Tuesday, March 30, 2010

Anwar kemuka dokumen kaitkan Apco-Israel-1M'sia

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan Apco Worldwide Sdn Bhd dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.

Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh berkata beliau bimbang kerana kerajaan mengambil sikap membisu terhadap dakwaan penglibatan Apco, sedangkan maklumat strategik negara telah terjejas apabila kerajaan melantik syarikat perunding komunikasi itu.

"Sehingga kini perdana menteri belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit, peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan," katanya

Kerajaan sebelum ini mengesahkan melantik Syarikat Apco Worldwide Sdn Bhd dalam melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi secara "menyeluruh," selain melakukan program mempromosi dan mengurus imej negara di peringkat antarabangsa.

Apco juga mengeluarkan kenyataan berkaitan penglibatan mereka, dengan menyatakan bahawa mereka menyediakan sokongan komunikasi terhadap usaha-usaha reformasi kerajaan.

Penjelasan yang dibuat melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon dan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat sebelum ini, juga dibacakan semula oleh Anwar.

"Penafian yang dibuat oleh Apco itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran perdana menteri sekarang.

"Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato' Sri Najib Razak, atau Dato' Sri Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya," kata Anwar seterusnya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.

Turut didedahkannya ialah peranan Ethos Consulting, sebuah firma rundingan tempatan yang didakwa bertanggungjawab memperkenalkan Apco kepada perdana menteri.

Anwar dalam pada itu turut mendedahkan nama dan maklumat ringkas beberapa individu dalam Apco yang didakwa mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan dan tokoh-tokoh Israel

"Bolehkah perdana menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan Apco?

"Perdana menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum Apco secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur.

"Paul Stadlen yang kini mengetuai Apco di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO Apco dan invdividu penting yang terlibat dengan akaun di Israel," tambanya.

Anwar menamakan individu berkenaan dalam menjelaskan bentuk hubungan dan modus operandi Apco dalam membentuk pertalian dengan kerajaan yang melantik syarikat itu melalui firma bersekutu

"Apco dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin "associates") di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

"Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada Apco

"Jadi kontrak-kontrak yang melantik Apco tidak semestinya di antara Apco dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu Apco tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari Apco.

"Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International.

"Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO Apco," katanya.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara Apco dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan Apco ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Katanya lagi, kontrak Malaysia dengan Apco ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.

"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. (Proses menandatangani perjanjian) ini disaksikan setiausaha akhbarnya sendiri, Datuk (Tengku) Sharifuddin (Tengku) Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Anwar membuat penjelasan hari ini bagi menjawab tuntutan yang dikemukakan ahli parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini yang mahu Anwar dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan parlimen kerana menyamakan slogan 1Malaysia dengan 1Israel.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Anwar berkata, wakil Rembau ingin mengalih tumpuan terhadap penglibatannya dan Omar Mustapha dalam Ethos Consulting.

"Isunya sekarang adalah wakil Rembau ingin lari daripada isu penglibatan dia dan Omar Mustapha dan Ethos (Consulting) dan tugas yang diberikan kepada Apco yang menjejaskan sekuriti negara kerana peranan perisikan," katanya lagi.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai penjelasan Khairy selepas beliau berucap di Dewan Rakyat mengenai kontrak Apco.

Anwar menjelaskan, peranan Apco telah wujud lebih lama sebelum itu melalui syarikat yang dikenali sebagai Mind Teams Sdn Bhd.

"Mind Teams ini adalah syarikat yang ditubuh sebelum Apco. Jadi Apco cuba lari daripada kenyataan seolah-oleh dia hanya berfungsi apabila Apco ditubuhkan.

"Saya ada maklumat bahawa sebelum Apco ditubuhkan, orang sama, pejabat sama, seorangnya CEO Apco Worldwide, seorang lagi Apco Kuala Lumpur. Jadi maknanya mereka terlibat lebih awal di Kuala Lumpur," katanya.

'MIC digesa serah Hulu S'gor pada Umno'

MIC diminta berkorban dengan menyerahkan kerusi parlimen Hulu Selangor kepada Umno yang lebih berpeluang untuk merampasnya semula dalam pilihan raya kecil akan datang.

Kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abibin Ahmad yang meninggalkan kerana barah otak, khamis lalu.

"MIC kena berkorban, pilihan raya kecil ini penting kerana ia adalah pertama kali di Selangor selepas (negeri itu) terlepas kepada Pakatan Rakyat," kata sumber Umno Selangor.

"Ia akan menjadi kayu pengukur, apa salahnya (diberikan kepada Umno) kerana ia adalah kejayaan parti, bukan kejayaan individu atau kejayaan sesuatu kaum.

"Dalam pilihan raya umum ke-12 kita kena ambil kira pandangan akar umbi. Atas semangat persefahaman kita akan serah salah satu daripada kerusi milik umno kepada MIC.

Sum
ber-sumber itu berkata, sebagai gantinya, pucuk pimpinan parti barangkali boleh menjanjikan mana-mana kerusi milik Umno untuk diserahkan kepada MIC.

Menurutnya, selama ini, Umno memberikan kerusi sama ada parlimen atau DUN untuk ditandingi calon MIC di kawasan yang majoriti pengundi Melayu, antanya di parlimen Kota Raja dan DUN Batu Caves, Sri Andalas dan Ijok.

"Kerusi yang ditandingi MIC majoriti pengundinya adalah orang Melayu. Umno berikan atas dasar persefahaman (sebagai komponen BN) dan Umno memberi MIC peluang untuk bertanding di situ.

"Oleh itu, kita hendak kepada pengorbanan MIC (serahkan kerusi parlimen Hulu Selangor), supaya pilihan raya kecil kali ini menjadi mudah (untuk menang)," katanya.

Sumber-sumber itu berkata, berdasarkan tanda atau isyarat dalam pilihan raya yang lalu, terdapat penolakan akar umbi terhadap calon MIC yang bertanding.

"Berdasarkan konsep 'rakyat didahulukan' apa salahnya mengambil kira pandangan akar umbi. Pengorbanan MIC amat kita harapkan. Namun, ini tidak bererti kita mengingkari persahabatan dalam BN.

"Pengorbanan MIC dalam pilihan raya kecil ini amat penting supaya BN diterima kembali di Selangor. Kita letak calon pilihan akar umbi," katanya.

Menurutnya, terdapat ramai calon dari Umno yang layak dipertimbangkan, antaranya, naib ketua bahagian, Datuk Adnan Buyong; setiausaha bahagian, Nazri Dahalan; ketua Pemuda, Mahmud Kassim dan juga ketua Wanita bahagian, Rosni Sahar yang juga setiausaha wanita Umno pusat.

Sementara itu, BN Selangor yang bermesyuarat malam tadi telah membincangkan mengenai persediaan untuk menghadapi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Mesyuarat selama dua jam setengah itu dihadiri oleh 70 pemimpin BN negeri dari Umno, MCA, MIC, Gerakan dan PPP.

Bagaimanapun, Malaysiakini dimaklumkan bahawa mesyuarat tersebut tidak menyentuhkan tentang calon BN yang bakal bertanding di situ.

Difahamkan, pengarah pilihan raya kecil Hulu Selangor, Datuk Noh Omar yang mempengerusi mesyuarat tersebut, memaklumkan bahawa pemilihan calon akan diputuskan oleh pucuk pimpinan BN pusat.

Telur hujung tanduk bagi ketua wanita MCA

Kedudukan ketua pergerakan wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun kini ibarat telur di hujung tanduk.

Ini kerana keceluparannya berikrar akan melepaskan jawatannya jika Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memenangi pemilihan parti itu Ahad lalu.

Memandangkan Chua kini adalah presiden MCA, Chew kini dalam dilema.

Ditanya pemberita, selepas Chua diumumkan ketua baru MCA, Chew berkata dia berpegang pada kenyataannya sebelum ini tetapi akan berbincang terlebih dahulu dengan pergerakan wanita sebelum membuat sebarang keputusan.

"Apa yang saya luahkan pada awal, masih tidak berubah tetapi saya tidak mahu keputusan saya menjejaskan parti. Saya mahu parti terus terus berkembang,” jelasnya.

Chew, yang juga timbalan menteri, wanita, keluarga dan pembangunan kemasyarakatan berlepas ke Bangkok, sehari selepas itu untuk menghadiri tugasan rasmi.

Beliau dijadual pulang pada Jumaat ini dan akan memanggil mesyuarat exco wanita sebelum mengumumkan keputusannya.

Liow: Chua mampu kembalikan perpaduan MCA

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini melahirkan keyakinannya bahawa Presiden parti, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mampu mengembalikan perpaduan di kalangan anggota parti.

"Misi kita sekarang ialah perlu kukuhkan parti, kembalikan kestabilan serta perpaduan parti. Saya yakin Chua Soi Lek sebagai presiden boleh menyatupadukan parti kita dengan cepat dan saya akan membantu beliau," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur.

"Perwakilan nak lihat kita semua bekerjasama, mereka semua tahu bahawa parti perlukan perpaduan, kemantapan dan kekukuhan, oleh itu saya rasa pemimpin perlu mendengar hasrat perwakilan dan ahli-ahli parti ini," katanya.

Pemilihan MCA Ahad lepas menyaksikan Liow yang juga Menteri Kesihatan menewaskan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Kong Cho Ha dengan majoriti 65 undi.

Keputusan pemilihan parti itu juga menyaksikan Dr Chua menewaskan penyandang Datuk Seri Ong Tee Keat dan bekas Presiden Tan Sri Ong Ka Ting.

- Bernama

Samy nafi pengundi Hulu Selangor tidak minat calon MIC

30/03/2010 4:39pm

KLANG 30 Mac - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu menolak dakwaan bahawa para pengundi di Parlimen Hulu Selangor tidak berminat dengan calon daripada MIC untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Samy Vellu berkata, beliau percaya keadaan di kawasan pilihan raya berkenaan telah pun berubah sejak pilihan raya umum 2008.

"Jika kita melihat kepada keutamaan pengundi, tidak ada satu tempat pun yang kaum India boleh bertanding di negara ini. Masyarakat India tidak mempunyai majoriti sama sekali di mana-mana jua kawasan pilihan raya untuk bertanding.

"Mereka hanya boleh kekal sebagai pengundi dan ini akan membawa kepada banyak masalah lain.

"Kami telah pun keluar daripada masalah itu sekarang dan saya harap masyarakat akan cuba melupakan apa yang telah berlaku sebelum ini. Jangan cuba untuk mengingatkan mereka... itu tidak baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru sekolah Tamil Jalan Tepi Sungai di sini hari ini. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...