Tuesday, October 14, 2008

Keputusan PM berundur jejas Khairy? - MALAYSIAKINI

Muda Mohd Noor | Oct 14, 08 2:21pm

Keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan presiden Umno, dipercayai telah memberi kesan kepada pencalonan untuk menantunya Khairy Jamaluddin bagi jawatan ketua Pemuda.

Abdullah juga mengumumkan minggu lalu untuk menyerahkan kuasa kepada timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Razak - dari 2010 kepada Mac tahun depan.

pencalonan terkini mukhriz dan khairyBerikutan itu, exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir kini mendahului pencalonan dan sudah layak bertanding jawatan ketua Pemuda.

Sehingga ini, Mukhriz mendapat 40 pencalonan - melepasi jumlah kelayakan minimum 39 pencalonan.

khairy jamaluddinManakala Khairy pula baru mendapat 19 pencalonan dan memerlukan 20 lagi untuk layak bertanding.

Agak mengejutkan lagi, Mukhriz turut mendapat pencalonan dari Perak dan Negeri Sembilan yang memang diketahui menyokong kuat Khairy.

Ketua Pemuda Perak, Zainol Fadzi Paharudin dan ketua Pemuda Negeri Sembilan, Datuk Ir Jamlus Abdul Aziz turut hadir ketika Khairy mengumumkan di Rembau, kesediaannya bertanding jawatan ketua Pemuda.

Peluang Mukhriz cerah


Tiga lagi ketua Pemuda Umno yang turut hadir di majlis tersebut ialah ketua Pemuda Sabah, Japli Akin; ketua Pemuda Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Datuk Norza Zakaria.

Sehingga ini, empat bahagian di Perak - Teluk Intan, Kampar, Ipoh Barat dan Padang Serai - mencalonkan Mukhriz untuk jawatan ketua Pemuda.

mukhriz mahathirMukhriz juga turut mendapat pencalonan dari tiga bahagian di Negeri Sembilan - Rasah, Jelebu dan Jempol.

Walaupun Khairy dijangka mendapat cukup pencalonan minggu-minggu berikutnya, tetapi pemerhati politik menyifatkannya sebagai petanda perubahan dalam parti turut menghakis pengaruh menantu perdana menteri itu.

Sekiranya pencalonan untuk Mukhriz terus meningkat, kata mereka, Mukhriz mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi jawatan ketua Pemuda Umnno.

pencalonan bahagian pemuda umnoWalaupun, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut menawarkan diri dan sehingga ini mendapat 12 pencalonan, tetapi perebutan bagi jawatan tersebut lebih tertumpu kepada persaingan antara anak bekas perdana menteri itu dengan Khairy.

Reezal, Razali layak

Semalam, ketika bercakap kepada pemberita, Mukhriz menyifatkan sokongan terhadapnya itu sebagai "mesej jelas menunjukkan bahawa perwakilan mahukan perubahan".

Beliau seterusnya berharap bahagian-bahagian lain akan turut mencalonkannya jika mereka juga mahukan perubahan.

"Saya amat berterima kasih dan berbesar hati terhadap keyakinan yang diberikan kepada saya perwakilan dari bahagian-bahagian.

"Saya rasa ia adalah tanda bahawa perwakilan mahukan perubahan dan mereka melihat saya mewakili mereka," katanya di lobi Parlimen.

Mukhriz berkata kejayaan mendapatkan pencalonan yang banyak dalam tempoh yang singkat adalah amat mengejutkan, dan berharap momentum itu akan berterusan.

Sementara itu, dua calon bagi jawatan naib ketua Pemuda - exco Pemuda Datuk Reezal Merican Naina Merican dan ahli parlimen Muar Razali Ibrahim - turut layak bertanding Mac depan.

Mereka memerlukan 20 pencalonan untuk layak dan sehingga ini, Razali mendapat 35 pencalonan dan Reezal mendapat 30 pencalonan.


Zulkifli Nafi Akan Sertai Umno - BERNAMA

14 Oktober, 2008 17:33 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Anggota Parlimen Kulim/Bandar Baharu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Noordin menafikan akan menyertai Umno ekoran keputusan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menarik balik petisyen membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-12 yang memberi kemenangan kepada Zulkifli.

"Tidak timbul soal itu. Saya masih bersama PKR, dan duduk di kerusi PKR ketika dalam Parlimen.

"Saya sentiasa berhubung dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, jadi tidak timbul masalah cuma ada sedikit 'hiccup' atas perjuangan saya dengan Islam tetapi tidak timbul soal saya untuk melompat parti," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Zulkifli juga berkata setakat ini beliau belum mendapat sebarang tawaran untuk menyertai Umno.

Menyentuh sama ada sebarang tindakan disiplin dikenakan terhadapnya oleh PKR berhubung tindakannya membantah Forum Memeluk Islam anjuran Majlis Peguam pada 9 Ogos lepas, Zulkifli berkata beliau sudah dipanggil untuk menjelaskan tindakannya kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu.

"Saya telah beri penjelasan tentang pendirian saya bahawa saya utamakan perjuangan Islam, kalau PKR menyediakan platform perjuangan Islam saya tidak ada masalah," katanya.

-- BERNAMA

Harga Petrol Turun Esok, Kata Abdullah - BERNAMA

14 Oktober, 2008 18:26 PM

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata harga petrol RON97 akan dikurangkan sebanyak 15 sen kepada RM 2.30 sen seliter berkuat kuasa esok.

Perdana Menteri berkata harga petrol RON92 juga akan dikurangkan sebanyak 10 sen kepada RM2.20 manakala diesel turun 20 sen kepada RM2.20.

Ini berikutan harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini, katanya dalam satu kenyataan dari Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah membuat keputusan untuk mempercepatkan pengurangan harga runcit petrol dan diesel bagi membolehkan orang ramai menikmatinya dengan lebih segera.

Sebelum ini, kerajaan telah melaraskan harga runcit petrol pada 23 Ogos dan 24 September tahun ini.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...