Thursday, October 23, 2008

Rombakan Kabinet Ekoran Perubahan Kepimpinan MCA, Kata Abdullah - BERNAMA

Oleh Tham Choy Lin

BEIJING, 23 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan Kabinet ekoran perubahan pucuk pimpinan dalam MCA.

Perdana Menteri berkata beliau akan menemui Presiden MCA yang baru dipilih Datuk Ong Tee Keat untuk meneliti cadangan yang dikemukakan parti itu.

"Jika beliau ingin melakukan perubahan, beliau perlu memaklumkan kepada saya terlebih dahulu. Apabila saya kembali ke tanah air, beliau boleh menemui saya," katanya kepada wartawan Malaysia selepas merasmikan pejabat perwakilan Khazanah Nasional Beijing, pada Khamis.

Abdullah berada di ibu negara China untuk menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ketujuh yang bermula esok. Beliau dijadual pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pada pemilihan MCA hujung minggu lepas, bekas menteri kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang meletak jawatan selepas klip video skandal seksnya tersebar, memenangi jawatan Timbalan Presiden setelah menewaskan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Dr Chua tidak bertanding pada pilihan raya umum Mac lepas.

Dua lagi Timbalan Menteri dari MCA yang tewas dalam pemilihan parti kali ini adalah Timbalan Menteri Perumahan Datuk Chor Chee Heung dan Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan Teng Boon Soon.

-- BERNAMA

Kejohanan Pesta Bola Merdeka: Malaysia lwn Myanmar, Vietnam lwn Sierra Leone - UTUSAN

23/10/2008 11:02pm

Keputusan separuh akhir

Malaysia 4 Myanmar 0
Vietnam 2 Sierra Leone 2
(Vietnam menang penalti 3-2)

KUALA LUMPUR 23 Okt. - Malaysia menghampiri kejuaraan bola sepak Pestabola Merdeka apabila menewaskan Myanmar 4-0 pada perlawanan separuh akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Dua jaringan Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-25 dan ke-75, Safee Sali (m-61) dan Amirulhadi Zainal (m-83) membawa anak buah B. Sathianathan mara ke perlawanan akhir menentang Vietnam di venue yang sama Sabtu ini.

Terdahulu Vietnam mengatasi Sierra Leone 3-2 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir menerusi penentuan penalti selepas terikat 2-2 dalam perlawanan yang berlanjutan ke masa tambahan.

Gol pertama skuad negara dijaringkan menerusi rembatan deras sepakan percuma Indra Putra dari jarak 25 meter untuk merobek sudut kiri gawang lawan tanpa mampu digapai oleh penjaga gol Myanmar, Lwin pada minit ke-25.

Menerusi satu umpanan lambung Hardi pada minit ke-61, Safee yang mengutipnya tidak menghampakan Malaysia lagi apabila memperdayakan penjaga gol lawan dengan mengelecek dan tolakan masuk untuk gol kedua negara.

Indra bagaimanapun menebusnya untuk gol ketiga Malaysia menerusi sepakan penalti pada minit ke-75 setelah Safee dijatuhkan dalam kotak penalti Myanmar.

Amirulhadi menjaringkan gol keempat Malaysia pada minit ke-83 setelah dia menolak masuk umpanan Indra.

Sementara itu, penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong muncul wira pasukannya apabila menyelamatkan dua sepakan penentuan penalti Sierra Leone oleh Mumino Khomson Kamara dan Amara Kamara manakala satu lagi tersasar.

Gol penalti Vietnam pula disempurnakan oleh Hoang Nat Nham, Phan Thanh Binh dan Nguyen Duc Thien. - Utusan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...