Monday, February 28, 2011

UMNO punca anak Khir Johari pilih DAP


SHAH ALAM – UMNO sekarang yang dikatakan berbeza dengan UMNO ketika zaman ayahnya membuatkan anak Allahyarham Tan Sri Khir Johari berjuang bersama DAP sehingga dilantik menjadi setiausaha politik kepada Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.

Zairil Khir , 28, berkata, UMNO yang pernah diperjuangkan ayahnya bersama Tunku Abdul Rahman Putra, kini adalah sebuah parti politik yang 'kosong' dan hanya tinggal jasad.
"Saya sendiri amat kecewa melihat keadaan ini. UMNO sering diperalat pemerintah bagi kepentingan peribadi," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam situasi ini, katanya, DAP sebagai parti berbilang kaum sama seperti PKR menganggap perjuangan politik berasaskan sentimen perkauman sudah tidak relevan.

"Kita mahu tumpu kepada politik progresif untuk kebaikan bersama," katanya.

Zairil berkata, beliau sendiri sedar ramai yang memandang serong kepadanya apabila anak kepada seorang pengasas UMNO dan pejuang kemerdekaan memilih untuk berpolitik bersama DAP, bukan UMNO.

“Mereka yang berpandangan demikian tidak berupaya untuk melangkaui rangka pemikiran sempit. DAP ada wakil tertinggi daripada setiap kaum. Dalam sejarahnya, pernah ada Melayu jadi pemimpin DAP. Jelas sekali ini sebuah parti berbilang kaum,” katanya.

Zairil turut menafikan tanggapan sesetengah pihak beliau guna populariti nama ayahnya sebagai batu loncatan, manakala DAP pula sekadar mahu meraih kemenangan moral apabila anak kepada seorang pemimpin besar UMNO me­nyertai parti itu, malah diberi jawatan tinggi.

“DAP tidak gun nama ayah saya. Media yang gembar-gemburkan isu itu. Namun saya tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ayah saya seorang daripada pengasas UMNO,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan beliau hanya satu watak dalam 'wayang’ kepada DAP untuk menunjukkan parti tersebut berbilang kaum, Zairil menegaskan, pelantikannya bukanlah 'alang-alang' kerana diberi jawatan mencabar.

“Saya bekerja bawah ketua yang sentiasa mempunyai ekspetasi yang tinggi terhadap hasil kerja pegawai-pegawainya,” katanya.

11 pelajar dakwa diraba




AMPANG - Sebelas pelajar perempuan tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di sini mendakwa guru disiplin di sekolah itu melakukan gangguan seksual terhadap mereka. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 pagi Jummat lalu di dalam bilik guru sekolah berkenaan. 

Mangsa mendakwa guru berkenaan menyentuh di bahagian atas payu daranya dengan alasan mahu memeriksa denyutan nadi sebelum dihukum rotan. 

Guru itu juga dikatakan menyentuh peha pelajar terbabit untuk memeriksa sama ada pelajar itu membawa telefon bimbit. 

Seorang bapa mangsa berkata, anaknya bersama pelajar lain termasuk dua pelajar lelaki dibawa seorang pengawas berjumpa guru disiplin itu kerana kesalahan tidak menghadiri perhimpunan pagi itu. 

“Anak kami ketika itu berada dalam kelas kerana menyiapkan kerja sekolah, namun pengawas berkenaan membawa pelajar terbabit berjumpa guru disiplin,” katanya pada sidang media di Pejabat Ahli Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee, semalam. 

Dia berkata, anaknya memberitahu kejadian menimpa pelajar perempuan itu berlaku selepas empat guru wanita yang berada dalam bilik guru keluar daripada bilik itu. 

“Kejadian itu hanya menimpa pelajar perempuan, berikutan insiden itu, ibu bapa pelajar mengambil keputusan untuk berjumpa pengetua sekolah itu Isnin ini (hari ini) bagi mendapat penjelasan pihak sekolah,” katanya. 

Sementara itu, seorang mangsa berkata, guru itu juga merakam gambar dada, kaki dan bahagian belakang badan pelajar berkenaan secara sembunyi. 

“Berikutan itu, kami berasa takut dan malu, kami mahu mempertahankan diri kami namun bimbang apa-apa akan berlaku ke atas kami. Disamping itu, kami mendapat tahu guru terbabit merakam gambar kami apabila mendengar bunyi sesuatu daripada telefon bimbit yang dipegangnya,” katanya. 

Jenice Lee berkata, pembantu pejabatnya bersama ibu bapa pelajar berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah. 

“Disiplin di sekolah penting, bukan saja pelajar, malah guru juga harus menunjukkan disiplin yang baik. Pengetua harus menyiasat segara apabila berlaku sesuatu kejadian di sekolah,” katanya. 

Beliau berkata, seorang peguam sudah dihubungi untuk membantu ibu bapa mangsa mengendalikan kes itu, 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes masih disiasat.

Najib lulus RM10 juta bagi pembangunan Kerdau

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, di Temereloh.

Projek berkenaan ialah menaiktaraf pam di loji air Batu Sawar dan mengganti paip dari Rumpun Makmur ke Kampung Kerai yang bernilai RM9.25 juta.

najib visit kerdau 270211 03Selain itu, beliau turut mengumumkan projek membina dewan terbuka yang mengandungi gelanggang serbaguna bagi masyarakat Cina di Kampung Sri Kerdau, bernilai RM400,000, membina kuil bagi masyarakat India (RM100,000) dan Balai Bomba sukarela (RM150,000).

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa semua projek berkenaan bukan untuk memancing undi, sebaliknya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memberi keselesaan kepada rakyat. 
"Lampu jalan, rumah kos rendah dan ini semua saya tak mahu cakap lagi, nanti akan ada orang kata saya nak membeli undi pula. Sebelum ini, saya pernah berjanji saya akan menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum dan inilah buktinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dua majlis berasingan di majlis ramah mesra bersama penduduk Batu Sawar dan ramah mesra bersama masyarakat Cina, India dan Orang Asli di Kampung Baru Kerdau di Temerloh, hari ini.

najib visit kerdau 270211 02Katanya, kerajaan BN sentiasa melakukan projek bagi pembangunan dan keselesaan rakyat sejak merdeka walaupun kepimpinannya silih berganti.

Sementara itu, Najib juga mengajak rakyat untuk melihat apa yang didakwanya sebagi keretakan yang dialami Pakatan Rakyat.

Katanya, adalah tidak wajar untuk mempercayai Pakatan Rakyat kerana mereka ini bukan satu parti yang kukuh untuk mentadbir negara dengan baik.

"Parti pembangkang ini, dia main sandiwara politik. Dia tak ada satu ikatan ideologi yang konkrit sebenarnya. Tengok sahajalah mereka nak tubuh kabinet bayangan pun sampai sekarang pun tak boleh tubuh.

"Dia (Pakatan Rakyat) tak berani nak beri jawatan antara dia. Siapa nak jadi Menteri Kewangan, siapa nak jadi Menteri Pelajaran, (dan) dalam pembangkang pun tak ada kesepakatan. Mereka ini satu sahaja, nak jatuhkan BN," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...