Wednesday, October 22, 2008

150 lawatan luar negara, Selangor belanja RM6.6 juta - MSTAR ONLINE

SHAH ALAM: Sejumlah RM6.6 juta dibelanjakan kerajaan negeri Selangor yang lepas untuk membiayai 150 lawatan kerja ke luar negara sepanjang tempoh 2004 hingga 2007, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Lawatan kerja ke luar negara yang termasuk misi mencari pelabur itu melibatkan exco kerajaan negeri dan jabatanjabatan kerajaan, katanya ketika menjawab soalan Hannah Yeoh (DAP-Subang Jaya) pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Hannah dalam soalannya ingin tahu mengenai kos dan butiran lawatan ke luar negara yang dibiayai kerajaan negeri atau anak syarikat kerajaan negeri.

Beliau berkata dalam tempoh itu Jawatankuasa Perdagangan, Pelaburan dan Perindustrian paling banyak membuat lawatan iaitu 45 kali.

Abdul Khalid berkata antara 150 destinasi yang dilawati ialah Bangkok, Dubai, Shanghai (China), Korea Selatan dan Jerman.

Zahidi sah tarik diri tanding Ketua Pemuda, akan umum di Astro malam ini -MSTAR ONLINE


PETALING JAYA
: Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin hari ini mengesahkan beliau menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Zahidi berkata, beliau telah bermesyuarat dengan Badan Perhubungan Umno Perlis semalam dan mereka telah bersetuju dengan hasratnya untuk menarik diri.

"Selain itu, Perhubungan Negeri juga turut mencadangkan nama saya selain Datuk Seri Shahidan Kassim untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan Mac depan," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.

Zahidi berkata, setakat ini, beliau telah menerima tiga pencalonan untuk merebut jawatan dalam MT namun enggan mendedahkan Bahagian-bahagian yang mencalonkannya.

Ketika ditanya sama ada penarikan dirinya berikutan persetujuan Badan Perhubungan Umno negeri untuk mencadangkan namanya bertanding jawatan ahli MT, Zahidi berkata, ia tiada kaitan.

"Kita di Perlis ni kecil sahaja. Hanya ada tiga bahagian jadi tak bolehlah nak (bertanding) jawatan-jawatan tinggi.

"Saya perlu tumpukan kepada Bahagian saya juga jadi jika mahu bertanding (di peringkat pusat) buat masa ini, jawatan yang paling baik adalah MT," katanya.

Zahidi berkata, beliau akan membuat pengumuman rasmi berhubung penarikan dirinya itu dalam wawancara khas bersama Astro Awani malam ini.

Zahidi sebelum ini hanya memperolehi satu pencalonan iaitu daripada bahagiannya untuk merebut jawatan Ketua Pemuda.

Dengan penarikan diri Zahidi, saingan merebut kerusi Ketua Pemuda kini tertumpu kepada tiga calon iaitu Exco Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir yang kini merupakan satu-satunya calon yang telah melepasi kuota dengan 63 pencalonan; Naib Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin dengan 36 pencalonan dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo dengan 27 pencalonan.

Musa Hitam mahu generasi muda dalam kepimpinan Umno - MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Generasi muda diperlukan bagi membantu memulihkan semula penyakit tua Umno yang kini sudah menginjak usia 61 tahun, kata bekas Timbalan Presiden Umno Tun Musa Hitam.

Katanya, penyakit tua Umno kini tidak boleh lagi dibaiki atau dirawat golongan tua kerana Umno kini memerlukan muka baru yang lebih muda untuk mengembalikan semula Umno serta keyakinan rakyat terhadap parti itu.

"Penyakit tua ini tidak boleh diperbaiki oleh orang tua-tua, jadi maksud saya mereka yang hendak bertanding pada pemilihan Umno Mac depan, yang ingin memegang jawatan-jawatan tertinggi haruslah terdiri daripada golongan muda yang mempunyai idea-idea yang baru," katanya kepada pemberita pada persidangan akhbar di sini, hari ini.

Biarpun ramai yang beranggapan untuk memulihkan Umno, kombinasi antara generasi tua dan muda merupakan satu tindakan yang bijak, namun Musa berpendapat dalam keadaan Umno yang sudah berusia 61 tahun adalah lebih baik generasi muda mengambil alih parti itu sepenuhnya.

"Kalau kita lihat dalam senarai peringkat tertinggi, kita melihat calon Presiden dan Timbalan Presiden, yang senior dan yang berpengalaman menjadi pilihan, tapi pada saya tidak mengapalah itu pilihan mereka, tetapi jawatan lebih bawah daripada itu saya lebih suka golongan muda yang mengambil bahagian," katanya.

Musa berkata Umno harus sedar bahawa sokongan rakyat terhadap parti itu kini telah menurun berikutan isu-isu yang ada kaitan dengan persepsi rakyat.

"Persepsi rakyat ialah Umno begitu lama berkuasa dan pada pendapat mereka dari hasil pilihan raya Mac lalu, ada kelemahan-kelemahan yang begitu serius yang Umno tidak dapat mengatasinya termasuk isu rasuah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata generasi kini merupakan orang terpelajar yang boleh berfikir dan tidak mahu lagi menerima amalan rasuah serta mendambakan akauntabiliti serta kredibiliti yang baik pada seorang pemimpin.

"Orang sekarang bukan seperti dahulu, macam zaman saya, kini kebanyakan masyarakat, orang terpelajar yang tidak mahu amalan rasuah, apa juga yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin jika pemimpin tersebut tidak ada kredibiliti, jika imej mereka tidak diterima maka apa jua yang diperkatakan pemimpin itu tidak mahu mereka terima," katanya.

Sementara itu, Musa yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri turut mengulas mengenai proses pemilihan pemimpin yang sedang berjalan dan menyifatkan cara pemilihan calon yang dibuat berasaskan ukuran lama.

Setakat ini tiada seorangpun calon yang hendak bertanding dengan jelas menyebut bahawa sekiranya dipilih maka pemimpin itu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menangani kesan akibat krisis ekonomi dunia, jelasnya.

Menurut Musa, ini membuktikan anggota Umno sibuk berebut kuasa untuk kepentingan diri sedangkan yang sepatutnya mereka fikirkan ialah masalah rakyat dan cara bagi mengatasinya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...