KOTA BHARU: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry tengah hari tadi memfailkan dua saman iaitu tuntutan kembali taat setia dan memulangkan wang yang dipinjamkan kepada isterinya, Manohara Odelia Pinot.
Tuntutan wang sebanyak RM972,750 yang dipinjamkan kepada Manohara difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu manakala soal tuntut taat setia pula di Mahkamah Syariah Kota Bharu.
Kedua-dua permohonan tuntutan diterima oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan/Tinggi Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty.
Tuntutan difailkan melalui peguam Tengku Muhammad Fakhry, Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari pukul 12 tengah hari tadi.
Mahkamah menetapkan 2 Ogos depan untuk tarikh sebutan semula kedua-dua kes tersebut.
Zainul turut memfailkan permohonan interlocaltry kepada mahkamah untuk memohon menyampaikan saman diluar bidang kuasa mahkamah kerana Manohara kini berada di Indonesia.
Sebelum ini dilaporkan Tengku Muhammad Fakhry mengarahkan Manohara, 17, kembali taat kerana perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri yang dituntut syarak dan tugas Cik Puan Temenggong Kelantan seperti diperakui undang-undang.
Tengku Temenggong menegaskan tempat isteri di sisi suami dan dia perlu mematuhi perintah jika tidak melanggar hukum syarak.
Manohara melarikan diri ke Indonesia ketika mengikut suaminya ke Singapura menziarahi Sultan Kelantan di Hospital Mt Elizabeth pada 1 Jun lalu.
Sekembalinya ke Indonesia, Manohara memberitahu media negara itu dia didera suaminya secara fizikal dan seksual sepanjang berada di negara ini.