Sunday, August 14, 2011

P Pinang sambut baik tuan rumah 60 tahun PAS


PULAU PINANG, 14 Ogos: Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, Datuk Saleh Man (gambar) menyambut baik cadangan PAS Pusat untuk mengadakan 'Sambutan 60 tahun PAS' di negeri ini.
katanya, cadangan itu nanti bukan sahaja boleh mengembalikan nostagia penubuhan PAS sebaliknya boleh menyemarakkan semangat para pejuang kini untuk bekerja lebih keras memenangkan beberapa kerusi lagi yang PAS tandingi pada pilihanraya umum ke 13 nanti.
Beliau juga turut setuju agar sambutan berkenaan diadakan di Padang Putra Merdeka, Butterworth yang dulunya dikenali sebagai padang bandaran yang juga merupakan tapak asal penubuhan PAS tahun 1951.
"Kami di sini amat bangga cadangan tersebut sebab ia merupakan sejarah yang terpahat," tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir.
Namun begitu katanya, memandangkan masa yang agak suntuk sebab tarikhnya ditetapkan pada 1 Oktober 2011 maka mesyuarat berkaitan perlu diadakan segera untuk membincangkan beberapa kaedah yang patut diatur sebagai tuan rumah.
Baginya, peluang berkenaan akan digunakan sepenuhnya untuk membangkitkan semangat para ahli PAS di negeri ini agar belajar dari pengalaman orang dahulu yang senantiasa mengasak pemerintahan yang tidak mahu mendaulatkan Islam.
Tambahnya, tanpa penyatuan hati ahli PAS waktu itu semuanya tidak menjadi kenyataan kerana PAS berpecah dengan Umno demi Islam.
"Para ulamak terdahulu melihat Umno dah menyeleweng dari sasaran maka mereka keluar menubuhkan PAS untuk selamatkan Islam daripada diperkudakan oleh musuhnya," ujarnya.

London rakyat mengamuk, Malaysia polis mengamuk

KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyifatkan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang menyamakan rusuhan di London dengan perhimpunan perhimpunan Bersih 2.0, 9 Julai lalu sebagai 'bodoh'.

Sambil ketawa, beliau berkata, kedua-duanya sangat berbeza dari segi suasana dan matlamatnya.

"Saya tak tahulah kebodohan tahap mana kenyataan timbalan ketua polis negara ini.

"Di London rakyat mengamuk tapi di Malaysia polis mengamuk," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini.

Mohamad berkata, dalam beberapa siri himpunan di Malaysia, ia bermula aman sehinggalah terdapat gangguan dan provokasi dari pihak polis.

"Saya sebut kepada peserta himpunan, jangan terbalikkan walaupun satu pasu bunga dan ternyata ia berlangsung aman.

"Polis seharusnya hadapi himpunan secara aman, kalau rusuhan memanglah kena hadapi secara rusuhan," katanya yang terpaksa menjalani pembedahan lutut akibat terjatuh ketika dilanggar kereta polis pada perhimpunan Bersih 2.0.

Tambahnya, rusuhan yang berlaku di London itu tidak ada kaitan dengan sistem politik sebaliknya kerana masalah kesempitan hidup akibat kemerosotan ekonomi.

"Perdana Menteri Britain sendiri kata, rusuhan itu tak ada kena-mengena dengan politik.

"Tapi himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya yang adil," katanya.

Rusuhan di London, terutamanya di Tottenham bermula Sabtu lalu selepas seorang suspek mati ditembak polis.

Rusuhan bermula di Tottenham, kemudian merebak ke Wood Green, Enfield Town, Ponders End dan Brixton melibatkan pelbagai kelakuan ganas dan merebak ke seluruh kawasan lain di London.

Dalam rusuhan itu Polis Metropolitan London diserang manakala kedai dirompak dan bangunan dibaling batu.

Mereka membantah apabila Mark Duggan, pemuda  beruisa 29 tahun ditembak polis mati ketika polis berusaha menangkap pengedah dadah kokain dan ahli 'Star Gang' sedangkan beliau tidak bersenjata.

Saifuddin: BERSIH 2.0 tak sama dengan rusuhan UK


Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah tidak sependapat dengan sebahagian besar pemimpin BN dan Umno bahawa perhimpunan BERSIH 2.0 boleh bertukar menjadi rusuhan seperti yang berlaku di kota London awal minggu ini.

NONE"Saya tidak bersetuju dengan demonstrasi yang menyalahi undang-undang, tetapi saya tidak akan tidak bersetuju dengan tuntutan BERSIH dan saya juga tidak bersetuju bahawa BERSIH dibandingkan dengan rusuhan London," katanya kepada kira-kira 100 orang pada satu forum pagi ini.

Menurut Saifuddin, kerajaan telah gagal menangani tindakan BERSIH untuk berarak pada 9 Julai dengan mempertimbangkan kemungkinan satu perhimpunan aman seperti yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

"Kita sepatutnya membincangkan cadangan Suhakam mengenai cara untuk mengadakan perhimpunan secara aman," katanya pada forum bertajuk "Reformasi Pilihanraya dan Pemurnian Demokrasi" anjuran Pergerakan Belia Islam Malaysia (Abim) di Kajang.

Katanya, sesetengah orang tidak seharusnya begitu takut dengan perkataan "demonstrasi" sehingga mendapati bahawa walaupun ada pihak yang mengadakan demonstrasi tetapi ia diberi nama atau labelkan dengan perkataan lain.

Walau bagaimanapun, Saifuddin mempertahankan hujah bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa berhasrat mahu membenarkan perhimpunan itu mengambil tempat di dalam stadium.

NONE"Tetapi ia tidak berlaku. Dan saya tidak akan mengulas lebih dari itu," katanya.

Najib selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN, semalam berkata parti-parti gabungannya bersependapat bahawa rusuhan di London membuktikan bahawa tindakan keras kerajaan ke atas peserta BERSIH 2.0 adalah wajar.

Katanya lagi, rusuhan yang berlaku di United Kingdom itu sangat serius dan langsung tidak dijangka oleh pihak berkuasanya.

Tambahnya, tiada jaminan bahawa perhimpunan jalanan akan kekal aman kerana mungkin ada pihak tertentu yang akan menyertainya untuk membuat kekacauan.

Dakwa Perdana Menteri lagi, bahawa tawaran "stadium di Shah Alam" juga yang tidak pernah dibatalkan.

Pada forum itu, Saifuddin juga menyarankan agar satu kerangka diwujudkan untuk membolehkan pendaftaran pemilih secara automatik bagi belia yang berusia 21 tahun ke atas.

Beliau juga menyokong idea agar usia layak mengundi diturunkan daripada 21 tahun sekarang kepada 18 tahun.

NONE"Walaupun ia mungkin tidak dapat dilakukan pada pilihan raya ke 13, namun satu 'road map' perlu diwujudkan untuk merealisasikan perkara itu.

"Untuk mematangkan demokrasi kita memerlukan seberapa ramai rakyat untuk keluar mengundi, jadi kita perlu memudahkan proses tersebut agar mereka boleh berbuat demikian," katanya.

Saifuddin turut mencadangkan undang-undang berkaitan referendum diwujudkan kerana ia adalah sebahagian daripada usaha untuk mematangkan demokrasi.

Katanya, kerajaan walau dari parti mana sekalipun perlu mendapat kelulusan terus daripada rakyat selain wakil rakyat di Parlimen untuk perkara yang besar.

"Perkara ini boleh dilakukan terutama di zaman ini di mana rakyat boleh dihubungi secara terus melalui teknologi komunikasi dan maklumat contohnya seperti e-voting," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...