Sunday, September 21, 2008

Abdullah batalkan hasrat berundur - blogger Umno - HARAKAHDAILY

Abdul Aziz Mustafa
Sun | Sep 21, 08 | 1:45:00 am MYT

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Hrkh) - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membatalkan hasratnya untuk meletak jawatan Oktober ini, kata blogger Umno, Amin Yatim (cuitsikit.blogspot.com)

Malah, menurut maklumat yang beliau terima, Abdullah akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno Disember ini.

Menurut Amin, walaupun selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) 18 September lalu Abdullah dikatakan akan meletak jawatan sebelum 9 Oktober, namun desakan menantunya Khairy Jamaluddin, Pegawai Khasnya Datuk Ahmad Zaki Zahid dan Setiausaha Politiknya yang juga Adun Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad menjadi punca perubahan ini.

Mereka meyakinkan Abdullah bahawa terdapat 100 bahagian akan menyokong pencalonan Abdullah sebagai Presiden Umno, kata blogger itu.

Isu perubahan kepimpinan bertiup kencang semula selepas Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh. Menurut Amin, Bekas Perdana Menteri,Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan menemui dua orang pemimpin kanan Umno iaitu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Dr. Mohamad Khir, katanya, dikatakan memainkan peranan penting dalam percaturan belakang tabir yang menimbulkan kegemparan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Khamis lalu.

Antaranya, katanya lagi, termasuklah menerbitkan satu catatan berjudul "Krisis Kepimpinan: Pisau dan Mentimun Di Tangan Kita." yang dikatakan menjadi pencetus "kepanasan" mesyuarat MT Khamis lalu.

"Menurut sumber Malaysia Airline System (MAS), Dr. Khir telah menukar tiket kapal terbang untuk mengerjakan umrahnya dari 18 September ke 19 September pada petang Isnin lalu.

"Pada pagi hari yang sama Dr. Mohamad Khir dilihat keluar dari pejabat salah seorang pemimpin tertinggi Umno," kata Amin dalam blognya itu

Dr. Mohamad Khir juga, katanhya, dikatakan menemui Dr. Mahathir sebanyak dua kali sejak dua minggu lalu.

Bagaimanapun, kata Amin, beliau difahamkan bahawa Dr. Mohamad Khir tidak sempat bercakap dalam mesyuarat MT tersebut kerana Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak telah pun "memotong sesi menghentam" Abdullah yang dimulakan oleh Ahli MT yang juga Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Afdal diikuti oleh Naib Presiden parti itu yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industr Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Menurut Amin, Abdullah dikatakan memberitahu Setiausaha Agong Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mesyuarat tersebut bahawa beliau akan melepaskan jawatannya dalam jangka masa yang terdekat.

"Namun mesyuarat bersama para pegawai dan menantunya semalam telah mengubah senario. Pak Lah dilaporkan telah diminta terus mempertahankan jawatannya. Desakan paling kuat dikatakan datang dari Khairy, Md Alwi dan Ahmad Zaki," kata blogger Umno itu.

Ketua Penerangan Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dikatakan cuba mendapat sokongan Badan Perhubungan Umno Selangor kepada Abdullah yang bermesyuarat pagi Jumaat lalu, katanya.

Namun, katanya lagi, 19 daripada 22 Umno bahagian di Selangor telah memutuskan untuk mencalonkan calon lain bagi jawatan Presiden Umno.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalammengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin-pemimpin Umno Perak dari peringkat bahagian, pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Bangunan Ibu pejabat Umno Perak di Ipoh.

Abdullah yang tiba kira-kira pukul 6.30 petang, disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali serta pemimpin Umno negeri yang lain.

Selepas pertemuan itu, Abdullah yang juga Presiden Umno berbuka puasa bersama pemimpin Umno negeri sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah.

Abdullah kemudiannya berlepas pulang ke ibu negara.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. _

PM mesti berundur sebelum 9/10? - HARAKAHDAILY

Abdul Aziz Mustafa
Sun | Sep 21, 08 | 12:03:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Hrkh) - Asakan kebangkitan pembangkang dan tekanan rakan-rakan di dalam partinya yang tidak sanggup lagi berada di bawah kepimpinannya besar kemungkinan akan memaksa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepada penggantinya lebih awal dari dari pertengahan 2010, lapor The Straits Times Singapura (STS).

Sebelum ini, Abdullah meminta sehingga pertengahan 2010 untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri yang mula dipegangnya pada 31 Oktober 2003.

Namun, seperti yang dilaporkian oleh The Star, kecuali Datuk Annuar Musa yang dilaporkan bersungguh-sungguh membela dan mempertahankan Abdullah dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) 18 September lalu, hampir tidak ada sesiapa pun yang mahu Abdullah terus memimpin Umno dan negara.

Malah, Business Times Singapura (BT) pula melaporkan, Abdullah mungkin tidak akan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden dalam pemilihan Umno Disember akan datang.

Semua itu berpunca dari tekanan yang amat kuat ke atasnya dalam mesyuarat MT itu.

Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad pula melaporkan dalam blognya (kuda-kepang.blogspot.com), MT telah menasihati Abdullah supaya bersara secara sukarela, segera dan terhormat.

Jika tidak, katanya, kemungkinan besar Abdullah akan disingkirkan oleh majoriti bahagian Umno yang memulakan mesyuarat bahagian masing-masing pada 10 Oktober 2008.

"Lantaran itu, Abdullah dijangka mengumumkan tarikh persaraannya daripada siasah dan kerajaan dalam tempoh terdekat ini demi agama, bangsa dan tanahair, selewat-lewatnya pada 9 Oktober 2008.

"Nasihat di atas telah disampaikan oleh MT kepada Abdullah dalam mesyuaratnya pada 18 September 2008," kata Ruhanie.

BT melaporkan, seorang ahli MT malah memberi amaran kepada Abdullah bahawa beliau tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno.

The Star melaporkan, Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz memberitahu Abdullah dalam mesyuarat itu bahawa ahli-ahli akar umbi Wanita Umno telah memberitahunya bahawa Presiden Umno itu mungkin tidak akan mendapat pencalonan yang mencukupi untuk mempertahankan jawatannya.

Kelantangannya, lapor akhbar itu, memaksa ahli-ahli MT lain supaya tidak terlalu menekan Perdana menteri.

Selain Rafidah, ahli MT lain yang menyatakan bahawa Abdullah tidak boleh bertahan lagi selepas Disember ini ialah Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pemuda Umno yang juga Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli MT yang juga Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Afdal.

Menurut blogger Ahiruddin Attan, turut bercakap dengan nada yang sama ialah Ketua Penerangan Umno yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib manakala bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo adalah orang yang mencetuskan perbincangan itu.

Mengikut sistem kuota di dalam Umno, seseorang yang hendak bertanding jawatan Presiden parti itu mesti mendapatkan sekurang-kurangnya 58 pencalonan.

Lebih berat bagi Abdullah, lapor BT, Muhyiddin yang sebelum ini secara terang-terangan meminta Perdana Menteri berundur dengan segera, tidak dikritik dalam mesyuarat itu.

Perkembangan itu, pada pandangan akhbar tersebut, membuktikan bahawa majoriti ahli MT menyokong apa yang ditegaskan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.

Tekanan demi tekanan ke atas Abdullah dalam mesyuarat itu mungkin berpanjangan jika timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meredakannya dengan menyatakan beliau akan membincangkan perkara itu dengan Abdullah, lapor akhbar itu.

Menurut The Star, ketika beberapa ahli MT lain sudah bersedia untuk memberikan pandangan masing-masing, Najib yang melihat Abdullah begitu tertekan dengan tekanan ahli-ahli MT itu, mula bersuara dan berkata apa yang hendak dinyatakan sudah pun dinyatakan dan beliau meminta izin untuk membincangkan perkara itu dengan Abdullah sahaja.

Kini, tumpuan diberikan kepada Najib. Menurut ST, tindakan Najib membatalkan lawatannya ke Arab Saudi mencetuskan spekulasi bahawa Abdullah akan berhenti lebih awal, mungkin sebelum pemilihan Umno Disember ini.

Akhbar itu seterusnya melaporkan, Najib telah dinasihati oleh para pemimpin kanan Umno supaya tidak keluar negara terlalu lama dalam keadaan politik yang tidak menentu di dalam Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ahli-ahli Umno, kata akhbar itu, tidak yakin Abdullah mempunyai kemampuan dan kebolehan untuk menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjatuhkan kerajaan.

Menurut akhbar itu, seorang pemimpin Pemuda Umno dari Kedah menyatakan, ahli-ahli Umno mahu Najib dan Muhyiddin berganding bahu untuk memberi nafas baru dalam kepimpinan parti itu.

"Mereka mahukan perubahan di peringkat atasan," katanya.

Jika Najib mengambilalih, kata akhbar itu, hampir pasti ia akan mematikan peluang Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding merebut jawatan Presiden Umno, walaupun bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyokongnya.

Menurut akhbar itu lagi, 9 September lalu, Najib berunding dengan Dr Mahathir di Singapura dan perbincangan mereka termasuk pelan peralihan kuasa. Dr Mahathir dipercayai memberitahu Najib bahawa beliau tetap dengan pendiriannya._

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...