SHAH ALAM 14 Feb. – Pengerusi Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), Tan Sri Raja Arshad Tun Uda dilantik sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) yang baru berkuat kuasa 21 Feb ini.
Pelantikan itu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang pada 20 November lepas mengumumkan berundur daripada jawatan itu apabila tempoh pelantikannya tamat pada 5 Februari.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali berkata, turut berkuat kuasa 21 Februari ini ialah pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam sebagai Pro-Canselor.
Bercakap pada sidang media di sini hari ini, beliau berkata, pelantikan kedua-dua tokoh itu juga adalah sebahagian usaha menjenama dan menambah baik Unisel.
Raja Arshad juga adalah Pengarah Khazanah Nasional, Pengarah Sime Darby Berhad, anggota Panel Kajian Semula Pencukaian, Pengarah Pro-Canselor Unisel,
Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta Felo Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales.
Ismail pula yang mengetuai JPA sejak 2004, pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan. – Bernama