Sunday, February 15, 2009

Pakatan pula dakwa Umno penderhaka Raja-raja - mStar Online

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mendakwa hanya Umno dan Barisan Nasional (BN) yang terlebih dahulu menderhaka kepada Sultan dan Raja-Raja iaitu sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dengana menggubal Perlembagaan Persekutuan yang menghakis kekebalan Raja-Raja Melayu.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Syed Husin Ali berkata, tuduhan yang dilemparkan oleh Umno terhadap Pakatan Rakyat berhubung isu derhaka sengaja dibangkitkan supaya rakyat memandang negatif terhadap pakatan pembangkang itu.

"Siapa yang derhaka sebenarnya? Kalau mereka kata kita derhaka, Dr. Mahathir dan Umno lagi awal menderhaka apabila pada yahun 1993 mereka tarik kekebalan Raja-Raja Melayu," katanya dalam ucapan pembukaan Bengkel Memperkasakan Gabungan Pakatan Rakyat di sini pagi tadi.

KOMEN ANWAR

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam blognnya berkata, "sekonyong-konyong saya dipersalahkan serta dituduh bertindak dengan tidak menurut lunas-lunas Perlembagaan oleh Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) di atas apa yang berlaku di Perak."

"Perdana Menteri sewajarnya mengetahui yang sengaja membelakangkan kehendak Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri Perak ialah timbalan beliau Datuk Seri Najib Razak."

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat menambah, tindakan Najib yang cuba menjatuhkan pentadbiran Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dengan cara mengugut, merasuah serta bermain silap mata dengan menghilangkan individu tertentu, "sebenarnya mengenepikan Perlembagaan, juga dengan sengaja mencemar kemulian, bukan sahaja Sultan Perak, malah Institusi Raja-Raja Melayu itu sendiri."

Ketua Pembangkang di Parlimen itu menambah, Raja dan Sultan adalah penjaga kepada Sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi di negara ini.

Oleh itu, kata beliau, tindakan Pakatan Rakyat menyaman Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir menunjukkan komitmennya dalam memulihkan kembali penjalanan proses demokrasi di Perak serta memastikan institusi Raja tidak dicemar dengan tindakan segelintir yang berpolitik menurut mazhab Machiavelli.

Isu derhaka mula wujud apabila Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu memfailkan saman terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

Begitu juga 'sembah derhaka' yang dipohon oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

Jelas beliau, Umno sememangnya bijak memainkan isu sentimen perkauman dan derhaka apabila Pakatan Rakyat mempertikaikan pelantikan Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak.

"Ini memang modal mereka. Mereka akan terus hidup apabila memainkan isu perkauman dan derhaka.

"Tapi mereka lupa isu ini sebenarnya sudah lapuk dan merekalah penderhaka yang sebenarnya," katanya.

Isu derhaka ini turut menyebabkan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah terhadap pihak yang mengadakan demonstrasi jalanan membantah titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pelantikan kerajaan Perak.

KOMEN NAIB PRESIDEN PAS

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya tidak melihat apa yang berlaku di Perak itu sebagai tindakan menderhaka kepada Sultan.

"Kita tidak menderhaka, sebaliknya kita hanya amalkan dan pertahankan hak mengikut undang-undang," katanya.

Calon PAS di Bkt Gantang, PKR di Bkt Selambau - MalaysiaKini

Feb 15, 09 6:38pm

Pakatan Rakyat akan meletakkan calon mengikut parti yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu di kedua-dua pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata Pakatan Rakyat telah bersetuju untuk meletakkan calon PAS bertanding di Parlimen Bukit Gantang dan calon PKR di kerusi DUN Bukit Selambau, lapor Bernama.

"Cuma nama calon akan diumumkan kelak, senarai nama mengikut parti bertanding sudah ada, menunggu masa yang sesuai sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan bengkel memperkasakan Pakatan di ibunegara hari ini.

Pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, Kedah diadakan berikutan wakil rakyatnya V Arumugam dari PKR meletakkan jawatan Ahad lalu manakala pilihanraya kecil Parlimen Bukit

Gantang, Perak diadakan ekoran kematian ahli Parlimennya, Roslan Shaharum, dari PAS Isnin lalu akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihanraya kecil bagi kedua-dua kerusi itu akan diadakan serentak pada 7 April ini. Penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac depan.

Arumugam, yang bertanding atas tiket bebas dalam pilihanraya umum tahun lalu, memenangi kerusi DUN Bukit Selambau atas tiket bebas, dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), S Krishnan dengan majoriti 7,695 undi.

Arumugam kemudian menyertai PKR dan dilantik sebagai exco kerajaan negeri dengan memegang portfolio Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Perpaduan, Pekerja Ladang dan Hal Ehwal Masyarakat India.

Allahyarham Roslan, 50, menewaskan Bendahari Umno Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan calon Bebas Mohganan P.Manikam dengan majoriti 1,566 undi di kerusi Bukit Gantang.

BN pilih anak tempatan

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) telah memutuskan untuk memilih anak tempatan dari Umno untuk bertanding di Bukit Gantang.

Calon yang akan dipilih adalah dari kalangan yang bergerak aktif di peringkat bahagian dan boleh diterima oleh rakyat, katanya selepas mempengerusi mesyuarat tertutup BN Perak
di ibu pejabat Umno Perak di Ipoh hari ini.

Menjawab pertanyaan pemberita, Najib berkata syarat utama yang ditetapkan bagi pemilihan calon adalah anak tempatan yang boleh diterima oleh semua.

"Mesti anak tempatan...kita ada senarai panjang dan pendek. Nama akan ditentukan kemudian, kita punya masa lagi untuk buat tinjauan dan pilihanraya lama lagi. Kita akan buat (persediaan) apa yang patut," katanya.

Pemilihan anak tempatan sebagai calon BN hangat diperkatakan ekoran kekosongan kerusi berkenaan kerana pemilihan calon luar sebelum ini dianggap salah satu sebab kubu kuat BN itu terlepas kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008.

Kelmarin, bekas Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali kelmarin turut meminta BN belajar daripada kesilapan pada pilihanraya umum lalu serta menghormati kehendak penduduk tempatan.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN meletak bendahari Umno Datuk Seri Azim Zabidi sebagai calon manakala dalam pilihanraya umum 2004, kerusi berkenaan dimenangi oleh Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe.

Selain kalah di parlimen itu pada pilihan raya umum 2008, BN hanya mempertahan satu daripada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu iaitu DUN Trong manakala DUN Kuala Sepetang dan Changkat Jering dirampas oleh PKR.

Saravanan calon Bukit Selambau? - MalaysiaKini

Athi Veranggan | Feb 15, 09 12:32pm

MIC mungkin mencalonkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Selambau, V Saravanan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil di situ pada 7 April depan.

Menurut sumber-sumber, Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu sedang menimbang secara serius untuk mencalonkan Saravanan yang juga pengerusi MIC Kedah bertanding bagi merebut semula kerusi
tersebut.

bm version bukit selambau state seat 090209Saravanan, 61, menjadi Adun Bukit Selambau serta ahli exco kerajaan negeri Kedah selama 13 tahun dari 1995 hingga 2008.

Beliau bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi itu dalam pilihanraya umum tahun lalu untuk memberi laluan kepada calon muda dari MIC, S Krishnan, yang tewas kepada calon bebas V Arumugam dengan majoriti 2,362 undi.

Arumugam, 54, meletak jawatan secara mengejut bagi jawatan exco negeri serta Adun Bukit selambau awal bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihanraya bagi kerusi tersebut diadakan pada 7 April depan, manakala pencalonan calon pada 29 Mac ini.

Ketika dihubungi, Saravanan bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu yang namanya sedang dipertimbang untuk bertanding di Bukit Selambau.

Namun begitu, katanya, jika dipilih, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk merampas semula kerusi tersebut dalam pilihanraya kecil kali ini.

Sementara itu, pengerusi badan perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Umno negeri akan menerima apa juga keputusan pucuk pimpinan parti mengenai calon yang akan bertanding.

"Datuk Seri Najib telah dimaklumkan dan beliau faham suasana di Bukit Selambau. Jadi saya berharap sebarang keputusan akan mengambil kira pelbagai sudut," kata Mahdzir.

Ketua Umno bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md Zain sebelum ini dilaporkan memohon supaya kerusi Bukit Selambau yang diberikan kepada MIC selama empat penggal, dipulangkan kepada Umno.

Umno Penderhaka Agung

http://bloggersnetworkmalaysia.com/?p=528


Mohamed Hanipa Maidin

Kini, hampir setiap hari kita mendengar media massa yang dikongkong oleh Umno menuduh Dato’ Seri Nizar Jamaluddin sebagai penderhaka. Laporan polis juga telah dilaporkan dibuat ke atas Nizar.







Inilah politik kotor yang dimainkan oleh ‘parti kotor’ seperti Umno. Baik dulu, kini dan selamanya Umno sering terjebak dalam politik kotor. Politik orang yang tidak bertamadun dan parti yang tidak bermaruah.

Umno penderhaka agung

Jika Umno tidak diserang penyakit ‘amnesia’ (penyakit mudah lupa) sudah tentu parti tersebut patutnya merasa malu untuk bermain isu derhaka ini. Kerana apa? Kerana jika satu jari Umno menuduh Nizar sebagai penderhaka, maka empat jari Umno yang lain sebenarnya sedang menuding kepada Umno sendiri sebagai “penderhaka par excellence” (penderhaka agung).

Bagaimanakah pemimpin Umno seperti Muhammad Taib boleh dengan tidak malu tumpang sekaki menuduh Nizar sebagai penderhaka sedangkan semua orang tahu beliau adalah “kepala penderhaka” apabila dengan tanpa segan silu sanggup melarikan anak Raja.

Siapakah yang tergila-gila sanggup berarak untuk membawa Tengku Ibrahim dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu bagi menggantikan Sultan Kelantan? Siapa lagi kalau bukan penderhaka Umno. Mungkin parti itu menganggap mengganti sultan semudah menukar pengerusi JKKK.

Siapakah yang telah mewujudkan krisis Perlembagaan pada tahun 1983 kalau bukan Umno. Kerakusan Umno mempertahankan kuasa telah mendorong Umno mencadangkan satu pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi meminda peruntukkan yang berkaitan dengan kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja serta kuasa Yang DiPertuan Agung untuk mengisytiharkan darurat.

krisis perlembagaan 1983

Pindaan yang dkemukakan pada pertengahan tahun 1983 diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara tetapi Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani rang undang-undang Perlembagaan (Pindaan 1983) tersebut setelah baginda berbincang dengan raja-raja yang lain.

Pindaan Perlembagaan 1983 tersebut bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan tetapi buat kali pertamanya selepas Merdeka raja-raja dan pemimpin kerajaan yang dikuasai oleh Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja. Rapat umum yang dianjurkan oleh Umno telah meletakkan kedudukan raja dipandang hina masyarakat awam.

Tidak cukup menghina raja-raja pada tahun 1983, Umno sekali lagi dengan rakus bertembung dengan raja-raja pada tahun 1990. Pertembungan tersebut berlaku selepas Umno kalah teruk di Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990. Mana-mana orang yang tidak buta sejarah seperti pemimpin Umno tentu tidak dapat melupakan bagaimana Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1991 menyaksikan kritikan-kritikan yang pedas, tajam, kurang ajar dan tidak beradab terhadap raja-raja Melayu.

Pihak istana Kelantan dibidas dengan terbuka dan dituduh bertanggungjawab terhadap kekalahan calon-calon BN di tangan calon-calon Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Bukan sahaja Sultan Kelantan dibidas dengan tajam dan pedas, raja-raja lain turut menjadi bahan kritikan dengan pelbagai tuduhan seperti menyalahgunakan kedudukan untuk mendapat kelebihan dan peluang perniagaan, mencampuri hal ehwal pentadbiran dan sebagainya (lihat Far Eastern Economic Review 28/11/1991 m.s. 13).

Semasa krisis itu juga, media-media massa tajaan Umno membangkitkan kembali krisis beberapa orang Sultan dan Menteri Besar Umno seperti yang berlaku di Perak pada tahun 1997; (Tan Sri Ghazali Jawi enggan meletak jawatan apabila diperintah oleh Sultan Perak mendorong baginda enggan bercukur jambang sehingga Menteri Besar tersebut meletakkan jawatan); dan di Pahang pada tahun 1979 (membabitkan Datuk Rahim Abu Bakar).

juara menderhaka

Kalau tidak cukup bukti-bukti di atas yang secara jelas menunjukkan Umno sebagai juara menderhaka kepada raja, saya ingin membawa para pembaca pula kepada pindaan Perlembagaan tahun 1993.

Pindaan Perlembagaan tahun 1993 melibatkan isu cubaan Umno untuk menghapuskan imuniti raja-raja. Keputusan Majlis Raja-Raja yang meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut tidak disenangi oleh Umno. Apa yang berlaku selepas itu seperti mana yang diketahui umum; media-media massa yang dikawal oleh Umno menyiarkan kenyataan tidak bersopan dan beradab beberapa orang Menteri yang mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja dan anggota kerabat Diraja tertentu.

mengaibkan raja-raja

Sekali lagi Umno mengulangi taktik mengaibkan raja-raja seperti mana yang dilakukan semasa krisis Perlembagaan tahun 1983.

Bersandarkan bukti-bukti di atas, kini sipenderhaka Umno yang sama tanpa segan silu menuduh Nizar pula sebagai penderhaka.

Ya, memang benar Nizar mengakui telah “menyembah sembah derhaka” semasa beliau diminta oleh Yang Mulia Tuanku Sultan untuk mengundur diri daripada jawatan Menteri Besar Perak. Apabila seseorang tidak bersetuju dengan titah sultan menjadi adat dan bahasa istana seseorang akan menyatakan “hamba memohon untuk menyembah sembah derhaka”.

“Sembah derhaka” bermaksud tidak bersetuju dalam bahasa rakyat. Di dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Menteri-Menteri Besar saya difahamkan dipanggil “hamba tua” . Ini bahasa istana dan nak buat macam mana?

jahil bahasa istana

Malangnya Umno yang jahil dengan bahasa istana menganggap Nizar sebagai derhaka apabila memohon “menyembah sembah derhaka? . Naif dan ceteknya pemikiran Umno.

Nizar memohon menyembah derhaka kepada Yang Mulia Tuanku Sultan kerana beliau berpandangan Sultan tidak mempunyai kuasa memecatnya. Ini kerana berdasarkan Perkara 16(7) Perlembagaan Negeri Perak, secara jelas memperuntukkan bahawa tidak sepertimana ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri yang memegang jawatan dengan kerelaan sultan (at his pleasure) yang membolehkan para exco boleh dilantik dan dipecat oleh Sultan pada bila-bila masa, jawatan Menteri Besar adalah berbeza dengan jawatan exco. Dengan lain perkataan jawatan Menteri Besar tidak dipegang di atas keredaan sultan.

Menteri Besar seperti Nizar hanya boleh diminta untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar sekiranya beliau telah tidak lagi mendapat kepercayaan (ceases command of confidence) kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Perak seperti mana yang diperuntukkan di dalam Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak.

Persoalannya bagaimanakah kaedah untuk menentukan seseorang Menteri Besar itu telah tidak lagi mendapat kepercayaan kebanyakan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri menurut perpektif undang-undang?

Apa yang berlaku pada kes Nizar ini samalah seperti yang berlaku kepada Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1966. Di dalam kes Stephen Kalong Ningkan lwn Tun Abang Haji Openg & Tawi Sli (1966) 2 MLJ 187, Mahkamah Tinggi Borneo telah memutuskan bahawa di bawah Perlembagaan Negeri Sarawak (sama seperti Perlembagaan Negeri Perak) “lack of confidence may be demonstrated only by a vote in the Council Negeri” (kehilangan kepercayaan hanya boleh ditunjukkan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Majlis Negeri (sama seperti Dewan Undangan Negeri)).

undi tidak percaya

Oleh itu Nizar mempunyai sebab yang kukuh untuk enggan meletakkan jawatan. Di dalam kes di Perak kekuatan BN dan Pakatan Rakyat sama iaitu masing-masing 28 kerusi. Ketiga-tiga bekas Adun Pakatan Rakyat hanya menjadi Adun Bebas dan bukannya Adun BN. Maka isu sama ada ketiga-tiga Adun berkenaan dikatakan menyokong BN mestilah dibuktikan melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dun.

Terdapat keraguan sepertimana yang diakui oleh SPR sama ada ketiga-tiga Adun ini masih boleh dianggap sebagai Adun kerana terdapat bukti yang kukuh mereka telah meletakkan jawatan sebagai Adun seperti mana surat mereka yang telah ditandatangani dan dialamatkan kepada Tuan Speaker.

Berdasarkan Perkara 35 Perlembagaan Negeri Perak, surat perletakan jawatan ketiga-tiga Adun tersebut adalah sah. Hatta jika terdapat keraguan sekalipun sama ada ketiga-tiga Adun tersebut masih boleh dikira Adun atau tidak, badan yang boleh menentukan kelayakan ketiga-tiga Adun tersebut hanyalah Dun Perak seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 33(1) Perlembagaan Negeri Perak yang secara jelas menyatakan: “Jikalau berbangkit sebarang masalah adakah seseorang ahli Dun itu telah kehilangan syarat menjadi ahli, maka keputusan dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah muktamad”.

Dun tentukan status Adun

Jelas Dun Negeri Perak dan bukannya SPR yang berhak menentukan sama ada ketiga-tiga Adun tersebut masih layak sebagai Adun atau tidak dan keputusan Dun tersebut adalah muktamad. Apa yang malang tatkala Y.M. Sultan melantik Menteri Besar yang baru, Dun Perak masih belum lagi memutuskan tentang status kelayakan ketiga-tiga Adun tersebut. Dalam keadaan tersebut terdapat keraguan yang munasabah sama ada Nizar telah dikatakan hilang keyakinan majoriti ahli-ahli Dun Perak.

Atas dasar itulah Nizar mempunyai asas yang kukuh di sisi undang-undang untuk memohon kepada Tuanku Y.M. Sultan untuk “memohon menyembah sembah derhaka” untuk enggan meletakkan jawatan sebagai MB Perak. Malangnya “sembah derhaka” tersebut difahami oleh sipenderhaka Umno sebagai derhaka. _ HRKH

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...