Saturday, July 26, 2008

7 Lagi Bekas Adun BN, Bakal Ikuti Jejak Dato' Fauzi !!

Blog Cucumatkilau:u. www.cucumatkilau.blogdrive.com]


Tamparan hebat buat UMNO/BN Pahang, maklumat terkini diterima tujuh lagi bekas Adun BN bakal mengikuti jejak langkah Dato' Fauzi Abd Rahman. Memang inilah yang ingin disaksikan sejak sekian lama, evolusi kehancuran "Dinasti UMNO" di Pahang akan bermula. Biarpun ada dikalangan pemimpin UMNO Pahang yang masih mempertahankan kononnya UMNO makin utuh biarpun tokoh UMNO Pahang itu menyertai PKR baru-baru ini. Namun mereka harus ingat dan sedar bahawa Fauzi bukan sembarangan. Beliau merupakan bekas Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen, Ahli Parlimen, ADUN dan juga Ketua UMNO Bahagian. Bahkan, ayahandanya juga adalah merupakan bekas Menteri Pelajaran yang cukup terkenal di zaman PM Tuanku Abdul Rahman. Maka itu, UMNO Pahang harus menerima kenyataan bahawa kemasukan Fauzi bakal mendorong lebih ramai lagi pemimpin UMNO Pahang berbuat demikian.

MB Pahang, Dato' Nan kini semakin kepanasan. Tidurnya juga mungkin tak lena. Mandi mungkin tak basah. Apa tidaknya, penyertaan Fauzi dalam PKR merupakan satu tamparan hebat buat kepimpinan beliau. Sebelum ini UMNO Pahang dikecohkan dengan tindakan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga bekas Adun Lepar, Dato' Tajuddin Sulaiman meletakkan jawatannya. Kini angin semakin bertiup kencang bahawa negeri Pahang bakal menerima kejutan yang lebih besar selepas ini. Umum sudah mengetahui bahawa, sebuah syarikat pembalakan telah menyaman dan menfailkan tindakan mahkamah untuk menyita negeri Pahang. Ini kerana kegagalan UMNO Pahang untuk mematuhi arahan mahkamah yang mengarahkan kerajaan negeri membuat bayaran gantirugi jutaan ringgit terhadap syarikat terbabit, akibat penipuan isu balak.

Baru-baru ini juga turut didedahkan tentang penjualan tanah UMNO Pahang kepada syarikat asing dan juga pembalakan haram yang masih berleluasa di negeri ini. Entah apa nak jadi dengan negeri Darul Makmur ini, sejak sekian lama segala hasil mahsul negeri diceroboh oleh pemimpin-pemimpin yang rakus dan tamak. Sebelum ini juga Dato' Fauzi pernah membuat laporan polis tentang penyelewengan yang dilakukan oleh bekas MB yang kini menjadi "Sultan" Melaka iaitu Khalil Yaakob terhadap isu pembalakan. Apa tidaknya, bagi memastikan Sabah jatuh ketangan BN, Khalil telah merompak hasil balak Pahang hingga ke tahun 2010. Habis hutan dara ditarahnya. Akhirnya, beliau bertuah kerana dianugerahkan gelaran "Tun" dan menjadi "Yang Di Pertua Melaka" oleh PM Mahathir hasil jasa-jasanya itu. Entah mengapa, sejak sekian lama isu pencerobohan tanah dan balak Pahang tidak dapat dibenteras oleh pemimpin UMNO/BN ini?. Apakah yang mereka lakukan selama ini agaknya.

Difahamkan, sebenarnya pencerobohan balak di Pahang didalangi oleh pemimpin UMNO negeri ini sendiri. Ia sebenarnya pencerobohan berlesen yang langsung tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa. Apa tidaknya, jika ada pun pegawai perhutanan yang ingin menyiasat dan mengambil tindakan. Maka amaran keras akan diberikan oleh penceroboh itu sendiri, seolah-olah ada "lampu hijau" dari pihak atasan. Jika tidak pun, semua pegawai terbabit akan disuap siap-siap dengan "imbuhan" untuk tujuan menutup mulut. Justeru itulah, dari sehari ke sehari kawasan hutan di Pahang semakin pupus. Jika UMNO/BN terus diberi kuasa, maka sudah pasti generasi akan datang tidak lagi dapat hidup aman dan makmur seperti yang terdapat dalam motto pilihanraya BN baru-baru ini.

Akibat kesedaran yang maha meluap-luap inilah menyebabkan rakyat sudah mula celik dan menuntut perubahan. Hasilnya, belum pernah tercipta dalam sejarah dua buah kawasan parlimen paling penting di Pahang telah berjaya ditakluki oleh Pakatan rakyat dalam pilihanraya umum yang lalu. Bahkan, lima buah DUN juga telah jatuh biarpun selama ini ianya terlalu sukar untuk diramalkan. Sokongan rakyat sebenarnya semakin melonjak, apatah lagi kini dengan isu "liwat" Anwar Ibrahim. Rata-rata rakyat sudah muak dengan "sandiwara politik" ciptaan UMNO ini. Majoritinya sudah tidak yakin lagi dengan apa yang disajikan. Mereka melihat dan yakin bahawa kes terbaru Anwar ini adalah sememangnya satu tindakan drastik untuk menghalang Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kepimpinan negara. Mereka sedar, jika ini berlaku ramai pemimpin UMNO/BN ini akan "terkencing" di buatnya apabila sistem kehakiman di negara ini dirombak dan diperbetulkan kembali nanti.

Lantaran itulah kemarahan rakyat tidak dapat dibendung lagi kini !. Jika Anwar menjadi pencetus gelombang kebangkitan rakyat di seluruh negara. Maka, Fauzi bolehlah dianggap pencetus gelombang perubahan di negeri Pahang. Maka itu, hijrahnya Fauzi ke dalam PKR bakal menyaksikan lebih ramai pemimpin UMNO/BN Pahang berbuat demikian. Harus diingat, Fauzi lebih hebat dari Adnan Yaakob, Tan Aminuddin, Sharkar Shamsuddin serta lain-lain exco kerajaan negeri sekarang. Mungkin boleh dikatakan ketokohan Fauzi berada setakuk di belakang Najib di bumi Darul Makmur ini. Jika Najib mewarisi kepimpinan ayahandanya PM Tun Razak. Maka, apa kurangnya Fauzi, beliau turut mewarisi ketokohan ayahandanya Abd rahman Talib, bekas menteri di zaman Tuanku. kekuatan inilah yang diramalkan bakal menyaksikan satu gelombang kebangkitan yang lebih besar di negeri Pahang selepas ini.

Maklumat diterima daripada SB Cucu, tujuh lagi bekas Adun BN dari UMNO bakal mengucapkan selamat tinggal kepada parti karat itu. Mungkin masanya sudah tiba untuk mereka bersama rakyat, setelah berjuang sekian lama dalam UMNO. Kabarnya, beberapa pertemuan "sulit" telah diatur di dalam dan luar negara sebelum ini. Pertemuan tersebut telah diuruskan oleh salah seorang bekas pemimpin kanan PKR Pahang, yang kini tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti lagi. Menurut laporan, hasil pertemuan tersebut kesemua mereka telah bersetuju untuk "mengganyang" pimpinan UMNO Pahang dalam pilihanraya umum akan datang.

Mereka kini hanya menunggu isyarat rasmi daripada pihak tertentu untuk tujuan ini. Sebelum ini UMNO Pahang telah dikecohkan apabila dua orang pemimpin UMNO yang berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri dikatakan bakal bersama Pakatan Rakyat. Laporan tersebut menyebabkan UMNO Pahang sedikit bergolak hingga memaksa individu terbabit membuat kenyataan terbuka yang mereka masih sayangkan UMNO. Begitulah nasib wakil rakyat UMNO ini sebenarnya, biarpun mereka sudah jijik berada dalam parti karat itu namun dek kerana tekanan akhirnya mereka terpaksa akur dan tidak tergamak untuk berpaling tadah.

Apapun, kita masih menantikan lebih ramai lagi pemimpin UMNO negeri untuk melakukan penghijrahan selepas ini. Mungkin ada yang membuat kenyataan secara terbuka dan ramai juga yang secara senyap-senyap. Inilah yang amat ditakuti oleh UMNO Pahang sebenarnya. Mereka tahu, Pahang masih selamat dari gelombang "Tsunami Pilihanraya" kerna paksaan, sogokan dan tekanan yang dibuat kepada golongan peneroka Felda dan orang asli di negeri ini. Umum mengetahui bahawa negeri Pahang mempunyai skim rancangan Felda yang paling luas. Tambahan pula menteri yang ditugaskan menjaga Felda ialah, anakanda pengasas Felda (Tun Razak) itu sendiri iaitu Najib. Maka itulah ada yang mengatakan Pahang terlalu sukar untuk jatuh ke tangan pembangkang. bayangkan setiap kali musim pilihanraya, berbagai tekanan dibuat terhadap peneroka. Itu belum termasuk "imbuhan ribuan ringgit" yang dihulur beberapa hari menjelang hari pengundian. Atas alasan inilah, Pahang dilihat terlalu sukar untuk ditakluki.

Namun, manusia hanya merancang tapi Allah yang menentukan. Siapa sangka Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang boleh jatuh ke tangan Pakatan rakyat baru-baru ini?. Semuanya kerana takdir dan perubahan minda rakyat yang berlaku sejak sekian lama. Maka itu, kemasukan Fauzi ke PKR diharap bakal meranapkan "rejim UMNO" di negeri ini. Kita juga berharap agar tujuh bekas Adun yang kini sedang memanaskan badan di bangku simpanan sudah bersedia untuk masuk ke padang, bagi berjuang membela nasib rakyat. Soalnya, siapakah bekas Adun dan YB terbabit? Nantikan "pembongkaran" seterusnya selepas ini. Apapun, lebih elok nama-nama mereka ini "dirahsiakan" terlebih dahulu, kerana kita khuatir mereka juga akan diberi tekanan oleh pemimpin UMNO negeri selepas ini. Mungkin mereka bakal melakukannya bila-bila masa sahaja mulai sekarang. Sama-sama kita nantikan dan berdoa agar pendirian mereka tidak akan berubah walau apa jua dugaan yang bakal mendatang.

[ Apakah kepimpinan PKR Pahang bakal berubah dengan kemasukan para pemimpin UMNO yang cukup berpengalaman dan amat dikenali ini?. Segalanya berkemungkinan sekarang. Apapun Cucu ucapkan ribuan terima kasih kepada SB Cucu atas maklumat terkini ini. Mungkin beliau juga akan kembali bersama kepimpinan PKR Negeri tidak lama lagi ].

Blog Cucumatkilau:u. www.cucumatkilau.blogdrive.com]

- Cucu Mat Kilau

25.07.2008

Lima Lagi Dipanggil BPR Beri Keterangan Kes Perdana V6

26 Julai, 2008 22:25 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Julai (Bernama) -- Lima lagi individu dipanggil Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi memberi keterangan berhubung kos penyenggaraan Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco dan pegawai kanan kerajaan Terengganu antara 2004 dan 2008.

Pengarah BPR negeri Sharuddin Sapian berkata jumlah itu menjadikan sembilan orang telah dipanggil setakat ini, untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan.

Beliau berkata lima individu itu adalah orang awam dan mereka telah dipanggil memberikan keterangan di pejabat BPR, sejak dua hari lepas.

"Kami mungkin memanggil beberapa lagi saksi bagi memberi keterangan dari semasa ke semasa, jika perlu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Difahamkan, antara lima individu yang dipanggil itu ialah mekanik bengkel kereta berkaitan, yang bertanggungjawab menyenggara kenderaan rasmi kerajaan Terengganu.

Sharuddin berkata kes itu disiasat mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1967.

Dua hari lepas, Setiausaha Kerajaan Terengganu Datuk Mokhtar Nong mengesahkan empat pemandu exco kerajaan negeri telah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kos penyenggaraan kereta Proton Perdana V6 Executive kerajaan negeri, yang disifatkan terlalu tinggi.

Sebelum itu, pejabat Menteri Besar Terengganu dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negeri itu terpaksa membayar kos yang tinggi iaitu berjumlah RM1.07 juta untuk menyenggara kesemua 15 kereta Proton Perdana V6 Executive yang digunakan exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu, sejak 2004 hingga 2008.

Kos senggaraan yang tinggi itu dijadikan alasan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said untuk meluluskan pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor sebagai kenderaan rasmi exco dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

-- BERNAMA

Dokumen Lama Yang Mungkin Disorok Sukarkan Proses Tuntutan Dokumen, Kata Sidek

26 Julai, 2008 22:22 PM

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Proses menuntut dokumen-dokumen lama berkaitan Malaysia yang disimpan di peringkat antarabangsa amat sukar dibuat ekoran timbulnya masalah-masalah seperti kewujudannya yang tidak dapat dikesan dan kemungkinan ia 'disorok' pihak tertentu.

Ketua Pengarah Arkib Negara Sidek Jamil berkata faktor itu merupakan salah satu punca mengapa dokumen berkaitan sejarah negara sukar dituntut, dan bukan semata-mata kerana kurangnya kerjasama daripada negara terbabit.

"Biasanya kita minta dalam bentuk salinan 'mikrofilem' dan ada sesetengah negara yang tidak mempunyai atau tidak mampu membuatnya (salinan mikrofilem)," katanya kepada Bernama selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Kongres Arkib Antarabangsa (ICA) ke-16.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Mohd Shafie Apdal Khamis lepas yang mahukan Sidek menggunakan ICA untuk mendapatkan dokumen lama berkaitan negara yang disimpan di luar negara. Sidek berkata dalam Kongres ICA yang berakhir hari ini, beliau turut membangkitkan masalah berhubung perkongsian dokumen maklumat dan berbincang mengenai isu berhubung dokumen bersejarah sesebuah negara yang disimpan di negara lain.

Menurutnya jaringan kerjasama di peringkat antarabangsa serta penyelidikan yang terperinci amat diperlukan bagi mengesan kedudukan sesebuah dokumen asal yang lama.

Sidek seterusnya berkata Kongres ICA juga membuat ketetapan untuk memberikan Algeria tanggungjawab menyediakan kertas kerja serta cadangan bagi membangunkan polisi dan mewujudkan rangkaian antara anggota ICA dalam memperoleh kembali sesuatu dokumen asal.

"Algeria akan buat cadangan yang akan dibawa kepada ICA untuk dibincangkan, seperti langkah mewujudkan perjanjian antara negara," katanya.

Beliau berkata Algeria dipilih kerana mereka mempunyai latar belakang mengendalikan penyelesaian kes menuntut kembali dokumen lama yang dibawa keluar dari negaranya.

Kongres lima hari yang berakhir hari ini melibatkan penyertaan lebih 1,200 peserta dari 138 negara termasuk Amerika Latin, Jepun, United Kingdom, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

-- BERNAMA

Fong Dan Chua Jadi Tumpuan Ramai Pada Pemilihan Peringkat Bahagian

26 Julai, 2008 19:20 PM

Oleh Alan Ting

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Pemilihan peringkat bahagian MCA hari Ahad akan menjadi misi 'hidup atau mati' bagi Naib Presiden parti Datuk Seri Fong Chan Onn dan bekas naib presiden Datuk Chua Jui Meng, semasa kedua-dua mereka dilihat cuba 'kembali' ke arus perdana politik menerusi parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN) itu.

Kedua-dua pemimpin kanan MCA itu perlu menang dalam pemilihan di peringkat bahagian masing-masing bagi membolehkan mereka melangkah ke pertandingan peringkat nasional pada pemilihan MCA 18 Okt ini.

Chua berhadapan dengan setiausaha bahagian MCA Bakri Tay Khim Seng dan timbalan pengerusi cawangan MCA Jln Bandar (Bakri) Tan Geok San dalam pertandingan tiga penjuru, bagi jawatan tertinggi bahagian itu.

Ia merupakan bahagian MCA yang terbesar di Johor dengan 15,000 anggota.

Bekas Menteri Kesihatan itu sebelum ini dilaporkan menganggap dua lawannya itu sebagai pengkhianat, dengan mendakwa kedua-dua mereka pernah menyokongnya, dan hanya menghantar borang pencalonan masing-masing kira-kira 15 minit sebelum tempoh pencalonan ditutup pada pukul 8 malam Selasa lepas.

Menurut sumber kedua-dua mereka mungkin bertindak sebagai proksi bagi pemimpin tertentu yang ingin melihat Chua kalah di peringkat bahagian, kerana ini akan memastikan bekas menteri itu tidak dapat mara untuk merebut kedudukan dalam parti di peringkat kebangsaan.

Sekiranya Chua, 65, kalah dalam pemilihan esok, beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sebarang harapan untuk kembali aktif dalam arena politik, memandangkan perlembagaan parti menetapkan bahawa mana-mana anggota yang ingin bertanding di peringkat nasional perlu terdiri daripada perwakilan peringkat bahagian atau memegang jawatan di peringkat bahagian.

Bagaimanapun senario itu tidak sama bagi Fong, bekas Menteri Sumber Manusia dan penyandang pengerusi bahagian Alor Gajah, yang akan dicabar oleh Naib Pengerusi bahagian Ngow Duo Soon.

Sumber-sumber dalaman parti melihat cubaan Fong, yang menjadi perwakilan pusat disebabkan statusnya sebagai Anggota Parlimen Alor Gajah, mempertahankan kedudukan itu sebagai usaha beliau mengukuhkan gengamannya terhadap perwakilan bahagian itu yang akan ke pemilihan MCA nanti.

Seorang lagi bekas Naib Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan dan semua jawatan parti ekoran tercetus skandal seks, memenangi jawatan ketua bahagian MCA Batu Pahat tanpa bertanding selepas pencalonan ditutup pada hari Selasa lepas.

Daripada 191 bahagian MCA di seluruh negara, 71 bahagian menyaksikan pertandingan bagi pelbagai jawatan, esok. Antara spekulasi yang timbul dalam parti ketika ini adalah kemungkinan ketiga-tiga mereka akan bertanding bagi jawatan naib Presiden sekiranya menang dalam pemilihan peringkat bahagian esok.

Lain-lain pemimpin MCA seperti setiausaha agung Datuk Seri Ong Ka Chuan dan Naib Presiden Datuk Donald Lim mengekalkan jawatan ketua bahagian masing-masing di Tapah dan Petaling Jaya Selatan.

Satu lagi pertandingan yang dijangka menarik membabitkan bahagian Seremban di mana bekas Anggota Dewan Rakyat Temiang Datuk Lee Yuen Fong yang akan berentap dengan setiausaha MCA Negeri Sembilan Datuk Peter Lai Yit, dan seorang lagi calon, Ng Chee Kong.

Pertandingan itu dianggap sebagai pertembungan gergasi di Negeri Sembilan.

Satu lagi pertarungan hebat dijangka berlangsung di Rembau di mana bekas exco negeri Datuk Goh Siow Huat akan menghadapi penyandang pengerusi Rembau, Senator Lee Chee Keong.

Pada pemilihan peringkat bahagian 2005, Chee Keong yang merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri Mambau, menewaskan Goh dengan dua undi untuk menyandang jawatan ketua bahagian.

Keputusan pemilihan bahagian esok dijangka akan membentuk lanskap pertandingan kepimpinan MCA peringkat kebangsaan Oktober ini. -- BERNAMA

Penggunaan Mercedes Untuk Tetamu Satu Pembaziran - MB Perak

26 Julai, 2008 18:59 PM

IPOH, 26 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menyifatkan keputusan kerajaan Pusat supaya 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor yang dibeli kerajaan negeri Terengganu tidak boleh digunakan oleh Menteri Besar, exco dan pegawai kanan negeri itu, sebagai satu pembaziran.

Beliau berkata ini kerana keputusan itu akan menyebabkan kenderaan-kenderaan yang baru dibeli itu tersadai tidak digunakan.

"Kita tidak tahu kenapa Kabinet buat keputusan tidak boleh pakai...sekarang sudah jadi pembaziran, 14 buah kereta bernilai RM3.4 juta tersadai kerana bukan hari-hari ada tetamu," katanya ketika diminta mengulas keputusan yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam supaya kereta baru yang dibeli kerajaan Terengganu itu hanya digunakan untuk membawa tetamu kerajaan negeri.

Pembelian kereta baru oleh kerajaan negeri Terengganu itu menimbulkan kontroversi kerana bercanggah dengan dasar kerajaan yang mengutamakan penggunaan kereta Nasional.

Bercakap kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen PAS Perak ke-13 oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini, Mohammad Nizar berkata adalah lebih baik jika kereta yang dibeli itu digunakan kerana anggota exco Terengganu turut perlu melakukan perjalanan yang jauh dan lasak.

Beliau berkata penggunaan kereta jenis lain selain Proton Perdana sepatutnya tidak menjadi masalah kerana ada akitiviti dan penggunaan yang memerlukan kereta lebih lasak seperti Mercedes.

Mohammad Nizar berkata seperti di Perak, kereta Proton Perdana yang diguna turut melibatkan perjalanan yang jauh dan terdapat tiga kereta sering mengalami kerosakan dan mungkin perlu ditukar.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri Perak tidak bercadang menukar kereta rasminya kepada model lain kerana menghormati arahan penggunaan kereta Nasional.

Menurut beliau pembelian Mercedes pada masa kini hanya akan membawa persepsi kerajaan yang membazir kerana ia memberi gambaran kemewahan.

"Walaupun kita mempunyai peruntukan membeli kereta baru yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini, kita mengambil keputusan menggunakan kereta sedia ada," katanya.

Beliau berkata keputusan untuk menggantikan kereta hanya akan dibuat apabila keadaan memerlukan serta mempunyai justifikasi dan apabila kerajaan negeri mempunyai kemampuan.

-- BERNAMA

Najib Harap Semua Pimpinan Umno Bahagian Terima Pelan Peralihan Kuasa

26 Julai, 2008 16:07 PM

PEKAN, 26 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usul yang dibuat oleh cawangan tertentu yang mencadangkan beliau bertanding jawatan Presiden pada pemilihan UMNO Disember depan, bukanlah bermakna ia juga menggambarkan pendirian bahagian Umno kawasan terbabit.

Sambil mengulangi pendiriannya bahawa beliau tetap komited kepada pelan peralihan yang telah dipersetujui dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu pada Jun 2010, Timbalan Perdana Menteri itu juga berharap semua pimpinan bahagian dapat menerima pelan peralihan kuasa itu.

"Cuma bahagian sahaja boleh buat pencalonan yang sah, jadi sebab itulah pendirian cawangan ini tak perlu sebenarnya dibuat liputan oleh media sebab dalam satu bahagian mungkin ada 200, 300 cawangan, kalau satu sahaja buat ketetapan tidak bererti ianya keputusan bahagian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir daerah Pekan 2007, di sini, hari Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai dua cawangan UMNO di Pahang yang membuat usul mencadangkan beliau bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu Disember depan.

Pada 17 Julai lepas, Umno Cawangan Kampung Ubai, dalam Bahagian Pekan, mencadangkan Najib untuk jawatan Presiden, sementara pada mesyuarat cawangan Bukit Kuantan 3 dalam Bahagian Paya Besar, dua hari lepas, selain mencadangkan Najib bertanding jawatan itu, cawangan itu juga mencadangkan supaya peralihan kuasa kepada Najib dipercepatkan sebelum Disember ini bagi mengelak pertandingan jawatan tertinggi parti itu.

Najib berkata: "Cawangan tak ada (kuasa menamakan pencalonan), yang penting bahagian, saya percaya bahagian di Pahang akan ikut pelan peralihan kuasa, apa pun kita tak boleh nak sekat (usul yang dibuat cawangan), yang penting pada persidangan bahagian nanti.

"Tak ada (sebarang arahan), tapi ini saranan kita, saya dah pun bercakap beberapa kali, Presiden pun dah cakap beberapa kali, harap pimpinan bahagian terima (pelan peralihan kuasa),".

Mengulas mesyuarat cawangan yang telah pun bermula 17 Julai lepas, Najib berkata setakat ini beliau amat berpuashati dan pada keseluruhannya, ia berjalan lancar.

"Setakat ini nampaknya perjalanan mesyuarat cawangan-cawangan Umno berjalan baik dan lancar, Majlis Tertinggi atas syor Jawatankuasa Pengurusan telah bersetuju supaya ditubuhkan jawatankuasa pemantau di peringkat negeri dimana semua kes pertikaian cawangan dirujuk ke Jawatankuasa Peringkat Negeri sebelum dibawa ke Jawatakuasa Pengurusan, kalau ada (kes)," kata Najib.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan wang ehsan kepada 1,224 mangsa banjir tahun lepas bagi daerah Pekan.

Najib berkata bantuan itu merupakan siri bantuan terakhir di daerah Pekan yang keseluruhannya berjumlah 3,834 mangsa melibatkan jumlah bantuan sebanyak RM3.4 juta.

"Bagi seluruh negara, jumlah bantuan melibatkan peruntukan sebanyak RM58 juta dan telah pun diagihkan kepada mangsa banjir yang terbabit pada tahun lepas di tujuh buah negeri," katanya.

-- BERNAMA

Kereta Mercedes Terengganu Akan Dapat Permintaan Tinggi Penggunaannya, Kata Najib

25 Julai, 2008 22:53 PM

KUALA TERENGGANU, 25 Julai (Bernama) -- Empat belas buah kereta Mercedes Benz E200 Kompressor kerajaan Terengganu, yang telah diputuskan untuk dijadikan sebagai kenderaan tetamu kerajaan negeri itu, akan mendapat permintaan tinggi terhadap penggunaannya pada masa depan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata sebagai contoh, kereta Mercedes itu akan digunakan bagi membawa tetamu ternama di negeri itu semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja di sini, pertengahan Oktober depan.

"Permintaannya sudah tentu tinggi untuk kegunaan pelawat-pelawat tertentu terutama semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja," katanya kepada pemberita selepas melawat Hotel Felda Residence di sini, Jumaat.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.

Najib mengulas keputusan Kabinet bahawa kerajaan Terengganu perlu menggunakan kereta Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi anggota exconya manakala kereta Mercedes E200 Kompressor yang sudah dibeli, hanya untuk tetamu kerajaan negeri itu.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Perdana Menteri berkata Felda akan berusaha mencari peluang pelaburan baru dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan agensi berkenaan.

Najib berkata pembukaan Hotel Felda Residence itu adalah yang keenam oleh agensi berkenaan kerana sebelum ini, lima daripadanya berbentuk resort.

"Langkah Felda membina Hotel Felda Residence ini juga selaras dengan usaha Felda untuk mengembangkan aktiviti kumpulannya dalam sektor pelancongan.

Tambahan pula permintaan terhadap bilik penginapan di Pantai Timur yang semakin bertambah sejak kebelakangan ini.

"Usaha ini turut memberi manfaat kepada semua pihak termasuk membantu kerajaan Terengganu dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak negeri yang merupakan 70 peratus daripada kakitangan hotel ini," katanya.

Hotel Felda Residence yang mula dibuka untuk tempahan kepada orang ramai pada 3 Julai lepas, menelan belanja pembinaannya sebanyak RM26.5 juta dan siap sepenuhnya pada Jun lepas.

Hotel setinggi 20 tingkat dan mempunyai 100 bilik penginapan serta 66 kakitangan, terletak berhampiran dengan Istana Bukit di Jalan Hiliran di sini.

-- BERNAMA

Bengong ker apa, setakat persidangan raja-raja jer nak guna kereta tu. Nak cover line la tu sebab MB Terengganu dah membazirkan duit rakyat.

Insiden udara Qantas: M'sia jadi perhatian

Malaysia Kini
Jul 26, 08 5:49pm

Perhatian kini bertumpu kepada sebuah sebuah syarikat penyelenggaran kapal terbang di Malaysia selepas sebuah pesawat Qantas hampir terbabit dalam kemalangan udara semalam.

Akhbar The Daily Telegraph di Sydney memetik seorang juruterbang kanan Qantas yang tidak disebut namanya sebagai berkata, insiden itu mungkin ada kaitan dengan penyelenggaran pesawat tersebut.

qantas qf30 disaster 260708Katanya, terdapat cakap-cakap di kalangan juruterbang mengenai mutu rendah penyelenggaran pesawat tersebut yang dilakukan di luar negara.

"Tindakan Qantas menggunakan khidmat penyelenggaran di Malaysia membimbangkan ramai juruterbang kami," katanya sambil mendakwa ada pesawat yang tidak diselenggara dengan sempurna.

Bagaimanapun, tidak ada pengesahan sama ada pesawat itu telah dibaiki atau diselenggara di Malaysia.

Pagi semalam, pesawat Boeing 747 yang berusia 17 tahun, bagi penerbangan QF 30, mengalami kebocoran rangka pesawat ketika melintasi Laut China Selatan dalam penerbangan dari London ke Melbourne.

Insiden tersebut mengakibatkan terjadi satu lubang seluas tiga meter di bahagian perut pesawat, menyebabkan tekanan udara jatuh. Ini menyebabkan pesawat terjunam 6,000 meter (20,000 kaki) sebelum dapat distabilkan semula.

Juruterbangnya terpaksa melakukan pendaratan cemas di Manila pada jam 11 pagi semalam. Tiada sebarang laporan kecederaan.

Menurut AFP, bunyi letupan kuat, diekori dengan pesawat menjunam ke bawah, menyebabkan para penumpang menjadi panik.

"Saya terdengar ada orang menjerit. Penumpang kelihatan merenung satu sama lain dalam keadaan ketakutan," kata seorang penumpang, Steve Winchester.

Qantas belum lagi mengumumkan punca rasmi insiden tersebut, tetapi akhbar The Daily Telegraph berkata para jurutera mendapat tahap hakisan yang tinggi pada pesawat tersebut.

Insiden itu berlaku ketika Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam Australia (CASA) dikecam dalam negeri kerana enggan mendedahkan 1,000 muka surat laporan audit mengenai penyelenggaran kemudahan di Hong Kong, Singapura, Filipina, New Zealand and Malaysia.

CASA diminta mendedahkan sepenuhnya laporan audit tersebut selepas laporan audit Qantas 2006 mendedahkan terdapat kerosakan pada sebuah pesawatnya yang pulang dari Singapura, lapor akhbar The Age pada 21 Julai lalu.

Laporan itu mendedahkan mengenai peningkatan penggunaan khidmat kontraktor luar negara sejak akhir-akhir ini untuk menyelenggara pesawat Qantas.

Pada Disember 2007, Qantas menandatangani perjanjian dengan syarikat MAS Aerospace Engineering (MAE), syarikat milik penuh Penerbangan Malaysia, untuk menceburi bidang perkhidmatan penyelenggaran, pembaikan dan baik-pulih pesawat di Asia Terengganu.

Menurut laporan akhbar The Australia pada Disember 2007, bayaran kepada MAE melalui perjanjian tersebut, tidak didedahkan, tetapi menurut laporan, jumlahnya membolehkan Qantas memiliki separuh daripada MAE.

Kemudahan MAE di lapangan terbang lama Subang, Selangor dianggap sebagai pusat membaiki dan penyelenggaraan pesawat untuk para pelanggannya, termasuk KLM Royal Dutch Airlines; Garuda, Indonesia dan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.

'Giliran orang Johor jadi presiden'

Malaysia Kini
Abdul Rahim Sabri | Jul 26, 08 3:02pm

Sudah tiba masanya jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan, kata ketua Umno Cawangan Desa Jaya, Abdul Muhamad Talib Ngah.

muhyiddin yasin muhyiddin yassin"Dan sudah tiba masanya orang Johor dicalonkan memegang jawatan presiden. Tan Sri Muhyiddin Yassin layak memegang jawatan tersebut.

"Ini kerana beliau telah membuktikan kemampuannya melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan kepadanya selama ini," kata Abdul Muhamad Talib

Tugas-tugas yang diamanahkan itu merangkumi dalam parti dan juga dalam kerajaan.

Muhyiddin sekarang adalah naib presiden Umno dan memegang portfolio Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Sebelum ini, beliau telah diamanahkan memegang jawatan Menteri Pertanian dan Asas Tani.

shahrir samad 250907Umno bahagian Johor Bahru diketuai oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad.

"Usul mencadangkan Tan Sri Muhyiddin sebagai presiden di persetujui sebulat suara dalam mesyuarat cawangan 19 Julai lalu," katanyaAbdul Muhammad Talib Ngah ketika dihubungi Malaysiakini.

Tidak dipengaruhi

Ketua Umno cawangan itu menjelaskan kehadiran ahli dalam mesyuarat adalah 81 orang ahli cawangan. Ia telah diadakah di Dataran Kg Desa Jaya.

Abdul Muhammad Talib juga menjelaskan usul Umno cawangan itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Umno cawangan Desa Jaya adalah cawangan pertama dalam bahagian Johor Bharu yang mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanding untuk merebut jawatan nombor satu itu dalam parti.

Sehubungan itu, Abdul Muhamad Talib menegaskan bahawa ahli-ahli akar umbi di situ mahukan demokrasi.

"(Kami) mahukan kebebasan bersuara dan tidak berniat untuk menjatuhkan seseorang. Kami cuba buat perubahan dan perubahan itu kita rasai bersama," jelasnya.

Abdul Muhamad Talib juga menjelaskan bahawa beliau tidak bersetuju berpolitik untuk menjaga hati orang lain.

"Jangan takut untuk menyuarakan pandangan. Asalkan pandangan itu tidak menyalahi etika dan perlembangaan parti dan undang-undang (negara)," katanya.

Selain Muhyiddin, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah diusulkan oleh dua cadangan di Pahang untuk bertanding jawatan presiden

Dua cawangan tersebut ialah Umno Bukit Kuantan 3 (bahagian Paya Besar) dan Umno Kampung Ubai (bahagian Pekan).

Najib harap Dr M balik ke Umno

Malaysia Kini
Jul 26, 08 10:40am

Datuk Seri Najib Tun Razak Najib berharap mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali menyertai Umno apabila kepimpinan negara bertukar nanti.

"Saya mahukan siapa yang jauh hati, bawa hati, dan makan hati, kembali semula dalam lipatan keluarga Umno untuk meneruskan perjuangan," katanya.

"Kalau ini jadi kenyataan, gabungan (pemimpin) baru dan lama bersama dalam satu keluarga, Umno akan bertambah kukuh dan kuat bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13 akan datang," katanya.

Najib yang juga timbalan perdana menteri menyuarakan harapannya itu ketika berucap di majlis makan malam dan perasmian perhimpunan agung Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Malaysia di Kuala Terengganu malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Timbalan presiden Umno itu juga berharap proses peralihan kuasa pada 2010 nanti akan berjalan lancar, dengan pentadbiran baru negara mendapat sokongan semua pihak, termasuk pemimpin baru dan lama.

Beliau berkata, sekiranya Umno tidak disokong oleh pemimpin baru dan lama, parti itu akan rebah.

Sokongan berterusan


Menurutnya, sokongan semua pihak, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga presiden Umno, adalah penting selepas peralihan berlaku supaya beliau dapat memimpin negara dengan baik dan meneruskan agenda untuk pembangunan rakyat.

"Saya harap Pak Lah akan sokong saya apabila (beliau) tidak ada jawatan nanti, saya harap Pak Lah dan penyokong-penyokongnya menyokong kepimpinan baru apabila sampai masanya," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said dan Pemangku Presiden Mubarak Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Najib berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) sebenarnya tidak membuat silap dalam membangunkan negara, tetapi pemimpin perlu bermuhasabah diri dan memahami aspirasi rakyat supaya terus mendapat sokongan pada pilihanraya umum akan datang.

Najib berkata pemimpin Umno juga perlu menyesuaikan diri dan menampilkan imej yang disenangi rakyat kerana jika sebaliknya, pilihan raya akan datang bakal menjadi muka surat terakhir dalam buku riwayat perjuangan parti itu.

"Pemimpin Umno perlu mengikis persepsi rakyat bahawa parti ini sebuah parti cari makan, dan mereka perlu kembali kepada perkara asas perjuangan iaitu mengutamakan keikhlasan. Kalau tunjuk imej ini, rakyat akan sokong," katanya.

Polis: Chang memecut ke arah kami... Malaysia Kini

Rahmah Ghazali | Jul 25, 08 8:13pm

Kereta yang dipandu oleh seorang mekanik, Chang Jiun Haur, 23, didakwa memecut ke arah sekumpulan anggota polis sewaktu berlaku kekecohan di Bandar Mahkota Cheras (BMC), demikian menurut keterangan seorang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

suhakam inquiry cheras mahkota fru shahrizanLans-Korporal Shahrizan Abd Rashid (kiri), 25, yang berada di tempat kejadian pada 27 Mei lalu untuk mengawal lalulintas, berkata dia nampak kereta Proton Wira Chang memecut ke arahnya dan sekumpulan anggota polis.

Katanya, dia nampak kereta tersebut datang laju ke arah mereka dan pemandunya tidak nampak seperti mahu membuat pusingan-U.
Ketika itulah, katanya, dia terdengar seseorang menjerit 'jaga-jaga! jaga-jaga! dan mereka terus bergerak ke tepi.

Shahrizan berkata, apabila kereta itu menghampiri tempat pusingan U, pemandunya membuat pusingan tajam dan kereta itu berhenti kerana ada kereta di hadapan.

Beliau memberitahu demikian ketika memberi keterangan dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini.

'Saya dengar dua anggota dilanggar'

cheras mahkota fru assault on car sequence 280508Berikutan itu, katanya, anggota FRU dan CID yang ditempatkan di situ bertindak menahan Chang.

Shahrizan bagaimanapun tidak nampak apa yang berlaku selepas itu kerana dia telah beredar dari tempat kejadian untuk mengawal kenderaan lain dan orang ramai di situ.

Sebelum kejadian itu, Shahrizan berdiri tiga atau tempat meter dari kereta tersebut ketika ia berhenti dan dikepung oleh anggota FRU dan CID.

Katanya, dia terdengar bunyi 'bising memecut' dari enjin kereta tersebut.

Kereta itu, katanya, bergerak di depan dan ke belakang kira-kira dua tiga kali dan dia terdengar bunyi kuat enjin seolah-olah ia mahu memecut.

Shahrizan berkata, dia juga tidak tahu anggota polis yang mana dilanggar (kereta tersebut). Katanya, dia hanya dengar dua daripada anggota polis itu terbabit.

Ditanya sama ada dia tahu berapa laju kereta itu bergerak, Shahrizan berkata, beliau tidak pasti, tetapi ia pasti boleh mengakibatkan kecederaan serius.

Menurutnya lagi, dia tidak nampak sama ada anggota FRU atau CID menyerang kereta tersebut kerana "ia berlaku begitu pantas".

Katanya, dia tidak nampak sama ada Chang dipukul, tetapi nampak Chang ketika dia dibawa oleh beberapa anggota CID ke tepi jalan.
Shahrizan berkata, dia ternampak dari di hidung Chang yang lengkap berpakaian dan tangannya digari ke belakang.

Mereke semua menafikannya

Seorang lagi saksi, ASP Kamal Ariffin Amman Shah yang mengetuai pasukan FRU di Cheras pada malam tersebut berkata, beliau juga tidak nampak sama ada penumpang kereta tersebut diserang.

Katanya, ketika itu, dia berada di tembok penghalang kerana sedang mengawal pergerakan pasukan FRU.

Tetapi, katanya secara tiba-tiba, dia ternampak seorang remaja Cina yang berdarah dibawa oleh dua anggota polis berpakaian biasa.
Berikutan itu, katanya, dia memanggil kepada Sarjan Abdul Rahman Mohamad (yang ditugaskan dekat simpang pusingan U) dan
bertanya apa telah berlaku.

Kamal memberitahu siasatan tersebut bahawa dia dimaklumkan oleh anggotanya yang Chang cedera kerana "berlaku pergelutan ketika ditangkap".

Katanya, seorang anggota kemudian memberitahunya bahawa kereta itu "telah merempuh anggotanya".

Bagaimanapun, Kamal berkata, dia tidak dapat mengesahkannya dan menganggap ia sebagai satu cerita sahaja.

Pada jam 1.20 pagi, katanya, dia pergi ke tempat kejadian itu dan ternampak sebuah kereta Proton Wira milik Chang.

Katanya, dia bertanya kepada pegawai bertugas di situ siapakah yang memukul Chang dan anggotanya berkata mereka tidak melakukannya.

Selepas itu, katanya, dia telah mengarahkan anggotanya dan (Chang) supaya membuat laporan polis di Kajang.

Siasatan awam itu diadakan di ibupejabat suruhajaya tersebut di Menara Tun Razak di Kuala Lumpur.

Ia didengar oleh panel tiga anggota pesuruhjaya Suhakam yang dipengerusikan oleh Datuk Zaiton Othman. Dua lagi anggota panel tersebut ialah Datuk Dr Chiam Heng Keng dan Datuk Khalid Ibrahim.

Siasatan tersebut yang pada mulanya dijadualkan berlangsung selama dua hari, telah dilanjut sehari lagi sehingga esok.

Seramai 12 saksi telah dipanggil setakat ini manakala 10 lagi saksi dijangka dipanggil memberi keterangan esok.

Bidang tugas panel tersebut ialah:

bullet buttonSama ada terdapat anggota penguatkuasa undang-undang, ketika menjalankan tugas menguatkuasa undang-undang, telah menggunakan kekerasan yang berlebihan.

bullet buttonJika berlaku kekerasan berlebihan, apakah berlaku pelanggaran hak asasi manusia terhadap orang atau orang-orang, dan siapakah yang bertanggungjawab melakukannya.

bullet buttonMengesyorkan apakah tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab melanggar hak asasi manusia itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...