Friday, July 17, 2009

'Saya akan besarkan anak kami'

Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Jodoh pertemuan dan ajal maut semuanya di tangan Tuhan.

Itulah hakikat pahit yang perlu ditelan oleh Soh Sher Wei, 28, bakal isteri Teoh Beng Hock yang mati secara tragis semalam.

Pasangan itu merancang mendaftarkan perkahwinan mereka hari ini sebelum melangsungkan perkahwinan mereka pada Oktober.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, exco pembangunan kampung baru Selangor, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bagaimanapun Soh (foto, baju putih) masih beruntung kerana zuriat mereka berdua masih ada dan bertekad akan melahirkannya, kini berusia dua bulan, lapor laman web China Press hari ini.

Bercakap kepada akhbar itu pagi ini di hospital Kelang - tempat bedah siasat mayat Teoh dijalankan - guru di Semenyih itu berkata tunangnya mengetahui kehamilannya.

Menurut akhbar yang sama, beberapa teman Teoh sukar menerima kemungkinan mendiang membunuh diri kerana, pada pagi Rabu, bekas wartawan itu menghubungi mereka dan mengundang ke majlis persandingannya.

Panggilan itu dibuat beberapa jam sebelum diminta hadir di pejabat SPRM kira-kira 6 petang bagi memberi keterangan sebagai saksi siasatan kes salah guna wang peruntukan DUN -

Teoh, yang berasal dari Alor Gajah, Melaka, bertanya kepada rakan-rakan yang dihubunginya sama ada mereka akan memeriahkan saat-saat manis beliau mengakhiri zaman bujangnya.

Seorang rakannya, yang tidak sempat menjawab panggilan tersebut, dilaporkan berasa kesal atas kesempatan terakhir itu. Rakan itu juga sukar menerima kemungkinan pemuda ini mati membunuh diri.

Sementara itu laman web akhbar Guang Ming Daily hari ini pula melaporkan ibunya Chong Saw Huay, 56, menangis tidak henti-henti sejak menerima berita tragis itu petang semalam.

Setiap kali melihat gambar anaknya, yang terbaring kaku, di dada akhbar, ibunya dilaporkan akan menangis sementara menunggu mayatnya dibawa pulang ke pangkuannya.

Mayat mendiang dijangkan akan disemadikan di Alor Gajah, 11 pagi Isnin ini.

Wanita itu semalam dilaporkan pengsan sewaktu menerima panggilan telefon daripada seorang pembantu exco kanan Selangor, Teresa Kok.

Bercakap kepada akhbar itu di rumahnya hari ini, Chong berkata anaknya itu bersama Soh, berasal dari Batu Pahat, sepatutnya pulang ke Alor Gajah untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka yang dirancang 3 Oktober ini - bersempena Pesta Tanglung.

Pasangan juga merancang akan mencuba pakaian pengantin hari ini.

Dewan untuk melangsungkan majlis tersebut dan makanan telah ditempah, Chong dilaporkan berkata lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Guang Ming Daily juga melaporkan bapa mendiang Teoh Liang Fai, 61, sanggup menerima anak yang bakal dilahirkan Soh walaupun hanya mengetahui kehamilan itu hari ini.

Hamil sebelum perkahwinan "perkara biasa, tolong jangan pandang serong," pemandu teksi itu dipetik berkata.

Beliau juga bersedia meletakkan nama Soh sebagai "isteri" di iklan belasungkawa di akhbar.

Anwar: Jui Meng buat pengumuman khas esok

Bekas menteri kesihatan, Datuk Dr Chua Jui Meng akan membuat satu pengumuman khas di majlis khas anjuran PKR di Sunway esok, kata Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menulis dalam blognya, Anwar berkata, majlis tersebut merupakan satu forum umum bertajuk "Kebenaran di sebalik skandal: Perak, PKFZ dan konspirasi BN".

Ia akan berlangsung di sebuah hotel di Sunway pada jam 2.30 petang esok.

Katanya, PKR berpendirian bahawa rakyat berhak mengetahui kebenaran mengenai isu-isu yang mempunyai kesan yang besar terhadap negara.

"Forum ini akan mengetengahkan fakta-fakta yang diselindungi oleh BN, yang tidak dibenarkan penyiarannya dalam media arus perdana.

"Mantan ,enteri kesihatan Dato' Dr Chua Jui Meng akan membuat satu pengumuman khas pada hari tersebut," katanya.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang yang Chua yang meletakkan jawatan pengerusi MCA bahagian Bakri yang dipimpinnya sejak 1988, akan melompat parti untuk menyertai PKR.

Bagaimanapun, malam tadi, bekas naib presiden MCA itu menafikan beliau akan menyertai PKR.

Kenyataan Anwar hari ini dilihat sebagai satu petanda mengenai kemungkinan besar Chua akan menyertai PKR

12 rakyat Malaysia di Hotel JW Marriott selamat

JAKARTA 17 Julai — Seramai 12 rakyat Malaysia yang menginap di Hotel JW Marriott, satu daripada dua buah hotel yang menjadi sasaran letupan bom pagi Jumaat, disahkan selamat dan telah keluar dari hotel terkemuka itu yang terletak di kawasan Mega Kuningan, Jakarta Selatan.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain berkata, lima orang daripada mereka telah melaporkan diri ke kedutaan yang terletak tidak jauh dari hotel itu.

“Mereka yang merupakan ahli perniagaan sudah melaporkan diri dan meminta bantuan kedutaan untuk mendapatkan semula pasport serta barangan mereka yang ditinggalkan di JW Marriott,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Empat lagi ialah keluarga Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE ke Indonesia yang baru, Yusram Yusup iaitu isteri, dua orang anak dan pembantu mereka yang baru tiba pada 15 Julai dan menginap sementara di JW Marriot, bersebelahan pejabat MATRADE di Plaza Mutiara.

Zainal Abidin bagaimanapun berkata, ketika kejadian Yusram sedang menjalankan tugas di Surabaya.

Katanya, keluarga itu sudah dipindahkan oleh para pegawai kedutaan dan MATRADE ke sebuah apartmen dan pihak kedutaan akan membantu mereka untuk mengambil barangan mereka dari hotel itu bila diizinkan oleh polis Indonesia.

Duta Besar itu berkata, seorang lagi ialah wanita rakyat Malaysia yang sedang mengikuti seminar audit di hotel itu, yang ketika kejadian berada di kaunter hotel untuk melunaskan bayaran sebelum pulang ke Malaysia.

Wanita itu, katanya, terus meninggalkan hotel sebaik kejadian dan menelefon kedutaan memberitahu beliau selamat setelah berada di Lapangan Terbang Cengkareng untuk kembali ke tanah air.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang selamat ialah seorang daripada pengarah hotel JW Marriott, katanya.

Sementara itu tiada rakyat Malaysia menginap di Hotel Ritz Carlton,sebuah lagi hotel yang terbabit dalam kejadian letupan bom itu.

Zainal Abidin berkata, tiga pasukan yang terdiri daripada kalangan pegawai kedutaan juga telah dibentuk bagi membuat pemeriksaan di semua tiga hospital, di mana lebih 50 mangsa letupan dirawat, bagi mengesan jika terdapat rakyat Malaysia yang cedera.

“Kita tidak mahu berandaian bahawa tidak ada lagi rakyat Malaysia yang terlibat dan mengambil inisiatif memeriksa ke hospital-hospital tersebut,” katanya.

- BERNAMA

SU politik exco mati jatuh bangunan SPRM

Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam.

Mayat Teo Beng Hock, 30, ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.

Semalam Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.

(foto: Teo, kanan, bersama Ean Yong berbual dengan pegawai siasatan di pejabat exco itu)


Berikutan berita mengejut dan luar biasa tersebut, para pemimpin Pakatan, termasuk Ean, bergegas ke bangunan tersebut.

Pemimpin DAP lain yang berada di pejabat SPRM termasuk exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu; Speaker DUN Teng Chang Khim dan ahli parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua.

Liu and Teng mengesahkan bahawa mayat itu mendiang Teo.

Sewaktu ditemui, mendiang berbaju biru bersama kot hitam dan seluar putih.

Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini.

Ditanya bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang tentang mayat itu.

Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.

SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.

Sementara itu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat empat ADUN Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan wakil rakyat.

Shukri mengesahkan suruhanjaya itu semalam menyerbu empat pejabat ADUN berkenaan dan meneliti beberapa dokumen bagi membantu siasatan, lapor laman web Utusan Malaysia.

"(Siasatan) itu prosedur biasa. Kalau kita terima apa-apa aduan, memang kita akan ke pejabat atau rumah mereka," katanya kepada pemberita di Akademi SPRM hari ini.Sementara itu, peguam M Manoharan, yang menemani Teo ke pejabat SPRM semalam berkata, mendiang kelihatan biasa dan tidak menunjukkan sebarang tanda menghadapi sebarang tekanan.

"Dia nampak gembira dan tenang. Saya menasihatkannya bagaimana hendak mengendalikan soal siasat tersebut kerana saya tidak dibenarkan untuk bersamanya" katanya.

Manoharan, yang juga ADUN Kota Alam Shah kali terakhir melihat Teo pada kira-kira jam 7 petang semalam.

Setakat jam 6 petang ini, mayat Teo masih berada di atas bumbung tempat dia jatuh.

Komputer riba Teo dirampas


Pejabat Ean telah diserbu SPRM semalam di mana sebuah komputer riba milik Teo dan sebuah komputer meja telah dirampas.

SPRM juga menyerbu pejabat ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Selain Ean dan Lau, lima lagi wakil rakyat Pakatan turut disiasat, iaitu Teresa Kok (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama) and Edward Lee (Bukit Gasing).

SPRM sebelum itu telah menyoal siasat beberapa orang, termasuk pembantu lima wakil rakyat - Ean, Lau, Kok, Wong dan Yeoh.

Wakil rakyat Pakatan Selangor masing-masing diberi RM500,000 setahun untuk membiayai program kemasyarakatan di kawasan masing-masing. SPRM mendakwa dana tersebut telah disalahguna.

R Sivarasa, yang juga ahli parlimen Subang berkata, kematian Teo berlaku dalam keadaan yang meragukan.

"Sehingga ini, kita mempertanggungjawab SPRM terhadap kematian tersebut sehingga kita mendapat penjelasan yang memuaskan," katanya.

Nazri: Jangan tuduh, tunggu siasatan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz meminta supaya pihak, termasuk DAP supaya menunggu selesai siasatan terhadap kematian setiausaha politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, yang dipercayai jatuh bangunan pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

"Jangan tuduh-tuduh. Kalau tuduh, kenyataan mereka keluar nanti dekat laporan akhbar, menyebabkan masyarakat buat pandangan (sendiri) sebelum penyiasatan dibuat," tambahnya.

Mayat Teo Beng Hock, 30, ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut.

Semalam Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.

Mengulas lanjut, Nazri berkata: "Saya dapat laporan awal dari SPRM mengatakan dia dah dilepaskan selesai soal siasat semalam.

"Jadi, dia patut balik rumah. Kita pun tak tahu dia nak terjun bangunan tu...," kata Nazri ketika dihubungi Malaysiakini.

"Kita kena tunggu dulu siasatan tu macam mana. Jangan terus membuat kesimpulan," tambahnya.

Sewaktu ditemui, mendiang berbaju biru bersama kot hitam dan seluar putih.

Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini.

Ditanya bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang tentang mayat itu.

Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi.

SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...