Friday, August 8, 2008

Siasat pelantikan 11 pegawai khas MB -MALAYSIAKINI

Aug 8, 08 4:10pm

Pakatan Rakyat membuat laporan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini memintanya menyiasat pelantikan sebelas pegawai khas menteri besar Negeri Sembilan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

Laporan itu dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohamad Omar.

Bercakap kepada pemberita di Seremban hari ini, beliau berkata pegawai khas tersebut juga turut diberi kuasa untuk duduk dalam mesyuarat jawatankuasa pembangunan daerah dan mesyuarat jawatankuasa tindakan daerah.

Katanya, dalam laporan tersebut, BPR juga diminta menyiasat tindakan kerajaan Negeri Sembilan membatalkan elaun pusat khidmat masyarakat Dewan Undangan Negeri sebanyak RM1,500 sebulan selepas pilihanraya umum Mac lalu, demikian menurut laporan Bernama.

Zulkefli berkata, alasan kerajaan negeri bahawa tindakan itu sebagai langkah berjimat cermat adalah tindakan tidak demokratik dan menafikan hak wakil rakyat untuk menggunakan peruntukan itu bagi kebajikan rakyat.

"Kami meminta BPR melakukan tindakan yang sewajarnya bagi membetulkan keadaan yang tidak sihat ini daripada terus berlaku," katanya.

Zulkefli diiringi beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Pengerusi DAP Negeri yang juga Ahli Parlimen Rasah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Loke Siew Fook; Adun Sikamat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Aminuddin Harun dan Ketua Pemuda PAS negeri yang juga Adun Paroi, Mohamad Taufek Abdul Ghani.

Reaksi MB

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dakwaan Pakatan Rakyat bahawa kerajaan negeri menyalahgunakan elaun RM1,500 wakil rakyat di kawasan yang diwakili pembangkang dengan melantik 11 pegawai khas dan membayar gaji mereka adalah langsung tidak berasas.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, kerajaan negeri tidak menggunakan duit RM1,500 itu bagi membuka pusat khidmat dan membayar gaji pegawai khas bagi mengurus pusat khidmat masyarakat Barisan Nasional (BN).

"Elaun yang dipotong itu bukannya khusus untuk mengurus pusat khidmat di kawasan masing-masing tapi sebaliknya terus disalurkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri bagi membantu golongan kurang bernasib baik," katanya kepada pemberita di Seremban hari ini

Mohamad berkata apa yang dipotong bukan elaun tetap wakil rakyat. Ia adalah elaun untuk wakil rakyat membuka pejabat dan menggaji pembantu pejabat pusat khidmat masyarakat BN yang dibuka dan dibiayai oleh parti.

Beliau berkata semua wang yang terkumpul daripada potongan elaun sebanyak RM648,000 setahun itu akan disalurkan kepada tabung JKM bagi membantu rakyat negeri ini terutama mereka yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan.

"Kita juga akan mengusulkan di persidangan Dewan Undangan Negeri hujung bulan ini supaya meluluskan peruntukan tambahan RM1.2 juta lagi untuk disalurkan kepada JKM bagi membantu dan membela golongan kurang bernasib baik di negeri ini," katanya.

Logo anjing: Penulis blog mohon maaf -MALAYSIAKINI

Abdul Rahim Sabri | Aug 8, 2008

Seorang penulis ditahan polis selama dua hari kerana memaparkan imej kepala anjing di lambang rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di blognya.

Abu Bakar Mohd Rashid juga disiasat berhubung artikelnya bertajuk 'Kenapa tidak usik Raja Petra' yang termuat di blognya 'Penarik Beca' (www.penarikbeca.blogspot.com) pada 14 Julai lalu.

Ditemui Malaysiakini selepas dibebaskan di ibu pejabat polis bahagian jenayah perdagangan, Kuala Lumpur, petang ini, beliau menyatakan kesal dengan tindakannya itu dan memohon maaf kepada pasukan polis.

"Saya memohon maaf mana-mana yang tersinggung kepada semua (anggota) polis. Tetapi tulisan dalam artikel itu saya pertahankan," katanya.

"Saya rasa saya tidak patutlah meletakkan lambang itu."

"Apabila disebut (dalam siasatan) tentang lambang (PDRM) itu, saya langsung tidak mempertahankan. Saya kesal dan saya tidak pertahankan. Kalau ada orang bertanya bab itu, saya malas layan lagi," tambahnya.

"Saya kesal, dan saya balik, saya mahu buang."

abu bakar mohd rashid penarik beca 0808081Di lambang itu, imej muka harimau digantikan dengan "muka anjing yang sedang menyalak", perkataan Allah digantikan dengan "simbol wang", perkataan Muhammad (dengan perkataan bahan letupan 'C4') dan lambang di puncak mahkota (simbol Zionisme).

Menurut wartawan sambilan itu, lambang PDRM yang diubah itu diambil dari laman web lain - bagaimanapun beliau tidak menyebutnya.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan dikehendaki melapor diri di ibu pejabat polis yang sama pada 20 Ogos jam 10.30 pagi.

Beliau disambut oleh isterinya Salwah Abd Samad dan empat rakannya di balai tersebut kira-kira 5.40 petang tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata gambar anjing pada lambang PDRM "satu percubaan untuk menghasut orang ramai membenci polis".

Beliau dilaporkan berkata, polis yang memandang serius cubaan itu akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba mencemar imej dan kredibiliti pasukan itu.

Menurut penulis blog itu, beliau ditahan oleh tujuh anggota polis yang diketuai oleh ASP Hazizi Abdul Samad, yang juga pegawai penyiasat kesnya.

Laporan Bernama menyebutkan, beliau ditangkap di rumahnya pada pukul 10 malam di Taman Koperasi Polis, Gombak bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Penulis itu kemudian ditahan di ibu pejabat polis daerah Sentul dan disiasat di ibu pejabat polis bahagian jenayah perdagangan.

penarik beca sang kutu website blogspot 070808Mengulas artikelnya tentang sistem pengurusan data polis yang didakwanya didalangi oleh kongsi gelap, beliau bertegas mempertahankan haknya untuk bersuara.

"Dalam siasatan, saya mempertahankan hak saya untuk menulis seperti yang terdapat dalam posting itu."

Artikelnya itu, yang mengulas satu tulisan Raja Petra Kamarudin, turut mendakwa seorang berpangkat Datuk, bekas pegawai tinggi polis Bukit Aman, terlibat dengan pengurusan data tersebut.

Katanya, beliau berpuas hati dengan layanan polis yang profesional dan berhemah.

Siasatan itu dipercayai susulan laporan polis terhadapnya. Bagaimanapun, sewaktu siasatan, beliau tidak ditunjukkan aduan polis tersebut.

Menurutnya lagi, komputer peribadinya dirampas sewaktu serbuan polis itu.

Jika polis memulangkan komputer itu, tambahnya, beliau akan membuang lambang tersebut dari blognya.

"Jadi sekarang saya patah tangan. Saya sekarang tidak dapat nak ubah (buang) dari blog sebab saya patah tangan kerana komputer saya dirampas," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, memandangkan beberapa komputer yang dirampas sebelumnya tidak dipulangkan, Abu Bakar tidak berharap barang miliknya itu akan dikembalikan oleh polis.

Semalam polis mereman Abu Bakar untuk sehari bagi melanjutkan siasatan ke atasnya.

Polis sebelum ini pernah menahan beberapa penulis blog termasuk Raja Petra yang terkenal dengan blog Malaysia Today.

Saya mahu memasuki Parlimen pada 27 Ogos 2008 - Anwar -HARAKAH DAILY

Fri | Aug 08, 08 | 4:01:53 pm MYT

Saya berjanji sebuah kerajaan yang diperintah Pakatan Rakyat, rakyat Malaysia tidak perlu lagi takut kepada penahanan dan perbicaraan yang wewenang.

Pegawai polis dan pendakwaraya yang berkonspirasi untuk memfitnah dan memalukan orang yang tidak bersalah akan dihukum. Setiap rakyat Malaysia pasti akan mendapat perbicaraan yang adil, di mana seseorang itu tidak bersalah selagi adanya bukti yang jelas untuk membuktikan sebaliknya.

Penggunaan kuasa polis dan Peguam Negara untuk menghukum musuh politik akan diharamkan bagi memastikan demokrasi yang sihat, di mana sebarang perbezaan pendapat bukan sahaja di benarkan malah digalakkan.

Dengan ini setiap hak rakyat Malaysia akan dianggap sebagai suci dan akan dilindungi oleh kehakiman yang bebas dipandui oleh prinsip-prinsip yang selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Perbicaraan bermotifkan politik yang dibuat ke atas saya, dengan izin Allah merupakan yang terakhir.

Apa yang berlaku semalam membuktikan saya sememangnya tidak bersalah dari sebarang pertuduhan yang muncul baru-baru ini.

Laporan perubatan dan akuan bersumpah oleh Dr Osman yang muncul pada hari Khamis seharusnya menghilangkan sebarang keraguan dan pertanyaan yang masih timbul samada kejadian itu berlaku ataupun tidak.

Kenyataan Dr Osman juga mengesahkan apa yang kami nyatakan sebelum ini berkenaan usaha memualkan pihak polis untuk memalsukan bukti di dalam kes ini, dengan cara yang sama di dalam memanipulasikan kes saya pada tahun 1998.

Kredibiliti pihak polis pasti rosak dengan tiadanya penyiasatan yang teliti terhadap wujudnya salah tata urus penyiasatan kes saya.

Keselamatan doktor tersebut ternyata menjadi kebimbangan kami. Saksi utama kes berprofil tinggi di Malaysia sering hilang pada masa lalu seperti PI Balasubramaniam.

Saya memuji individu-individu berani yang mempamirkan komitmen mereka kepada kebebasan dan keadilan dengan melangkah ke hadapan membawa bukti penting. Saya mahu pihak berkuasa memastikan keselamatan mereka.

Semalam di mahkamah, kita sedar kejelikan kes yang dibawa oleh pihak pendakwaraya ternyata mempunyai persamaan dengan kegagalan perbicaraan 1998, pendakwaan sudah pun bertukar dari aksi yang memaksa kepada aksi sukarela.

Ini semua terjadi kerana konspirasi yang dicipta pada minggu terakhir bulan Jun sudah mulai retak dan berkecai.

Ada usaha yang terburu-buru dari pihak polis untuk menutup sebarang kelemahan pengakuan petuduh. Usaha mereka pastinya gagal kerana bukti yang ada sangat jelas menunjukkan sebaliknya serta adanya rakyat Malaysia yang berani ke hadapan untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah.

Perdana Menteri telah secara cuai melibatkan dirinya dengan kes ini, dalam usaha untuk menggagalkan sebarang proses perubahan di Malaysia dan untuk menghindari kejatuhan kareer politik beliau.

Penglibatan beliau dalam kes ini pasti mengakibatkan krisis tenat di dalam pentadbirannya.

Penyokong kuat beliau di kalangan orang Melayu sendiri mulai muak dengan perkara ini.

Tambahan lagi Perdana Menteri Abdullah Badawi sedang berhadapan dengan penyiasatan Badan Pencegah Rasuah berkenaan penglibatan beliau di dalam korupsi dan politik wang.

Bayangan korupsi dan salah urus ekonomi menjadi legasi pentadbiran beliau. Perdana Menteri Abdullah masih gagal memberikan sebarang penjelasan yang meyakinkan berkenaan keuntungan besar yang diraih oleh keluarga beliau hasil dari penglibatan keluarga beliau dalam skandal Minyak untuk Makanan yang melibatkan rakyat Iraq yang terdesak dan di ambang kematian.

Saya menasihati mereka di sekeliling beliau untuk menjauhi bahtera kepimpinan beliau yang bakal tenggelam itu selagi mereka mempunyai peluang.

Agenda Reform Pakatan Rakyat kembali ke landasan yang tepat dan Harapan Baru untuk Malaysia sudah semakin dekat.

Kami akan memastikan kempen yang bersepadu untuk memenangi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti besar meliputi penduduk yang pelbagai latar dan etnik dari kawasan tersebut.

Saya berhasrat untuk memasuki Parlimen pada 27hb Ogos 2008 dengan sokongan rakan-rakan saya di dalam pakatan sebagai pemimpin mereka yang baru.

DATO' SERI ANWAR IBRAHIM
KENYATAAN MEDIA
8hb OGOS 2008, PETALING JAYA - mr_

Blogger Penarik Beca dibebaskan sebentar tadi - HARAKAH DAILY

Fri | Aug 08, 08 | 6:25:33 pm MYT

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Hrkh) - Blogger Penarik Beca, Abu Bakar Mohd Rashid, 50, dibebaskan polis sebentar tadi setelah dua hari ditahan reman pihak polis.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily sebentar tadi mengesahkan pembebasannya.

Menurut beliau, sepasukan anggota polis yang diketuai pegawai penangkap, ASP Kamarulzaman Mohd Salleh, pegawai penyiasat ASP Hazizi Abdul Samad beserta lima pegawai berpangkat inspektor mengambilnya rabu lepas, kira-kira jam 11 malam.

Katanya, beliau terus dibawa ke Bukit Aman dan ditunjukkan pegawai polis terhadap posting di laman blognya yang didakwa menghina pasukan polis.

Posting tersebut berkaitan artikel yang bertajuk "Kenapa tak usik Raja Petra" bertarikh 14 Julai memaparkan logo polis yang telah diubahsuai dengan lambang seekor binatang ditengahnya.

Menurut Abu Bakar, beliau tetap mempertahankan artikel yang ditulisnya mengenai Raja Petra, tetapi mengakui pemaparan logo yang didakwa menghina polis itu suatu kesalahan.

"Tindakan tersebut (memaparkan logo) amat saya kesali dan sesiapa sahaja yang tersinggung, saya memohon maaf," ujarnya.

Menurutnya beliau sendiri tidak tahu mengubahsuai logo, tetapi memperolehinya dari sumber lain.

"Walaupun saya 'copy and paste', pihak polis tetap anggap ianya suatu kesalahan," katanya.

Katanya, beliau ditahan selama dua hari dan komputer ribanya masih dirampas polis. - mr_

Brunei tersingkir daripada Olimpik - UTUSAN

08/08/2008 9:15pm

BEIJING - Brunei disingkirkan daripada Sukan Olimpik selepas gagal mendaftarkan sebarang atlet bertanding dalam mana-mana acara, umum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) malam ini.

“Ia sesuatu yang amat memalukan dan menyedihkan kepada atlet kerana tidak dapat bertanding disebabkan pasukan mereka tidak mendaftarkan nama mereka,’’ kata jurucakap IOC, Emmanuelle Moreau dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Moreau, IOC memberi tempoh hingga tengah hari tadi untuk negara itu mendaftarkan nama atlet mereka, namun ia tidak muncul.

Dua atlet yang sebelum ini dijadual membawa cabaran Brunei di Olimpik Beijing adalah perenang 15 tahun, Maria Grace Koh dan atlet lontar peluru, Mohd. Yazid Yatimi Yusof.

Dengan keputusan terbaru ini bermakna hanya 204 buah negara akan mengambil bahagian pada Temasya yang dibuka secara rasmi malam ini, dan akan berlangsung sehingga 24 Ogos.

Sultan Hassanal Bolkiah menjadi salah seorang tetamu diraja yang dijemput menghadiri majlis pembukaan Sukan Olimpik bersama dengan Presiden Amerika Syarikat, George W Bush dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy. - Reuters

Tiada Percikan Bunga Api Sambut Kemerdekaan Kali Ini - BERNAMA

08 Ogos, 2008 19:31 PM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan tidak menyediakan peruntukan untuk membiayai kos bunga api bagi sambutan kemerdekaan ke-51 negara tahun ini selain mengurangkan peruntukan tahunan sambutan kepada RM20 juta daripada purata RM40 juta sebelum ini, kata Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Shafie Apdal.

"Setelah sekian lama, sambutan kemerdekaan kali ini dibuat tanpa bunga api. Kalau pihak swasta hendak buat, mereka boleh buat," katanya.

Beliau berkata kemerdekaan pada tahun ini walaupun disambut secara sederhana tanpa percikan bunga api tetapi ia tetap akan meriah dengan pelbagai aktiviti menarik yang telah diatur.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, kita juga menjalankan pelbagai upacara keagamaan termasuk sembahyang hajat dan khutbah Jumaat khas oleh masyarakat beragama Islam menjelang sambutan kemerdekaan," katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Pada majlis itu, Shafie turut melancarkan logo baru sambutan bulan kemerdekaan serta lagu baru kemerdekaan ke-51 negara.

Hadir sama pada pelancaran itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Dr Ng Yen Yen dan Timbalan Menteri Penerangan Datuk Tan Lian Hoe.

Sambutan kemerdekaan tahun ini bertemakan "Perpaduan Teras Kejayaan" akan bermula 16 Ogos dan berakhir 18 Okt depan di Kota Kinabalu, Sabah.

Sambutan Ambang Merdeka malam 30 Ogos ini akan disambut di tiga lokasi utama iaitu Dataran Merdeka, Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Bukit Bintang.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan bersama rakyat mengira detik 12 malam di Dataran Merdeka manakala Timbalannya Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pula akan berada di KLCC.

-- BERNAMA

Singapura Sambut 43 Tahun Merdeka Esok - BERNAMA

08 Ogos, 2008 19:07 PM

Oleh Zakaria Abdul Wahab

SINGAPURA, 8 Ogos (Bernama) -- Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi ke tengah malam ini, Singapura akan menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-43 tahun.

Sambutan mengira undur jam hingga ke detik 12 tengah malam akan diadakan di Esplanade di Teluk Marina di sini mulai jam 11 malam ini.

Tarikh kemerdekaan Singapura ditetapkan pada 9 Ogos iaitu tarikh Singapura berpisah dari Malaysia pada 1965 setelah dua tahun berada dalam Malaysia sejak 16 Sept 1963.

Mengikut rentetan sejarah, Singapura meninggalkan Malaysia setelah berlaku pertelagahan idelogi di antara Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Kerajaan Persekutuan Kuala Lumpur.

Kini Singapura yang digelar negara industri baru dengan per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KNDK) melebihi AS$35,000 pada tahun lalu adalah anggota termaju daripada 10 anggota Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (Asean).

Dengan penduduk sejumlah 4.5 juta orang termasuk penduduk tetap, Singapura merupakan pusat pelabuhan antarabangsa, hab perbankan serta pusat perkhidmatan pelbagai industri yang termaju di rantau ini.

Singapura bercita-cita menjadi sebuah negara seperti di Eropah, yang maju dengan mempunyai imbangan kemajuan fizikal, kewangan, alam sekitar yang baik serta masyarakat yang berseni kreatif dan dinamik.

Pelbagai persiapan telah diatur Kerajaan Singapura untuk menyambut hari kebangsaannya termasuk satu perarakan dan pertunjukan di atas pentas terapung yang dibina khas di Teluk Marina petang esok.

Antara persembahan esok ialah pertunjukan udara oleh pasukan aerobatik 'Black Knights' dari Angkatan Udara Singapura, pertunjukan bunga api dan persembahan di atas air.

Jalan-jalan raya, bangunan-bangunan dan rumah-rumah kediaman terutama pangsapuri di seluruh pulau Singapura turut dihiasi dengan bendera jalur merah putih negara ini bagi memeriahkan suasana sambutan hari kebangsaan itu.

Kain-kain rentang yang tertulis ungkapan ucap selamat seperti 'Happy Birthday Singapore', 'Celebrating the Singapore Spirit', 'We have Confidence in Our Future' dan 'Majulah Singapura' banyak menghiasi bangunan-bangunan kerajaan dan perniagaan.

-- BERNAMA

Rais Minta Penubuhan Majlis Dalaman Bagi Pantau Penulis Blog - BERNAMA

08 Ogos, 2008 17:14 PM

PUTRAJAYA, 8 Ogos (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim meminta supaya sebuah majlis dalaman ditubuhkan atau mekanisme dirangka bagi memantau laman dan penulis blog.

Katanya dari segi perundangan, Akta Hasutan sudah memadai tetapi beliau bimbang mengenai langkah penguatkuasaan yang tidak menepati standard serta penubuhan majlis seperti itu akan membantu dalam penguatkuasaan.

Katanya undang-undang negara mungkin tidak dapat dilaksanakan terhadap penulis blog yang berada di luar negara tetapi sesuatu boleh dilakukan ke atas penulis blog dalam negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas sebuah laman blog yang meminta rakyat mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sebagai tanda tidak puas hati dengan apa yang berlaku dalam kerajaan.

Katanya adalah lebih baik untuk mereka melahirkan rasa ketidakpuasan mereka menerusi saluran yang betul seperti menulis artikel dan bersuara mengenai apa yang tidak kena, salah atau tidak betul daripada melakukan tindakan seperti itu.

"Daripada menghentam Jalur Gemilang, adalah lebih baik untuk mereka menyasarkan orang berkenaan atau pemimpin yang mereka tidak suka," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa Singapura mengembangkan kawasan di sekitar rumah api Pulau Pisang, Rais berkata beliau akan mengarahkan jawatankuasa teknikal Malaysia untuk mengkajinya.

"Saya tidak boleh menjawab kerana sebarang program meluaskan kawasan atau tindakan yang bertentangan dengan hubungan baik dua hala tidak dibawa ke perhatian saya," katanya.

Katanya kedudukan Pulau Pisang berhubung dengan rumah api itu akan dikaji segera dan Singapura akan dimaklumkan mengenai hasrat Malaysia ke atas pulau itu.

Rais berkata Pulau Pisang tidak boleh dibiarkan bersendirian dan kerajaan negeri Johor harus proaktif dari segi pembangunan dan merangka pelan induk bagi pulau itu demi untuk generasi masa depan.

-- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...