Saidah Hairan
Mon | Sep 01, 08 | 6:02:15 am MYT Barangkali kerajaan boleh juga menjadikan Mydin sebuah pasaraya atau gedung perniagaan yang terkenal dengan barangan murah sebagai konsultan mereka untuk menjaga kepentingan orang ramai.
Konsep mengurangkan harga dengan meningkatkan kuantiti jualan yang banyak diamalkan oleh pasaraya besar seperti juga saingan penerbangan seperti Air Asia menarik lebih ramai pengguna dengan jualan tiket murah.
Walaupun margin keuntungan kecil yang diperolehi daripada harga barang tetapi keuntungan tetap tinggi berdasarkan peningkatan kuantiti jualan atau pertambahan jumlah pengguna.
Berdasarkan kepada kaedah tersebut kenapa perlu kerajaan membenarkan pengusaha bas menaikkan surcaj 30 peratus keatas harga tiket bas ekspres dan bas henti-henti bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri depan?
Tidakkah kerajaan sedar peningkatan berkali ganda pengguna pengangkutan bas setiap kali menjelang raya dan lepas raya? Peningkatan mendadak tersebut sudah tentu menguntungkan pengusaha bas malah ia dikira bonus kerana ia turut sama meningkatkan pendapatan syarikat bas.
Bas merupakan pengangkutan awam paling murah. Orang miskin menjadi pengguna utama kerana tidak berkemampuan membeli kenderaan peribadi.
Golongan wanita juga merupakan pengguna utama pengangkutan awam tersebut kerana tidak ada keberanian membawa kereta atau motorsikal.
Begitu juga dengan remaja yang belum berkemampuan memiliki kenderaan peribadi menjadikan bas keutamaan pengangkutan mereka.
Persoalannya kenapa kerajaan merestui syarikat bas memasang jerat kepada pengguna pengangkutan awam? Apakah kerajaan dan penguasaha bas sepakat mengambil kesempatan diatas keadaan terdesak pengguna bas?
Kerajaan melakukan kesilapan besar menaikkan harga minyak sehingga 40.6 peratus petrol dan diesel sebanyak 63.3 peratus. Keadaan ini menyebabkan inflasi meningkat 8 peratus pada Julai lalu dan kebobrokan ekonomi yang sukar untuk dipulih.
Kesan kenaikan harga minyak menyebabkan kenaikan alat ganti dan kos penyelenggaraan kenderaan ikut turut naik.
Walaupun kerajaan menurunkan 15 sen seliter petrol dan 5 sen seliter diesel tetapi kemusnahan ekonomi yang telah parah tadi menyukarkan penurunan harga barangan berlaku.
Sebaliknya kesilapan kerajaan itu mahu diletakkan diatas bahu pengguna bas. Malah mereka seolah bersekongkol dengan pengusaha bas menjerut leher pengguna dalam masa orang ramai terdesak untuk pulang ke kampung menyambut hari raya bersama ibu bapa dan keluarga.
Tidak adakah cara lain bagi kerajaan mengatasi masalah tersebut? Kenapa harus pengguna menjadi mangsa yang kedua selepas menjadi mangsa pertama iaitu kesilapan kerajaan menaikkan harga minyak?
Kenapa kepentingan pengguna tidak diambil kira? Bagi tiket perseorangan ia tidak menjadi masalah tetapi fikirkan tentang pengguna miskin yang berkeluarga?
Sebagaimana perumpamaan yang telah diberikan oleh penulis blog, Mohd Ikhmal Mohd Iskandar:
1. Tambang Ipoh ke Shah Alam = RM15.00
2. Surcaj 30% = 30% x RM15 = RM4.50
3. Jumlah =RM 19.50 (seorang)
Menurut beliau, katakan seorang itu mempunyai tiga orang dewasa dan dua orang kanak-kanak, berapakah surcaj yang perlu mereka tambah?
Sudah tentu tambang bas mereka melebihi harga minyak dan tol bagi sebuah kenderaan untuk ke destinasi yang sama.
Bagi tambang kanak-kanak pula, harga mungkin diberi separuh bagi syarikat besar seperti Tranasional tetapi syarikat bas lain tetap mengenakan harga dewasa bagi kanak-kanak.
Alasan yang diberikan ialah bas tambahan tetapi sebenarnya mereka mahu mengaut keuntungan dan kesempatan daripada pengguna dan keluarga yang terdesak mahu pulang ke kampung.
Sebelum itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata kadar surcaj, yang berkuatkuasa selama sebulan mulai 15 Sept ini, langkah sementara sebelum kementeriannya membuat keputusan kenaikan kadar tambang.
"Pelaksanaan surcaj ini adalah bagi membantu pengusaha bas ekspres mengurangkan kos operasi selepas mengambil kira pelbagai pandangan dan maklum balas serta keluhan daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen.
Tindakan kerajaan itu cukup membebankan rakyat yang mahu pulang ke kampung bertemu sanak saudara pada hari raya akan datang.
Rakyat sering mendengar pakar motivasi keluarga meminta umat Islam pulang sebulan sekali atau kalau tidak berkemampuan mereka boleh pulang setahun sekali terutama hari raya untuk menjenguk ibu bapa dan saudara mara di kampung.
Dengan cara ini ia meningkatkan saliratulrahim sesama insan dan ikatan persaudaraan yang boleh memberi keharmonian kepada masyarakat, kampung, negeri dan negara.
"Ibu bapa bukan mengharapkan wang tetapi kerinduan untuk melihat anak-anak mereka," kata-kata yang sering diluahkan oleh para motivasi di media elektronik dan cetak.
Jika dikenang kata-kata pakar motivasi rupanya minyak naik boleh juga putus saudara. Hilang keharmonian sebaliknya bertambah tekanan.
Maka menjadi tanggungjawab Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat membetulkan keadaan tersebut.
Kementerian tersebut perlu ingatkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi supaya jangan terlalu fikirkan keuntungan hingga lupa tanggungjawab sosial yang akhirnya membawa kemusnahan keluarga dan masyarakat.
Rakyat mahu pulang ke kampung untuk realisasikan apa yang diingini oleh kementerian pembangunan wanita, keluarga, tetapi kenapakah kementerian usahawan mengambil kesempatan?
Dalam blog yang lain penulisnya ada membuat komen berikut: "Jika pengusaha bas mengeluh, kami sebagai pengguna juga mengeluh dengan kenaikkan yang agak tinggi ini iaitu 30 peratus. Bukankah kerajaan telah menurunkan harga diesel? Bukankah harga diesel bagi pengusaha bas adalah jauh lebih murah?
Kami juga merasai keperitan hidup dengan kenaikkan pelbagai kos namun mengapa keluhan kami tidak diambil kira berbanding dengan keluhan pengusaha bas?
Ingin saya cadangkan, sekiranya kerajaan benar-benar prihatin terhadap kedua belah pihak iaitu pengguna dan pengusaha, adalah lebih baik jika kenaikkan tersebut hanya berkadar 15 peratus sahaja.
Seperti yang saya katakan, kita juga faham nasib si pengusaha bas tetapi siapakah yang faham akan nasib kami yang cukup terbeban ini."