisan Nasional dalam usaha mengukuhkan kedudukan mereka kembali,” kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Jelas beliau, isu-isu yang melanda kerajaan Pakatan Rakyat seperti isu liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu korupsi pemimpin PKR di Selangor serta Perjanjian Pangkor II di Perak mengakibatkan kenyakinan terhadap pembangkang sedikit terjejas.

“Saya lihat isu-isu tersebut telah membuka mata rakyat untuk memberi respons positif kepada Pak Lah. Namun adakah sokongan itu akan berterusan?” ujarnya.

Jelasnya, beliau lebih cenderung memilih aspek yang kedua yang merupakan suara ahli Umno di peringkat akar umbi yang mahu peralihan kuasa dicepatkan.

“Hampir dua pertiga ahli Umno yang saya temui mahu peralihan kuasa dipercepatkan, kerana mereka mahu parti dikukuhkan dengan segera. Saya lihat ia perlu dilaksanakan sebelum pemilihan parti Disember ini,” katanya.

Tegasnya, ramai ahli Umno berpendapat proses peralihan kuasa perlu dilaksanakan segera sebelum pemilihan parti Disember ini.

“Ramai ahli Umno menyatakan mereka mahu Pak Lah serah kuasa kepada Najib dengan segera baru pulihkan parti.

“Saya lihat cadangan ini lebih sesuai, namun terpulang kepada ahli-ahli Umno untuk menentukannya,” katanya.

Tambahnya, tempoh dua tahun yang diletakkan itu terlalu lama dan keadaan politik ketika itu pasti berbeza dan mungkin juga BN akan kehilangan banyak sokongan rakyat.

“Tempoh dua tahun agak lama dan apa sahaja boleh berlaku dalam politik. Sekarang ini PAS sudah mendapat tempat saya bimbang jika ia tidak dibendung BN akan kehilangan lebih banyak kerusi kelak,” katanya.

Sementara itu, pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd Agus Yusof menyifatkan tindakan Perdana Menteri semalam merupakan satu kaedah bagi meredakan keadaan politik dalam Umno.

“Ia (pelan peralihan kuasa) tidak lebih kepada satu kaedah untuk redakan politik dalam Umno itu sendiri dan saya rasa tindakannya itu tidak salah,” katanya.

Menurutnya, pelan itu akan berfungsi jika Umno tidak menyekat proses demokrasi yang pada pemilihan parti Disember ini.

“Asalkan ia (peralihan kuasa), tidak menyekat peluang untuk sesiapa sahaja bertanding dalam pemilihan parti nanti. Saya rasa pelan tersebut akan berjaya,” katanya.

Namun demikian, tegas beliau, peralihan kuasa tidak lebih sebagai satu janji

“Politik satu perkara yang dinamik dan boleh berubah mengikut keadaan dan perlu di ingat senario politik boleh berubah bila-bila masa,” katanya.

Tambahnya, apa yang perlu diingat terdapat halangan-halangan yang perlu dilalui sebelum pelan peralihan kuasa itu terlaksana.

Seorang lagi pensyarah UKM, Dr. Ahmad Nizamudin Sulaiman berkata, ramai yang terkejut dengan pengumuman Abdullah semalam.

Menurutnya, ramai menyangka Abdullah akan mengumumkan peralihan kuasa secepat mungkin sebelum pemilihan parti Disember ini tetapi ternyata jangkaan itu meleset sama sekali.

"Ramai ahli Umno menjangka peralihan kuasa sebelum pemilihan parti. Nampaknya jangkaan itu meleset sama sekali," katanya.

Tambahnya, perkara tersebut akan menambah kekecewaan ahli-ahli Umno yang mahukan perubahan pucuk pimpinan.

"Dari aspek politik, ia memberi kesan kepada Barisan Nasional dan Umno itu sendiri kerana pasti timbul rasa tidak selesa di kalangan ahli yang mahukan perubahan," katanya.

TV3 berbohong, hina Istana Kedah

Harakahdaily
Fri | Jul 11, 08 | 3:11:48 pm MYT

ALOR STAR, 11 Julai (Hrkh) - Agensi berita Bernama melaporkan bahawa pesawat sewa khas yang dinaiki Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak semalam adalah bagi menyertai rombongan Diraja Kedah ke Brunei untuk menyembah titah mengundang Sultan Brunei ke majlis ambutan Jubli Emas Pemerintahan Sultan Kedah pada Selasa depan.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Helmi Khalid dipetik sebagai berkata, rombongan Diraja itu diketuai Tunku Bendahara Kedah yang disertai isterinya selain Ketua Istiadat Istana Datuk Saad Endut dan isteri selain Azizan dan isteri.

Helmi menjelaskan, berita Buletin Utama TV3 yang merakam rombongan itu menaiki pesawat dan menyebut seolah-olah ia adalah rombongan Menteri Besar adalah tidak tepat.

"Kita kesal dengan laporan berita yang mengelirukan itu dan kita mohon supaya stesen televisyen itu tidak lagi membuat laporan berdasarkan andaian semata-mata tanpa meminta penjelasan rasmi terlebih dahulu kerana ia melibatkan kepentingan istana," kata Hilmi.

Semalam, laporan berita stesen swasta itu menyebut Azizan bersama rombongannya telah menaiki pesawat khas yang disewa bagi tujuan perjalanan rasmi.- tajdid _

Di sebalik peralihan kuasa, Najib 'main politik' dengan Abdullah

Petikan: Harakah Daily

Ibrahim Othman

Fri | Jul 11, 08 | 9:22:48 am MYT

Majlis Tertinggi (MT) Umno, yang bermesyuarat petang Khamis, 10 Julai di PWTC membuka 'pekung' Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato' Seri Najib Tun Razak, yang jelas 'bermain politik' dengan bosnya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, apabila bersetuju meminta bahagian-bahagian Umno mencalonkan Abdullah sebagai Presiden dan dia sendiri sebagai timbalan Presiden, sebaik sahaja ada persetujuan peralihan kuasa, Jun 2010.

Selama ini, Najib dilihat mendiamkan diri - mengelak untuk menyatakan sokongan atau meminta bahagian-bahagian memberikan sokongan kepada Abdullah, walaupun berkali-kali Abdullah melafazkan bahawa penggantinya, ialah Najib.

Malahan, dalam perjumpaan dengan semua ketua-ketua cawangan Umno dari negeri Pahang, di PWTC, bulan lalu, yang tidak dihadiri Najib, Abdullah masih mengeluarkan kenyataan bahawa; "sabarlah. Kalau saya berundur, pengganti saya adalah orang dari Pahang (merujuk Najib)," namun tidak sepatah pun keluar kenyataan dari Najib meminta semua bahagian di Pahang, sekurang-kurangnya mencalonkan Abdullah sebagai Presiden.

Tidak ada sejarah, Najib naik kerana 'melawan' sesiapa tetapi apabila keputusan PRU 12, Mac 8, 2008 yang lalu, tidak meyebelahi BN, Najib dilihat resah kerana dalam keadaan dia tidak dilihat mahu melawan Abdullah tetapi dalam masa yang sama, dia tidak menyatakan sokongan dan meminta semua ahli-ahli di bawah menyatakan sokongan kepada Abdullah.

Secara tiba-tiba, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tampil menjadi 'tokoh yang paling lantang' bercakap soal kepimpinan dan perlaihan kuasa.

Ada beberapa sumber yang dekat dengan Najib dan Muhyiddin memberitahu, kedua-dua tokoh Umno ini sudah mengadakan beberapa kali perbincangan, mahu membuat desakan supaya Abdullah berundur.

Yang nyata, Abdullah seperti kehilangan kawan-kawan. Selama ini, dia dikatakan cukup intim dengan MB Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob.

Dalam tahun 1993, ketika Tun Ghafar Baba (Allahyarham) mahu ditentang Dato' Seri Anwar Ibrahim, Adnan adalah satu-satunya pemimpin Umno bahagian (Adnan mengetuai Umno Bahagian Bentong) yang lantang mempertahankan Ghafar dan Abdullah.

Namun, kebelakangan ini, Adnan dikatakan semakin kurang bersuara mempertahankan Abdullah kerana dua sebab, kata satu sumber.

Sebab pertama; Adnan menyifatkan Abdullah bukan 'bersendirian' ketika membuat sesuatu keputusan dan kedua; mungkin Najib sudah memberi 'signal' kepada Adnan supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan mengenai 'peralihan kuasa'.

Ada juga yang hairan, di mana Dato' Seri Mahdzir Khalid, bekas MB Kedah dalam suasana sekarang?

Rata-rata hairan, sebagai �orang Abdullah� kenapa Mahdzir sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, tidak berpendirian seperti Pulau Pinang, Perlis, Selangor dan Melaka.

Kata mereka, Mahdzir sepatutnya berdiri di barisan paling depan mempertahankan Abdullah dalam soal mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Kenyataan awal MB Johor, Dato' Abdul Ghani Othman yang menyerah bulat-bulat kepada cawangan-cawangan untuk menyuarakan ketidak puasan hati masing-masing dalam mesyuarat cawangan yang akan berlangsung, ditafsirkan sebagai 'serangan kepada Abdullah' yang difahamkan tidak mahu mengekalkan Ghani sebagai MB Johor selepas PRU 12 yang lalu. Namun, khabarnya, pihak Istana Johor masih mahukan Ghani kekal dan tidak perlu diganti.

Selain Mahdzir dan Ghani, ada juga yang mempersoalkan mengapa MB Negeri Sembilan, negeri yang BN tidak mempunyai suara 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Seri Mohamad Hassan tidak turut menyatakan sokongan kepada Abdullah.

Padahal, kedudukan Mohamad betul-betul dipertahankan Abdullah. Jika tidak, hanyutlah Mohamad dari arena politik tanahair kerana dakwaan 'tingkah laku' dia dan adik beradiknya menyebabkan Negeri Sembilan hampir-hampir menyamai nasib yang menimpa Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor.

Tidak ramai yang mahu bertanya dengan MB Terengganu di mana pendiriannya dalam soal kepimpinan sebelum Abdullah mengumumkan pengundurannya Jun 2010. Ini kerana, kontroversi perlantikannya sebagai MB, cukup 'melukakan'.

Malahan, seorang menteri yang di gelar pakar perlembagaan pernah meramalkan Ahmad Said akan 'gugur seperti nangka masak' jika dia mengangkat sumpah tanpa restu Kuala Lumpur.

Ketika ramai yang nampak Najib tidak bersungguh-sungguh mempertahankan Abdullah, sebelum Abdullah mengumumkan tarikh peralihan kuasa, maka ramai 'juak-juak Najib' sudah mentafsirkan sendiri politik orang nombor dalam negara ini.

Mereka sudah berjalan ke seluruh negara, meminta bahagian-bahagian mencalonkan Najib sebagai Presiden dan Muhyiddin sebagai timbalan Presiden.

Bukan senang untuk Najib dan orang-orangnya mahu memperbetulkan semula situasi runcing ini.

Jangan terkejut jika Muhyiddin yang sudah bersiap sedia mahu menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden, dengan harapan Najib bertanding Presiden, akan mengantikan Najib, untuk terus bertanding Presiden.

Bunyinya seperti mustahil, tetapi Muhyiddin tiada pilihan. Dari kalah di tangan Najib, Muhyiddin tentunya 'lebih bermaruah' jika dia kalah di tangan Abdullah.

Lagi pun, apabila Muhyiddin bercakap soal kepimpinan, dia mengarahkan 'meriam' ke arah Abdullah dan bukan ke arah Najib. Oleh yang demikian, untuk apa Muhyiddin menentang Najib sedangkan dia bermasalah dengan Abdullah?

Untuk mempertahankan semula kedudukan sedia ada, sebagai naib presiden, disaat-saat ini amatlah payah, bagi Muhyiddin. Dengan kahadiran ramai muka baru yang dilihat berpotensi, Muhyiddin lebih mudah menang kerusi timbalan presiden, jika Najib bertanding kerusi Presiden.

Pertandingan tahun 2004 membuktikan Muhyiddin hanya berbeza sekitar 45 undi dengan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, yang ketika itu bukan menteri.

Bayangkan kalau Muhammad juga seorang menteri ketika itu? Undi Muhyiddin sebanyak 1,234 hanya menduduki tempat ketiga dibelakang Tan Sri Mohamad Isa Abdul Samad dan Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang pertama kali bertanding sedangkan Muhyiddin mempertahankan jawatan tersebut yang dimenangi tahun 2000 selepas tewas dalam tahun 1996.

Satu sumber memberitahu, sokongan dari perwakilan Umno Negeri Johor sendiri tidak 'bulat' kepada Muhyiddin.

Itulah sebabnya, Muhyiddin tidak mendapat undi terbanyak, walaupun dia datang dari Johor, satu-satunya negeri yang menghantar jumlah perwakilan paling ramai ke Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur.

Ini disebabkan hubungan 'kurang mesra' Muhyiddin dengan Ghani Othman menyebabkan Muhyiddin sukar mendapat sokongan bulat dari Johor.

Jika dibandingkan dengan Mohamad Isa dan Mohd Ali, Muhyiddin tidak seharusnya berada di tempat ketiga kerana Mohamad Isa datang dari Negeri Sembilan yang hanya mempunyai lapan Umno bahagian manakala Mohd Ali yang datang dari Melaka, hanya mempunyai enam Umno bahagian.

Itulah sebabnya, sebelum Abdullah mengumumkan tarikh 'pelan peralihan kuasa' Muhyiddin dilihat 'berakit' dengan Najib untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.

1 Najib harus bekerja dengan Muhyiddin yang datangnya dari Johor kerana sejarah Allahyarham Tun Razak Hussein, bekerjasama dengan Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan kemudiannya Allahyarham Tun Hussein Onn, kedua-duanya dari Johor bagi memastikan sokongan besar dari Johor dapat 'menjamin' kemenangan selesa kepada Najib.

Dr Mahathir sendiri memilih Tun Musa Hitam (juga dari Johor) apabila menjadi Perdana Menteri, sedangkan banyak pihak menyifatkan kerusi itu 'hak' Tengku Razaleigh Hamzah yang dikatakan lebih senior dari Musa.

Apabila mereka berkrisis, Dr. Mahathir hampir tewas kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang mendapat sokongan Musa, manakala Tun Ghafar Baba hanya menang 40 undi, menewaskan Musa, dengan 41 undi rosak.

Catatan sejarah ini, membuatkan, calon-calon Presiden Umno perlu 'mendapat' sokongan dari Umno Johor, selain Sabah dan Perak yang juga mempunyai perwakilan teramai walaupun Selangor, Kedah dan Kelantan juga turut menghantar jumlah yang besar perwakilan ke perhimpunan agung mereka.

Walaupun lidah Najib kelihatan kelu apabila Abdullah mengumumkan dia sebagai penggantinya, pertengahan tahun 2010, tetapi dalam masa yang sama,

Najib tentunya tidak mudah tunduk dengan gerak kerja yang sudah dijalankan secara senyap-senyap, untuk menjadi Presiden Umno dalam bulan Disember tahun ini. - mr_

Anwar tuntut Hamid 'RM100 juta' maaf

Petikan: Malaysia Kini

Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghantar surat tuntutan kepada menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar supaya memohon maaf kerana memanggilnya "tukang lapor" Amerika Syarikat.

Syed Hamid diberi tempoh 48 jam untuk berbuat demikian.

Surat tuntutan tersebut telah dikirim melalui faksimili ke pejabat Syed Hamid oleh peguam Anwar, Sankara Nair pada jam 1 tengahari tadi.

"Jika kami tidak menerima apa-apa jawapan yang memuaskan dalam masa 48 jam dari tarikh penerimaan surat ini, kami akan mengambil tindakan undang-undang (saman fitnah)," kata Sankara dalam suratnya.

Surat itu diedarkan dalam sidang media di pejabatnya di Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Anwar juga menuntut RM100 juta daripada Syed Hamid berhubung kenyataan yang dianggap menjejaskan nama baiknya, selain menuntut menteri itu tidak mengulangi lagi dakwaan seumpamanya.

Anwar berkata, melalui tuntutan itu, perkataan yang digunakan oleh Syed Hamid, seperti laporan The Star 3 Julai lalu, memberi maksud bahawa beliau (Anwar) seorang pengkhianat dan tidak setia kepada negara, agama dan bangsa.

Tokoh pembangkang itu juga berkata, perkataan-perkataan tersebut membawa makna bahawa beliau tidak boleh dipercayai dan tidak layak menjadi perdana menteri atau pemimpin negara dan bahawa beliau seorang boneka Amerika Syarikat yang boleh memusnahkan negara, agama dan bangsa.

syed hamid albarSyed Hamid dipetik sebagai berkata, Anwar bertindak sebagai "tukang lapor" negara kuasa besar itu ketika mengulas kenyataan Washington berhubung laporan polis kes liwat terhadap mantan timbalan perdana menteri itu, akhir bulan lepas.

Menurut akhbar tersebut, menteri itu berkata setiap kali Anwar berdepan dengan krisis politik dalam negara, beliau akan mengadu perkara itu kepada negara tersebut.

Bagaimanapun, pada 8 Julai, beliau menafikan memanggil Anwar sebagai "spy" atau pengintip Amerika Syarikat.

Bernama memetik Syed Hamid sebagai berkata, beliau tidak pernah berkata yang Anwar seorang "spy" atau pengintip.

Sementara itu, dalam sidang akhbar yang sama, peguamnya itu juga menyatakan Anwar "berasa sangat kecewa" dengan tindakan polis yang enggan menyerahkan satu salinan laporan yang dibuat oleh bekas pembantu sukarelanya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun.

Selepas cuba mendapatkannya dua kali sejak 29 Jun lalu, tambah Sankara, polis tetap enggan berbuat demikian dalam jawapan pihak berkuasa itu pada 2 Julai.

Polis kemudian berubah sikap pada 3 Julai, katanya lagi, bagaimanapun enggan berbuat demikian sekali lagi sehari kemudian.

"Mereka sehingga kini berdiam diri," katanya.

Sankara menambah, salinan laporan itu sangat penting untuk mengetahui butiran lengkap dan tepat dakwaan Mohd Saiful bagi menyediakan kes terhadap anak guamnya.

Peralihan Kuasa: 2 Tahun Adalah Lama

Petikan: Blog A Kadir Jasin

BERITA besar media massa arus perdana sejak semalam adalah pengesahan jadual penyerahan kuasa oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Mohd Najib Abdul Razak.

Menurut laporan muka depan Utusan Malaysia, Abdullah “akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri dan Presiden UMNO kepada timbalannya” pada pertengahan 2010.

Saya sengaja memetik laporan Utusan kerana kedudukannya sebagai akhbar milik Umno. Dengan kedudukan itu saya menganggap laporan Utusan sebagai paling autoritatif dan boleh dipertanggungjawabkan.

Tetapi apabila saya membaca dengan teliti dan berulang kali saya menjadi agak keliru dan kurang yakin. Bukan tujuan saya mencari salah atau membahaskan semantik.

Soalnya ada jurang yang ketara antara perisytiharan “akan menyerahkan jawatan” dalam perenggan pembukaan (intro) laporan Utusan dengan perenggan keenam yang mengandungi petikan langsung daripada Abdullah yang berbunyi:

“Saya bercadang menyerahkan jawatan kepada Najib untuk mengambil alih jawatan Presiden parti dalam Jun atau pertengahan 2010.”

Saya tidak menuduh sesiapa memutarkan kata-kata. Tetapi pada hemat saya ada berbezaan yang halus (subtle) antara “akan menyerahkan jawatan” dengan “bercadang menyerahkan jawatan.”

Mungkin dalam gaya bahasa Perdana Menteri dan dalam benaknya “akan menyerahkan jawatan” dengan “bercadang menyerahkan jawatan” adalah sama.

Tidaklah perlu saya mengingatkan sesiapa iaitu dalam politik perbezaan antara yang tersurat dengan yang tersirat kadang-karang seperti langit dengan bumi dan masa dua tahun adalah sangat lama dan boleh menjadi selama-lamanya.

Pernah pun berlaku iaitu apabila sampai masanya apa yang dicadangkan tidak dilaksanakan kerana sebab-sebab tertentu. Dalam politik alasan boleh dicari atau dicipta.

Tun Dr Mahathir Mohamad pernah dilaporkan sebagai berkata dia asalnya bercadang bersara pada tahun 1998 dan menyerahkan kuasa kepada timbalannya pada waktu itu, Anwar Ibrahim.

Tetapi apabila Krisis Kewangan Serantau berlaku pada tahun 1997 dia menangguhkan cadangannya dan kekal memerintah sehingga tahun 2003. Manakala Anwar pula dipecat daripada Umno dan Kerajaan kerana terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan salah laku.

Banyak hal boleh berlaku dalam masa dua tahun. Saya tidak mahu membuat ramalan. Sebaliknya marilah sama-sama kita mencari jawapan kepada soalan-soalan berikut:

1. Mengapa pada Jun atau pertengahan 2010 dan tidak sekarang atau selepas mesyuarat agung tahunan Umno Disember ini?

2. Mengapakah Abdullah mempertahankan jawatan presiden dan menamakan Mohd Najib sebagai rakan kongsi?

3. Apakah Tengku Razaleigh Hamzah akan meneruskan cadangannya mencabar Abdullah dan Muhyiddin Yassin bertanding jawatan timbalan presiden?

4. Adakah kepemimpinan Umno di peringkat cawangan, bahagian dan perhubungan negeri bersetuju dengan jadual peralihan kuasa ini?

5. Apakah mungkin mereka mengenakan tekanan ke atas Mohd Najib agar mencabar Abdullah dengan mencalonkan beliau untuk jawatan presiden?

6. Apakah implikasi pelukan mesra Abdullah terhadap Mohd Najib ke atas pakatan bayangan Mohd Najib-Muhyiddin?

7. Apakah sejarah politik bawah tanah pertembungan Anwar-Tun Abdul Ghafar Baba tahun 1993 akan berulang? (MT tidak mahu Ghafar dicabar. Anwar juga berkata dia tidak berhasrat mencabar Ghafar. Tetapi bahagian terus mencalonkan Anwar. Ghafar terpaksa mengaku kalah dan meletakkan jawatan.)

8. Adakah ahli Umno sudah bersedia untuk melihat melepasi Mohd Najib atau Tengku Razaleigh dalam usaha mereka mencari penyelamat parti dan pemimpin negara? dan

9. Dalam kedudukannya sebagai “lame duck Prime Minister” adakah mampu Abdullah menangani masalah negara, khasnya di bidang ekonomi, yang semakin mengancam sekarang?

Kesimpulannya, jadual penyerahan kuasa yang tertangguh itu boleh menjadi jambatan ke arah kesejahteraan dan boleh juga menjadi senjata makan tuan kepada Abdullah, Mohd Najib dan Umno.

Dalam politik, hanya orang dangkal sahaja akan memipiskan lada apabila melihat burung terbang atau membilang anak ayam sebelum menetas.

Mohd Najib mungkin bukan budak kampung. Masa kecilnya dia mungkin tidak memelihara ayam dan itik. Bagi orang kampung yang memelihara ayam dan itik, dia pasti tahu bahawa tidak ada yang lebih busuk dan meloyakan daripada bau telur buruk.

Saya teringat kepada temu ramah empat mata yang saya lakukan dengan Mohd Najib untuk akhbar Business Times pada tahun 1977 ketika dia masih bujang dan baru setahun jagung sebagai Ahli Parlimen. Masa berlalu begitu pantas!

`Tolong jangan pukul saya lagi’

Petikan: Harian Metro

Oleh Efindi Badarudin dan Sarah Zulkifli

am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: “Ustaz tolong jangan pukul saya lagi. Saya minta nyawa...saya dah tak tahan sakit.” Itu kata-kata terakhir seorang penghuni pusat pemulihan yang tidak tahan diseksa kononnya bagi memulihkannya yang menghadapi masalah sosial.

Beberapa penghuni terdengar rayuan lelaki terbabit ketika menyaksikan dia didera dan diperlakukan seperti haiwan.

Mereka bagaimanapun tidak berani membantunya kerana bimbang akan menerima balasan sama.

Beberapa jam selepas itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Seorang penghuni terbabit yang mahu dikenali sebagai Amir, 18, memberitahu Harian Metro, sehari selepas dihantar ibu bapanya, mangsa cuba melarikan diri dari pusat pemulihan berkenaan tetapi dia ditahan semula.

“Sebaik ditahan, mangsa dibawa ke ruang tamu dan semua 65 penghuni berkumpul untuk melihat hukuman yang bakal dikenakan terhadapnya.

“Seorang petugas pusat pemulihan itu memaklumkan, mangsa cuba melarikan diri kerana mahu membuat laporan polis mengenai kes penderaan di situ...jadi dia kata kalau nak lapor polis, lebih baik dia didera betul-betul,” katanya di sini, semalam.

Amir berkata, petugas kemudian mengarahkan semua penghuni menampar muka mangsa masing-masing 10 kali seorang dan merotan kaki sebanyak lima kali.

“Kalau sesiapa tak mahu buat, mereka akan kena dera macam itu...jadi kami semua yang takut didera kena ikut cakap petugas,” katanya.

Selepas itu, katanya, petugas terbabit mula membelasah mangsa dengan menendang kepala dan memijak lehernya sehingga dia tidak bermaya.

“Saya dan beberapa rakan yang kasihan melihat mangsa membawanya ke bilik air dan mencuci kesan lukanya. Ketika itu, dia tidak bercakap dan hanya meraung kesakitan.

“Dia kemudian tidur dengan mengerang kesakitan sebelum kami menyedarinya tidak lagi sedarkan diri dan memaklumkan kepada petugas supaya membawanya ke hospital.

“Petugas pun tak nak bawa kerana bimbang dengan keadaan mangsa, tetapi apabila penghuni mendesak baru mereka hantar ke hospital. Kami kemudian dimaklumkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Beberapa jam selepas mangsa meninggal dunia, kata Amir, semua penghuni diminta berkumpul di ruang tamu untuk diberi penerangan supaya jangan memaklumkan kepada polis jika ditanya mengenai kejadian itu.

“Kami juga diingatkan supaya membuat cerita mangsa melarikan diri dan parah ketika dibawa balik selain van yang membawa mangsa mengalami kerosakan.

“Tetapi kami semua sepakat tidak mahu menipu polis kerana perbuatan pihak pengurusan pusat pemulihan itu melanggar undang-undang,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, Razali, 20, berkata petugas pusat itu sering menzalimi penghuni dengan merotan tapak kaki dan mencabut kuku ibu jari kaki.

“Mereka akan ikat kaki dan mulut penghuni supaya jeritan kami tidak didengar ketika penderaan dilakukan. Mereka akan pijak kaki supaya lurus dan memegang badan penghuni ketika menjalankan hukuman.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa kerana takut didera dan jika mengadu kepada keluarga, kami kena menjalani hukuman,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan seorang penghuni pusat pemulihan itu meninggal dunia akibat menjalani rawatan pemulihan yang tidak masuk akal.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan teruk di kepala dan kesan lebam di seluruh anggota badan.

Mengaku lafaz cerai 2 kali

Petikan: Harian Metro

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

imas@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Suami kepada pelakon Nora Mohd Danish Hanif atau Nora Danish, 26, mengaku melafazkan cerai terhadap isterinya sebanyak dua kali menerusi telefon, satu daripadanya ketika wanita itu sedang hamil pada 17 Jun lalu.

Toh Muda Rizal Ashram Ramli, 38, ketika memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, berkata dia melafazkan cerai kali pertama terhadap pelakon sitkom drama Puteri itu pada Februari dan keduanya, Jun lalu.

Menurutnya, sehari sebelum lafaz cerai kedua dibuat, dia ada berbincang dan memberitahu Nora dia sudah tawar hati dengannya.

“Saya ada beritahu dia (Nora)...saya sudah tawar hati tetapi dia hanya mendiamkan diri hingga keesokan hari. Saya menelefon Nora dan melafazkan ‘I cerai you’.

“Ketika itu, Nora ada bertanya ‘talak berapa?’ dan saya cakap talak dua,” katanya ketika menjawab soalan Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail.

Mengenai sebutan ‘talak dua’ dilafazkan terhadap Nora, anak bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib itu menjelaskan ia merujuk kepada talak kali kedua.

“Lafaz saya ketika itu bermaksud talak kali kedua Yang Arif dan bukannya talak dua. Ini berikutan saya pernah menceraikan Nora pada Februari lalu,” katanya.

Sementara itu, Nora yang hadir berbaju kurung putih berbunga turut memberi keterangan berhubung permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan suaminya.

Dia yang kelihatan tenang sepanjang prosiding memberitahu lafaz cerai daripada suaminya Jun lalu dibuat ketika dirinya sedang hamil.

AHMAD IRWAN: Adakah kamu setuju bahawa plaintif pernah melafazkan cerai?

NORA: Setuju. Tetapi saya tidak ingat bila kali pertama lafaz cerai dibuat.

AHMAD IRWAN: Kamu masih ingat bagaimana lafaz cerai pertama?

NORA: Seperti biasa, plaintif cakap ‘I ceraikan you’. Tapi kali pertama dia cakap ‘I ceraikan you talak satu’.

AHMAD IRWAN: Kamu tahu di mana suami kamu ketika dia melafazkan talak pertama?

NORA: Saya tidak pasti...mungkin dia di rumah keluarganya.

AHMAD IRWAN: Kamu ada rujuk selepas itu?

NORA: Ya. Plaintif ada melafazkan rujuk terhadap saya.

AHMAD IRWAN: Setuju bahawa plaintif ada melafazkan cerai pada 17 Jun lalu?

NORA: Setuju Yang Arif. Plaintif ada menyebut ‘I cerai you’ sebelum saya bertanya ‘talak berapa?’ dan dijawab dengan ‘talak dua’.

AHMAD IRWAN: Apa yang berlaku antara kamu?

NORA: Saya pasti Yang Arif, kami sudah tidak sefahaman lagi dan selalu bertingkah pendapat. Bagi saya, ini adalah jalan terbaik untuk kami berdua.

AHMAD IRWAN: Adakah benar dakwaan plaintif kamu berdua tidak pernah bertemu lagi (sejak 17 Jun) sehingga pagi ini (semalam)?

NORA: Benar.

AHMAD IRWAN: Adakah kamu dalam keadaan suci pada 17 Jun lalu?

NORA: Benar dan saya kini mengandung tiga bulan Yang Arif.

Di luar mahkamah, Nora dan Rizal Ashram, masing-masing enggan memberi sebarang komen berhubung kes terbabit.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...