Subky Abdul Latif
Thu | Jul 10, 08 | 5:26:17 pm MYT
Ketika rencana ini ditulis P. Balasubramaniam, penyiasat persendirian yang dilaporkan hilang setelah membuat dua akuan sumpah yang saling bercanggah belum diketahui di mana dia meskipun diberitakan berada di negara jiran.
Di awal kehilangannya, anak saudara Bala sudah membuat aduan polis, isteri dan anak-anaknya juga hilang.
Bala mula-mula muncul dalam perbicaraan Altantuya sebagai saksi. Tiba-tiba apabila perbicaraan Altantuya itu tidak lagi menarik perhatian umum, Bala muncul bersama peguamnya dalam sidang media dengan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dia mengumumkan akuan sumpahnya tentang hasil siasatan atas apa yang dikatakan hubungan Timbalan Perdana Menteri dengan Altantuya.
Dalam akuan sumpah itu Datuk Najib dikatakan ada hubungan dengan Altantuya.
Akuan sumpah itu tidak dinyatakan dalam akuannya kepada mahkamah atas kes Altantuya itu dulu.
Penjelasan ringkas yang difahami dari pihaknya mengapa kejadian itu berlaku adalah ada tekanan. Keterangan lanjut tentunya boleh diikuti bila kes akuan sumpahnya itu tiba ke mahkamah nanti.
Tetapi dalam masa 24 jam Bala keluar pula dengan akuan sumpah baru melalui peguam lain pula. Ia menarik balik tuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri dalam akuan sumpah sebelumnya.
Peguamnya yang pertama tidak dapat menghubunginya lagi. Tiada yang tahu lagi di mana dia.
Dengan perkembangan itu Bala seperti sudang mengundang bala pada dirinya. Akuan sumpahnya yang saling bercanggah itu jika dibuatnya secara bebas dan siuman jelaslah mempersenda akuan sumpah, maka ada hukuman tertentu menunggunya.
Apa pun dia dipercayai tidak secara merdeka mempermainkan perkara itu. Dipercayai ada sesuatu yang mendalanginya menjadikan keadaan demikian.
Kita tidak bertujuan mencampuri kesaksiannya di mahkamah dulu. Tetapi dalam proses perbicaraan, ada kejadian orang membuat pandangan kedua yang bercanggah dengan kesaksian yang telah dibuatnya di mahkamah.
Risikonya adalah tinggi, atas sebab-sebab tertentu pandangan kedua itu dibuat bagi membetulkan kenyataan pertama.
Bala memang menghadapi risiko bila dia membuat akuan sumpah yang bercanggah dengan kesaksiannya dulu. Dia dipercaya sedar akan risiko itu kerana terpaksa berhadapan dengan tindakan mahkamah. Risiko keduanya adalah kesan dari tuduhan yang dibuat ke atas Timbalan Perdana Menteri yang diketahui seorang yang berkuasa dan berpengaruh.
Besar masalahnya dalam suasana sekarang apabila berdepan dengan Datuk Najib. Hatta Perdana Menteri sendiri boleh berdepan masalah jika bertembung dengannya. Beliau dipercayai mengelak berbeza pandangan dengan timbalannya.
Apabila Bala dipercayai memberanikan diri membuat akuan sumpah itu. Sekalipun dia benar, dia ada risiko dan apa lagilah kalau ia tidak benar.
Pandangan pertama umum ada akuan sumpah Bala orang mengira ia bukan rekaan. Besar akibat baginya membuat akuan itu. Apa yang menyebabkan dia sedia membuatnya?
Kalau mahu upah, tak padan risiko yang bakal dihadapi dengan upah yang orang boleh beri. Orang tak fikir Anwar boleh angkat dia jadi menteri kalau Anwar menang. Atau adakah dia terfikir akan jadi kaya macam Ananda Krishnan jika Anwar jadi Perdana Menteri?
Idealnya tindakan seberani itu lazimnya demi menegakkan kebenaran. Apabila seseorang terasa dia patut melakukan kebenaran, dan tidak adil membiarkan kedurjanaan, maka orang bertindak berani.
Itu yang orang boleh agak.
Ada pun kebenaran itu lazim dapat ditegakkan dalam masyarakat dan pemerintahan yang adil, merdeka, bermaruah, demokrasi dan aman.
Bagi menegakkan kebenaran di Zimbabwe di bawah pemerintahan Mugabe adalah mustahil. Kalau yang berapa nampak kejamnya pun risikonya tinggi, maka apa lagilah yang ketara seperti Mugabe.
Tidak sempat 24 jam selepas akuan sumpah yang pertama Bala tampil dengan akuan sumpah yang kedua dengan peguam yang berbeza. Mengapa?
Maka inilah yang menjadi tanda tanya semua pihak.
Akuan sumpah yang kedua melemahkan akuan sumpah yang pertama. Kekuatannya jatuh apabila Bala tidak lagi mempertahankannya.
Di negara undang-undang yang bermaruah, merdeka dan adil, kejadian macam ini payah berlaku. Tetapi ia boleh berlaku di Malaysia.
Mengapa?
Mengapa Bala tidak menggunakan peguamnya yang pertama bagi membatalkan akuan sumpahnya? Jika Bala masih berani, bebas dan merdeka, dia tentu menyatakan kepada peguamnya yang pertama mengapa dia mahu membatalkan akuan sumpahnya.
Tentu peguamnya boleh memberikan nasihat akan buruk baiknya membuat pembatalan itu. Mungkin payah bagi Bala untuk meyakinkan peguamnya untuk menyetujuinya, tetapi Bala mesti membuktikan dia masih berani.
Tetapi dia menggunakan peguam lain dan peguam itu pula tidak pula merujuk peguam yang pertama. Biasanya peguam saling berbincang sesama peguam. Hanya dalam perkara yang sulit dan misteri, peguam tidak berhubung sesamanya.
Setakat ini peguam barunya hanya muncul sekejap pada sidang media pada hari memfailkan akuan sumpah baru. Belum terdapat penjelasannya.
Mengapa kejadian ini boleh berlaku dalam alam perundangan di Malaysia? Mengapa ia boleh berlaku dalam masyarakat Malaysia sekarang? Mengapa boleh terjadi di bawah kerajaan Malysia dan di bawah pemerintahan sekarang?
Ia berlaku di bawah Perdana Menteri sekarang, di bawah polis yang ketuanya yang ada sekarang? Di bawah imej kehakiman yang cuba dipulihkan?
Mengapa Bala hilang baik sekejap atau beberapa jam atau beberapa hari adalah terus menjadi tanda tanya. Dia hilang dan dia mungkin menyorok? Mengapa dia mesti menyorok?
Dia membaca pandangan setengah orang mengapa Anwar menyorok di kediaman Duta Turki. Yang berani dan benar tidak menyorok, kata pendapat itu. Maka Bala yang mengikuti kejadian itu menyorok pula.
Polis mesti menjelaskannya kerana ia tetap ditanya. Kehilangan itu ada menyebabkan keselamatan individu sekarang amat meragukan.- tajdid _